Wednesday, November 02, 2011

Mengutamakan Bahasa Melayu untuk Penulisan Ilmiah

Baru-baru telah diadakan Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu ke VIII di Dewan Bahasa dan Pustaka selama 3 hari bermula 28-30 Okt 2011. Kongres ini telah dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Y.A.B. Tan Sri Dato' Muhyiddin Mohd Yassin pada 29 Okt 2011. Topik dan isu utama yang dibincangkan ialah usaha mendaulatkan dan memperkasakan bahasa Melayu sebagai bahasa utama masyarakat Malaysia. Manakala antara isu hangat yang dibangkitkan ialah usaha memansuhkan PPSMI dan mendaulatkan semula bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan pendidikan, selaras dengan kandungan dalam Perlembagaan Malaysia yang meletakkan bahasa Melayu sebagai bahasa Kebangsaan Malaysia.

Bahasa Melayu pernah menjadi lingua franca di Kepulauan Melayu / Nusantara / Pascabima suatu masa dahulu. Rasanya semua orang yang belajar sejarah Tanah Melayu maklum akan hal ini. Namun berapa ramaikah masyarakat hari ini yang mengakui bahawa bahasa Melayu masih penting dan relevan sebagai bahasa ilmu pada masa kini?

Saya yakin kita semua akan lebih meletakkan penghormatan kepada bahasa Inggeris sebagai bahasa ilmu. Jika tidak secara secara nyata pun, kita akan mengakuinya tanpa sedar ('I' lebih sedap digunakan berbanding 'saya', dan 'informasi/information' lebih sedap berbanding 'maklumat'). Dalam kalangan masyarakat hari ini, sudah ramai yang tidak mahu mengakui bahasa Melayu sebagai bahasa yang wajar dihormati dan dikagumi. Ini berlaku kerana bahasa Melayu dianggap rendah nilai dan kepentingannya jika dibandingkan dengan bahasa Inggeris yang digunakan di merata-rata, dalam pelbagai aspek dan bidang kehidupan dalam masyarakat hari ini.

Berasaskan keyakinan ini, adalah penting untuk menyedarkan kita semua (termasuk saya sendiri) untuk mendaulatkan semula bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu. Melalui usaha ini, bukan sahaja akan memelihara bahasa warisan nenek moyang bangsa Melayu, tetapi juga menaikkan semula penghormatan masyarakat terhadap bahasa yang suatu masa dahulu merupakan bahasa utama penyampai dan pembelajaran ilmu di kalangan masyarakat di rantau ini.

Peranan bahasa Melayu bukan sahaja sekadar untuk perbualan sehari-hari. Tetapi bahasa Melayu mempunyai kehebatan dan keunikan yang tersendiri. Prof Syed Naquib Al-Attas menyatakan bahawa bahasa Melayu itu lebih 'sempurna' dalam menyampaikan maksud dan makna ilmu-ilmu berkaitan Islam. Bahasa Melayu tidak kurang tarafnya berbanding bahasa Inggeris dalam aspek penyampaian ilmu. Malahan, di kalangan bangsa Melayu, bahasa Melayu itu lebih memudahkan anak Melayu menjadi lebih pandai dan berilmu. Ini dapat dibuktikan melalui isu dan bencana yang ditimbulkan oleh program PPSMI, di mana anak-anak Melayu didapati lebih merosot pencapaiannya apabila mempelajari ilmu Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris. Walhal jika menggunakan bahasa Melayu, pencapaian anak Melayu jauh lebih bagus.

Bahkan selama inipun, melalui pendidikan menggunakan bahasa Melayu telah melahirkan cendekiawan-cendekiawan dan golongan profesional yang berkaliber daripada kalangan bangsa Melayu. Ini secara tidak langsung menunjukkan bahawa bahasa Melayu merupakan pelantar kepada anak bangsa dan masyarakat untuk mencapai kegemilangan, dan bukan sebaliknya.

Sesetengah cendekiawan berpendapat, untuk menaikkan semula martabat bahasa Melayu, ia mesti digunakan sebagai bahasa ilmu. Maka atas prinsip ini;
  • Penulisan-penulisan karya ilmiah yang menggunakan bahasa Melayu hendaklah diperbanyakkan.
  • Semua penulisan untuk menjelaskan sesuatu bidang ilmiah (konsep, definisi, penerangan dan sebagainya) hendaklah menggunakan bahasa Melayu.
  • Perbincangan ilmiah mestilah mengutamakan istilah dan bahasa Melayu, dan
  • Sesi pengajaran-pembelajaran dan pendidikan mestilah mengutamakan bahasa Melayu sepenuhnya.
Semua saranan ini perlulah disambut dan diperkasakan oleh semua penulis, pengkarya, ilmuan, sarjana atau sesiapa saja yang bergiat dalam bidang keilmuan, agar bahasa Melayu dapat dikembalikan kewibawaannya. Ini termasuklah penulis makalah, blog atau wacana-wacana lain di internet yang hari ini banyak dirujuk oleh penguna-pengguna ruang maya.

Diharap penulisan ini akan mendapat perhatian dan sambutan yang sewajarnya daripada masyarakat, khususnya yang terbabit dengan penulisan ilmiah. Mudah-mudahan usaha untuk menjulang semula bahasa Melayu sebagai bahasa utama masyarakat akan lebih berkesan dan dapat dilaksanakan dengan jayanya.


No comments:

Post a Comment