Tuesday, December 20, 2011

Mahasiswa - beradablah sikit!

Saya tertarik untuk mengulas beberapa tindakan mahasiswa dalam arus politik negara kebelakangan ini. Amnya tindakan tersebut digerakkan oleh sebuah pertubuhan mahasiswa yang menggelarkan diri mereka Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM). Isu yang diperjuangkan oleh mereka ialah berkaitan dengan pemansuhan AUKU (Akta Universiti dan Kolej Universiti) dan 'Kebebasan akademik'.

Isu ini sudah lama. Justeru membuatkan saya terfikir - mengapa SMM beriya-iya benar membangkitkan isu-isu ini sekarang, mengapa sekarang, dan untuk siapa?

Jika kita amati situasi politik semasa, saya melihat 'perjuangan' SMM lebih kepada memperjuangkan kepentingan segelintir 'orang politik'. Bermula dengan penggantungan tugas Profesor Aziz Bari, dan yang terkini demonstrasi jalanan serta acara menyerahkan memorandum di PWTC. Apa yang jelas, tindakan mereka lebih merupakan suatu provokasi untuk mencetuskan polemik. Polemik ini bukanlah menuju kepada isu yang dilaungkan, sebaliknya lebih kepada mengalih tumpuan rakyat daripada beberapa isu besar yang melanda politik negara masa kini. Hal ini lebih ketara apabila aktiviti jalanan SMM ini selalunya disertai segelintir pemimpin politik pembangkang. Jelas bahawa tindakan SMM bukanlah untuk membantu mahasiswa mahupun dunia akademik dalam erti kata yang sebenar!


Namun insiden yang ingin diulas di sini ialah tindakan segelintir mahasiswa (seorang daripadanya dikenali sbg sdr Adam Adli, mahasiswa UPSI) yang bertindak menurunkan bendera dengan potret YAB Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak yang dikibarkan di PWTC, dan menggantikannya dengan bendera SMM. Bayangkan seorang mahasiswa, yang belajar di institusi pendidikan guru yang tertua di Malaysia, boleh melakukan sedemikian? Apakah agaknya yang akan dilakukan selepas bertugas sebagai guru nanti?

Tindakan sedemikian (menurunkan bendera dan menggantikannya), kepada mahasiswa terbabit mungkin dianggap sekadar tindakan nakal. Namun apabila ia membabitkan pemimpin negara dan maruah beliau sebagai pemimpin, perbuatan sedemikian sudah dianggap biadap dan kurang ajar. Hal ini pada saya, boleh menjatuhkan maruah YAB PM dan tidak sepatutnya dilakukan oleh seorang mahasiswa mahupun sebagai rakyat yang seharusnya mempunyai semangat patriotik. Kepada seorang intelek, jika tidak sehaluan dengan YAB PM, UMNO mahupun kerajaan sekalipun, masih ada ruang-ruang tertentu yang boleh digunakan untuk meluahkan ketidakpuasan hati. Tetapi bukan cara sebegini!

Apa salah YAB PM sehingga diperlakukan sedemikian? Kita perlu ingat kedudukan kita sebagai bangsa Melayu yang mempunyai adab dan adat resam. Adab Melayu sentiasa menghormati pemimpin. Dalam Islam pun kita ditekankan supaya beradab dan berakhlak dengan pemimpin atau golongan yang lebih tua. Apatah lagi jika kita sudah bergelar mahasiswa yang belajar di universiti, dan menuntut pula daripada golongan intelektual (Dr, Profesor, dsb.)! Apa ilmu yang kita pelajari? Orang tua-tua ada berpesan - ikutlah resmi padi, makin berisi makin tunduk.

Saya juga kesal apabila sdra Adam dan rakan-rakannya daripada SMM berkeras tidak mahu memohon maaf terhadap tindakan mereka. Ini juga satu 'kesilapan besar' yang jelas menunjukkan mahasiswa kita masih kurang nilai dan pengisian akhlaknya. Dalam hal ini, sebagai mahasiswa kenalah berfikir matang dan mengutamakan adab kita terhadap pemimpin. Seorang pemimpin yang berkaliber akan sedia menanggung kesalahannya dan bersedia memohon maaf jika benar dia silap. Dalam hal ini jelas sdra Adam dan SMM bersalah. Maka tidak ada salahnya memohon maaf, kerana itulah sikap orang bermaruah.

Namun saya bukanlah ingin memburukkan sesiapa. Cuma saya ingin menasihatkan diri saya, mahupun semua mahasiswa dan golongan akademik, kita adalah golongan intelektual yang menjadi harapan masyarakat untuk menjadi pemimpin. Maka akhlak, adab dan nilai murni perlu diamalkan sebaiknya. Kalau ini pun tidak mampu kita amalkan, jangan haraplah kita mampu melakukan sesuatu yang lebih sukar.

Apa kata kita renung-renungkan nasihat Tun Mahathir dalam video di bawah:




Sumber foto: KL-Today.