Friday, November 18, 2011

Bahasa Melayu bahasa wacana ilmu - perspektif TMK

Apa yang pentingnya bahasa Melayu kepada bidang teknologi maklumat dan komunikasi (TMK)? Kenapa pengamal TMK perlu gunakan bahasa Melayu? Bukankah lebih mudah menggunakan bahasa Inggeris?

Soalan-soalan ini pastinya akan ditanya apabila seseorang cuba mencadangkan penggunaan bahasa Melayu dalam bidang TMK. Bidang TMK merupakan suatu bidang yang berkait rapat dengan sains dan teknologi (S&T). Amnya bidang teknologi ialah antara bidang yang sangat pantas berkembang dewasa ini. Manakala bidang sains pula kurang sedikit tahap perkembangannya, tetapi bidang ini juga sentiasa berkembang dengan penemuan-penemuan dan pembentukan formulasi yang baharu. Justeru, bagi mana-mana bahasa yang ingin digunakan sebagai wacana kepada bidang-bidang ini perlulah mampu untuk berkembang seiring dengan perkembangan bidang tersebut. Begitu juga kepada bidang TMK.

Dalam aspek pemilihan bahasa untuk wacana ilmu, terdapat beberapa bahasa yang diutamakan. Amnya bahasa Inggeris sudah dianggap salah satu bahasa utama di dunia pada masa kini. Bahasa Inggeris semakin mendapat tempat dalam kalangan pelbagai lapisan masyarakat, dalam pelbagai bidang. Bahkan penggunaannya merentasi pelbagai bangsa, walaupun mereka itu bukan Inggeris. Jadi tidak hairanlah ia termasuk sebagai wacana pilihan yang utama dalam perbincangan ilmu. Melalui sokongan dan minat pelbagai lapisan masyarakat membolehkan bahasa Inggeris berkembang. Setiap penemuan, konsep, formula atau apa saja yang baharu akan tercipta istilahnya dengan pantas kerana ramai yang memberi sokongan. Ini lebih mendorong bahasa Inggeris digunakan untuk wacana bidang S&T mahupun TMK.

Namun berlainan pula halnya dengan bahasa Melayu. Hari ini bahasa Melayu dipandang sepi dalam bidang S&T. Bahkan dalam kalangan orang Melayu sendiripun rasa segan-silu untuk menggunakan bahasa Melayu dalam perbincangan dan wacana ilmu. Apatah lagi dalam bidang yang berkembang pesat seperti S&T dan TMK.

Hal ini tidak perlu dihairankan. Ia berlaku kerana sikap dan minat terhadap bahasa Melayu sebagai wacana yang sarat dengan nilai ilmu S&T adalah sangat lemah atau rendah, hatta di kalangan orang Melayu. Bahkan dalam pertimbangan memilih antara bahasa Melayu dan Inggeris untuk membincangkan ilmu S&T, umum pastinya akan memilih bahasa Inggeris. Lebih teruk lagi, pemimpin negara pun turut menjadikan dasar "bahasa Inggeris bahasa ilmu" sebagai dasar pendidikan untuk bangsa Melayu! Natijahnya, semakin pupuslah minat terhadap bahasa tersebut (kalaupun tidak bahasa itu sendiri yang pupus).

Melihat kepada pengutamaan bahasa Inggeris dan 'pelupusan' bahasa Melayu sebagai bahasa utama untuk wacana ilmu, maka amat wajar sekiranya diketengahkan kepentingan dan kelebihan bahasa Melayu sebagai wacana ilmu. Justeru penulisan ini dilakukan, bertujuan membincangkan hal-hal berkaitan kepentingan bahasa Melayu dalam pengembangan dan perbincangan bidang TMK dan secara amnya S&T.

Walaupun belum terbukti, bahasa Melayu ditegaskan oleh Prof Syed Naquib Al-Attas sebagai bahasa yang kedua paling rapat dengan Islam selepas bahasa Arab. Bagi Prof Shaharir Mohd Zain pula (seorang ahli matematik fizik yang juga pejuang bahasa), bahasa merupakan faktor kepada keterlestarian sesebuah tamadun. Maka dalam memastikan kelestarian tamadun dan bangsa Melayu, bahasa Melayu haruslah diutamakan. Bahasa juga dikatakan sarat nilai. Bagi bahasa Melayu, ia sebenarnya menggambarkan pemikiran orang Melayu. Maka secara tidak langsung, wacana ilmu untuk orang Melayu semestinyalah bahasa Melayu kerana ia sesuai dengan pemikiran bangsanya.

Sebagai pengamal bidang TMK, penulis melihat kepentingan bahasa Melayu kerana ia tidak kurang hebatnya berbanding bahasa-bahasa lain yang digunakan sekarang, hatta bahasa utama seperti bahasa Inggeris. (Itupun jika bahasa Melayu itu bukan lebih hebat daripada bahasa-bahasa lain.) Berdasarkan pengamatan dan kajian penulis, makna yang boleh diwakili oleh bahasa Melayu itu cukup banyak. Bahasa Melayu boleh dikembangkan melalui penciptaan istilah-istilah baharu secara tersusun kerana proses pembentukannya adalah seragam dan menurut peraturan-peraturan yang khusus. Apatah lagi bahasa Melayu juga mempunyai pelbagai jenis dialek yang secara tidak langsung meluaskan perbendaharaan katanya.

Selain proses pembentukan kata, penulis mendapati morfologi (kajian berhubung kata/perkataan) bahasa Melayu terdiri daripada pelbagai bentuk/struktur perkataan yang tersusun rapi. Meskipun ada sebilangan kecil masalah seperti kekecualian rumus, ketaksaaan (ambiguity) dan hal-hal lain, namun penulis dapat mengamati bahasa Melayu sebenarnya tertubuh pada sebuah struktur yang teguh. Maksud penulis, jika bahasa Melayu itu merupakan bahasa yang lemah, bersifat add-hoc ataupun dibentuk secara sembrono, maka bentuknya tidak akan jadi sedemikian. Bahkan strukturnya tunggang-langgang, tidak seragam dan sukar membentuk model pembentukannya.

Berdasarkan hal ini, bahasa Melayu jelas berpotensi dalam aspek pembawaan makna. Bahkan keupayaannya dapat berkembang jika diberi sokongan yang mantap. Sokongan ini termasuklah dalam aspek penciptaan istilah, penyebaran dan pengutamaannya sebagai bahasa pendidikan (wacana ilmu), serta penggunaannya di kalangan masyarakat yang mengamalkannya.
Sepertimana pandangan yang menganggap bahasa Melayu lebih dekat dengan ilmu agama (Islam), bahasa Melayu juga boleh dianggap sesuai untuk TMK.

Jadi
apa yang kurangnya dengan bahasa Melayu? Tiada. Bahkan sekiranya bahasa Melayu dikembangkan lagi melalui kajian-kajian linguistik yang baharu, tidak mustahil bahasa ini akan dapat mengatasi populariti bahasa utama dunia yang lain, khususnya bahasa Inggeris. Faktor yang menjadi punca kepada masalah kemerosotan bahasa Melayu ialah sambutan yang kurang diberikan oleh masyarakat dunia. Bahkan orang Melayu turut meminggirkannya. Sedangkan jika dibiasakan maka tidak mustahil bahasa Melayu akan jadi lebih sesuai berbanding bahasa Inggeris mahupun bahasa-bahasa yang lain.



Thursday, November 17, 2011

Kenapa pelajar perlu menulis bahan ilmiah?

Sebelum ini saya pernah menulis tentang kenapa kita (masyarakat) perlu menulis bahan-bahan bertulis / rujukan ilmiah (Rujuk Sini).

Namun di ruangan ini, saya ingin memberi pandangan kenapa pelajar universiti pula WAJIB menulis penulisan ilmiah. Ini memandangkan saya sendiri pernah menjadi pelajar universiti dan kini mengajar pula pelajar universiti (kadang-kadang saja), maka bolehlah saya merasai akan kepentingan tersebut.

Amnya penulisan ilmiah bukanlah asing bagi pelajar universiti (saya gelar pelajar saja). Ini kerana sekurang-kurangnya sekali bagi seluruh pengajian (sarjana muda, diploma) pelajar terpaksa menghasilkan sebuah penulisan, amnya dipanggil sebagai laporan projek tahun akhir. Bagi pelajar PhD dan sarjana pula biasanya berbentuk tesis (formatnya lebih kurang sama, tahap kandungannya saja berbeza). Manakala sesetengah pensyarah atau pengajar akan menugaskan pelajar menghasilkan laporan tugasan tertentu bagi subjek-subjek yang mereka ajar, justeru mempengaruhi markah keseluruhan bagi subjek-subjek yang dipelajari.

Jika dilihat keperluan ini, maka seharusnya pelajar mempunyai kemahiran menghasilkan penulisan berbentuk ilmiah. Jika tidak maka kemungkinan besar mereka menghadapi masalah menulis laporan yang berkualiti, sekaligus memberi pulangan markah yang rendah. Lainlah kalau pelajar itu memang berbakat semulajadi menulis, tidak perlu berlatih tetapi masih mampu menulis dengan baik. Namun yang berbakat selalunya amat jarang ditemui terutama untuk penulisan ilmiah dan teknikal, melainkan disertai dengan latihan yang berterusan.

Selain sebab di atas, pelajar universiti amnya ialah golongan intelektual. Dalam tangga sosial atau masyarakat, golongan intelektual ialah golongan yang terhormat. Biasanya mereka akan menduduki paras profesional seperti pentadbir, pengurus, ketua atau lain-lain golongan atasan. Bagi golongan ini, mereka seharusnya mampu menyusun atur hasil pemikiran, idea, arahan, panduan atau apa saja bentuk maklumat yang mereka hasilkan untuk disampaikan kepada orang lain.

Penulisan ilmiah merupakan suatu hasil kerja yang tersusun, yang bertujuan menyampaikan maklumat yang berguna kepada orang lain untuk disebar supaya diketahui, dipelajari dan difahami. Penulisannya pula khusus menggunakan format yang tertentu. Amnya penulisan ilmiah memerlukan kita (penulis) menulis semua maklumat-maklumat yang ingin disampaikan dalam bentuk yang tersusun kemas, serta mudah dirujuk oleh orang lain. Selain itu kita juga perlu menulis mengikut format sesuatu penulisan ilmiah - esei, laporan, tesis, ulasan dan sebagainya.

Berdasarkan keperluan sebagai intelektual dan bentuk penulisan ilmiah yang dapat membantu penyampaian maklumat secara berkesan, maka wajarlah seorang bakal intelektual iaitu pelajar menulis bahan-bahan rujukan ilmiah. Ini kerana selain melatih diri untuk menyampaikan maklumat secara berkesan, penulisan ilmiah itu sendiri boleh menjadi rujukan kepada orang lain yang menghargai penulisan tersebut. Oleh yang demikian, pelajar itu secara tidak langsung menyumbangkan sesuatu kepada pembangunan dan pendidikan masyarakat.

Oleh itu, adalah diharapkan pelajar dapat berazam untuk melatih diri menghasilkan sebanyak mungkin penulisan ilmiah. Selain memanfaatkan keupayaan dan kebijaksanaan yang Allah beri pada kita, penulisan membolehkan kita meningkatkan lagi kemahiran diri, serta memberi sumbangan ilmiah kepada masyarakat.


Wednesday, November 16, 2011

Susahnya membuat tinjauan pasaran...

Tinjauan pasaran memang selalu dilakukan oleh organisasi yang bergantung kepada permintaan masyarakat. Tujuannya mendapatkan gambaran terhadap potensi/sambutan sesuatu perkhidmatan yang hendak/telah ditawarkan. Sebagai pegawai muda (junior) maka sudah jadi lumrah tugas-tugas renyah ini diserahkan pada orang macam saya. Saya tidak ada masalah. Kalau itu arahan ketua, maka sebagai pegawai kenalah buat juga. Maka pergilah saya berjumpa dengan orang-orang di industri (syarikat-syarikat).

Bagi pihak industri, orang akademik ini cuma orang asing. Memang lumrah dunia akademik tidak boleh bertemu dengan industri, kerana keutamaan masing-masing berbeza. Bagi orang akademik, kebajikan itulah yang lebih utama kerana matlamat no. 1 institusi pendidikan awam (sepatutnya) ialah sumbangan kepada masyarakat. Keuntungan no. 2. Tapi bagi industri, terbalik pula.

Kalau dah berbeza keutamaan, maka bila bertemu akan adalah masalah. Saat hendak melaksanakan tugas ini, memang terasa seksanya. Dipandang serong itu satu hal. Tidak dilayan itupun satu hal. Hendak membuat orang faham tujuan kita pun satu hal. Tambahan pula tidak biasa berurusan dengan orang, lebih-lebih lagi syarikat-syarikat luar yang keutamaannya sibuk mendapatkan keuntungan. (Kamu tak fahamkah kami sibuk? Begitulah agaknya yang difikirkan).

Tapi saya bukan jual barang. Cuma hendak maklumat yang biasa-biasa dan pendapat saja. Susahkah?


p/s: Ada juga yang bersungguh membantu. Terima kasih banyak-banyak.



Tuesday, November 15, 2011

Bahagianya hati seorang cikgu bila ...

Pagi ini saya diberi peluang untuk mengajar kelas seorang pensyarah yang terpaksa 'out-station'. Saya agak kelam-kabut juga. Manakan tidak, buku teks pun tidak ada. Mujurlah ada seorang senior yang sudi mengirimkan slaid pembentangan. Bukan apa, saya kalau sudah lama tidak mengajar dan tiba-tiba disuruh mengajar, beginilah jadinya. Nak buat apa pun dah tak ingat.

Berbekalkan slaid itu saya hadiri kelas dan cuba sedaya-upaya memberikan yang terbaik untuk pelajar. Kekesalan terasa juga, kerana nampak benar persediaan yang kurang menjejaskan penyampaian. Ada masanya tersekat-sekat (baru nak berfikir), ada masa kelam-kabut. Mujurlah pelajar semuanya beri 'sokongan' (membeliakkan juga mata walaupun masing-masing mengantuk kerana terlalu bosan).

Tapi alhamdulillah, kelas pagi ini berjalan lancar. Malah silibus pengajaran yang sedikit untuk kelas pagi ini membolehkan saya menambahkan aktiviti dalam kelas. Selama 30 minit, kami semua sempatlah mengadakan sesi perbincangan dalam kumpulan. Jadi pada saya, kekurangan pada pagi ini terubatlah juga. Melalui aktiviti tambahan ini dapatlah saya menerapkan kandungan pengajaran kepada bidang yang dijalani oleh pelajar (kelas TMK/IT, tapi pelajarnya bidang kesihatan). Jadi hasilnya lebih baik. Tidaklah hanya mendengar dan menelan bulat-bulat pengajaran pensyarah (membosankan pula tu!).

Memang bagi saya, sesi pengajaran agak membosankan pagi ini. Kesal, kecewa, marah dengan diri sendiri kerana tidak bersedia awal. Di akhir sesi, saya cuma mampu memohon maaf pada semua pelajar yang terpaksa menanggung semua ini. Namun sewaktu sedang berjalan keluar, dengan tak disangka-sangka seorang pelajar menghulur secebis kertas pada saya. Di dalamnya, tertulis ayat ini,
"Tq so Much Mr. Yunos! You are the best! We proud of you! Just the way you are!"
Hahaha tak tahulah apa maksudnya. Tapi saya tersenyum lebarlah juga. Apa pun, buat pelajar-pelajar kelas SAK3002 Kumpulan 2 Sem 1 2011/2012 FPSK, terima kasih saudara-saudari. Apa lagi yang lebih menggembirakan hati seorang cikgu? Ada rezeki kita bertemu dan berceloteh lagi (dan jangan tido).


Friday, November 11, 2011

Wujudkah makhluk asing?

Berikut keratan/salinan laporan daripada Utusan Online (11 Nov 2011) bahagian 'Luar Negara':

LONDON 10 Nov. - Para saintis hari ini menyangkal kenyataan White House mengenai ketiadaan bukti yang menunjukkan wujudnya makhluk asing di luar planet bumi.

Mereka turut menyifatkan pentadbiran Presiden Barack Obama tidak meneliti secukupnya ruang angkasa lepas dan menyatakan kemungkinan terdapat banyak petanda kewujudan makhluk asing pada sistem suria.

Menurut mereka, penyelidikan angkasa lepas oleh Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) menggunakan pesawat peninjau Pioneer dan Voyager adalah terlalu kecil untuk ruang angkasa lepas, sekali gus sukar untuk mengesannya.

Phil Larson yang bertanggungjawab dalam dasar dan komunikasi di Jabatan Polisi Teknologi dan Sains bagaimanapun menjawab, kerajaan Amerika Syarikat (AS) tidak ada bukti berhubung kewujudan makhluk asing.

Bagaimanapun, dua penyelidik di Penn State university mempunyai pendapat yang berbeza dan laporan penyelidikan mereka telah diterima oleh jurnal Acta Astronautica serta disiarkan di perkhidmatan penyelidikan sains secara dalam talian, ArXiv.

Jacob Haqq-Misra dari Rock Ethics Institute dan Ravi Kumar Kopparapu dari Institut Sistem Persekitaran dan Bumi berkata, kapal angkasa makhluk asing mungkin terapung di sekitar sistem suria tetapi tidak disedari.

''Angkasa lepas yang luas terbentang dan penyelidikan yang terhad menyebabkan kita terus tidak menyedari kehadiran makhluk lain.

''Artifak ruang angkasa mungkin wujud dalam sistem suria kita tanpa disedari kerana kurangnya penyelidikan, manakala penyelidikan sedia ada terlalu kecil berbanding keluasan angkasa lepas,'' jelas kedua-dua saintis itu.

Menurut mereka, dasar laut, hutan belantara atau gua yang dalam berpotensi menjadi tempat persembunyian makhluk asing.


KOMEN:
Masyarakat jin kot.


.

Thursday, November 10, 2011

Profesional yang soleh dan bertaqwa

Malaysia kini sedang membangun. Rakyat pun sudah mampu berdikari untuk membangunkan sendiri negaranya. Melalui pendidikan yang sentiasa diperkaya dan dipertingkatkan, telah melahirkan insan yang berilmu. Melalui pendidikan peringkat tinggi, kini semakin ramai yang berjaya mendapatkan kelulusan terhormat (diploma, ijazah, sarjana, PhD) yang rata-rata akan menjadi golongan profesional.

Namun di sebalik semua kecemerlangan ini, kita seakan tertinggal sesuatu yang amat penting. Sedangkan perkara yang tertinggal inilah sebenarnya yang dapat memandu seseorang untuk mencapai kegemilangan dan kecemerlangan yang sebenar. Perkara itu ialah iman dan taqwa.

Hakikatnya pendidikan luaran saja tidak cukup. Sebaliknya sifat dalaman yang berteraskan 'kepatuhan dan ketakutan' pada Allah (Tuhan sekelian alam) itulah yang sebenarnya pembimbing manusia untuk berada di atas jalan kebenaran. Negara kita sepatutnya melahirkan lebih ramai golongan profesional yang soleh dan bertaqwa. Namun jika berdasarkan dasar pendidikan negara sekarang yang jelas gagal menerapkan pendidikan agama Islam, matlamat melahirkan golongan yang tersebut amat sukar sekali.

Tidak dinafikan, melalui peningkatan dan penambahbaikan dalam kandungan mata pelajaran yang diajar dalam sistem pendidikan negara telah melahirkan ramai golongan profesional yang cemerlang dalam bidang masing-masing. Atas dasar inilah maka negara dapat membangun seperti yang ada sekarang.

Namun persoalannya ialah - berapa ramai golongan profesional (selain bidang agama) itu,
  • Yang boleh mengimami solat jemaah?
  • Yang mampu mengimami dan memimpin solat jenazah?
  • Yang mampu mengambil alih tugas imam di masjid?
  • Yang hafal Al-Quran dan hadis, dan mengamalkannya dalam kehidupan harian?
  • Yang membaca Al-Quran setiap hari?
  • dll
Hakikatnya, semua tanggungjawab di atas (dan lain-lain peranan berkaitan agama) amnya hanya diserahkan kepada lulusan dalam bidang/jurusan agama. Walhal di kalangan lulusan agama itupun belum tentu dapat melakukan yang terbaik. Mengapa ini berlaku? Sedangkan semua tanggungjawab mengamalkan perintah agama itu adalah tanggungjawab seorang muslim! Muslim yang bertaraf profesional bukan muslimkah?

Jadi sudah sampai masanya kita semua menyedarkan diri kita bahawa tanggungjawab berkaitan agama bukan tugas lulusan agama saja. Bahkan kita semua wajib mengetahui, mempelajari dan mengamalkan semua ilmu, peranan, tanggungjawab sebagai seorang muslim, baik fardu ain mahupun fardu kifayahnya. Sebagai golongan profesional muslim, kita WAJIB menjadi insan yang beramal soleh dan dapat menerapkan prinsip ketaqwaan kepada Allah sebagai amalan kita.

Bukan itu saja. Kita juga wajib berusaha melatih dan melahirkan sumber tenaga mahir dan profesional yang soleh dan bertaqwa, supaya generasi masa hadapan akan dapat membangunkan negara dan alam ini, dengan lebih baik berbanding sekarang. Mudah-mudahan negara Malaysia yang kita kecapi sekarang akan bertambah makmur dan mendapat berkat daripada Allah.


-----------------------
p/s: Alasan 'pendidikan tak islami' ini dijadikan modal parti politik pembangkang menghentam kerajaan. Walhal isu ini perlu ditangani bersama dengan memperbaiki sistem pendidikan yang ada sekarang. Tidak semestinya perlu menukar kerajaan seperti yang dilaung-laungkan.


Wednesday, November 09, 2011

Kenderaan buatan Malaysia berkualiti

Baru-baru ini Proton Exora REEV menang anugerah buat kali kedua dalam pertandingan 'RAC Future Car Challenge 2011, Brighton-to-London' di United Kingdom.


"Proton won two awards – the Most Efficient Multi-Purpose Car (Prototype) and the Best Overall Extended-Range Vehicle (E-REV). Both were courtesy of the Exora REEV. The Best E-REV award was shared with the Toyota Prius Plug In Hybrid." (Paul Tan's Automotive Blog).

Apa lagi hendak dikata. Nampaknya jurutera Malaysia (yang belajar Sains dan Matematik di sekolah rendah dalam Bahasa Melayu) dan syarikat dari Malaysia terus cemerlang menghasilkan produk dan barangan yang berkualiti.

Alhamdulillah. Syabas anak Malaysia. Syabas Proton. Malaysia Boleh.


.

Tuesday, November 08, 2011

Apa beza integrasi dengan kesatuan?


Pelbagai komponen diintegrasi untuk membentuk suatu entiti (SUMBER)
Integrasi bermaksud dua atau lebih pihak yang terpisah bersatu untuk membentuk dan bertindak sebagai suatu komponen, sama ada melalui percantuman, gabungan, saling interaksi, sokong-menyokong atau apa saja bentuk gabungan. Integrasi amnya akan menghasilkan sinergi.

Integrasi bukan seperti kesatuan, iaitu setakat mencampur atau menggabungkan pihak-pihak dalam satu unit yang sama. Konsep gabungan seperti itu hanya akan menghasilkan nilai 'campur' atau kumulatif (1+1=2). Sebaliknya integrasi seharusnya menghasilkan hasil keluaran berbentuk sinergi 1+1=3! Sinergi lebih dari sekadar percantuman, kerana sinergi menghasilkan sesuatu yang lebih baik atau tinggi nilai outputnya berbanding hasil percantuman.

Selalunya kita beranggapan sesebuah sistem dapat berfungsi dengan hanya menggabungkan pelbagai fungsi daripada pelbagai komponen. Tapi sebenarnya, fungsi sistem adalah minimal atau mungkin sistem tidak dapat berfungsi langsung jika tiada sinergi antara komponennya.

Perbezaan antara integrasi dan himpunan komponen boleh diibaratkan seperti sekumpulan kambing dengan seekor serigala. Seekor kambing yang bersendirian jelas lebih mudah ditangkap oleh serigala. Tapi adakah dengan duduk dalam kumpulan dapat menjamin keselamatan kambing?

Sebenarnya bagi kambing yang duduk dalam kumpulan sekalipun, jika kambing-kambing lain tidak berusaha membantunya semasa diserang, maka keadaan kambing itu tidak berbeza dengan keadaan berseorangan. Lebih buruk lagi, jika semua kambing-kambing yang tinggal terus bersikap serupa, maka kesemua kambing-kambing itu akan dibaham serigala. Inilah gambaran sesebuah sistem yang tidak mengintegrasi komponen-komponennya.

Namun jika setiap kambing dalam kumpulan itu bekerjasama melindungi satu sama lain, maka bukan saja serigala itu tidak berani untuk menyerang, bahkan kambing-kambing itu mampu menyerang pula serigala itu dan menumpaskannya. Jadi dengan adanya integrasi usaha antara komponen-komponen dalam sistem bukan sahaja melindungi kepentingan sistem dan komponennya, bahkan meningkatkan keupayaan sistem tersebut.

Konsep integrasi amat penting terutama dalam pembangunan perisian. Ada perisian yang terpaksa dibangunkan secara bermodul, berorientasikan objek, dan sebagainya yang berupa komponen-komponen yang berintegrasi membentuk perisian utama. Jadi konsep integrasi perlu diterapkan kepada komponen-komponen perisian, supaya perisian utama dapat memainkan fungsinya dengan berkesan.

Sebuah sistem boleh terbina daripada pelbagai komponen dan modul yang diintegrasi bersama (SUMBER)




Friday, November 04, 2011

Berceloteh tentang pengaturcaraan komputer

(Sebenarnya saya tidak ada topik atau idea penting yang ingin dibincang atau ditulis. Tapi tangan ini 'gatal' ingin menulis sesuatu.)

Walaupun mengenali komputer sejak Tingkatan 2, kelas pengaturcaraan saya yang pertama ialah ketika di Tingkatan 5. Waktu itu saya diajar tentang pengaturcaraan menggunakan bahasa MS QBasic. Walaupun tidak memahami kepentingannya yang sebenar, saya rasa seronok dapat mencuba sesuatu yang baharu. Tambahan pula dapat membina program-program berbentuk permainan. Ini mendorong saya mendalami bahasa pengaturcaraan tersebut. Biasanya saya memang tidak sabar menunggu waktu kelas, kerana hanya masa itulah saya berpeluang menulis atur cara.

Dek kerana seronok dan tidak ada komputer sendiri, selalunya saya curi-curi menulis ketika cikgu menerangkan latihan yang perlu dibuat. Beberapa kali saya ditegur kerana sibuk menulis atur cara, walhal cikgu baru hendak memberi penerangan dan belum disuruh membuatnya. Selepas ditegur, akurlah sebentar. Namun esoknya buat lagi. Akhirnya cikgu pun sudah malas mahu menegur kerana saya 'tidak makan saman'. (Lagipun atur cara yang saya buat itu memang seperti yang dikehendaki, jadi mungkin sebab itu saya dimaafkan.)

Dek kerana seronok dengan QBasic, saya cuba mempelajari bahasa C pula apabila terjumpa buku mengenainya di perpustakaan sekolah. Sayangnya, walaupun bersemangat, namun akhirnya putus asa kerana tidak ada pengkompil untuk membina atur cara. Yang saya ada dan tahu ketika itu ialah menggunakan penterjemah QBasic. Tapi itupun memadai untuk saya berlatih.

Maka saya berterusan menggunakan QBasic sehinggalah saya dapat belajar tentang pengkompil dan bahasa-bahasa seperti Pascal, Cobol, C, Visual Basic dan beberapa lagi semasa belajar di universiti (UPM). Sejak itu saya banyak menghabiskan masa dengan pengaturcaraan. Tambahan pula universiti menyediakan kemudahan buku dan makmal komputer. Jadi mudahlah saya mengasah bakat dan meningkatkan kemahiran melalui latihan dan pembacaan. Mungkin disebabkan terlalu banyak menghabiskan masa mengaturcara, maka minat saya terdorong ke situ. Hakikatnya sehingga sekarang saya amat meminati bidang pengaturcaraan dan terus mendalami pelbagai aspek yang berkaitan dengannya seperti pembinaan pengkompil, falsafah bahasa dan kaedah pengaturcaraan, dan sebagainya.

Pengaturcaraan sebenarnya tidak sukar untuk difahami dan dikuasai. Asasnya semua bahasa pengaturcaraan itu sama dari segi fungsi dan bentuknya. Oleh sebab itu, apabila kita sudah menguasai asas kemahiran pengaturcaraan kita mudah menguasai pelbagai bahasa pengaturcaraan yang berlainan. Asas menguasai kemahiran pengaturcaraan ialah pengetahuan. Kita perlu tahu apa sebenarnya tujuan 'pengaturcaraan'. Kita kena fahami semua konsep penting berkaitan proses penghasilan atur cara atau perisian. Misalnya konsep penterjemahan dan pengkompilan. Hal ini boleh dikuasai dengan membaca buku atau sumber bacaan lain (internet, manual pengkompil dsb).

Kemudian kita kena pilih bahasa pengaturcaraan. Cara memilih bahasa bergantung kepada minat dan keserasian kita terhadap sesuatu bahasa pengaturcaraan. Ada bahasa yang mudah dikuasai dan ada yang rumit. Pilihan juga bergantung kepada tugas yang perlu dilaksanakan (masalah yang cuba diselesaikan). Walaupun bahasa pengaturcaraan bersifat umum, namun selalunya setiap satu mempunyai kelebihan dan kekurangan. Pengetahuan ini juga boleh diperolehi melalui pembacaan.

Apabila kita sudah ada pengetahuan asas yang cukup, barulah kita membina aturcara. 'Cukup' bukan semestinya banyak ataupun tahu semua perkara. Memadai mengetahui asas pengaturcaraan dan cara asas membina aturcara menggunakan sesuatu bahasa X. Kalau hendak tunggu tahu semuanya, boleh jadi kita tidak akan mengatur cara langsung. Pengetahuan asas boleh ditambah dan diperluaskan melalui pembacaan yang berterusan. Kita kena sentiasa berlatih. Kemahiran pengaturcaraan seperti kemahiran yang lain juga. Ia perlukan pengetahuan, dan untuk mahir kita perlu rajin berlatih. Melalui latihan yang banyak juga dapat memberi kita pengalaman. Pengalaman unik bagi setiap individu dan ia tidak akan diperolehi dengan setakat membaca. Kadangkala pengetahuan yang diperolehi melalui hasil latihan lebih baik berbanding setakat membaca.

Selain banyak membaca dan berlatih membina atur cara, seseorang pengatur cara perlu tahu tujuan dia mengatur cara. Biasanya atur cara dibina untuk melakukan sesuatu tugas. Misalnya membina permainan komputer, serta perisian aplikasi seperti pangkalan (simpanan) data, penyunting dan sebagainya. Mengetahui tujuan akan membantu kita memilih bahasa pengaturcaraan yang sesuai. Selain itu, ia akan membantu kita dalam tugas pengoptimuman, iaitu menghasilkan penyelesaian yang terbaik bagi sesuatu tugas atau masalah. Tujuan bukan setakat yang umum. Sebaliknya setiap elemen pengaturcaraan yang kita gunakan perlu ada alasannya. Misalnya, kita guna bahasa C bagi menghasilkan perisian terbenam kerana ia pantas; Kita gunakan struktur data berbentuk tatasusunan (array) ialah kerana lebih pantas dicapai dan ringkas bentuknya (tetapi perlukan lebih storan) berbanding senarai terpaut; Kita guna algoritma X kerana sebab tertentu dan sebagainya. Jika tidak tahu tujuan dengan jelas, maka mungkin pengaturcaraan kita akan memakan lebih banyak masa berbanding jika ada tujuan.

Penulisan ini bukanlah ilmiah. Sekadar berkongsi sedikit pengalaman dan pengetahuan. Diharapkan penulisan ini dapat menjelaskan serba sedikit tentang bidang pengaturcaraan komputer.



Mengapa buku tidak laris di Malaysia?

Sebenarnya banyak buku yang laris di Malaysia. Ini membuktikan bahawa rakyat Malaysia juga rajin membaca.

Tapi yang tidak laris itu buku berbahasa Melayu! Kenapa, hina sangatkah bahasa Melayu? Dalam kalangan buku berbahasa Melayu yang tidak laris itu, yang paling kurang laris pula ialah buku ilmiah!

Apa masalahnya? Kualiti buku, atau persepsi terhadap bahasa Melayu?

p/s: "Bahasa Berwibawa Sastera Bermutu, Kualiti Dipulihara Martabat Di Mercu" - DBP

Thursday, November 03, 2011

Apa peranan guru?

('Guru' yang saya maksudkan ialah semua golongan pendidik, dan bukan setakat guru sekolah.)

Apakah peranan guru? Ini merupakan satu soalan yang sangat kurang bijak untuk ditanyakan pada orang ramai. Umum pasti mengetahui peranan guru ialah mengajar pelajarnya untuk menjadi orang yang berilmu.

Pada zaman-zaman dahulu - misalnya zaman ulama besar seperti Imam Ghazali dan Imam Syafie r.a., para pelajar sangat memuliakan dan menghormati guru. Begitu juga zaman datuk-nenek kita dahulu, guru-guru sangat dihormati dan dipandang mulia oleh masyarakat. Mengapa golongan guru dimuliakan? Tentunya kerana ilmu yang mereka miliki dan ajarkan kepada masyarakat, melalui pendidikan kepada pelajar-pelajar mereka. Guru-guru bersusah-payah memberitahu, menerangkan, menulis, membimbing, memperbetulkan dan melakukan pelbagai usaha lain bagi memastikan pelajar-pelajar mereka memahami ilmu yang disampaikan.

Disebabkan usaha ini, maka guru-guru dipandang mulia kerana mereka mengubah taraf seseorang individu daripada rendah (tidak berilmu) kepada tinggi (berilmu). Bahkan ada mengumpamakan guru itu 'ibarat lilin yang membakar diri untuk menerangi kegelapan'. Betapa tingginya sanjungan masyarakat pada guru.

Namun jika dilihat pada hari ini, pelajar-pelajar di sekolah mahupun di institusi pengajian tinggi seperti tidak lagi memuliakan golongan guru. Lihat saja apa yang berlaku di sekolah. Pelajar mengherdik, memaki malah sanggup mencederakan guru. Sementara di IPT, golongan yang dianggap cerdik (terpilih untuk masuk ke IPT) pun seakan hilang rasa hormatnya pada pensyarah masing-masing. Sedang guru mengajar di depan, pelajar sibuk bersembang di belakang. Hal ini mungkin nampak remeh, namun jika kita sebagai guru diperlakukan begitu, apa rasanya? Tentulah akan tersinggung. Tanyalah mana-mana guru yang ikhlas mengajar. "Ya, saya kecewa". Jadi mengapa agaknya perkara ini terjadi? Mengapa nilai penghormatan pada guru makin merosot?

Saya lebih berpendapat salah satu puncanya ialah daripada guru itu sendiri. Kalangan guru-guru sekolah ramai yang merungut gaji mereka kecil dan tidak padan dengan kerja. Bahkan pensyarah universiti yang gajinya mencecah belasan ribu pun masih ada lagi yang merungut. Sesetengah golongan pendidik ini pula hanya sibuk mengejar pangkat, hinggakan pelajar terabai. Ada yang malas mengajar, ponteng dan sebagainya.

Kalau beginilah sikapnya, hanya lebih pentingkan gaji dan pangkat, apakah lagi yang hendak dimuliakan pada seorang guru? Dalam hal ini guru-guru itu sendiri yang meletakkan diri mereka di taraf yang rendah, dan wajarlah kalau pelajar-pelajar mereka bersikap kurang ajar. Apa lagi yang hendak dihormati?

Adakah guru-guru sengaja atau terlupa tanggungjawab dan peranan mereka? Atau mungkinkah guru-guru sekarang memang tidak tahu peranan mereka? Saya pun tidak tahu. Apa yang saya tahu, mendidik dan membimbing insan mengenal Allah itu satu ibadah, dan di situlah sebenarnya 'kemuliaan' dan peranan sebenar insan bergelar 'guru'.


(Sekadar peringatkan diri sendiri.)


p/s: Apa makna 'cikgu'? Nampak macam akronim bagi 'encik guru' (macam 'berdikari'= berdiri atas kaki sendiri). Betul ke?

Wednesday, November 02, 2011

Mengutamakan Bahasa Melayu untuk Penulisan Ilmiah

Baru-baru telah diadakan Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu ke VIII di Dewan Bahasa dan Pustaka selama 3 hari bermula 28-30 Okt 2011. Kongres ini telah dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Y.A.B. Tan Sri Dato' Muhyiddin Mohd Yassin pada 29 Okt 2011. Topik dan isu utama yang dibincangkan ialah usaha mendaulatkan dan memperkasakan bahasa Melayu sebagai bahasa utama masyarakat Malaysia. Manakala antara isu hangat yang dibangkitkan ialah usaha memansuhkan PPSMI dan mendaulatkan semula bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan pendidikan, selaras dengan kandungan dalam Perlembagaan Malaysia yang meletakkan bahasa Melayu sebagai bahasa Kebangsaan Malaysia.

Bahasa Melayu pernah menjadi lingua franca di Kepulauan Melayu / Nusantara / Pascabima suatu masa dahulu. Rasanya semua orang yang belajar sejarah Tanah Melayu maklum akan hal ini. Namun berapa ramaikah masyarakat hari ini yang mengakui bahawa bahasa Melayu masih penting dan relevan sebagai bahasa ilmu pada masa kini?

Saya yakin kita semua akan lebih meletakkan penghormatan kepada bahasa Inggeris sebagai bahasa ilmu. Jika tidak secara secara nyata pun, kita akan mengakuinya tanpa sedar ('I' lebih sedap digunakan berbanding 'saya', dan 'informasi/information' lebih sedap berbanding 'maklumat'). Dalam kalangan masyarakat hari ini, sudah ramai yang tidak mahu mengakui bahasa Melayu sebagai bahasa yang wajar dihormati dan dikagumi. Ini berlaku kerana bahasa Melayu dianggap rendah nilai dan kepentingannya jika dibandingkan dengan bahasa Inggeris yang digunakan di merata-rata, dalam pelbagai aspek dan bidang kehidupan dalam masyarakat hari ini.

Berasaskan keyakinan ini, adalah penting untuk menyedarkan kita semua (termasuk saya sendiri) untuk mendaulatkan semula bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu. Melalui usaha ini, bukan sahaja akan memelihara bahasa warisan nenek moyang bangsa Melayu, tetapi juga menaikkan semula penghormatan masyarakat terhadap bahasa yang suatu masa dahulu merupakan bahasa utama penyampai dan pembelajaran ilmu di kalangan masyarakat di rantau ini.

Peranan bahasa Melayu bukan sahaja sekadar untuk perbualan sehari-hari. Tetapi bahasa Melayu mempunyai kehebatan dan keunikan yang tersendiri. Prof Syed Naquib Al-Attas menyatakan bahawa bahasa Melayu itu lebih 'sempurna' dalam menyampaikan maksud dan makna ilmu-ilmu berkaitan Islam. Bahasa Melayu tidak kurang tarafnya berbanding bahasa Inggeris dalam aspek penyampaian ilmu. Malahan, di kalangan bangsa Melayu, bahasa Melayu itu lebih memudahkan anak Melayu menjadi lebih pandai dan berilmu. Ini dapat dibuktikan melalui isu dan bencana yang ditimbulkan oleh program PPSMI, di mana anak-anak Melayu didapati lebih merosot pencapaiannya apabila mempelajari ilmu Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris. Walhal jika menggunakan bahasa Melayu, pencapaian anak Melayu jauh lebih bagus.

Bahkan selama inipun, melalui pendidikan menggunakan bahasa Melayu telah melahirkan cendekiawan-cendekiawan dan golongan profesional yang berkaliber daripada kalangan bangsa Melayu. Ini secara tidak langsung menunjukkan bahawa bahasa Melayu merupakan pelantar kepada anak bangsa dan masyarakat untuk mencapai kegemilangan, dan bukan sebaliknya.

Sesetengah cendekiawan berpendapat, untuk menaikkan semula martabat bahasa Melayu, ia mesti digunakan sebagai bahasa ilmu. Maka atas prinsip ini;
  • Penulisan-penulisan karya ilmiah yang menggunakan bahasa Melayu hendaklah diperbanyakkan.
  • Semua penulisan untuk menjelaskan sesuatu bidang ilmiah (konsep, definisi, penerangan dan sebagainya) hendaklah menggunakan bahasa Melayu.
  • Perbincangan ilmiah mestilah mengutamakan istilah dan bahasa Melayu, dan
  • Sesi pengajaran-pembelajaran dan pendidikan mestilah mengutamakan bahasa Melayu sepenuhnya.
Semua saranan ini perlulah disambut dan diperkasakan oleh semua penulis, pengkarya, ilmuan, sarjana atau sesiapa saja yang bergiat dalam bidang keilmuan, agar bahasa Melayu dapat dikembalikan kewibawaannya. Ini termasuklah penulis makalah, blog atau wacana-wacana lain di internet yang hari ini banyak dirujuk oleh penguna-pengguna ruang maya.

Diharap penulisan ini akan mendapat perhatian dan sambutan yang sewajarnya daripada masyarakat, khususnya yang terbabit dengan penulisan ilmiah. Mudah-mudahan usaha untuk menjulang semula bahasa Melayu sebagai bahasa utama masyarakat akan lebih berkesan dan dapat dilaksanakan dengan jayanya.