Thursday, April 19, 2012

Hubungkait 5-if

Saya mendapati terdapat hubungkait antara 4-if, di mana hasil tambahnya menghasilkan '-if' yang ke-5:

Imaginatif
+
Kreatif
+
Inisiatif
+
Inventif
=
Impresif



p/s: Idea asal formula ini tercetus setelah terbaca formula ('imagination' + 'creation' -> 'innovation') yang diselitkan di dalam buku 'Imagination First'. Link

Wednesday, April 11, 2012

Menghargai diri

Kadang-kadang apabila kita melihat orang lain, pernah tak terlintas di fikiran kita, "Kan bagus kalau aku macam dia..."? Pada pandangan kita, orang yang kita pandang itu tentunya 'lebih baik' dalam sesuatu aspek. Contohnya kita merasakan orang itu lebih hebat daripada kita, lebih pandai, lebih kaya, lebih rileks dan pelbagai macam 'kelebihan' yang kita rasa ada pada orang itu. Mungkin juga kita memiliki 'kekurangan' tertentu, yang membuatkan kita rasa lebih bertuah menjadi orang lain.

Namun, di sebalik rasa 'cemburu' kita pada seseorang, mungkin ada baiknya kita melihat kelebihan yang ada pada kita dahulu. Ini kerana Allah S.W.T. itu Maha Kaya, Maha Mengetahui dan Maha Berkuasa. Jadi apa saja yang dicipta oleh Allah S.W.T. itu ada hikmah dan kepentingannya yang tersendiri. Termasuklah kita. Jadi mustahil kalau kita ini tidak mempunyai apa-apa pun yang melebihkan kita daripada ciptaan Allah yang lain!

Tapi apa kelebihan diri kita? Mungkin kita akan kata, "Mana kelebihan aku? Semuanya orang lain ada". Soalnya siapa diri kita yang hendak menilai kelebihan dan kekurangan diri? Betulkah semua yang kita nampak pada diri kita itu kekurangan? Atau mungkinkah ia sebenarnya suatu kelebihan? Belum tentu 'kekurangan' kita itu suatu kekurangan. Sebaliknya, ia mungkin suatu kelebihan yang kita tidak sedar. Bahkan ada masanya sesuatu kekurangan itu boleh diubah menjadi kelebihan bagi seseorang yang mempunyai semangat dan sikap kreatif yang tinggi.

Sebagai contoh, kita mungkin seorang golongan OKU kerdil. Orang kerdil memang nampak berbeza daripada insan lain kerana 'tidak cukup tinggi' dan nampak seperti kanak-kanak walaupun usianya sudah 50 tahun. Tapi adakah itu memang suatu kelemahan/kekurangan? Bagi generasi 90-an ke atas, mungkin tidak kenal siapa 'Pakcik Jamal'. Allahyarham pakcik Jamal pernah jadi ikon kanak-kanak sekitar era 80-an dan popular dengan rancangan 'Mini Parlimen' terbitan RTM. Hakikatnya beliau golongan OKU kerdil. Jika beliau mampu menjadi popular, adakah itu suatu kekurangan? Pakcik Jamal memang pandai menambat hati dan melayan kanak-kanak.

Begitu juga Allahyarham Ibrahim 'Pendek', mendiang Ayappan dan Param. Mereka adalah golongan artis yang terkenal di Malaysia semasa penglibatan mereka dalam industri hiburan. Adakah ini suatu kekurangan? Dalam situasi mereka, mereka sebenarnya telah menggunakan 'kekurangan' mereka untuk menjadi popular, sebab mereka mudah menambat hati peminat dengan gaya dan telatah yang 'comel' dan melucukan!

Dalam bidang penyelidikan, kesedaran terhadap kelebihan diri adalah penting. Kenapa? Sebabnya bidang penyelidikan melibatkan persaingan. Rata-rata individu yang terlibat adalah dalam golongan cerdik pandai. Tapi pencapaian masing-masing berbeza. Ada masanya seseorang berjaya menemui penemuan baharu, sedangkan yang lain mungkin masih belum memperolehi kejayaan atau keputusan yang diharapkan. Ada pula yang menghasilkan pelbagai idea dan projek, dan ada pula yang masih belum mampu mengemukakan apa-apa.

Orang yang 'kalah' akan rasa putus asa atau cemburu dengan kejayaan 'pesaing'. Dia mungkin rasa kecewa kerana tidak mampu mencapai prestasi seperti orang lain yang 'lebih berjaya'. Mungkin juga dia rasa rendah diri sebab tidak sebijak orang lain. Tidak mustahil, mungkin yang 'kalah' ini sudah terfikir untuk mensabotaj atau mengkhianati orang lain yang 'berjaya'! Tapi sebenarnya rezeki itu tidak semuanya sama. Allah S.W.T. sudah tetapkan rezeki setiap orang. Kenalah sabar dan terus berusaha. Kenal pasti apa yang kita mampu lakukan atau miliki dan manfaatkan sebaik-baiknya, kerana itulah sebenarnya kelebihan kita.

Jadi muhasabah dan renungkanlah diri sendiri. Bersyukur dengan apa yang kita miliki, dan janganlah asyik merungut tentang kelemahan diri. Sudah sampai masanya kita menghargai 'kelebihan' diri kita. Cuma, janganlah terlebih 'menghargai diri' hingga jadi sombong pula! Manfaatkanlah kelebihan diri kita untuk kebaikan diri dan masyarakat.

Sumber foto: http://roblovegreen.blogspot.com/2011/09/looking-in-mirror-what-do-you-see.html