Thursday, November 17, 2011

Kenapa pelajar perlu menulis bahan ilmiah?

Sebelum ini saya pernah menulis tentang kenapa kita (masyarakat) perlu menulis bahan-bahan bertulis / rujukan ilmiah (Rujuk Sini).

Namun di ruangan ini, saya ingin memberi pandangan kenapa pelajar universiti pula WAJIB menulis penulisan ilmiah. Ini memandangkan saya sendiri pernah menjadi pelajar universiti dan kini mengajar pula pelajar universiti (kadang-kadang saja), maka bolehlah saya merasai akan kepentingan tersebut.

Amnya penulisan ilmiah bukanlah asing bagi pelajar universiti (saya gelar pelajar saja). Ini kerana sekurang-kurangnya sekali bagi seluruh pengajian (sarjana muda, diploma) pelajar terpaksa menghasilkan sebuah penulisan, amnya dipanggil sebagai laporan projek tahun akhir. Bagi pelajar PhD dan sarjana pula biasanya berbentuk tesis (formatnya lebih kurang sama, tahap kandungannya saja berbeza). Manakala sesetengah pensyarah atau pengajar akan menugaskan pelajar menghasilkan laporan tugasan tertentu bagi subjek-subjek yang mereka ajar, justeru mempengaruhi markah keseluruhan bagi subjek-subjek yang dipelajari.

Jika dilihat keperluan ini, maka seharusnya pelajar mempunyai kemahiran menghasilkan penulisan berbentuk ilmiah. Jika tidak maka kemungkinan besar mereka menghadapi masalah menulis laporan yang berkualiti, sekaligus memberi pulangan markah yang rendah. Lainlah kalau pelajar itu memang berbakat semulajadi menulis, tidak perlu berlatih tetapi masih mampu menulis dengan baik. Namun yang berbakat selalunya amat jarang ditemui terutama untuk penulisan ilmiah dan teknikal, melainkan disertai dengan latihan yang berterusan.

Selain sebab di atas, pelajar universiti amnya ialah golongan intelektual. Dalam tangga sosial atau masyarakat, golongan intelektual ialah golongan yang terhormat. Biasanya mereka akan menduduki paras profesional seperti pentadbir, pengurus, ketua atau lain-lain golongan atasan. Bagi golongan ini, mereka seharusnya mampu menyusun atur hasil pemikiran, idea, arahan, panduan atau apa saja bentuk maklumat yang mereka hasilkan untuk disampaikan kepada orang lain.

Penulisan ilmiah merupakan suatu hasil kerja yang tersusun, yang bertujuan menyampaikan maklumat yang berguna kepada orang lain untuk disebar supaya diketahui, dipelajari dan difahami. Penulisannya pula khusus menggunakan format yang tertentu. Amnya penulisan ilmiah memerlukan kita (penulis) menulis semua maklumat-maklumat yang ingin disampaikan dalam bentuk yang tersusun kemas, serta mudah dirujuk oleh orang lain. Selain itu kita juga perlu menulis mengikut format sesuatu penulisan ilmiah - esei, laporan, tesis, ulasan dan sebagainya.

Berdasarkan keperluan sebagai intelektual dan bentuk penulisan ilmiah yang dapat membantu penyampaian maklumat secara berkesan, maka wajarlah seorang bakal intelektual iaitu pelajar menulis bahan-bahan rujukan ilmiah. Ini kerana selain melatih diri untuk menyampaikan maklumat secara berkesan, penulisan ilmiah itu sendiri boleh menjadi rujukan kepada orang lain yang menghargai penulisan tersebut. Oleh yang demikian, pelajar itu secara tidak langsung menyumbangkan sesuatu kepada pembangunan dan pendidikan masyarakat.

Oleh itu, adalah diharapkan pelajar dapat berazam untuk melatih diri menghasilkan sebanyak mungkin penulisan ilmiah. Selain memanfaatkan keupayaan dan kebijaksanaan yang Allah beri pada kita, penulisan membolehkan kita meningkatkan lagi kemahiran diri, serta memberi sumbangan ilmiah kepada masyarakat.


No comments:

Post a Comment