Saya berasal daripada keluarga Melayu dan Jawa. Ayah saya keturunan Jawa tetapi lahir di Malaysia, dan ibu saya Melayu dari Perak. Sejak kecil, saya membesar dalam persekitaran dan suasana kehidupan masyarakat Melayu berketurunan Jawa. Walaupun tidak belajar mahupun berkomunikasi secara kerap dalam bahasa Jawa, saya boleh bercakap bahasa Jawa kerana persekitarannya dipenuhi masyarakat Jawa.
Pergaulan atau percampuran saya dengan bangsa lain agak terbatas. Dalam kalangan jiran-jiran saya, hanya ada Melayu penuh (tulen) dan ada pula keturunan Banjar. Meskipun kaum Banjar yang berasal dari Indonesia ialah suku kaum yang berlainan daripada Melayu mahupun Jawa, tetapi jiran saya itu hanya keturunannya saja, dan keluarganya dah bercampur dengan keturunan Melayu dan Jawa. Jadi pengaruh Melayu dan Jawa tetap menjadi pengaruh terbesar. Walaupun ada kawasan yang ramai penduduk bangsa lain yang bersebelahan kampung, kawasan itu agak jauh dari rumah saya.
Saya agak 'totok' terhadap budaya Melayu Jawa kerana persekitaran hidup saya begitu. Saya pernah belajar sekelas dengan seorang rakan Cina dan seorang India semasa Darjah 1. Namun sekejap saja, kerana mereka kemudiannya berpindah. Sebelum bersekolah menengah, saya tidak ada peluang bergaul dengan rakan, selain Melayu Jawa. Jadi dunia saya hanya Melayu Jawa.
Disebabkan persekitaran, saya tidak pernah melihat secara dekat budaya bangsa lain. Hanya apabila masuk sekolah menengah, barulah dapat bergaul dengan rakan-rakan bangsa lain. Di sekolah menengah memang terasa perbezaan budaya (alami kejutan budaya, atau culture shock). Ada sesetengahnya saya dapat terima, ada pula yang tidak (tidak faham mengapa). Namun sebarang perbezaan tidak menghadkan saya untuk menerima mereka sebagai kawan. Saya tetap berpegang dengan budaya saya, dan saya melihat budaya lain sebagai hak mereka. Semua rakan bangsa lain juga menghormati budaya saya.
Hinggalah sekarang saya masih lagi memegang teguh budaya Melayu Jawa. Walaupun begitu tidak ada masalah bagi saya untuk bergaul dan bercampur dengan bangsa lain. Pada saya, selagi kita saling hormat-menghormati budaya masing-masing, tidak sepatutnya timbul perbalahan. Saya tidak nafikan, ada kalangan orang Melayu yang mengeluarkan 'kata-kata nakal' terhadap bangsa lain. Namun saya juga percaya, bangsa lain juga ada memperkatakan hal yang sama kepada bangsa Melayu. Sebenarnya tak pelik pun. Berprasangka adalah perkara lumrah kerana prasangka dan sikap 'stereotaip' terhadap orang lain memang sifat manusia. Kadang-kadang sesama bangsa sendiri pun kita ada prasangka. Jadi perlukah hal begini jadi isu dan dikaitkan sebagai punca perbalahan kaum?
Perkauman ialah suatu kepelbagaian dan bukan faktor kebencian atau permusuhan
Secara peribadi, saya tidak ada masalah dengan sikap perkauman. Apabila melibatkan pertembungan budaya, mustahil akan membentuk persamaan 100%. Apatah lagi jika masing-masing mahu terus mengekalkan budaya asalnya. Misalnya Melayu dengan budaya Melayu, Jawa dengan budaya Jawa, Cina, India, Sikh dsb. Bahkan dalam kalangan satu bangsa itupun ada pecahan suku mengikut daerah. Namun ini bukan alasan untuk permusuhan. Selalunya timbul permusuhan apabila suatu bangsa itu ingin mendominasi bangsa atau budaya yang lain. Ini akibat sikap ego, tamak, cemburu, dengki dan segala macam sifat buruk. Maka tidak wajar jika dikatakan sikap perkauman itu sebagai punca permusuhan, kerana yang buruk itu berpunca pada sikap individu.
Permusuhan antara budaya atau bangsa sebenarnya boleh dielakkan kalau masing-masing sedia bertolak-ansur (menerima perbezaan orang lain sebagai ciptaan Allah dan menerima hakikat manusia tidak mampu wujud sendirian). Jangan mengharapkan orang lain saja yang bertolak-ansur dengan kita. Kita juga harus bertolak-ansur. Kita juga harus ingat, budaya tertentu ada pantang-larang dan hal yang tidak boleh ditolak-ansur. Dalam hal begini, kita harus sedia menerima keadaan tersebut dengan bersikap terbuka. Ini bukanlah bermakna kita kena menganut budaya yang lain itu. Sebaliknya jika diamalkan sekitar kita, janganlah pula kita menentangnya semata-mata kita tidak suka. Biarkan orang lain dengan budayanya, selagi tidak mengganggu atau mengancam kita. Kalau tidak bersetuju sekalipun, sampaikanlah teguran dengan berhemah.
Berdasarkan pengalaman hidup sendiri dan apa yang saya perhatikan, sebenarnya sikap perkauman (merasakan diri kita tergolong dalam suatu kelompok yang unik dan berbeza daripada orang lain) bukanlah suatu keburukan. Bahkan dalam konteks tertentu, sikap perkauman itu perlu - misalnya memelihara identiti suatu masyarakat, bangsa, etnik dsb. daripada pupus. Kadang-kadang seronok apabila mengenali budaya yang berbeza dengan kita. Janganlah kita membenci dan cuba bermusuh dengan bangsa lain. Terima perbezaan itu sebagai kepelbagaian alam. Dalam pada itu, kita tidak semestinya menerima (menganut) budaya orang lain dan meninggalkan budaya kita untuk mewujudkan perpaduan. Jika bangsa lain tidak faham budaya kita, jelaskanlah agar tidak timbul prasangka.
Dalam keadaan berbilang bangsa, perpaduan boleh diwujudkan melalui semangat toleransi dan bertolak-ansur. Kita juga boleh mengukuhkan perpaduan dengan
- cuba berprasangka baik terhadap bangsa lain,
- memahami budaya mereka,
- memperat hubungan persahabatan, kejiranan, dll. dan
- tolong-menolong dalam hal umum (jamuan, gotong-royong dsb.)
Jadi janganlah jadikan alasan perkauman itu sebagai punca permusuhan. Sebenarnya banyak hal, yang jika kita jadikannya positif, akan memberikan hasil yang positif. Dalam aspek perpaduan, perkauman sebenarnya bukanlah punca permusuhan. Bahkan boleh menjadi sumber dan asas perpaduan, selain membentuk jati diri individu dan kepelbagaian alam. Maka perkauman tidak salah, asalkan diamalkan secara patut-patut dan kena pada tempatnya.
Sumber imej: Internet
.
No comments:
Post a Comment