Wednesday, January 09, 2013

Anda orang yang cermat atau cemerkap?

Istilah cermat boleh diertikan sebagai sikap seseorang yang teliti atau berhati-hati dalam melakukan sesuatu perkara. Manakala istilah cemerkap ialah antonim (lawan erti) kepada cermat, merujuk kepada sikap seseorang yang tidak cermat, bersikap sambil lewa, acuh tak acuh dan sebagainya. Dalam penulisan ini, penulis menumpukan terhadap persoalan - 'mengapa ada masanya kita boleh memfokus, cermat terhadap sesuatu perkara yang orang lain gagal menanggapnya, dan mengapa orang lain boleh melakukan hal yang sama pada perkara lain sedangkan kita gagal menanggapi hal itu?'. 

Contohnya dalam situasi begini. Kita mungkin seorang yang boleh memahami dan melakukan kerja mencuci pakaian dengan begitu cermat dan teliti, sekaligus seorang yang pakar. Apabila kita mencuci, kita dapat mengagak bila waktu yang sesuai untuk mencuci, bagaimana menguruskan tugas mencuci, bila masanya kita hendak jemur dan ambil, dan sebagainya. Pada masa yang sama, rakan atau pasangan kita (suami atau isteri) tidak mampu melakukan hal tersebut seperti kita. Bahkan mereka anggap mencuci pakaian itu tidak penting dan melakukannya sambil lewa. Tetapi dalam hal lain, rakan atau pasangan kita itu lebih teliti dan mahir berbanding kita. Mereka mungkin tidak peka atau teliti dalam hal mencuci pakaian, tetapi begitu teliti apabila mencuci rumah. Mereka begitu arif, hinggakan ada masanya kita yang begitu teliti mencuci pakaian pun melakukan banyak kesalahan apabila mencuci rumah!

Mengapa hal sebegini boleh terjadi? Sedangkan tanggapan umum berpendapat, orang yang sudah teliti dalam sesuatu perkara sepatutnya mudah untuk menjadi teliti dalam perkara lain. Manakala orang yang sering ambil mudah, atau buat kerja sambil lewa tentunya akan mempamerkan sikap yang sama dalam hal yang lain. Di sini ternyata wujud suatu paradoks (percanggahan) di mana tanggapan itu bercanggah dengan hakikat yang berlaku. (Maka salah satu mesti palsu!)

Punca utama berlakunya 'percanggahan' ini ialah 'kesilapan' kita dalam membuat kesimpulan. Kesilapan itu ialah apabila kita membentuk suatu tanggapan umum (penilaian rambang) terhadap seseorang hanya dengan melihat peribadinya dalam suatu konteks tertentu saja, atau menilai berdasarkan perlakuan individu lain. Apabila kita membuat penilaian yang salah, maka ia bercanggah dengan hakikat atau situasi sebenar yang berlaku. Maka tanggapan umum yang tersebut adalah palsu kerana tidak menggambarkan hakikat sebenar yang berlaku.

Seharusnya dalam menilai peribadi seseorang, sebaik-baiknya kita menilai dalam konteks yang menyeluruh (misalnya lihat perbuatan seseorang dalam pelbagai situasi yang berbeza). Jadi untuk mengelakkan 'percanggahan' ini, ialah dengan mengelakkan kesilapan membuat penilaian rambang terhadap seseorang sebelum kita mengenali latar belakangnya, atau hanya bersandarkan pemerhatian terhadap tindakan atau sikap orang lain yang hampir sama. Apatah lagi jika penilaian itu bersifat negatif, ia seharusnya dielakkan!

Namun berbalik kepada persoalan utama, apakah punca berlakunya situasi tersebut (teliti dalam satu perkara, lewa dalam perkara lain)? Faktor utama kepada situasi 'perbezaan pendekatan' ini ialah disebabkan sifat atau fitrah manusia iaitu,

Manusia itu dijadikan dengan kelebihan dan kekurangan yang berbeza-beza

Allah S.W.T. mencipta manusia dengan memberikan kita keupayaan yang berbeza. Justeru dari perbezaan ini timbulnya kelebihan dan kekurangan. Tetapi ini bukanlah suatu kelemahan dalam penciptaan manusia, kerana Allah S.W.T. mempunyai hikmah dan perancangan yang tersendiri. Kelebihan dan kekurangan manusia sebenarnya merupakan suatu 'strategi bijak' kerana hal inilah yang membolehkan manusia hidup dalam keadaan saling melengkapi antara satu sama lain (Nota: Ini adalah penilaian peribadi penulis dalam meneladani dan menghayati alam semesta ciptaan Allah S.W.T. Hakikatnya, hikmah penciptaan manusia itu hanya Allah S.W.T. sahaja yang mengetahuinya! Rujuk surah Al-Baqarah, ayaht 30).

Sebagai manusia, kita dijadikan dengan kelebihan dan kekurangan, dan hal ini turut mempengaruhi pendekatan dan cara kita menangani kehidupan. Apabila seseorang melakukan atau memahami sesuatu perkara, ia bergantung kepada minat dan keupayaannya terhadap sesuatu perkara itu. Sedangkan minat dan keupayaan itu dipengaruhi oleh kelebihan dan kekurangan seseorang dalam pelbagai aspek berkaitan dirinya, merangkumi
  • keupayaan berfikir atau merasional sesuatu perkara, 
  • kekuatan fizikalnya, 
  • keseronokan dan keghairahan yang dialaminya dalam melakukan sesuatu perkara, 
  • kebolehan dan bakat semulajadi,
  • kemampuan dari segi masa atau sumber,
  • dll.
Jadi faktor-faktor ini akan mempengaruhi tindakan dan perbuatan seseorang. Oleh yang demikian, maka kita akan melihat berlakunya situasi seseorang yang cermat dalam suatu perkara tetapi cemerkap dalam hal yang lain. Begitupun, tidak semestinya apabila seseorang cermat dalam satu hal, akan cemerkap dalam hal lain; atau sebaliknya. Ada masanya seseorang yang cermat akan cermat dalam banyak hal, dan ada pula yang cemerkap dalam suatu hal akan cemerkap juga dalam hal yang lain. Namun berdasarkan 'teori umum' (setiap manusia ada kelebihan dan kekurangan) kita boleh mengandaikan bahawa orang yang cermat dalam satu hal pasti akan cemerkap dalam hal lain. Cuma kita tidak tahu apakah setiap hal tersebut sehinggalah kita melihat orang itu melakukannya. (Tauladan untuk kita, jangan kita cepat sombong dan angkuh, kerana jika kita handal dalam suatu hal, mungkin dalam hal lain kita jadi orang yang lemah.)

Natijah daripada hal ini ialah, kita sebenarnya sukar untuk menilai seseorang (termasuk diri kita sendiri) bagi memastikan yang orang itu adalah cermat atau cemerkap, melainkan kita menilai kelebihan dan kekurangannya dari pelbagai aspek dan situasi. Ini kerana seseorang yang cermat dalam suatu perkara besar kemungkinan tidak cermat dan teliti dalam hal yang kurang diminatinya. Begitu juga dalam suatu keadaan yang kita minati dan pakar melakukannya, mungkin tidak mampu disaingi oleh orang lain yang kurang minat dalam hal yang kita minati itu.

Sebagai kesimpulan, perkara terpenting yang kita perlu ingat ialah setiap manusia ada kelebihan dan kekurangan. Apabila kita hendak menilai seseorang (termasuk diri kita) hendaklah mengambil kira hasil tindakan dalam pelbagai konteks, dan bukan hanya tertumpu pada suatu konteks tertentu saja. Orang cermat dalam suatu hal, boleh jadi akan cemerkap dalam hal yang lain, dan setiap individu itu tidak semestinya melakukan perkara yang sama. Jangan cepat memutuskan diri sendiri atau orang lain ialah seorang yang cermat mahupun cemerkap kerana keputusan kita itu mungkin tidak tepat. Tetapi boleh dibuat penilaian sebagai panduan dalam memperbaiki kelemahan diri, atau berhati-hati terhadap seseorang. Jika kita ada kelebihan bersyukurlah dengan memuji Allah S.W.T., dan manfaatkanlah sebaiknya kelebihan itu. Jika kita ada kekurangan, bersyukur juga kerana mungkin tanpa kekurangan itu kita akan lupa diri, alpa, angkuh mahupun bersikap takbur. Apabila menilai seseorang, nilailah secara adil, dengan hikmah dan kebijaksanaan.


(Penulisan berkaitan: Menghargai diri)


.