Saturday, June 03, 2017

Zaum - bahasa emosi


Istilah zaum, merujuk kepada eksperimen linguistik dalam simbolisme bunyi dan penciptaan bahasa oleh penyajak 'futuris' empayar-Rusia seperti Velimir Khlebnikov dan Aleksei Kruchenykh. Istilah zaum ini diilhamkan oleh Kruchenykh, yang menggabungkan dua prefiks dalam bahasa Rusia iaitu za- (melampaui, di belakang) dan um- (minda, nous=kebijaksanaan), yang membawa maksud bahasa rentas-rasional dan tidak mempunyai maksud yang khusus (wikipedia-zaum)

Istilah ini belum pernah saya dengar sebelum ini. Saya cuba membayangkan sekiranya wujud bahasa sebegini (yakni dianggap sebagai suatu bentuk bahasa) bagaimana hendak menjelaskan maknanya kerana bahasa itu sendiri direka untuk tidak merujuk kepada makna yang khusus? Zaum dikatakan bukan menjelaskan simbol atau makna sebaliknya bahasa emosi. Ulasan ke atas karya penulisan Franco Berardi juga menarik kerana mengaitkan potensi zaum dengan aplikasi telepati dan alam maya (virtual reality).


Rujukan:

Wikipedia. URL- https://en.wikipedia.org/wiki/Zaum. Dirujuk pada 3 Jun 2017.

Universiti - tempat mendidik atau menghukum?



Hukuman tembak ke atas pesalah jenayah. Jangan jadikan universiti sebagai tempat menghukum pelajar
(Sumber foto : internet)


Apabila seseorang individu mendaftar masuk ke universiti, pastinya mempunyai matlamat dan niat yang tertentu. Matlamat atau niat ini boleh jadi pelbagai. 

Amnya apabila seseorang mendaftar ke universiti yang merupakan sebuah institusi pendidikan, sekurang-kurangnya seseorang itu perlu ada matlamat untuk menimba ilmu berkaitan bidang yang diminati atau ingin diceburi. Misalnya kalau seseorang mendaftar ke dalam bidang pengajian sains komputer, antara kemahiran yang ingin (perlu) dipelajari ialah kemahiran pengaturcaraan komputer. Maka apabila tamat pengajiannya selepas 3-4 tahun, pelajar tersebut sepatutnya sudah mahir atau tahu tentang cara mengaturcara komputer. Justeru apabila seseorang belajar di universiti maka dia sepatutnya ada niat dan matlamat ingin jadi orang yang mahir atau pandai dalam bidang yang diceburinya.

Apakah cara menentukan sama ada seseorang itu sudah mahir atau pandai? Untuk menilai hal ini, maka perlu dilakukan proses penilaian. Apakah matlamat proses penilaian? Penilaian bermatlamat untuk menilai sama ada pelajar tersebut sudah mencapai tahap yang sepatutnya ataupun belum. Sekiranya pelajar BERJAYA melepasi tahap minimum, pelajar ini dianggap SUDAH mahir dalam topik yang dipelajarinya. Jika GAGAL melepasi tahap minimum pelajar ini dianggap BELUM mencapai tahap mahir, justeru dia perlu mengulang semula proses pembelajaran dan ujian sehinggalah dia berjaya mencapai atau melepasi tahap minimum yang ditetapkan. Jika pelajar masih gagal dan tidak sanggup meneruskan (mengulang) pengajiannya, maka dia boleh berhenti dan mencuba di tempat lain.

Sebagai sebuah institusi pendidikan, universiti perlu melaksanakan proses pembelajaran dan penilaian untuk memastikan setiap individu yang belajar di universiti ini mahir dalam bidang yang dipelajari. Universiti seharusnya memberi ruang dan peluang kepada pelajar untuk menjadi seorang individu yang mahir dan pandai apabila bergraduat kelak. Maka dengan cara ini tercapailah matlamat individu tersebut datang dan belajar di universiti iaitu untuk menjadi mahir dan pandai. Universiti seharusnya menjadi tempat untuk belajar sesuatu, dan tidak sepatutnya menjadi institusi untuk menghukum orang. Jika tidak, ibaratnya universiti sama seperti institusi pemulihan dan penjara. 

Bagaimana yang dikatakan universiti itu boleh menjadi tempat menghukum? 

Pertamanya dalam konteks pembelajaran. Manusia ada pelbagai sifat dan tahap kemahiran. Ada sesetengah orang yang cepat mempelajari sesuatu. Ada sesetengahnya pula lambat atau perlu melalui proses ulangan (mungkin banyak kali) sebelum faham sesuatu. Tidak dinafikan, pasti akan ada individu yang menghadapi masalah untuk mempelajari sesuatu dan mungkin tidak mampu langsung memahami apa yang dipelajari. Justeru sebagai sebuah institusi pembelajaran, proses pembelajaran di universiti perlu mengambilkira perbezaan kemampuan penguasaan pelajar. Suasana pembelajaran yang fleksibel perlu diberikan supaya pelajar boleh memilih proses pembelajaran yang sesuai dengan tahap penguasaan masing-masing.

Malangnya dalam konteks ini, ada sesetengah universiti yang memaksa pelajar melalui satu bentuk proses pembelajaran saja. Proses pembelajaran yang rigid dan tidak fleksibel ini memaksa pelajar menerima apa saja yang diberikan. Kemudian pengajar pula tidak menawarkan bantuan perbincangan dan sebagainya. Ini bukan saja satu bentuk kongkongan kepada kebebasan pelajar untuk memilih bahkan tidak menjamin pelajar akan dapat memahami apa yang dipelajari. Ini sekaligus meningkatkan risiko stress dan tekanan kepada emosi pelajar, dan seterusnya meningkatkan lagi halangan kepada pelajar untuk belajar. Jadi kalau pelajar rasa susah, tidak seronok dan menderita untuk belajar, bukankah ini sudah jadi satu bentuk hukuman?

Keduanya ialah dalam konteks penilaian. Ujian penilaian dan peperiksaan digunakan sebagai satu cara menilai tahap penguasaan pelajar pada satu-satu masa. Misalnya di hujung semester, pelajar akan dinilai dengan peperiksaan akhir untuk menentukan pelajar sudah mahir dalam ilmu yang diajar dalam suatu kursus bagi semester tersebut. Ujian penilaian ini menggunakan kaedah penilaian tertentu, amnya menggunakan soalan yang digubal oleh pengajar dan perlu dijawab oleh pelajar dalam tempoh masa yang ditetapkan. 

Di sini dapat dilihat terdapat pelbagai faktor kekangan dan had bagi ujian penilaian. Antaranya faktor bentuk soalan, iaitu bentuk soalan itu belum tentu benar-benar mencapai piawaian. Ada soalan-soalan yang digunakan sukar difahami oleh pelajar, mengandungi kesilapan yang terlepas pandang sewaktu semakan, tidak mencapai tahap sepatutnya, dsb. Ada pengajar yang tidak mempunyai pengalaman dan belum mampu untuk membentuk soalan penilaian yang tepat.

Masa menjawab soalan pula perlu sesuai dengan proses menjawab. Ada soalan yang perlu dibaca dengan teliti untuk difahami. Kemudian memerlukan masa untuk menulis jawabannya. Kalau pelajar boleh cepat faham soalan, maka banyaklah masa untuk menulis jawaban. Tetapi kalau masa yang panjang diperlukan untuk memahami soalan, maka sudah kurang masa yang ada untuk menulis jawaban. Proses menjawab soalan, jika berdasarkan model oleh Ayesha Ahmed dan Politt (1999) perlu melalui 6 peringkat - (0) pengetahuan mata pelajaran, (1) kefahaman soalan, (2) mencari pengetahuan mata pelajaran, (3) memadankan perwakilan soalan dengan pengetahuan mata pelajaran, (4) menjana jawapan, dan yang terakhir (5) menulis jawapan. Jika berdasarkan model ini, ada 6 peringkat yang perlu diselesaikan untuk menulis jawaban bagi setiap soalan dalam ujian penilaian! [*1]

Bahkan lebih mendukacitakan lagi sistem penilaian kita pula menggunakan gred - A, B, C, D, F (kenapa tiada E?). Jika A, pelajar dikategorikan cemerlang, B = pencapaian baik, C = memuaskan, D = lulus. F pula gagal. Beza antara D dan F mungkin jelas. Lulus atau gagal. Namun persoalan yang perlu ditanyakan, apakah perbezaan kemahiran antara pelajar yang mencapai A dengan B? Bagaimana pula beza C dengan D? Adakah perbezaan ini relevan? Adakah soalan-soalan penilaian kita itu benar-benar dapat mengkelaskan pelajar ke dalam kategori cemerlang, pencapaian baik, memuaskan dan sekadar lulus? Tetapi budaya masyarakat kita akan melihat A itu ialah satu-satunya pencapaian yang LULUS. Jika tak dapat A, tetap dianggap gagal. Bukankah ini satu hukuman? Dan lebih malang jika hukuman itu tidak setimpal dengan kesilapan yang dibuat (cth. tidak sempat menulis jawaban kerana masa singkat).

Jika diambil kira bahawa proses penilaian itu sendiri dipengaruhi oleh pelbagai faktor luaran selain penguasaan pelajar terhadap topik, maka adalah tidak wajar sekiranya penilaian penguasaan pelajar hanya dibuat berdasarkan keputusan proses penilaian semata-mata. Namun itulah yang sedang berlaku dalam universiti pada hari ini.

Justeru kita perlu pastikan bahawa proses pembelajaran dan penilaian itu tidak menjadikan universiti sebagai tempat menghukum dengan mengelakkan menjatuhkan hukuman yang tidak adil kepada pelajar. Sebaliknya 2 proses tersebut seharusnya dijadikan saluran untuk membentuk pelajar supaya sentiasa bersemangat untuk menimba ilmu dan memanfaatkan potensi yang diri sebaik mungkin agar pelajar dapat membentuk pengetahuan dan kemahiran yang diperlukan atau diingininya.

Dalam perbincangan di atas, saya hanya fokus di universiti kerana saya juga terlibat (dan tak mustahil turut menyumbang kepada masalahnya, muhasabah...). Namun saya yakin hal ini boleh berlaku di institusi pendidikan lain termasuk di peringkat prasekolah dan sekolah. Misalnya Foo Lay Kuan, et al. (2015) turut menyenaraikan masalah berkaitan menjawab peperiksaan yang dihadapi di peringkat sekolah menengah. Justeru eloklah kalau dapat direnungkan bersama agar kita tak tersalah menghukum.


----
Nota kaki:

[*1] Model ini juga digunakan untuk menilai tahap kesukaran murid menjawab soalan ujian literasi sains sekolah menengah. Rujuk Foo Lay Kuan, et al. (2015).

Rujukan:

Ayesha Ahmed & Politt A. (1999) Curriculum demands and question difficulty. Paper presented at the International Association for Educational Assessment, Bled, Slovania.

Foo Lay Kuan, S. Balasubramaniam, Chin Phoi Ching, Yeoh Poh Choo, Parvinder Singh Amar Singh (2015) Kesukaran murid menjawab soalan ujian literasi sains sekolah menengah. IPG Kampus P. Pinang, Penang.