Pages

Tuesday, April 01, 2014

Salahkah bersikap perkauman? (Bhgn akhir)

Penulisan seterusnya masih lagi berkisar tentang salah faham terhadap 'sikap perkauman'. Namun kali ini saya ingin menulis tentang faktor-faktor salah faham dan persepsi negatif terhadap sikap perkauman. Ini adalah bahagian ketiga dan yang terakhir. Penulisan sebelumnya boleh dirujuk di sini dan di sini.

Amnya saya melihat punca kepada salah tanggap atau salah faham terhadap sikap perkauman ialah kerana masyarakat sudah beranggapan bahawa sikap perkauman itu memberi implikasi kepada kebencian, dan dengan mengelak sikap perkauman dianggap memberi implikasi akan menghindarkan kebencian yang sekaligus mewujudkan persamaan, kesatuan, kebersamaan dan perpaduan. Apabila tanggapan ini diterima sebagai norma, maka anggota masyarakat yang baru (baru kenal sikap perkauman) akan mengamalkan norma ini. Maka jadilah ia suatu tanggapan yang seolah universal (sikap perkauman menimbulkan kebencian terhadap kaum lain) dan seolah-olah benar. 

Sedangkan jika kita analisa kemungkinan dan pilihan yang ada, sebenarnya hal ini tidak benar sepertimana tanggapan yang menjadi norma itu (sila rujuk perbincangan ringkas saya berkenaan logik dalam sikap perkauman). Sepertimana yang saya tuliskan, ada empat pilihan/ kemungkinan yang boleh berlaku. Perkauman itu tidak semestinya mengimplikasi kepada kebencian (mahupun tanpa perkauman mengimplikasi tiada kebencian). Tiada ada kesahihan dan bukti bahawa perkauman (mesti) mengimplikasi kebencian. Begitu juga tidak benar bahawa tanpa perkauman mengimplikasi tiada kebencian. Jelas sekali kedua-duanya merupakan pemboleh ubah tidak bersandar (tidak terikat antara satu sama lain). 

Disebabkan ia bukanlah suatu ikatan, maka kita bebas memilih untuk menjadikan perkauman dan tiada kebencian itu benar secara serentak. Kita boleh saja memilih untuk bersikap perkauman tetapi tidak membenci kaum lain. Mengapa perlu ada kebencian? Seseorang yang mahu membela bangsanya boleh saja belajar daripada bangsa lain. Kita perlu kembali kepada sumber rujukan kita iaitu Al-Quran, bilamana Allah SWT berfirman (dalam Surah Al-Hujurat ayaht 13) yang bermaksud, "Wahai manusia! Sungguh, Kami telah menciptakan kamu dari seorang lelaki dan seorang perempuan, kemudian Kami jadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku agar kamu saling mengenal". Sekiranya logik 'perkauman mengimplikasi kebencian' itu benar, bukankah bertentangan dengan maksud ayaht tersebut? Jadi yang mana kita lebih percaya? Firman Allah atau persepsi manusia/ budaya?

Nabi Muhammad SAW bangga sebagai seorang yang berketurunan Bani Quraisy. Adakah ini bermakna Nabi Muhammad membenci bangsa lain? Hakikatnya hari ini Islam dianut oleh pelbagai bangsa dan golongan. Kalau baginda benci, sudah tentu Islam tidak akan merentas bangsa dan kaum, melainkan hanya disebar dalam kalangan Bani Quraisy saja. Justeru tidak timbul soal kebencian kerana Nabi Muhammad SAW diutus bukan untuk kaumnya saja, tetapi memang untuk menyampaikan Islam kepada semua bangsa atau kaum, seluruh alam termasuk kaum jin! 

Saya yakin persepsi negatif ini (perkauman mewujudkan kebencian) wujud kerana budaya, dan budaya itu berpunca daripada kesilapan individu. Ada sesetengah individu memang terserlah mengamalkan sikap 'ambil mudah' iaitu apabila dia membela kaum atau bangsanya, dia akan beranggapan bangsa lain itu pesaing dan perlu dimusuhi. Saya yakin fahaman ini berpunca daripada fahaman golongan tertentu yang menganggap bangsa dan keturunan mereka adalah bangsa yang paling hebat (sekaligus merendahkan bangsa yang lain). Ini menyebabkan timbulnya permusuhan dan kebencian, kerana bangsa yang dipandang rendah itu pasti akan membalas dengan mempunyai persepsi yang sama (bangsanya hebat, bangsa lain tidak). Akibatnya setiap individu yang menganggap bangsanya hebat akan menyemai permusuhan terhadap bangsa lain. Akhirnya wujudlah persepsi dan prasangka yang negatif di antara bangsa-bangsa. Inilah kesilapan yang sepatutnya diperbetulkan.

Hakikatnya dalam konteks individu, setiap manusia saling memerlukan antara satu sama lain kerana masing-masing punya kelebihan dan kelemahan yang tersendiri. Begitu juga di antara bangsa dan kaum yang berbeza. Ada bangsa yang berkelebihan dalam satu aspek, namun lemah dalam aspek yang lain. Pada masa sama, ada bangsa yang berkelebihan dalam aspek itu, tetapi lemah pula dalam aspek lain. 

Jadi mengapa tidak cuba saling melengkapi antara satu sama lain? Kelebihan dan kekurangan inilah yang menjadikan manusia di alam ini sebagai satu set 'jigsaw puzzle'. Kalau hilang satu, akan lompanglah dunia. Ciri perkauman boleh dijadikan sempadan mempelajari kelebihan dan kekurangan diri di mana bangsa-bangsa tertentu akan dikenali dengan kelebihan dan kelemahan masing-masing (sebagai panduan untuk berkerjasama). Sekiranya dapat dihayati, ini akan menjadi asas yang kuat untuk perpaduan, sekaligus dapat mengelakkan permusuhan. Maka secara langsung, pilihan ini menidakkan 'perkauman mengimplikasi kebencian' kerana dalam situasi ini, 'perkauman mengimplikasi perpaduan'!

Akhir kata, soal 'perkauman' ini terletak kepada kita sendiri kerana kita ada ruang membuat pilihan. Jika kita mengambil keputusan bersikap perkauman dan membenci bangsa lain, maka negatiflah kesannya. Sebaliknya jika kita memilih untuk melihat perkauman sebagai satu cara menyemai perpaduan, maka kesan positiflah yang akan kita dapat. Tepuk dada, tanya selera.

.

Eratkanlah persaudaraan sesama Islam


  • Orang yang paling mulia di sisi Allah SWT ialah orang yang beriman dan bertaqwa. 
  • Orang Islam yang beriman mendekatkan diri kepada sesuatu kerana Allah suka perkara itu, dan menjauhi sesuatu kerana Allah SWT benci perkara itu. 
  • Salah satu cara mendekatkan diri kepada Allah SWT ialah dengan mengeratkan persaudaraan dan menghindarkan permusuhan sesama Islam. Ini kerana salah satu golongan manusia yang disukai oleh Allah SWT ialah orang yang mengeratkan hubungan silaturrahmi (persaudaraan) sesama Islam. Antara golongan yang dibenci Allah SWT pula ialah orang yang memutuskan persaudaraan.



Thursday, March 27, 2014

Salahkah bersikap perkauman? (Bhgn 2)

Sebelum ini saya telah menulis pandangan saya mengenai isu berkaitan sikap perkauman. Dalam penulisan seterusnya ini saya ingin memerihalkan salah tanggap terhadap sikap perkauman dan memperbaiki persepsi negatif terhadap sikap perkauman.

Amnya sikap perkauman sering dikaitkan dengan konotasi yang negatif. Apabila seseorang itu dikatakan bersikap perkauman, maka dia dituduh mementingkan kaumnya sahaja dan membenci bangsa/kaum lain. Jika kita amati sebenarnya di sini terdapat aplikasi logik dua keadaan/pilihan - benar atau salah, A atau B, dsb. Dengan kata lain, 'perkauman' hanya diberi dua pilihan di bawah:

N1 - bersikap perkauman, maka dia PERLU benci bangsa lain.
N2 - TIDAK bersikap perkauman, maka dia PASTI tidak benci bangsa lain.

Maka N1 adalah bukan N2, dan sebaliknya. 

Persoalannya - adakah ini benar? Misalnya saya mahu membela kaum atau bangsa saya. Adakah ini bermakna saya benci bangsa lain? Hakikatnya saya tidak benci bangsa lain. Kenapa saya mesti benci bangsa lain hanya kerana saya sayangkan kaum saya?

Adakah jika saya tidak pentingkan bangsa saya, saya boleh menerima bangsa lain? Belum tentu. Mungkin saya benci semua bangsa, atau saya rasa lebih hebat daripada semua orang. Tapi yang peliknya, ini dikatakan 'bersikap terbuka dan menerima semua orang sama rata'!

Maka di sini terdapat ketidakadilan dan penyempitan makna terhadap sikap perkauman. Sedangkan jika kita gunakan jadual kebenaran/ logik yang melibatkan dua pemboleh ubah A dan B, terdapat 4 kebarangkalian iaitu BENAR/BENAR, SALAH/BENAR, BENAR/SALAH, dan SALAH/SALAH (masing-masing nilai bagi A/B yang mewakili 'perkauman'/'benci'). Dalam kata lain sepatutnya ada 4 kemungkinan/ pilihan iaitu:

S1 - ada perkauman, benci bangsa lain;
S2 - ada perkauman, TIDAK benci bangsa lain;
S3 - TIADA perkauman, benci bangsa lain;
S4 - TIADA perkauman, TIDAK benci bangsa lain. 

Jadi dalam persepsi negatif N1 dan N2 itu, mana lagi dua pilihan - S2 dan S3? Jadi persepsi N1 dan N2 ini bersifat bias dengan membias kepada memberi persepsi negatif terhadap sikap perkauman! Sedangkan sikap perkauman bukanlah sedemikian kerana boleh diperluaskan maknanya yang merangkumi S2 dan S3 di atas.

Amnya sikap perkauman bermaksud "seseorang merasakan dirinya sebahagian daripada satu kelompok unik dan membezakannya daripada kelompok lain". Itu saja. Tidak timbul soal benci-membenci. Namun apabila seseorang menyempitkan pemikiran dan logik akalnya, maka terhasillah persepsi 'dia mesti membenci kaum yang bukan dari golongannya'! Maka sifat benci itu adalah berpunca salah tanggap individu dan bukannya pada makna sikap perkauman itu.

Seharusnya persepsi negatif ini (hanya pilihan N1 atau N2) diperbetulkan iaitu apabila kita bersikap perkauman, tidak bermakna kita harus atau pasti membenci kelompok selain kita, dan seseorang yang membela kaumnya tidak boleh dikatakan dia membenci kaum lain melainkan dia mengaku atau terpapar jelas melalui tindakannya.

.

Salahkah bersikap perkauman?

Saya berasal daripada keluarga Melayu dan Jawa. Ayah saya keturunan Jawa tetapi lahir di Malaysia, dan ibu saya Melayu dari Perak. Sejak kecil, saya membesar dalam persekitaran dan suasana kehidupan masyarakat Melayu berketurunan Jawa. Walaupun tidak belajar mahupun berkomunikasi secara kerap dalam bahasa Jawa, saya boleh bercakap bahasa Jawa kerana persekitarannya dipenuhi masyarakat Jawa. 

Pergaulan atau percampuran saya dengan bangsa lain agak terbatas. Dalam kalangan jiran-jiran saya, hanya ada Melayu penuh (tulen) dan ada pula keturunan Banjar. Meskipun kaum Banjar yang berasal dari Indonesia ialah suku kaum yang berlainan daripada Melayu mahupun Jawa, tetapi jiran saya itu hanya keturunannya saja, dan keluarganya dah bercampur dengan keturunan Melayu dan Jawa. Jadi pengaruh Melayu dan Jawa tetap menjadi pengaruh terbesar. Walaupun ada kawasan yang ramai penduduk bangsa lain yang bersebelahan kampung, kawasan itu agak jauh dari rumah saya. 

Saya agak 'totok' terhadap budaya Melayu Jawa kerana persekitaran hidup saya begitu. Saya pernah belajar sekelas dengan seorang rakan Cina dan seorang India semasa Darjah 1. Namun sekejap saja, kerana mereka kemudiannya berpindah. Sebelum bersekolah menengah, saya tidak ada peluang bergaul dengan rakan, selain Melayu Jawa. Jadi dunia saya hanya Melayu Jawa.

Disebabkan persekitaran, saya tidak pernah melihat secara dekat budaya bangsa lain. Hanya apabila masuk sekolah menengah, barulah dapat bergaul dengan rakan-rakan bangsa lain. Di sekolah menengah memang terasa perbezaan budaya (alami kejutan budaya, atau culture shock). Ada sesetengahnya saya dapat terima, ada pula yang tidak (tidak faham mengapa). Namun sebarang perbezaan tidak menghadkan saya untuk menerima mereka sebagai kawan. Saya tetap berpegang dengan budaya saya, dan saya melihat budaya lain sebagai hak mereka. Semua rakan bangsa lain juga menghormati budaya saya. 

Hinggalah sekarang saya masih lagi memegang teguh budaya Melayu Jawa. Walaupun begitu tidak ada masalah bagi saya untuk bergaul dan bercampur dengan bangsa lain. Pada saya, selagi kita saling hormat-menghormati budaya masing-masing, tidak sepatutnya timbul perbalahan. Saya tidak nafikan, ada kalangan orang Melayu yang mengeluarkan 'kata-kata nakal' terhadap bangsa lain. Namun saya juga percaya, bangsa lain juga ada memperkatakan hal yang sama kepada bangsa Melayu. Sebenarnya tak pelik pun. Berprasangka adalah perkara lumrah kerana prasangka dan sikap 'stereotaip' terhadap orang lain memang sifat manusia. Kadang-kadang sesama bangsa sendiri pun kita ada prasangka. Jadi perlukah hal begini jadi isu dan dikaitkan sebagai punca perbalahan kaum?

Perkauman ialah suatu kepelbagaian dan bukan faktor kebencian atau permusuhan


Secara peribadi, saya tidak ada masalah dengan sikap perkauman. Apabila melibatkan pertembungan budaya, mustahil akan membentuk persamaan 100%. Apatah lagi jika masing-masing mahu terus mengekalkan budaya asalnya. Misalnya Melayu dengan budaya Melayu, Jawa dengan budaya Jawa, Cina, India, Sikh dsb. Bahkan dalam kalangan satu bangsa itupun ada pecahan suku mengikut daerah. Namun ini bukan alasan untuk permusuhan. Selalunya timbul permusuhan apabila suatu bangsa itu ingin mendominasi bangsa atau budaya yang lain. Ini akibat sikap ego, tamak, cemburu, dengki dan segala macam sifat buruk. Maka tidak wajar jika dikatakan sikap perkauman itu sebagai punca permusuhan, kerana yang buruk itu berpunca pada sikap individu.

Permusuhan antara budaya atau bangsa sebenarnya boleh dielakkan kalau masing-masing sedia bertolak-ansur (menerima perbezaan orang lain sebagai ciptaan Allah dan menerima hakikat manusia tidak mampu wujud sendirian). Jangan mengharapkan orang lain saja yang bertolak-ansur dengan kita. Kita juga harus bertolak-ansur. Kita juga harus ingat, budaya tertentu ada pantang-larang dan hal yang tidak boleh ditolak-ansur. Dalam hal begini, kita harus sedia menerima keadaan tersebut dengan bersikap terbuka. Ini bukanlah bermakna kita kena menganut budaya yang lain itu. Sebaliknya jika diamalkan sekitar kita, janganlah pula kita menentangnya semata-mata kita tidak suka. Biarkan orang lain dengan budayanya, selagi tidak mengganggu atau mengancam kita. Kalau tidak bersetuju sekalipun, sampaikanlah teguran dengan berhemah.

Berdasarkan pengalaman hidup sendiri dan apa yang saya perhatikan, sebenarnya sikap perkauman (merasakan diri kita tergolong dalam suatu kelompok yang unik dan berbeza daripada orang lain) bukanlah suatu keburukan. Bahkan dalam konteks tertentu, sikap perkauman itu perlu - misalnya memelihara identiti suatu masyarakat, bangsa, etnik dsb. daripada pupus. Kadang-kadang seronok apabila mengenali budaya yang berbeza dengan kita. Janganlah kita membenci dan cuba bermusuh dengan bangsa lain. Terima perbezaan itu sebagai kepelbagaian alam. Dalam pada itu, kita tidak semestinya menerima (menganut) budaya orang lain dan meninggalkan budaya kita untuk mewujudkan perpaduan. Jika bangsa lain tidak faham budaya kita, jelaskanlah agar tidak timbul prasangka.

Dalam keadaan berbilang bangsa, perpaduan boleh diwujudkan melalui semangat toleransi dan bertolak-ansur. Kita juga boleh mengukuhkan perpaduan dengan 
  • cuba berprasangka baik terhadap bangsa lain, 
  • memahami budaya mereka, 
  • memperat hubungan persahabatan, kejiranan, dll. dan
  • tolong-menolong dalam hal umum (jamuan, gotong-royong dsb.)
Jadi janganlah jadikan alasan perkauman itu sebagai punca permusuhan. Sebenarnya banyak hal, yang jika kita jadikannya positif, akan memberikan hasil yang positif. Dalam aspek perpaduan, perkauman sebenarnya bukanlah punca permusuhan. Bahkan boleh menjadi sumber dan asas perpaduan, selain membentuk jati diri individu dan kepelbagaian alam. Maka perkauman tidak salah, asalkan diamalkan secara patut-patut dan kena pada tempatnya.


Sumber imej: Internet

.

Thursday, February 20, 2014

Bertindak secara rasional dan bukan dengan emosi.

Bukan semua perkara harus dinilai dengan sekali pandang saja. Sebaliknya penilaian kita terhadap sesuatu perkara hendaklah bergantung kepada konteks penilaian yang hendak dibuat. Apa yang saya lihat, ramai dalam kalangan masyarakat yang melihat suatu perkara yang nyata sebagai suatu yang mutlak, dan meletakkan penilaian mereka terhadap perkara tersebut berdasarkan apa yang mereka tanggap atau lihat. Ini merupakan suatu pendekatan yang simplistik atau ambil mudah. 

Pendekatan simplistik sememangnya ada kegunaan dalam kehidupan seharian. Sebagai seorang manusia, penilaian simplistik membolehkan kita menyesuaikan diri dan dapat bertahan dengan cabaran-cabaran tertentu dalam hidup. Hal ini terutamanya yang melibatkan perkara-perkara yang kritikal dan memerlukan tindakan segera. Misalnya apabila kita hampir terjatuh ke dalam longkang, mungkin tindakan refleks adalah yang terbaik. Tetapi pemikiran simplistik juga dapat membantu kita mencari alternatif tetapi tidak memudaratkan kita disebabkan mengambil masa yang lama untuk mencari kaedah menyelamatkan diri daripada terjatuh ke dalam longkang. 

Situasi lain yang memerlukan pemikiran simplistik ialah apabila kita hendak membuat keputusan yang perlu dibuat segera, misalnya apabila kita membuat suatu projek, matlamatnya ialah siap (pada masa yang sama terbaik, jika boleh). Tetapi jika kita tidak cuba membuat keputusan yang simplistik (selalunya yang realistik dan praktikal), sebaliknya berusaha bermati-matian mencari pendekatan yang idealistik, akhirnya projek itu tidak akan siap. Mungkin ada penyelesaian yang ideal terhadap suatu perkara, tapi selalunya pendekatan yang simplistiklah yang lebih berkesan kerana tindakan dapat diambil dalam tempoh yang singkat. Maka penilaian simplistik mempercepatkan pembuatan keputusan.

Namun, bukan semua perkara boleh dibuat secara penilaian simplistik saja. Ada masanya kita perlu mengambil pendekatan yang rasional, iaitu bersebab dan logik, dan penilaian yang mendalam/kompleks. Antaranya ialah menilai sesuatu berdasarkan konteks persekitarannya. Walaupun penilaian juga berkait rapat dengan persepsi, faktor ini kita abaikan supaya lebih mudah dibincang dan difahami. Ada masanya persepsi menjadikan suatu yang tidak benar itu benar. Tetapi dalam perbincangan ini, kita andaikan ada dua atau lebih keadaan yang benar.

Dalam gambar ini, yang benar ialah garis-garis melintang yang lurus, tetapi persepsi mendorong kita untuk melihat garis-garis yang condong dan bengkang-bengkok!

Misalnya, seorang pemimpin parti politik yang dipilih rakyat, dan menjadi pemimpin negara, adalah orang yang sama tetapi boleh dinilai dalam dua konteks yang berbeza. Semasa pilihanraya (dan mungkin juga dalam apa jua hal yang bertujuan untuk kepentingan parti), beliau akan berperanan sebagai pemimpin partinya. 

Tetapi apabila dilantik sebagai Perdana Menteri dan beliau bertugas untuk kepentingan negara, maka beliau tidak harus dinilai sebagai pemimpin parti (walaupun hakikatnya beliau ialah pemimpin parti). Ini kerana konteks beliau sebagai Perdana Menteri yang memainkan peranan untuk negara, maka beliau harus dinilai sebagai orang yang memberi kepentingan kepada rakyat dan negara. Maka walaupun kita tidak bersetuju dengan beliau sebagai pemimpin parti (bahkan ada yang benci kepada beliau kerana bencikan parti politiknya), tetapi dalam konteks semangat patriotik dan cintakan negara, semua rakyat harus menyokong sebarang tindakannya dalam konteks Perdana Menteri yang memberi kebaikan kepada negara. 

Adakah ini imej wanita cantik, atau wanita tua? Konteks mungkin menjadikan kedua-duanya adalah benar. Itu sebabnya konteks penting diambilkira supaya tidak terlepas pandang hal yang benar!

Walaupun penilaian simplistik itu perlu, tetapi ada masanya tidak boleh digunakan sebaliknya perlu kepada penilaian yang lebih mendalam. Malangnya ada sesetengah pihak yang kadangkala terlalu taksub dengan ideologi dan fahaman tertentu, dan mungkin emosinya saja, mengambil pendekatan simplistik tanpa mengira situasi, konteks, mahupun rasionaliti. Pendekatan beremosi (simplistik, tanpa mengira konteks) selalunya akan lebih merugikan diri berbanding memberi keuntungan. Oleh yang demikian, dalam apa jua penilaian dan tindakan kita, mestilah rasional dengan mempertimbangkan konteks penilaian kita. 

Sebagai rumusan penulisan ini, pendekatan simplistik sememangnya perlu dalam keadaan tertentu. Tetapi bukan semua keadaan. Ada masanya kita perlu membuat penilaian secara mendalam tanpa membiarkan emosi mengatasi rasionaliti. Nilailah sesuatu berdasarkan konteks, bukannya secara mudah dan membuta-tuli, kerana keputusan sedemikian mungkin hanya akan merugikan, bahkan memudaratkan diri sendiri.


Kredit: Semua imej dicuplik daripada sumber internet.

.