Jangan pelik. Walaupun minat dan aktiviti penyelidikan saya tertumpu kepada bidang sains komputer, saya juga turut mengkaji bidang linguistik yang mengkhusus kepada morfologi. Cuma tidaklah ke tahap pakar. Adalah tulis satu atau dua makalah. Antaranya boleh baca di sini dan di sini [1]Dalam penulisan ini saya nak bercerita hal berkaitan pembentukan perkataan dalam bahasa Melayu iaitu pengimbuhan. Tetapi bukan menerangkan kaedah pengimbuhan, sebab sudah ramai yang menulis tentang pengimbuhan (cuba Google). Tapi dalam penulisan ini saya menumpukan kepada menjelaskan konsep yang kurang diperkatakan orang iaitu morfotaktik.
(bahagian yang ditebalkan ialah imbuhannya)
- Awalan - cth: membaca, penulis, mendengar
- Akhiran - cth: tulisan, keratan, punyai
- Apitan - cth: membezakan, perkataan
- Sisipan - cth: gerigi, cerucuk, telunjuk
Pengimbuhan ialah proses mencantumkan kata akar dengan imbuhan untuk membentuk perkataan. Proses pengimbuhan ini pula berlaku mengikut peraturan tertentu (morfotaktik). Ini bermakna pengimbuhan tidak berlaku secara bebas atau sembrono, dan tidak boleh dilakukan sesuka hati. Misalnya imbuhan -an tidak boleh dicantumkan sebelum kata akar. Tempatnya hanya selepas kata akar. Misalnya anggaran, sisipan, makanan dsb. Begitu juga awalan (imbuhan sebelum akar) dan apitan (imbuhan wujud di kiri dan kanan akar) yang berlaku mengikut peraturan masing-masing.
Proses morfotaktik bagi sisipan (imbuhan terselit di celah kata akar) masih kurang jelas asas pembentukannya. Cuma yang boleh dikatakan mengenai pengimbuhan sisipan dalam bahasa Melayu ialah imbuhan hanya wujud (tersisip) selepas konsonan pertama kata akar. Misalnya imbuhan sisipan -er-, -el-, -em-. Namun secara amnya dipercayai proses sisipan juga ada morfotaktik yang tertentu.
Kalau di Malaysia, pihak Dewan Bahasa dan Pustaka ada menerbitkan buku Tatabahasa Dewan. Walaupun bukan khusus tentang morfotaktik (ianya lebih kepada memerihalkan nahu bahasa Melayu), buku ini harus dijadikan rujukan untuk memahami peraturan morfotaktik yang mendasari proses pengimbuhan dalam bahasa Melayu. Antara rujukan lain yang patut dibaca ialah buku Morfologi (terbitan PTS) karangan Prof Emeritus Dr. Abdullah Hassan.
[1] Terima kasih kepada mentor saya, Prof Madya Dr. Zaitul Azma Zainon Hamzah, FBMK, UPM yang banyak mendorong minat dan mengajar saya dalam bidang linguistik dan morfologi. Ironinya waktu saya bersekolah menengah dulu, subjek Bahasa Melayulah yang paling saya tak suka (walaupun cikgunya sangat baik dan berdedikasi). Saya sangat malas buat kerja sekolah Bahasa Melayu hingga didenda jalan itik di koridor! Kenangan... :)