Tuesday, July 16, 2013

Kalau dah jodoh ...

Jodoh dan pertemuan adalah ketentuan Allah Taala. Tiada siapa yang dapat menjangka apa yang akan berlaku pada masa depan. Kalau dah jodoh lambat-laun akan bertemu juga...

Eh, kenapa pula bercakap tentang jodoh ni? Sebenarnya topik utama penulisan ini bukanlah tentang jodoh. Cuma waktu hendak menulis, teringat siri 'Kalau dah jodoh...' kelolaan UKE di Astro OASIS. Bukan apa, harap-harap bila tajuknya 'catchy' adalah pembacanya hehehe. (UKE ialah Ustaz Kazim Elias. Nak tahu mengapa beliau popular? Cubalah tonton di Astro atau cari di Youtube.)

Penulisan ini bukannya hendak memfokus soal 'jodoh' tetapi soal 'rezeki' (dekat-dekatlah tu). Mungkin ada kalangan kita yang pernah atau sedang menghadapi masalah atau dilema seperti ini - 
"Kenapalah sampai sekarang aku tak boleh nak mahir dalam hal ini? Walhal aku tengok orang lain mudah saja nak buat. Tension betullah!"
Anda pernah? Hal ini boleh berlaku jika kita menghadapi keyakinan diri yang rendah, atau tidak nampak kelebihan diri kita. Mungkin juga sebab hal lain.

Apapun sebabnya, ia harus ditangani kerana jika kita gagal menangani masalah / dilema ini, maka boleh mendorong sikap pesimis dan rendah diri kerana tidak 'sehebat' orang lain. Sikap yang negatif hanya akan menenggelamkan 'kelebihan' yang kita ada. Akhirnya akan menyebabkan kita putus asa dan tidak bangga dengan diri sendiri. Lebih buruk lagi, kita mungkin akan dilanda kerunsingan, kebimbangan, bahkan mungkin juga kemurungan.

Jika kita ada masalah / dilema ini, satu cara menanganinya (ya, mungkin ada cara lain) ialah dengan melihat 'masalah' dari sudut pandangan yang positif. 

Pernah dengar 'cara lihat gelas berisi air'? Kalau kita ada sebuah gelas yang separuh terisi dengan air, kita mungkin melihat 'gelas itu separuh kosong'. Tapi dari sudut pandang yang berbeza, kita juga boleh kata 'gelas itu separuh terisi'. Hal yang sama, tetapi dengan perspektif berlainan memberi konotasi yang berbeza. Jika 'separuh kosong', maka kita akan rasa kekurangan. Tapi kalau kita menganggapnya 'separuh terisi' maka kita menganggapnya ada sesuatu. Maka dalam hal memotivasi diri, pandangan yang kedua inilah yang penting iaitu 'mempunyai sesuatu'.

Dalam konteks melihat keupayaan diri secara positif, kita tidak seharusnya terikat dengan hanya membandingkan diri kita dengan kelebihan orang lain dan cuba menyainginya. Ada masanya keupayaan orang lain tidak ada pada diri kita. Kita cuba sekuat manapun tidak juga membuahkan hasil. Akhirnya mendorong kita merasai 'kekurangan' itu dan marahkan diri sendiri.

Benar, dalam situasi tertentu, ada yang memerlukan kita menyamai orang lain. Misalnya seorang pelajar perlu mencapai markah yang tinggi dalam peperiksaan kerana itu cara standard menilai 'kepandaian'. Kalau tidak, pelajar itu dianggap tidak cemerlang dan dipandang rendah. Namun hakikatnya ada juga pelajar yang memang tidak mahir. Walaupun diajar atau cuba memahami pelajaran yang diajar, dia tidak mampu. Kalau kita terikat dengan cara standard, maka bilakah agaknya pelajar ini akan ada kelebihan atau menyamai pelajar lain? Kalau kita yang jadi pelajar itu, sanggupkah kita dipaksa dan didesak untuk melakukan sesuatu yang tidak mampu (kita andaikan pelajar itu memang tidak mampu melakukannya).

Jadi kalau dah tak mampu, bagaimana? Maka cuba elakkan terlalu fokus pada 'kekurangan' itu. Sebaliknya cuba lihat kelebihan diri kita (iaitu kita ada 'sesuatu'), dan cuba sesuaikan kelebihan kita itu supaya setara atau sepadan dengan kelebihan orang lain. Dengan cara ini kita tidak akan rasa rendah diri kerana walaupun kita tidak dapat menyamai keupayaan orang lain, kita masih ada 'sesuatu' yang kita mampu lakukan. 

Misalnya sebagai pelajar yang kurang mahir, maka kenalah kenal pasti kelebihan kita yang berkaitan dengan pelajaran. Kita mungkin tidak cemerlang dalam peperiksaan, tapi dalam bidang tertentu, kemahiran lebih dititikberatkan. Jadi kalau kita ada kemahiran, asahlah kemahiran itu supaya boleh menggantikan 'markah yang rendah'. Setidaknya adalah sesuatu yang boleh buat orang menghargai kita. Begitu juga kalau kita seorang pensyarah, penyelidik, jurutera, dsb., carilah kelebihan diri yang berkaitan dengan bidang kita itu. Neymar dan Messi tidak pernah masuk universiti. Tetapi hari ini seluruh dunia kenal mereka sebagai pemain bola sepak yang handal. Bergaji lumayan pula!
Mulai sekarang, hargailah apa yang kita ada. Dah itu rezeki kita...

Kemaskini (17 Julai 2013)

Nota:
Penulisan ini mencadangkan kaedah alternatif dalam menghadapi situasi / dilema yang dinyatakan. Tapi ia bukanlah suatu alasan untuk tidak mencuba bersungguh-sungguh atau cepat berputus asa. Kadangkala kita gagal dalam sesuatu kerana kita tidak bersungguh-sungguh dan salah cara dalam melakukannya. Mungkin dengan lebih usaha kita boleh berjaya. Dalam hal ini kenalah terus berusaha. Cuma dalam keadaan tertentu di mana kita yakin telah mencuba bersungguh-sungguh dan masih gagal, barulah kita cuba kaedah alternatif tersebut agar kita tidak tertekan dengan masalah dan masih boleh berjaya dengan kelebihan kita. Setiap kelebihan yang kita miliki tidak harus dipersiakan, dan hendaklah perbanyakkan syukur kepada Allah S.W.T. atas anugerah tersebut.