Tuesday, August 20, 2013

Sisipan - Buku Etnosains dan Etnomatematik Alam Melayu

Sudah terbit:



Tajuk : Etnosains dan Etnomatematik Alam Melayu
Penyunting : Dr. Mat Rofa Ismail (INSPEM, UPM)
ISBN : 978-983-100-621-4
Tahun terbit : 2013
Jumlah halaman : 332
Kategori : Sejarah
Penerbit: Universiti of Malaya Press
Harga: RM64.00

Petikan sinopsis daripada laman sesawang UM Press:
Apakah sumbangan orang Melayu dalam sains dan matematik? Persoalan ini dibincangkan di bawah istilah etnosains dan etnomatematik, seperti yang diterokai oleh gabungan pengarang dalam buku ini. Sumbangan etnosains dan etnomatematik di Alam Melayu berakar umbi bersama sejarah dan budaya yang membentuk acuan ilmu yang penuh dengan sistem nilai tempatan dan serantau. Apabila rantau Melayu terjajah oleh kolonialisme Barat, maka penulisan sejarah telah berubah paradigma daripada rantau yang mempunyai tamadun yang agung kepada rantau jajahan yang menjulang tinggi budaya Barat yang memisahkan ilmu daripada nilai. Ilmu tradisi umat Melayu terpinggir dalam penulisan acuan kolonialisme, kerana secara beransur-ansur penjajahan bukan sahaja berlaku terhadap fizikal dan geografi tetapi juga sejarah, pemikiran dan minda. Ilmu yang berteraskan sains dan matematik yang lahir daripada budaya Melayu-Islam seperti mantik, penghujahan, pemikiran kefalsafahan, perdebatan sufisme, pelayaran, seni perubatan, pengiraan takwim, kalendar dan musim, seni bina, retorik dan ketatabahasaan, pancalogam, persenjataan, tenunan dan warisan yang lain, semakin terpinggir dalam penulisan umat Melayu. Pendokumentasian yang dilakukan penjajah diwarnakan oleh sistem nilai mereka di bawah paradigma kolonialisme, yang lebih memetik aspek khurafat atau kelemahan berbanding pemikiran mantik yang lebih saintifik. Hingga kini, keagungan pemikiran etnosains dan etnomatematik Melayu masih tersorok dalam lipatan sejarah, Maka, menerusi tulisan beberapa tokoh ilmuwan tempatan, sebahagian aspek tersebut dihuraikan dalam buku ini, sebagai percubaan pentakrifan domain kajian dan diharapkan akan menjadi bidang yang penting dalam epistemologi etnografi Melayu pada masa akan datang.

 p/s: Di dalamnya terdapat makalah yang saya tulis (bersama beberapa pengarang lain) :)


Monday, August 19, 2013

Mengapakah manusia dijadikan pelbagai kaum dan bangsa?

(Nota: Penulisan ini lebih merupakan pendapat peribadi berdasarkan pengamatan dan pengalaman sendiri. Ia bukannya suatu kajian ilmiah mahupun penyelidikan saintifik. Anda disarankan memikirkannya secara kritikal, itupun jika mahu, dan tidak menerimanya secara bulat-bulat apa yang dituliskan di sini)

(Gambar hiasan. Sumber)

Dalam Al-Quran, suraht Al-Hujurat, ayaht 13 yang bermaksud, "Wahai manusia! Sungguh, Kami telah menciptakan kamu dari seorang lelaki dan seorang perempuan, kemudian Kami jadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku agar kamu saling mengenal. Sungguh, yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa. Sungguh, Allah Maha Mengetahui, Maha Teliti".

Ayaht tersebut secara tersuratnya menyatakan bahawa manusia dijadikan berbilang kaum supaya saling mengenal. Saya tidak berhasrat memberi tafsiran selain terjemahan, kerana saya bukan ahli tafsir Al-Quran. 

Cuma apabila saya memerhatikan sekeliling dan cuba mendalami 'intipati' ayaht tersebut (berdasarkan terjemahannya, dan kemudian dibandingkan dengan cerapan dan berfikir), saya mendapati bahawa hikmah terjadinya pelbagai golongan manusia itu seakan lebih daripada sekadar saling kenal mengenal. Sama ada apa yang saya fahami ini merujuk kepada tafsir ayaht tersebut atau tidak, saya tidak pasti.  

Kepelbagaian golongan manusia hakikatnya didatangkan secara pakej dengan kelebihan dan kekurangan. Setiap manusia, masing-masing ada keupayaan dan ketidakupayaan yang berbeza (dan mungkin hampir sama). Selain keupayaan fizikal, keupayaan mental dan naluri juga berbeza (dan ada yang hampir sama) antara manusia. Justeru 'hikmah' penciptaan pelbagai kelompok manusia, menurut apa yang saya fahami, antaranya ialah untuk memenuhi kehendak dan keperluan sesama manusia.

Saban hari apabila berinteraksi dengan orang lain, saya dapat merasai mendapat 'sesuatu yang baharu' daripada interaksi tersebut. Kadang-kadang orang memberitahu saya suatu perkara yang tidak/belum saya ketahui. Ada masanya saya melihat orang melakukan perkara yang sama sekali tidak mampu saya lakukan. Ada pula orang yang menghadapi suatu perkara yang terlalu ekstrem sehinggakan saya kagum dengannya (kerana saya yakin saya tidak mampu menghadapi keadaan tersebut). Ada orang dapat idea, ilham dan cetusan fikiran yang tidak pernah saya terfikir, dan segala macam kelebihan lagi ada pada orang lain. Justeru dengan adanya orang lain yang mempunyai kelebihan, dapat menampung pelbagai 'kekurangan' yang ada pada diri, bahkan yang mungkin saya tidak sedari jika saya tidak berinteraksi dengan orang tersebut.

Namun kelebihan orang lain itu janganlah dieksploitasi pula untuk kepentingan diri sendiri kita semata-mata. Seharusnya kita gunakanlah pula kelebihan yang ada pada diri kita untuk membantu atau memenuhi keperluan orang lain juga jika diperlukan. Dengan adanya timbal-balik yang dilakukan dengan ikhlas, tentunya akan mewujudkan suatu set interaksi dan tindakbalas yang dapat memastikan 'sistem' hidup kita berjalan dengan baik. 

Wallahua'lam (Allah lebih mengetahui). Rajin-rajinlah belek/baca Al-Quran dan sama-samalah kita renungkan...


Friday, August 16, 2013

"Lagi besar periuk lagi banyak keraknya"


Semasa bercuti dan balik raya di kampung, saya sempat singgah membeli makanan di sebuah restoran makanan segera. Oleh kerana ramai orang, maka terpaksa beratur panjang. Sambil itu, mata saya meliar ke sekeliling melihat gelagat orang ramai yang berasak hendak membeli makanan kegemaran. 

Entah macam mana, saya tergerak hati hendak menegur seorang 'abang' yang beratur di belakang saya. Beliau memperkenalkan diri sebagai seorang pekedai yang mengusahakan kedai runcit. Lama-kelamaan banyak pula yang dibualkan. Satu ketika, 'abang' ini mula bercerita tentang pengalamannya mengusahakan perniagaannya.

Katanya dulu beliau tinggal di bandar. Kemudian kerana sukar 'cari makan' beliau pun balik ke kampung dan mengusahakan kedai runcit. Dengan modal RM1000 daripada Amanah Ikhtiar Malaysia, beliau membeli barang-barang runcit untuk dijual di kedainya. Setelah hampir 6 tahun berniaga, tanpa mendapatkan sebarang pinjaman lain, kini perniagaannya sudah dapat memberi pulangan minimum RM2000 sebulan.

Antara perkara penting yang membuatkan saya tertarik dengan cerita 'abang' ini ialah, beliau memulakan perniagaan secara kecil-kecilan. Biarpun orang lain sibuk mengata tentang pendapatannya yang kecil, beliau tak ambil pusing dan teruskan juga. Katanya biar sikit-sikit tidak mengapa.

Kerak nasi amnya tidak boleh
dimakan, maka tidak berguna. Sumber
Saya juga tertarik dengan strategi perniagaannya. Menurut cerita 'abang' ini, beliau tidak menggunakan kelengkapan yang banyak. Sebaliknya menggunakan kenderaan seperti motosikal membolehkannya mengurangkan kos. Katanya kalau beli lori banyak pula ragamnya. Ibarat masak nasi, lagi besar periuk lagi banyak keraknya. Kalau guna kenderaan kecil, kuranglah kos (beli, selenggara dll). 

Satu lagi yang menarik minat saya ialah beliau mengamalkan jualan 'by demand' dalam salah satu jualan produknya. Sepertimana strategi JIT (Just-in-time, dalam pengurusan bekalan/stok) yang diamalkan oleh syarikat-syarikat besar Jepun seperti Toyota, pekedai runcit ini membekalkan barang hanya apabila ada pesanan. Ini lebih menjimatkan berbanding pergi ke serata tempat untuk mencari pelanggan sepertimana yang dibuat oleh pesaingnya, sedangkan kos perbelanjaan itu belum tentu memberikan pulangan. Jadi dengan strategi panggil-hantar dapat membantunya menjimatkan kos operasi dan menguntungkan kerana perbelanjaan tersebut sudah pasti terjamin pulangannya.

Ringkasnya, daripada pengalaman ini, antara moral dan pengajaran yang saya dapat (macam drama pulak):
  • Ukur baju di badan sendiri. Berbelanjalah ikut kemampuan. Usah peduli sangat kata orang lain terutama yang negatif.
  • Sikit-sikit lama-lama jadi bukit. Sabar dan tekun ada ganjarannya (insya'Allah).
  • Ada banyak kaedah dalam perniagaan. Biarlah sesuai dengan keadaan dan kemampuan kita menanganinya.
  • Perniagaan yang kecil, walaupun untungnya sedikit/lambat, risiko dan beban yang ditanggung juga kecil.

Walaupun begitu, saya masih berpendapat, ada masanya prinsip 'berbelanja besar' juga berkesan dalam melaksanakan sesuatu perniagaan, kerana pastinya berpotensi menjana pulangan yang besar, sepertimana prinsip dalam perindustrian. Namun prinsip 'belanja besar' sudah tentu berisiko tinggi dan berpotensi untuk rugi. Maka sebaiknya dilakukan dalam persekitaran yang berpotensi untuk mendapat pelanggan atau pulangan. Dan lagi, perniagaan besar juga mungkin menghasilkan kesan sampingan yang besar (bak kata peruncit itu, 'besar kerak'), biarpun masih menguntungkan. Maka timbang-tara perlu bagi menilai sama ada berbaloi atau tidak untuk menanggu risiko dan kesan sampingan dengan berbelanja besar.

Bagi saya, walaupun agak singkat, pengalaman tersebut memang bermakna. Memang tak sangka. Lihatlah, daripada seorang pekedai runcit pun macam-macam yang saya dah belajar. Hal ini sedikit-sebanyak menimbulkan suatu keinsafan pada diri - macam-macam yang kita dapat belajar dengan memerhati alam sekeliling. Banyak ayaht Al-Quran yang menyuruh kita memerhatikan sekeliling. Jadi perhatikanlah, dan pelajari!

--

p/s: Hari ini 9 Syawal 1434 Hijrah. Harap-harap masih belum terlambat untuk ucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri, sebab rasanya ramai yang masih dalam 'mood' berhari raya :)




Thursday, August 01, 2013

Pengaturcaraan C/C++ dengan IDE Eclipse (Kepler)


Secara default, Eclipse digunakan untuk bina aplikasi Java. Tapi sebenarnya IDE ni boleh digunakan untuk beberapa bahasa pengaturcaraan lain. Antaranya C/C++.

Berikut ialah panduan ringkas bagaimana nak mulakan aktiviti pengaturcaraan C++ dengan IDE Eclipse (Kepler).

Mula-mula kena muat turun IDE Eclipse dan pasang. (Untuk laksanakan aplikasi Eclipse perlu ada JRE - Java Run-time Environment. Kalau belum ada, kena muat turun dulu daripada laman web Oracle. Sekarang dah versi 7.*)

Juga pastikan ada pakej pengkompil C++ sebab Eclipse cuma sediakan persekitaran penyuntingan. (Kalau belum ada boleh muat pakej yang percuma, antaranya gcc. Untuk Windows boleh guna pakej MinGW)

Laksanakan Eclipse.

Sekarang muat turun Add-on C/C++ Development Tools SDK. Caranya,

  1. Dalam aplikasi Eclipse, cari menu Help > Install new software ... .
  2. Di ruangan Work with, pilih -All available sites-. Daripada senarai pakej yang muncul, cari Programming languages
  3. Tandakan pada checkbox C/C++ Development Tools SDK
  4. Klik butang Next.
Bila proses pemasangan dah selesai restart Eclipse (aplikasi akan tanya).

Tengok di bahagian atas sebelah kanan. Ada ikon 'C/C++'. Klik untuk guna 'perspektif' C/C++ (default ialah Java).

Bina projek C/C++ baharu.

Apabila projek baharu dah siap, jangan Build/Run dulu sebab tak keluar dalam tetingkap konsol.

Kena pasang run-time library dulu.

  1. Klik kanan pada nama projek (dalam Project Explorer). Pilih Properties (terbawah dalam menu).
  2. Klik pada C/C++ Build > Settings.
  3. Lihat pada senarai Settings sebelah kanan. Klik pada MinGW C++ linker > Miscellaneous.
  4. Taip flag options berikut pada ruangan Linker flags:   -static-libgcc -static-libstdc++
  5. Klik OK.

Bila dah selesai, boleh cuba Build/Run program C++ yang disediakan. Tengok sama ada output daripada arahan cout muncul pada tetingkap console pada bahagian bawah IDE.

Kadang-kadang bahagian console tu paparkan maklumat Build. Klik kanan pada ikon skrin monitor, dan pilih aplikasi C++ yang dilaksanakan tadi untuk tengok paparan outputnya.

Macamana? OK?

Susah? Ini kira dah senanglah berbanding kena cari sendiri semua maklumat ni.

Selamat mencuba!