Pages

Showing posts with label ilmu. Show all posts
Showing posts with label ilmu. Show all posts

Thursday, April 17, 2014

Isu Kritikan Terbuka dan Peranan Ilmuan dalam masyarakat

Saya mendapat idea untuk menulis hal ini ketika timbul isu apabila seorang ilmuan agama dikritik secara terbuka berhubung kandungan dan kesahihan 'ilmu' yang disampaikannya.

Isu ini bermula apabila seorang selebriti menyampaikan video yang dikongsi oleh seseorang ke laman sosialnya. Dalam video itu, memetik ceramah dan mengkritik seorang ilmuan. Lalu selebriti terbabit mengkritik pula ilmuan terbabit (dan seakan mengiyakan apa yang disampaikan oleh video itu). Seperti yang lazim berlaku, selebriti terbabit dikritik pula oleh orang ramai, khususnya peminat ilmuan itu, dan mempertikaikan tindakannya. Dikatakan video itu dibuat dengan tujuan fitnah, dan sepatutnya selebriti terbabit merujuk secara tertutup kepada ilmuan yang dikritiknya.

Banyak pertikaian yang timbul. Tapi saya lebih tertarik untuk mengulas tentang perkara berikut:
- wajarkah ilmuan terbabit dikritik sedemikian rupa?
- apakah tindakan susulan yang wajar dibuat oleh ilmuan terbabit?

Amnya video tersebut tidak menamakan pembuatnya. Sebaliknya dengan nama samaran, pembuatnya hanya menyatakan 'kesilapan' ilmuan itu, dan menyatakan bukti-bukti (yang kurang kukuh) berkenaan kritikannya dalam video itu. Pada saya, siapa pembuat video itu tidaklah releven sangat, kerana saya melihat apa yang dikritiknya itu jelas menimbulkan persoalan dan saya sendiri antara setuju dengan tidak setuju terhadap kritikan yang dilontarkan. Jadi saya berpendapat, tindakan pembuat video dan selebriti berkenaan menyampaikan video itu sambil melontarkan persoalan dan kritikan sangatlah berasas.

Walaupun ada orang berpendapat pembuat video itu mempamerkan sifat orang yang 'suka menabur fitnah', tapi sekiranya persoalan itu berasas, ia tetap harus dijawab, tanpa mengira siapa yang menimbulkannya. Lainlah persoalan itu benar-benar mengarut dan tak masuk akal. Kalau diselidik pun hanya membuang masa.

Tetapi wajarkah kritikan selebriti itu dibuat secara terbuka (dipos ke laman sosial)? Saya berpendapat tidak ada salahnya, bahkan lebih baik demikian kerana ilmuan yang diperkatakan sering mengadakan ceramah agama terhadap orang ramai. Persoalan 'aib' tidak sepatutnya timbul, kerana perbincangan terbuka akan menjelaskan persoalan-persoalan yang timbul dan dapat diikuti oleh orang ramai. Apatah lagi persoalan yang dibangkitkan dipetik daripada ceramah yang telah disampaikan kepada umum. Maka sebarang kesilapan atau kekeliruan boleh terus dijelaskan.

Sebagai tindakan susulan, ilmuan itu telah mengeluarkan video sebagai jawapan kepada kritikan terhadapnya. Namun saya agak kesal kerana ilmuan itu tidak menjawab kandungan ceramah yang dipersoalkan. Sebaliknya 'jawapannya' mempersoalkan pula tindakan selebriti itu 'mempercayai' video itu tetapi pada masa sama mempersoal pula kredibilitinya (ilmuan itu). Lebih menarik lagi, (untuk menjawab salah satu persoalan yang dibangkitkan oleh video itu), ilmuan terbabit mengatakan bahawa sumber rujukannya ialah ulama lain.

Saya agak kesal dengan 'jawapan' yang diberikan. Sebagai 'ilmuan' seharusnya beliau menjawab persoalan yang dibangkitkan, bukan mencari salah orang lain atau meletakkan kesalahan pada orang lain pula. Mengatakan hal yang salah hanya 'dirujuk daripada orang lain' ibarat meletakkan kesalahan itu pada orang yang menyampaikan, pada masa sama ilmuan itu berlepas tangan daripada kritikan terhadapnya.

Walaupun demikian saya tertarik mengulas jawapan tersebut. Antara 'jawapan' yang menarik yang diberikan utk menjawab isu 'rujukannya' ialah dia 'merujuk daripada orang lain'.

Ilmuan ini dianggap orang yang arif dalam bidang agama. Jadi bagaimana, seorang ilmuan, boleh hanya menyampaikan perkara yang didengarnya tanpa menganalisa dan menyelidik hal tersebut? Inilah antara peranan ilmuan, iaitu dengan menggunakan kepakaran yang dimiliki, ilmuan perlu memperbaiki ilmu-ilmu sedia ada (termasuk ilmu yang diterima dari orang lain). Ilmuan itu perlu menentukan kesahihan, kredibiliti, atau memperbaik kesilapan yang wujud. Masyarakat mengharapkan ilmuan untuk menapis ilmu-ilmu sebelum menyampaikannya kepada masyarakat. Jika tidak, tidak ada gunanya dia dipanggil 'ilmuan' jika hanya menyampaikan semula apa saja ilmu yang diterima atau didengar (tanpa menilai salah atau betul). Kalau begini, orang yang tidak ada ilmu pun boleh melakukannya.

Di sinilah kita dapat melihat kepentingan seorang ilmuan. Selain menambahkan ilmu-ilmu baharu dengan mengkaji dan mengajarkannya, ilmuan perlu menggunakan kepakarannya untuk memperbaiki ilmu sedia ada. Ini kerana kesahihan suatu ilmu adakalanya bersifat temporal, iaitu sementara. Banyak faktor berlakunya sifat temporal pada ilmu. Antaranya kerana kurang bukti/maklumat pada masa ilmu itu disebarkan, penemuan ilmu baharu yang dapat menyokong penilaian semula, atau ilmu itu memang sudah tidak releven kerana perubahan waktu dan persekitaran. Jadi ilmuan berperanan melakukan penapisan, bagi memastikan masyarakat hanya menerima ilmu-ilmu yang sahih, dan boleh dimanfaatkan.

Ketika saya menulis, isu ini masih belum berkesudahan. Namun dalam menangani hal ini, semua pihak seharusnya bersikap terbuka tanpa tuduh-menuduh, memaki hamun dan sebagainya yang akhirnya akan mewujudkan permusuhan. Seharusnya perbincangan dibuat secara ilmiah. Orang yang dikritik perlu menjawab persoalan yang dilontarkan (bukan menyalahkan atau menepis semata-mata) manakala orang yang mengkritik itu seharusnya bertanya dan mengkritik dengan berhemah, bukan dengan niat memperkecil, mengaib atau merendahkan orang yang dikritiknya. Jika ada pihak tersalah, mengaku saja, minta maaf dan perbetulkan kesalahan itu. Jika tidak berlaku kesalahan pun, sekurang-kurangnya dapat menambahkan lagi ilmu melalui penerangan dan perbincangan yang diberikan.



Thursday, August 01, 2013

Pengaturcaraan C/C++ dengan IDE Eclipse (Kepler)


Secara default, Eclipse digunakan untuk bina aplikasi Java. Tapi sebenarnya IDE ni boleh digunakan untuk beberapa bahasa pengaturcaraan lain. Antaranya C/C++.

Berikut ialah panduan ringkas bagaimana nak mulakan aktiviti pengaturcaraan C++ dengan IDE Eclipse (Kepler).

Mula-mula kena muat turun IDE Eclipse dan pasang. (Untuk laksanakan aplikasi Eclipse perlu ada JRE - Java Run-time Environment. Kalau belum ada, kena muat turun dulu daripada laman web Oracle. Sekarang dah versi 7.*)

Juga pastikan ada pakej pengkompil C++ sebab Eclipse cuma sediakan persekitaran penyuntingan. (Kalau belum ada boleh muat pakej yang percuma, antaranya gcc. Untuk Windows boleh guna pakej MinGW)

Laksanakan Eclipse.

Sekarang muat turun Add-on C/C++ Development Tools SDK. Caranya,

  1. Dalam aplikasi Eclipse, cari menu Help > Install new software ... .
  2. Di ruangan Work with, pilih -All available sites-. Daripada senarai pakej yang muncul, cari Programming languages
  3. Tandakan pada checkbox C/C++ Development Tools SDK
  4. Klik butang Next.
Bila proses pemasangan dah selesai restart Eclipse (aplikasi akan tanya).

Tengok di bahagian atas sebelah kanan. Ada ikon 'C/C++'. Klik untuk guna 'perspektif' C/C++ (default ialah Java).

Bina projek C/C++ baharu.

Apabila projek baharu dah siap, jangan Build/Run dulu sebab tak keluar dalam tetingkap konsol.

Kena pasang run-time library dulu.

  1. Klik kanan pada nama projek (dalam Project Explorer). Pilih Properties (terbawah dalam menu).
  2. Klik pada C/C++ Build > Settings.
  3. Lihat pada senarai Settings sebelah kanan. Klik pada MinGW C++ linker > Miscellaneous.
  4. Taip flag options berikut pada ruangan Linker flags:   -static-libgcc -static-libstdc++
  5. Klik OK.

Bila dah selesai, boleh cuba Build/Run program C++ yang disediakan. Tengok sama ada output daripada arahan cout muncul pada tetingkap console pada bahagian bawah IDE.

Kadang-kadang bahagian console tu paparkan maklumat Build. Klik kanan pada ikon skrin monitor, dan pilih aplikasi C++ yang dilaksanakan tadi untuk tengok paparan outputnya.

Macamana? OK?

Susah? Ini kira dah senanglah berbanding kena cari sendiri semua maklumat ni.

Selamat mencuba!


Thursday, December 13, 2012

Mengkaji ilmu duniawi daripada Al-Quran

Seorang Muslim (orang yang menganut Islam) diwajibkan untuk mengenali dan menghayati makna ayat-ayat Al-Quran, serta mengambil petunjuk daripada mukjizat yang diturunkan kepada junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W. Ini kerana Al-Quran bukan saja diturunkan sebagai panduan (wahyu) daripada Allah S.W.T. kepada baginda, tetapi ia juga merupakan kepada petunjuk / panduan kepada seluruh umat Nabi Muhammad S.A.W. 

Maka sebagai sebuah kitab ilmu dan petunjuk daripada yang Maha Agung, Al-Quran semestinya mengandungi pelbagai ilmu, hikmah dan pengajaran yang bernilai kepada kehidupan manusia. Ilmu di dalamnya bukanlah semata-mata untuk alam akhirat, bahkan ilmu Al-Quran mencakupi kepentingan duniawi dan ukhrawi (akhirat) kerana hidup manusia memerlukan bimbingan dalam kedua-dua aspek.

Pengkajian Al-Quran bukanlah sesuatu yang baharu. Selain penulis, ramai lagi pengkaji termasuk yang bukan Islam, yang begitu ghairah membongkar rahsia Al-Quran. Namun perlu diperingatkan bahawa, dalam kita mengambil petunjuk daripada Al-Quran, beberapa prinsip harus ditekuni dan diamalkan bagi mengelakkan kita 'tersalah' dalam mempelajari ilmu daripada Al-Quran, yang dapat diringkaskan seperti berikut:
  • Kita tidak boleh mentafsir sesuatu ayat dalam Al-Quran sewenang-wenangnya, apatah lagi jika hanya berdasarkan terjemahan ayatnya. Terjemahan ayat tidak sama dengan tafsiran ayat. Para pentafsir Al-Quran memerlukan ilmu agama yang mendalam, yang turut mencakupi ilmu hadis, bahasa Arab, sejarah Islam dsb. Oleh itu sebagai orang yang baru mendalami Al-Quran (termasuk penulis), jika berdasarkan terjemahan, kita cuma boleh mengamalkan apa yang jelas dinyatakan oleh ayat-ayat Al-Quran, atau berpandukan kitab tafsir Al-Quran (ayat Al-Quran yang disertakan dengan tafsiran oleh ahli tafsir), atau bersandarkan penjelasan guru yang mursyid (yang faham dan boleh mentafsir dengan baik).
  • Mengelakkan fahaman Bucaillisme (Maurice Bucaille ialah doktor perubatan Perancis yang menulis tentang sains dan ayat-ayat Al-Quran, dan mendakwa kenyataan yang wujud dalam Al-Quran adalah benar secara saintifik sedangkan Bible pula sebaliknya [wiki]). Al-Quran adalah kitab suci agung yang diwahyukan oleh Allah S.W.T. kepada Nabi Muhammad S.A.W. Semua Muslim wajib mengimani bahawa ayat Al-Quran adalah benar dan mengandungi petunjuk daripada Allah. Al-Quran adalah ilmu hakikat (benar secara mutlak, meskipun belum mampu dibuktikan secara saintifik), sedangkan teori sains semasa boleh dibuktikan silap dan sentiasa diperbaiki. Sains adalah ilmu semasa yang relatif kepada pengetahuan semasa manusia. Justeru walaupun teori-teori sains menunjukkan 'bukti' kebenaran Al-Quran, secara tersiratnya fahaman Bucaillisme ini merendahkan taraf Al-Quran. Jadi dengan mengiyakan fahaman Maurice Bucaille, kita sebenarnya mengiyakan bahawa satu hari nanti ayat Al-Quran mungkin perlu diperbaiki jika dibuktikan 'silap'! (na'uzubillah). Malangnya fahaman Bucaillisme semakin banyak dianut oleh umat Islam kerana 'keindahannya' yang kononnya 'membuktikan' kebenaran Al-Quran. Hajat penulis ialah memperbaiki keadaan ini dengan membawakan pendekatan yang lebih wajar iaitu mencedok sebanyak mungkin maklumat daripada Al-Quran yang boleh diamalkan atau ditekuni untuk kehidupan duniawi (iaitu diterapkan sebagai falsafah keilmuan, termasuk sains atau kajian alam semesta) tanpa menghadkan ilmu daripada Al-Quran itu.
Tulisan ini BUKAN bertujuan membincangkan ilmu agama yang mendalam yang terkandung dalam Al-Quran, apatah lagi mentafsirkan ayat-ayat daripada Al-Quran. Penulis bukanlah seorang ulama yang mahir dalam hal-hal keagamaan. Tetapi sebagai seorang Muslim, penulis cenderung untuk membincangkan perkara-perkara dan khazanah penting yang dinyatakan SECARA JELAS dalam Al-Quran yang BOLEH DIAMBIL SEBAGAI PETUNJUK kepada memantapkan 'ilmu duniawi' (atau secara khususnya dipanggil 'sains' oleh kalangan masyarakat).

Secara khusus, penulisan ini bertujuan membincangkan satu perkara yang telah lama ditekuni oleh penulis. Sepanjang penulis mengenali (iaitu berdikit-dikit membaca, menghafal dan cuba memahami maksud ayat) Al-Quran, penulis tertarik kepada satu perkara yang banyak disebut dalam Al-Quran iaitu berkenaan dengan 'mencerap dan memerhati kejadian alam semesta'. Walaupun telah lama tertarik dengan maklumat ini, penulis masih gagal mencari cara bagaimanakah untuk mengatakan bahawa maklumat ini penting, kerana hal ini merupakan kenyataan umum dan mungkin tidak menarik minat golongan yang lebih dipengaruhi pemikiran saintifik Barat. Bahkan penulis juga sering gagal mengaitkan bagaimana fakta 'umum' ini boleh membantu dalam memperkembangkan bidang ilmu (sains) di kalangan umat Islam. (Antara contoh 'gesaan' mencerap alam: Surah Al-Baqarah - 2:26 (apakah contoh perumpamaan yang lebih kecil dari nyamuk?), 2:118 (apakah tanda-tanda yang dijelaskan oleh Allah S.W.T.?), 2:164 (pelbagai tanda kekuasaan Allah), di samping contoh-contoh lain).

Falsafah sains Barat (pendeknya dikenali sebagai 'sains'. Hakikatnya ia adalah sains yang dipengaruhi nilai dan pandangan masyarakat Barat, spt fahaman materialisitik, kapitalis, sekular dll.) amnya menekankan pendekatan saintifik. Walaupun pelbagai falsafah mendasari sains Barat, pendekatan saintifik yang sedia ada amnya dipengaruhi oleh falsafah realisme saintifik, yang menekankan bahawa suatu ilmu (fakta) mestilah berdasarkan benda yang nyata, iaitu dibuktikan berdasarkan eksperimen. Dengan kata lain, jika suatu teori gagal dibuktikan secara empirikal atau hasil eksperimen yang boleh diukur, ia bukanlah fakta yang saintifik. 

Namun tanpa penulis sedari (sehinggalah terhasilnya penulisan ini), hakikatnya terdapat satu hal lain yang jelas didokong oleh pendekatan saintifik Barat iaitu ilmu saintifik (falsafah realisme saintifik) diperolehi melalui pencerapan alam! Richard Feynmann, seorang ahli fizik terkenal Amerika berketurunan Yahudi, yang juga pemenang anugerah Nobel, berpendirian bahawa sesuatu 'kebenaran' dalam sains hanya boleh diterima jika ianya dibuktikan melalui eksperimen. Dalam satu kuliahnya, beliau mengatakan bahawa eksperimen itu mesti bermula dengan pencerapan alam, kemudian diuji dengan eksperimen dan barulah menerbitkan suatu ilmu atau fakta. Kemudian beberapa ahli sains terkenal Barat juga berpendirian bahawa sesuatu penyelidikan atau aktiviti kajian saintifik itu pada dasarnya dimulakan dengan mencerap alam sekeliling. Bahkan cara ini telah mendorong ramai ahli sains Barat yang terkenal untuk muncul dengan idea-idea dan konsep penyelidikan yang bernas yang diwarisi oleh penyelidik sains masakini!

Nah, jika dilihat daripada saranan Al-Quran (perintah Allah S.W.T.) yang menyuruh umat manusia memerhati alam sekitar sebagai amalan menggalakkan kita berfikir, bukankah konsep yang sama diterapkan sebagai asas dalam penyelidikan saintifik? Bahkan ada kalangan ahli sains yang lebih artistik yang percaya bahawa idea penyelidikan sains juga mendapat manfaat daripada peristiwa dalam mimpi atau ilham secara tak sengaja. Tetapi ironisnya, pendokong falsafah sains Barat, bahkan termasuk yang beragama Islam, tetap berpendirian sesuatu fakta saintifik hanyalah berdasarkan bukti nyata dan empirikal, sementara sumber lain tidak saintifik dan bukan ilmu/fakta! 

Pada dasarnya, konsep ilmu saintifik yang kononnya begitu hebat (hingga 'mewajarkan' manusia berfahaman sekular dan ateis menolak agama) sebenarnya mengamalkan satu konsep yang telah terkandung dan disarankan dalam Al-Quran. Maka di sini dapat dilihat satu kepentingan Al-Quran iaitu sebagai sumber rujukan yang boleh diaplikasi kepada ilmu semasa. Namun penulis berpendirian bahawa, nilai dalam konsep 'mencerap alam' yang dinyatakan dalam Al-Quran tidak sama dengan konsep 'mencerap alam' yang dianuti oleh penyelidik berfahaman sains Barat. Ini kerana matlamat mencerap pengkaji dan penyelidik sains Barat ialah untuk mendapatkan ilmu, idea, bahan dll bagi melakukan eksperimen dan jika dapat, menghasilkan ilmu baharu yang boleh dimanfaatkan untuk kehidupan manusia. Sedangkan Allah S.W.T. menyuruh manusia mencerap dan memerhatikan alam bukan hanya untuk kegunaan duniawi. Bahkan ia sebagai salah satu kaedah untuk kita mengenal Tuhan, dan melihat tanda kebesaran serta keagungan Allah S.W.T. Justeru nilai 'mencerap alam' itu melangkaui nilai dalam budaya saintifik Barat (iaitu yang hanya bermatlamatkan apa yang mereka dapat lihat semata-mata, tanpa berlandaskan ilmu wahyu).

Sebagai rumusan kepada penulisan ini (penulis berpendapat tidak ada kesimpulan kepada memahami 'konsep mencerap alam' ini kerana ianya akan berterusan, insya'Allah), ilmu sains semasa sebenarnya boleh turut dikembangkan dengan mencedok dan menghayati ilmu yang disampaikan dalam Al-Quran ul-Karim. Salah satunya ialah dengan memahami konsep 'mencerap alam' yang diajarkan dalam Al-Quran yang menyuruh manusia mencerap dan berfikir (termasuklah memikirkan ilmu akhirat, dan kebenaran ayat-ayat Al-Quran itu). Konsep ini nyata lebih syumul (universal) berbanding konsep 'mencerap' yang menjadi teras falsafah sains Barat. Maka ini memberikan kita alasan bahawa Al-Quran itu lebih releven dengan ilmu semasa. Hari ini kita dapat lihat ilmu 'mencerap alam' oleh sains Barat telah berjaya mengubah lanskap dan kehidupan manusia. Justeru bayangkanlah jika kita dapat merungkai falsafah 'mencerap alam' daripada Al-Quran yang lebih syumul, tidak mustahil hasil penyelidikan dan keilmuan pada hari ini akan jauh lebih baik pada masa akan datang.

(Sekadar muqadimah. Wallahua'lam. Sebarang komen, pendapat mahupun kritikan terhadap penulisan ini sangat dialukan.)





Monday, January 09, 2012

Baucer buku 1M - Layak ke saya dapat?

Dalam pembentangan Belanjawan 2012 pada tahun lepas, diumumkan bahawa kerajaan akan memberikan beberapa bentuk 'insentif' kepada rakyat. Selain pemberian bonus, kerajaan turut memberikan bantuan kewangan BR1M RM500 kepada rakyat yang berpendapatan RM3000 ke bawah, bantuan persekolahan RM100, dan baucer buku 1M bernilai RM200 untuk pelajar institusi pengajian tinggi dan sekolah menengah (atas). Oleh kerana sekarang saya masih menjalani pengajian PhD dan bergelar pelajar, maka saya layak mendapat baucer tersebut.

Tapi, saya seorang tutor (cuti bergaji). Layakkah saya ambil baucer tersebut? Walau berkemampuan sekalipun, sebenarnya tidak salah kalau 'pelajar bergaji' seperti saya mengambil peluang tersebut. Sebabnya baucer ini bukanlah duit zakat yang dikhaskan untuk golongan tertentu (asnaf) yang layak saja. Sebaliknya baucer ini diberikan kepada semua pelajar IPTA (asalkan pelajar).

Selain melihat keuntungannya kepada saya sendiri (buku percuma!), saya melihat kesan positifnya dalam konteks ekonomi dan perkembangan bidang ilmu di Malaysia. Pada pandangan saya, baucer ini tidak harus dilihat sebagai 'rasuah politik' (maklumlah Pilihanraya Umum 13 dah dekat) ataupun bantuan untuk pelajar miskin mendapatkan buku rujukan semata-mata!

Jika diteliti, ada beberapa kesan positif yang akan/boleh berlaku melalui pemberian baucer buku ini. Kesan tersebut ialah dalam konteks pembangunan ekonomi, khususnya dalam bidang pendidikan dan penerbitan bahan-bahan berilmiah di Malaysia.

Bantuan ini diberikan dalam bentuk baucer buku. Ianya tidak boleh ditukar kepada wang tunai. Maka ianya berkemungkinan besar akan digunakan untuk membeli buku (selain alat tulis). Baucer ini tidak boleh digunakan untuk membeli selain daripada itu.

  • Dengan demikian, maka kebaikan yang pertama ialah potensi kedai-kedai buku untuk mendapat lebih keuntungan akan bertambah! Dengan pemberian ini, pelajar-pelajar akan berpusu-pusu ke kedai buku. Misalnya saya terus membelanjakan RM150 selepas sehari menerima baucer tersebut. RM150! Biasanya saya tidak berbelanja sebesar itu untuk membeli buku (kecuali ada wang lebih). Bukan tidak teringin. Tetapi saya ada keperluan lain yang perlu dipenuhi. Jadi baucer ini hendak tak hendak terpaksa digunakan untuk membeli buku. Maka saya belilah buku-buku yang saya minati tanpa fikir panjang. Jadi, kebaikan baucer ini jelas telah menguntungkan pemilik dan pengusaha kedai buku.

  • Kedua, dengan peningkatan jumlah jualan buku juga membolehkan penerbit buku mendapat keuntungan. Buku-buku terbitan mereka berpeluang laku di pasaran. Ini akan menggalakkan mereka bertahan dengan menerbitkan lebih banyak buku-buku di pasaran tempatan. Tidak kiralah sama ada penerbit dalam mahupun luar negara. Jika ada permintaan, maka akan lebih banyaklah penawaran. Jadi pasaran buku di Malaysia akan lebih meriah! Maka industri penerbitan buku akan berkembang.

  • Ketiga, peningkatan jumlah penjualan buku di Malaysia akan menjadi 'insentif' kepada semua yang terlibat dengan industri penerbitan buku di Malaysia. Penjual, penerbit, pencetak, pembekal dan sebagainya. Peluang keuntungan daripada penggunaan baucer akan menjadi suatu galakan kepada mereka yang terlibat dengan industri berkaitan buku. Maka akan menarik minat lebih ramai pengusaha menceburi bidang ini dan memastikan industri ini terus bertahan atau berkembang.

  • Keempat, jumlah pembaca (atau setidaknya pembeli) buku akan bertambah. Maka wujud potensi terhadap peningkatan jumlah pembaca buku sekaligus golongan rakyat yang celik ilmu di Malaysia. Ini perkembangan yang baik, apatah lagi baucer ini diberi kepada pelajar institusi pengajian tinggi dan bakal penuntut IPT. Pengalaman saya, selain buku-buku saya sendiri, saya turut membeli beberapa buku untuk ahli keluarga yang lain. Maklumlah RM200, banyak tu! Memang banyak buku yang boleh dibeli. Jadi pelajar-pelajar berkeluarga seperti saya, akan berpeluang membelikan buku dan bahan bacaan untuk ahli keluarga juga. Justeru kerajaan dapat mendorong perkembangan bidang literasi dan pendidikan kepada pelbagai lapisan rakyat, bukan setakat pelajar saja.

  • Kelima, kerajaan pun akan turut mendapat pulangan (semula) 'pelaburan' melalui pulangan daripada cukai perniagaan! Peniaga buku, penerbit, pencetak dan sebagainya yang terlibat dalam bidang penerbitan dan penjualan buku akan membayar cukai perniagaan kepada kerajaan. Jadi perbelanjaan kerajaan untuk menawarkan bantuan dalam bentuk baucer, akan ditebus kembali melalui kutipan cukai perniagaan dan cukai pendapatan. Jadi beban bantuan baucer ini sebenarnya tidaklah ditanggung oleh kerajaan 100%!

  • Kerajaan dan negara juga akan menikmati peningkatan jumlah golongan pembaca buku dan rakyat yang celik ilmu. Bilangan rakyat yang celik ilmu juga akan meningkat kerana rakyat berpeluang mendapatkan buku-buku yang boleh mereka baca. Ini akan meningkatkan kadar literasi dan celik huruf di kalangan rakyat Malaysia. Sekaligus meningkatkan kualiti dan taraf hidup masyarakat.

Apapun, terima kasih kepada pihak kerajaan kerana telah melaksanakan suatu keputusan yang sangat besar impaknya kepada rakyat. Pada saya, baucer ini lebih kepada suatu suntikan modal dan 'tenaga' kepada perkembangan ekonomi dan pendidikan, khususnya yang berkaitan dengan industri buku dan perkembangan ilmu. Satu lagi langkah bijak selepas kerajaan memansuhkan PPSMI dan menggalakkan penulisan ilmiah dalam bahasa Melayu di kalangan ahli akademik!

Jadi, kepada sesiapa yang dapat peluang baucer RM200 ini, gunakanlah sepenuhnya peluang yang ada. Siapa tak mahu ambil tu, terpulanglah. Menyesal nanti!



.

Thursday, November 17, 2011

Kenapa pelajar perlu menulis bahan ilmiah?

Sebelum ini saya pernah menulis tentang kenapa kita (masyarakat) perlu menulis bahan-bahan bertulis / rujukan ilmiah (Rujuk Sini).

Namun di ruangan ini, saya ingin memberi pandangan kenapa pelajar universiti pula WAJIB menulis penulisan ilmiah. Ini memandangkan saya sendiri pernah menjadi pelajar universiti dan kini mengajar pula pelajar universiti (kadang-kadang saja), maka bolehlah saya merasai akan kepentingan tersebut.

Amnya penulisan ilmiah bukanlah asing bagi pelajar universiti (saya gelar pelajar saja). Ini kerana sekurang-kurangnya sekali bagi seluruh pengajian (sarjana muda, diploma) pelajar terpaksa menghasilkan sebuah penulisan, amnya dipanggil sebagai laporan projek tahun akhir. Bagi pelajar PhD dan sarjana pula biasanya berbentuk tesis (formatnya lebih kurang sama, tahap kandungannya saja berbeza). Manakala sesetengah pensyarah atau pengajar akan menugaskan pelajar menghasilkan laporan tugasan tertentu bagi subjek-subjek yang mereka ajar, justeru mempengaruhi markah keseluruhan bagi subjek-subjek yang dipelajari.

Jika dilihat keperluan ini, maka seharusnya pelajar mempunyai kemahiran menghasilkan penulisan berbentuk ilmiah. Jika tidak maka kemungkinan besar mereka menghadapi masalah menulis laporan yang berkualiti, sekaligus memberi pulangan markah yang rendah. Lainlah kalau pelajar itu memang berbakat semulajadi menulis, tidak perlu berlatih tetapi masih mampu menulis dengan baik. Namun yang berbakat selalunya amat jarang ditemui terutama untuk penulisan ilmiah dan teknikal, melainkan disertai dengan latihan yang berterusan.

Selain sebab di atas, pelajar universiti amnya ialah golongan intelektual. Dalam tangga sosial atau masyarakat, golongan intelektual ialah golongan yang terhormat. Biasanya mereka akan menduduki paras profesional seperti pentadbir, pengurus, ketua atau lain-lain golongan atasan. Bagi golongan ini, mereka seharusnya mampu menyusun atur hasil pemikiran, idea, arahan, panduan atau apa saja bentuk maklumat yang mereka hasilkan untuk disampaikan kepada orang lain.

Penulisan ilmiah merupakan suatu hasil kerja yang tersusun, yang bertujuan menyampaikan maklumat yang berguna kepada orang lain untuk disebar supaya diketahui, dipelajari dan difahami. Penulisannya pula khusus menggunakan format yang tertentu. Amnya penulisan ilmiah memerlukan kita (penulis) menulis semua maklumat-maklumat yang ingin disampaikan dalam bentuk yang tersusun kemas, serta mudah dirujuk oleh orang lain. Selain itu kita juga perlu menulis mengikut format sesuatu penulisan ilmiah - esei, laporan, tesis, ulasan dan sebagainya.

Berdasarkan keperluan sebagai intelektual dan bentuk penulisan ilmiah yang dapat membantu penyampaian maklumat secara berkesan, maka wajarlah seorang bakal intelektual iaitu pelajar menulis bahan-bahan rujukan ilmiah. Ini kerana selain melatih diri untuk menyampaikan maklumat secara berkesan, penulisan ilmiah itu sendiri boleh menjadi rujukan kepada orang lain yang menghargai penulisan tersebut. Oleh yang demikian, pelajar itu secara tidak langsung menyumbangkan sesuatu kepada pembangunan dan pendidikan masyarakat.

Oleh itu, adalah diharapkan pelajar dapat berazam untuk melatih diri menghasilkan sebanyak mungkin penulisan ilmiah. Selain memanfaatkan keupayaan dan kebijaksanaan yang Allah beri pada kita, penulisan membolehkan kita meningkatkan lagi kemahiran diri, serta memberi sumbangan ilmiah kepada masyarakat.


Friday, November 04, 2011

Berceloteh tentang pengaturcaraan komputer

(Sebenarnya saya tidak ada topik atau idea penting yang ingin dibincang atau ditulis. Tapi tangan ini 'gatal' ingin menulis sesuatu.)

Walaupun mengenali komputer sejak Tingkatan 2, kelas pengaturcaraan saya yang pertama ialah ketika di Tingkatan 5. Waktu itu saya diajar tentang pengaturcaraan menggunakan bahasa MS QBasic. Walaupun tidak memahami kepentingannya yang sebenar, saya rasa seronok dapat mencuba sesuatu yang baharu. Tambahan pula dapat membina program-program berbentuk permainan. Ini mendorong saya mendalami bahasa pengaturcaraan tersebut. Biasanya saya memang tidak sabar menunggu waktu kelas, kerana hanya masa itulah saya berpeluang menulis atur cara.

Dek kerana seronok dan tidak ada komputer sendiri, selalunya saya curi-curi menulis ketika cikgu menerangkan latihan yang perlu dibuat. Beberapa kali saya ditegur kerana sibuk menulis atur cara, walhal cikgu baru hendak memberi penerangan dan belum disuruh membuatnya. Selepas ditegur, akurlah sebentar. Namun esoknya buat lagi. Akhirnya cikgu pun sudah malas mahu menegur kerana saya 'tidak makan saman'. (Lagipun atur cara yang saya buat itu memang seperti yang dikehendaki, jadi mungkin sebab itu saya dimaafkan.)

Dek kerana seronok dengan QBasic, saya cuba mempelajari bahasa C pula apabila terjumpa buku mengenainya di perpustakaan sekolah. Sayangnya, walaupun bersemangat, namun akhirnya putus asa kerana tidak ada pengkompil untuk membina atur cara. Yang saya ada dan tahu ketika itu ialah menggunakan penterjemah QBasic. Tapi itupun memadai untuk saya berlatih.

Maka saya berterusan menggunakan QBasic sehinggalah saya dapat belajar tentang pengkompil dan bahasa-bahasa seperti Pascal, Cobol, C, Visual Basic dan beberapa lagi semasa belajar di universiti (UPM). Sejak itu saya banyak menghabiskan masa dengan pengaturcaraan. Tambahan pula universiti menyediakan kemudahan buku dan makmal komputer. Jadi mudahlah saya mengasah bakat dan meningkatkan kemahiran melalui latihan dan pembacaan. Mungkin disebabkan terlalu banyak menghabiskan masa mengaturcara, maka minat saya terdorong ke situ. Hakikatnya sehingga sekarang saya amat meminati bidang pengaturcaraan dan terus mendalami pelbagai aspek yang berkaitan dengannya seperti pembinaan pengkompil, falsafah bahasa dan kaedah pengaturcaraan, dan sebagainya.

Pengaturcaraan sebenarnya tidak sukar untuk difahami dan dikuasai. Asasnya semua bahasa pengaturcaraan itu sama dari segi fungsi dan bentuknya. Oleh sebab itu, apabila kita sudah menguasai asas kemahiran pengaturcaraan kita mudah menguasai pelbagai bahasa pengaturcaraan yang berlainan. Asas menguasai kemahiran pengaturcaraan ialah pengetahuan. Kita perlu tahu apa sebenarnya tujuan 'pengaturcaraan'. Kita kena fahami semua konsep penting berkaitan proses penghasilan atur cara atau perisian. Misalnya konsep penterjemahan dan pengkompilan. Hal ini boleh dikuasai dengan membaca buku atau sumber bacaan lain (internet, manual pengkompil dsb).

Kemudian kita kena pilih bahasa pengaturcaraan. Cara memilih bahasa bergantung kepada minat dan keserasian kita terhadap sesuatu bahasa pengaturcaraan. Ada bahasa yang mudah dikuasai dan ada yang rumit. Pilihan juga bergantung kepada tugas yang perlu dilaksanakan (masalah yang cuba diselesaikan). Walaupun bahasa pengaturcaraan bersifat umum, namun selalunya setiap satu mempunyai kelebihan dan kekurangan. Pengetahuan ini juga boleh diperolehi melalui pembacaan.

Apabila kita sudah ada pengetahuan asas yang cukup, barulah kita membina aturcara. 'Cukup' bukan semestinya banyak ataupun tahu semua perkara. Memadai mengetahui asas pengaturcaraan dan cara asas membina aturcara menggunakan sesuatu bahasa X. Kalau hendak tunggu tahu semuanya, boleh jadi kita tidak akan mengatur cara langsung. Pengetahuan asas boleh ditambah dan diperluaskan melalui pembacaan yang berterusan. Kita kena sentiasa berlatih. Kemahiran pengaturcaraan seperti kemahiran yang lain juga. Ia perlukan pengetahuan, dan untuk mahir kita perlu rajin berlatih. Melalui latihan yang banyak juga dapat memberi kita pengalaman. Pengalaman unik bagi setiap individu dan ia tidak akan diperolehi dengan setakat membaca. Kadangkala pengetahuan yang diperolehi melalui hasil latihan lebih baik berbanding setakat membaca.

Selain banyak membaca dan berlatih membina atur cara, seseorang pengatur cara perlu tahu tujuan dia mengatur cara. Biasanya atur cara dibina untuk melakukan sesuatu tugas. Misalnya membina permainan komputer, serta perisian aplikasi seperti pangkalan (simpanan) data, penyunting dan sebagainya. Mengetahui tujuan akan membantu kita memilih bahasa pengaturcaraan yang sesuai. Selain itu, ia akan membantu kita dalam tugas pengoptimuman, iaitu menghasilkan penyelesaian yang terbaik bagi sesuatu tugas atau masalah. Tujuan bukan setakat yang umum. Sebaliknya setiap elemen pengaturcaraan yang kita gunakan perlu ada alasannya. Misalnya, kita guna bahasa C bagi menghasilkan perisian terbenam kerana ia pantas; Kita gunakan struktur data berbentuk tatasusunan (array) ialah kerana lebih pantas dicapai dan ringkas bentuknya (tetapi perlukan lebih storan) berbanding senarai terpaut; Kita guna algoritma X kerana sebab tertentu dan sebagainya. Jika tidak tahu tujuan dengan jelas, maka mungkin pengaturcaraan kita akan memakan lebih banyak masa berbanding jika ada tujuan.

Penulisan ini bukanlah ilmiah. Sekadar berkongsi sedikit pengalaman dan pengetahuan. Diharapkan penulisan ini dapat menjelaskan serba sedikit tentang bidang pengaturcaraan komputer.



Thursday, November 03, 2011

Apa peranan guru?

('Guru' yang saya maksudkan ialah semua golongan pendidik, dan bukan setakat guru sekolah.)

Apakah peranan guru? Ini merupakan satu soalan yang sangat kurang bijak untuk ditanyakan pada orang ramai. Umum pasti mengetahui peranan guru ialah mengajar pelajarnya untuk menjadi orang yang berilmu.

Pada zaman-zaman dahulu - misalnya zaman ulama besar seperti Imam Ghazali dan Imam Syafie r.a., para pelajar sangat memuliakan dan menghormati guru. Begitu juga zaman datuk-nenek kita dahulu, guru-guru sangat dihormati dan dipandang mulia oleh masyarakat. Mengapa golongan guru dimuliakan? Tentunya kerana ilmu yang mereka miliki dan ajarkan kepada masyarakat, melalui pendidikan kepada pelajar-pelajar mereka. Guru-guru bersusah-payah memberitahu, menerangkan, menulis, membimbing, memperbetulkan dan melakukan pelbagai usaha lain bagi memastikan pelajar-pelajar mereka memahami ilmu yang disampaikan.

Disebabkan usaha ini, maka guru-guru dipandang mulia kerana mereka mengubah taraf seseorang individu daripada rendah (tidak berilmu) kepada tinggi (berilmu). Bahkan ada mengumpamakan guru itu 'ibarat lilin yang membakar diri untuk menerangi kegelapan'. Betapa tingginya sanjungan masyarakat pada guru.

Namun jika dilihat pada hari ini, pelajar-pelajar di sekolah mahupun di institusi pengajian tinggi seperti tidak lagi memuliakan golongan guru. Lihat saja apa yang berlaku di sekolah. Pelajar mengherdik, memaki malah sanggup mencederakan guru. Sementara di IPT, golongan yang dianggap cerdik (terpilih untuk masuk ke IPT) pun seakan hilang rasa hormatnya pada pensyarah masing-masing. Sedang guru mengajar di depan, pelajar sibuk bersembang di belakang. Hal ini mungkin nampak remeh, namun jika kita sebagai guru diperlakukan begitu, apa rasanya? Tentulah akan tersinggung. Tanyalah mana-mana guru yang ikhlas mengajar. "Ya, saya kecewa". Jadi mengapa agaknya perkara ini terjadi? Mengapa nilai penghormatan pada guru makin merosot?

Saya lebih berpendapat salah satu puncanya ialah daripada guru itu sendiri. Kalangan guru-guru sekolah ramai yang merungut gaji mereka kecil dan tidak padan dengan kerja. Bahkan pensyarah universiti yang gajinya mencecah belasan ribu pun masih ada lagi yang merungut. Sesetengah golongan pendidik ini pula hanya sibuk mengejar pangkat, hinggakan pelajar terabai. Ada yang malas mengajar, ponteng dan sebagainya.

Kalau beginilah sikapnya, hanya lebih pentingkan gaji dan pangkat, apakah lagi yang hendak dimuliakan pada seorang guru? Dalam hal ini guru-guru itu sendiri yang meletakkan diri mereka di taraf yang rendah, dan wajarlah kalau pelajar-pelajar mereka bersikap kurang ajar. Apa lagi yang hendak dihormati?

Adakah guru-guru sengaja atau terlupa tanggungjawab dan peranan mereka? Atau mungkinkah guru-guru sekarang memang tidak tahu peranan mereka? Saya pun tidak tahu. Apa yang saya tahu, mendidik dan membimbing insan mengenal Allah itu satu ibadah, dan di situlah sebenarnya 'kemuliaan' dan peranan sebenar insan bergelar 'guru'.


(Sekadar peringatkan diri sendiri.)


p/s: Apa makna 'cikgu'? Nampak macam akronim bagi 'encik guru' (macam 'berdikari'= berdiri atas kaki sendiri). Betul ke?

Wednesday, November 02, 2011

Mengutamakan Bahasa Melayu untuk Penulisan Ilmiah

Baru-baru telah diadakan Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu ke VIII di Dewan Bahasa dan Pustaka selama 3 hari bermula 28-30 Okt 2011. Kongres ini telah dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Y.A.B. Tan Sri Dato' Muhyiddin Mohd Yassin pada 29 Okt 2011. Topik dan isu utama yang dibincangkan ialah usaha mendaulatkan dan memperkasakan bahasa Melayu sebagai bahasa utama masyarakat Malaysia. Manakala antara isu hangat yang dibangkitkan ialah usaha memansuhkan PPSMI dan mendaulatkan semula bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan pendidikan, selaras dengan kandungan dalam Perlembagaan Malaysia yang meletakkan bahasa Melayu sebagai bahasa Kebangsaan Malaysia.

Bahasa Melayu pernah menjadi lingua franca di Kepulauan Melayu / Nusantara / Pascabima suatu masa dahulu. Rasanya semua orang yang belajar sejarah Tanah Melayu maklum akan hal ini. Namun berapa ramaikah masyarakat hari ini yang mengakui bahawa bahasa Melayu masih penting dan relevan sebagai bahasa ilmu pada masa kini?

Saya yakin kita semua akan lebih meletakkan penghormatan kepada bahasa Inggeris sebagai bahasa ilmu. Jika tidak secara secara nyata pun, kita akan mengakuinya tanpa sedar ('I' lebih sedap digunakan berbanding 'saya', dan 'informasi/information' lebih sedap berbanding 'maklumat'). Dalam kalangan masyarakat hari ini, sudah ramai yang tidak mahu mengakui bahasa Melayu sebagai bahasa yang wajar dihormati dan dikagumi. Ini berlaku kerana bahasa Melayu dianggap rendah nilai dan kepentingannya jika dibandingkan dengan bahasa Inggeris yang digunakan di merata-rata, dalam pelbagai aspek dan bidang kehidupan dalam masyarakat hari ini.

Berasaskan keyakinan ini, adalah penting untuk menyedarkan kita semua (termasuk saya sendiri) untuk mendaulatkan semula bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu. Melalui usaha ini, bukan sahaja akan memelihara bahasa warisan nenek moyang bangsa Melayu, tetapi juga menaikkan semula penghormatan masyarakat terhadap bahasa yang suatu masa dahulu merupakan bahasa utama penyampai dan pembelajaran ilmu di kalangan masyarakat di rantau ini.

Peranan bahasa Melayu bukan sahaja sekadar untuk perbualan sehari-hari. Tetapi bahasa Melayu mempunyai kehebatan dan keunikan yang tersendiri. Prof Syed Naquib Al-Attas menyatakan bahawa bahasa Melayu itu lebih 'sempurna' dalam menyampaikan maksud dan makna ilmu-ilmu berkaitan Islam. Bahasa Melayu tidak kurang tarafnya berbanding bahasa Inggeris dalam aspek penyampaian ilmu. Malahan, di kalangan bangsa Melayu, bahasa Melayu itu lebih memudahkan anak Melayu menjadi lebih pandai dan berilmu. Ini dapat dibuktikan melalui isu dan bencana yang ditimbulkan oleh program PPSMI, di mana anak-anak Melayu didapati lebih merosot pencapaiannya apabila mempelajari ilmu Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris. Walhal jika menggunakan bahasa Melayu, pencapaian anak Melayu jauh lebih bagus.

Bahkan selama inipun, melalui pendidikan menggunakan bahasa Melayu telah melahirkan cendekiawan-cendekiawan dan golongan profesional yang berkaliber daripada kalangan bangsa Melayu. Ini secara tidak langsung menunjukkan bahawa bahasa Melayu merupakan pelantar kepada anak bangsa dan masyarakat untuk mencapai kegemilangan, dan bukan sebaliknya.

Sesetengah cendekiawan berpendapat, untuk menaikkan semula martabat bahasa Melayu, ia mesti digunakan sebagai bahasa ilmu. Maka atas prinsip ini;
  • Penulisan-penulisan karya ilmiah yang menggunakan bahasa Melayu hendaklah diperbanyakkan.
  • Semua penulisan untuk menjelaskan sesuatu bidang ilmiah (konsep, definisi, penerangan dan sebagainya) hendaklah menggunakan bahasa Melayu.
  • Perbincangan ilmiah mestilah mengutamakan istilah dan bahasa Melayu, dan
  • Sesi pengajaran-pembelajaran dan pendidikan mestilah mengutamakan bahasa Melayu sepenuhnya.
Semua saranan ini perlulah disambut dan diperkasakan oleh semua penulis, pengkarya, ilmuan, sarjana atau sesiapa saja yang bergiat dalam bidang keilmuan, agar bahasa Melayu dapat dikembalikan kewibawaannya. Ini termasuklah penulis makalah, blog atau wacana-wacana lain di internet yang hari ini banyak dirujuk oleh penguna-pengguna ruang maya.

Diharap penulisan ini akan mendapat perhatian dan sambutan yang sewajarnya daripada masyarakat, khususnya yang terbabit dengan penulisan ilmiah. Mudah-mudahan usaha untuk menjulang semula bahasa Melayu sebagai bahasa utama masyarakat akan lebih berkesan dan dapat dilaksanakan dengan jayanya.