Friday, November 18, 2011

Bahasa Melayu bahasa wacana ilmu - perspektif TMK

Apa yang pentingnya bahasa Melayu kepada bidang teknologi maklumat dan komunikasi (TMK)? Kenapa pengamal TMK perlu gunakan bahasa Melayu? Bukankah lebih mudah menggunakan bahasa Inggeris?

Soalan-soalan ini pastinya akan ditanya apabila seseorang cuba mencadangkan penggunaan bahasa Melayu dalam bidang TMK. Bidang TMK merupakan suatu bidang yang berkait rapat dengan sains dan teknologi (S&T). Amnya bidang teknologi ialah antara bidang yang sangat pantas berkembang dewasa ini. Manakala bidang sains pula kurang sedikit tahap perkembangannya, tetapi bidang ini juga sentiasa berkembang dengan penemuan-penemuan dan pembentukan formulasi yang baharu. Justeru, bagi mana-mana bahasa yang ingin digunakan sebagai wacana kepada bidang-bidang ini perlulah mampu untuk berkembang seiring dengan perkembangan bidang tersebut. Begitu juga kepada bidang TMK.

Dalam aspek pemilihan bahasa untuk wacana ilmu, terdapat beberapa bahasa yang diutamakan. Amnya bahasa Inggeris sudah dianggap salah satu bahasa utama di dunia pada masa kini. Bahasa Inggeris semakin mendapat tempat dalam kalangan pelbagai lapisan masyarakat, dalam pelbagai bidang. Bahkan penggunaannya merentasi pelbagai bangsa, walaupun mereka itu bukan Inggeris. Jadi tidak hairanlah ia termasuk sebagai wacana pilihan yang utama dalam perbincangan ilmu. Melalui sokongan dan minat pelbagai lapisan masyarakat membolehkan bahasa Inggeris berkembang. Setiap penemuan, konsep, formula atau apa saja yang baharu akan tercipta istilahnya dengan pantas kerana ramai yang memberi sokongan. Ini lebih mendorong bahasa Inggeris digunakan untuk wacana bidang S&T mahupun TMK.

Namun berlainan pula halnya dengan bahasa Melayu. Hari ini bahasa Melayu dipandang sepi dalam bidang S&T. Bahkan dalam kalangan orang Melayu sendiripun rasa segan-silu untuk menggunakan bahasa Melayu dalam perbincangan dan wacana ilmu. Apatah lagi dalam bidang yang berkembang pesat seperti S&T dan TMK.

Hal ini tidak perlu dihairankan. Ia berlaku kerana sikap dan minat terhadap bahasa Melayu sebagai wacana yang sarat dengan nilai ilmu S&T adalah sangat lemah atau rendah, hatta di kalangan orang Melayu. Bahkan dalam pertimbangan memilih antara bahasa Melayu dan Inggeris untuk membincangkan ilmu S&T, umum pastinya akan memilih bahasa Inggeris. Lebih teruk lagi, pemimpin negara pun turut menjadikan dasar "bahasa Inggeris bahasa ilmu" sebagai dasar pendidikan untuk bangsa Melayu! Natijahnya, semakin pupuslah minat terhadap bahasa tersebut (kalaupun tidak bahasa itu sendiri yang pupus).

Melihat kepada pengutamaan bahasa Inggeris dan 'pelupusan' bahasa Melayu sebagai bahasa utama untuk wacana ilmu, maka amat wajar sekiranya diketengahkan kepentingan dan kelebihan bahasa Melayu sebagai wacana ilmu. Justeru penulisan ini dilakukan, bertujuan membincangkan hal-hal berkaitan kepentingan bahasa Melayu dalam pengembangan dan perbincangan bidang TMK dan secara amnya S&T.

Walaupun belum terbukti, bahasa Melayu ditegaskan oleh Prof Syed Naquib Al-Attas sebagai bahasa yang kedua paling rapat dengan Islam selepas bahasa Arab. Bagi Prof Shaharir Mohd Zain pula (seorang ahli matematik fizik yang juga pejuang bahasa), bahasa merupakan faktor kepada keterlestarian sesebuah tamadun. Maka dalam memastikan kelestarian tamadun dan bangsa Melayu, bahasa Melayu haruslah diutamakan. Bahasa juga dikatakan sarat nilai. Bagi bahasa Melayu, ia sebenarnya menggambarkan pemikiran orang Melayu. Maka secara tidak langsung, wacana ilmu untuk orang Melayu semestinyalah bahasa Melayu kerana ia sesuai dengan pemikiran bangsanya.

Sebagai pengamal bidang TMK, penulis melihat kepentingan bahasa Melayu kerana ia tidak kurang hebatnya berbanding bahasa-bahasa lain yang digunakan sekarang, hatta bahasa utama seperti bahasa Inggeris. (Itupun jika bahasa Melayu itu bukan lebih hebat daripada bahasa-bahasa lain.) Berdasarkan pengamatan dan kajian penulis, makna yang boleh diwakili oleh bahasa Melayu itu cukup banyak. Bahasa Melayu boleh dikembangkan melalui penciptaan istilah-istilah baharu secara tersusun kerana proses pembentukannya adalah seragam dan menurut peraturan-peraturan yang khusus. Apatah lagi bahasa Melayu juga mempunyai pelbagai jenis dialek yang secara tidak langsung meluaskan perbendaharaan katanya.

Selain proses pembentukan kata, penulis mendapati morfologi (kajian berhubung kata/perkataan) bahasa Melayu terdiri daripada pelbagai bentuk/struktur perkataan yang tersusun rapi. Meskipun ada sebilangan kecil masalah seperti kekecualian rumus, ketaksaaan (ambiguity) dan hal-hal lain, namun penulis dapat mengamati bahasa Melayu sebenarnya tertubuh pada sebuah struktur yang teguh. Maksud penulis, jika bahasa Melayu itu merupakan bahasa yang lemah, bersifat add-hoc ataupun dibentuk secara sembrono, maka bentuknya tidak akan jadi sedemikian. Bahkan strukturnya tunggang-langgang, tidak seragam dan sukar membentuk model pembentukannya.

Berdasarkan hal ini, bahasa Melayu jelas berpotensi dalam aspek pembawaan makna. Bahkan keupayaannya dapat berkembang jika diberi sokongan yang mantap. Sokongan ini termasuklah dalam aspek penciptaan istilah, penyebaran dan pengutamaannya sebagai bahasa pendidikan (wacana ilmu), serta penggunaannya di kalangan masyarakat yang mengamalkannya.
Sepertimana pandangan yang menganggap bahasa Melayu lebih dekat dengan ilmu agama (Islam), bahasa Melayu juga boleh dianggap sesuai untuk TMK.

Jadi
apa yang kurangnya dengan bahasa Melayu? Tiada. Bahkan sekiranya bahasa Melayu dikembangkan lagi melalui kajian-kajian linguistik yang baharu, tidak mustahil bahasa ini akan dapat mengatasi populariti bahasa utama dunia yang lain, khususnya bahasa Inggeris. Faktor yang menjadi punca kepada masalah kemerosotan bahasa Melayu ialah sambutan yang kurang diberikan oleh masyarakat dunia. Bahkan orang Melayu turut meminggirkannya. Sedangkan jika dibiasakan maka tidak mustahil bahasa Melayu akan jadi lebih sesuai berbanding bahasa Inggeris mahupun bahasa-bahasa yang lain.



No comments:

Post a Comment