Pages

Showing posts with label budaya. Show all posts
Showing posts with label budaya. Show all posts

Thursday, February 13, 2020

Cara untuk berjaya di peringkat Master atau PhD


Saya ni bukanlah pakar sangat dalam penyelidikan. Tapi saya ada la sikit ilmu dan pengalaman yang boleh saya kongsikan berkaitan hal ini. Kalau rasa berguna, ambillah. Saya tak jaminlah pasti berjaya, cuma kalau ada panduan lebih baik daripada tak ada.

Harapan saya ialah dengan sedikit perkongsian ini, dapat membantu anda atau sesiapa yang berminat untuk sambung belajar ke peringkat Master atau PhD (saya gabungkan sebagai pascasiswazah). Setidaknya tidaklah sampai tercari-cari atau main 'terjun' saja tanpa persediaan bila mendaftar.

Pengajian pascasiswazah amnya ada dua bentuk - kerja kursus (sama konsepnya macam pengajian diploma atau bacelor) dan penyelidikan. Ada juga program pascasiswazah yang gabung 2-dalam-1 (buat tesis penyelidikan tapi kena ambil kelas). Panduan yang saya nak kongsi ni lebih kepada 'strategi' untuk program jenis penyelidikan. Untuk Master paling ideal ialah 3 tahun, PhD 4 tahun.

Konvokesysen untuk pelajar PhD UPM. Gambar hiasan.
Kredit foto : http://sgs.upm.edu.my
Bila kita buat penyelidikan, fokus dan niat kita apa? Fokus kita ialah untuk selesaikan masalah, isi kekurangan yang wujud. Masalah di mana, konteks apa? Masalah dalam sesuatu bidang. Misalnya dalam bidang sains komputer. Nak selesaikan semua? Tidak. Kita akan fokuskan pada 1 sub bidang. Misalnya dalam sains komputer ada bidang keselamatan perisian. Sub bidang ini pun masih luas. Kena fokus lagi supaya cukup dan sesuai dengan masa yang terhad.

Jadi kecilkan skop, misalnya keselamatan penimbal bagi sistem pengoperasian. Jangan pula terlalu kecil sebab skop penyelidikan pascasiswazah tidak boleh terlalu kecil dan tidak boleh terlalu besar. Macam mana nak tahu? Biasanya penyelia boleh nilaikan atau berdasarkan kajian literatur (baca kajian orang lain, akan tahu). Ini disebut latar belakang kajian.

(Trivia - TAHUKAH ANDA? Belajar peringkat Master dan PhD bukan untuk dapat status yang tinggi atau gelaran. Itu salah niat. Sebaliknya niat kita ialah untuk menyumbang kepada body of knowledge untuk kebaikan masyarakat. Juga, matlamat bidang akademik tidak sama dengan matlamat industri. Akademik matlamatnya ialah ilmu baharu, industri cari produk baharu atau untung) 

Skop saja belum cukup. Kita perlu kenal pasti secara spesifik masalah apa yang nak diselesaikan dalam skop tersebut. Masalah ini pula tidak boleh main agak saja. Berdasarkan pembacaan dan kajian literatur (secukupnya, bukan setakat 4-5 makalah), kita pilih masalah. Daripada pembacaan, kita tentukan masalah apa yang orang dah selesaikan dan masalah apa yang belum selesai. Mesti pilih masalah yang belum selesai dan sebaiknya ramai penyelidik yang ingin selesaikan.

Misalnya, masalah keselamatan penimbal dalam sistem pengoperasian dah lama diselesaikan. Kalau kita pilih tajuk ini, pasti akan gagal sebab dah bukan dianggap masalah. Tapi mungkin masalah yang berlaku, prestasi penimbal yang selamat itu perlahan. Jika ditambah kaedah baru atau unik, dan bertambah laju, maka baru boleh dianggap penemuan baru. Maka masalah kajian yang ingin diselesaikan ialah meningkatkan prestasi penimbal selamat dalam sistem pengoperasian. Ini disebut sebagai pernyataan masalah.

Daripada pernyataan masalah, kita bina objektif kajian. Masalah yang dikenal pasti, prestasi penimbal perlahan. Objektifnya, untuk selesaikan masalah ini dengan pertingkatkan kelajuan penimbal. Dengan cara apa? Mungkin (sebab kita tak pasti tapi rasa macam boleh) dengan cara gunakan algoritma X (contoh). Ini disebut hipotesis. Maka objektif kajian dinyatakan sebagai meningkatkan prestasi penimbal selamat dalam sistem pengoperasian menggunakan algoritma X. (pernyataan hipotesisnya berbentuk dakwaan atau andaian iaitu algoritma X dapat  meningkatkan kelajuan penimbal selamat dalam sistem pengoperasian.)

Andaikan kita pilih objektif di atas. Di akhir tempoh penyelidikan, kita perlu capai objektif. Bermakna kita kena buktikan (kalau sains komputer, dengan bukti empirikal atau matematik) bahawa algoritma X dapat meningkatkan prestasi penimbal selamat dalam sistem pengoperasian. Maka bila kita buat objektif, pastikan kita tahu macam mana yang dikatakan prestasi meningkat. 

Amnya, cara pembuktian empirikal dengan eksperimen perlu ikut langkah berikut:
  1. Kenal pasti tujuan dan kaedah eksperimen (objektif kita ukur prestasi penimbal)
  2. Kenal pasti unit ukuran dan 'benchmark' yang telah dicapai oleh orang lain (cth. prestasi penimbal diukur dalam ukuran 'bait dihantar per saat', dan kelajuan yang dah orang capai ialah 1 Megabait dihantar per saat. Objektif kita perlu lebih laju, maka mesti capai lebih laju daripada 1 Megabait per saat. Julat beza juga mesti signifikan, misalnya > 5%. )
  3. Dapatkan ukuran data dan hasil eksperimen, yang boleh sokong objektif. Misalnya, kita nak ukur kelajuan maka data itulah yang kita kumpul. 
  4. Kemudian buat kesimpulan berdasarkan data, bukan ikut logik akal saja (apatah lagi menipu dengan memanipulasi data, jangan!). Kalau hasil data menunjukkan memang laju bertambah, maka kita dah buktikan kelajuan bertambah, maka tercapailah objektif. Kalau tak tercapai, kita boleh ulang eksperimen (mungkin sebelum tu salah cara) atau cuba tambah baik (algoritma X tak berjaya, guna algoritma Y pula) sampai kita dapat capai 'laju bertambah'. (kalau algoritma Y yang berkesan, kita tulis semula objektif)
  5. Wajib tahu alasan bagi pemilihan kaedah, unit ukuran dan 'benchmark', dan alasan kesimpulan eksperimen atau kajian yang kita buat. Sebab bila sampai waktu viva (pertahankan hasil kajian), kalau tak boleh bagi alasan, bye-bye, atau lanjutkan pengajian.

Sekiranya ekperimen kita (disokong oleh data dari hasil eksperimen) menunjukkan memang laju penimbal bertambah dengan algoritma X, maka kita simpulkan hipotesis kita benar. Maka tercapailah objektif. Lepas tu dah bolehlah tulis dan hantar tesis, lalui pemeriksaan viva dan lulus viva itu dan seterusnya kita boleh dapat Master atau PhD. Beza Master atau PhD ialah masalah yang kita selesaikan itu masalah fundamental (PhD) atau hampir fundamental (Master). Misalnya kalau objektif tambah prestasi penimbal dengan algoritma X itu belum fundamental maka layak dapat Master saja. Tapi kalau masalah tu memang fundamental (algoritma X tak pernah digunakan untuk tambah kelajuan penimbal) maka layak dapat PhD sebab sumbangan dianggap besar dan baharu.

Diharap dengan penerangan ini, dapat memberi gambaran macam mana nak mulakan usaha mengejar Master atau PhD.

Kalau suka penulisan ini atau dirasakan berguna, silalah bagi komen dan pandangan. Juga sampaikanlah pada orang lain. Kalau banyak respons saya sambung lagi dengan info yang lebih berguna (inshaAllah), yg saya tahu. 

(Kadang-kadang bergantung pada nasib. Ada universiti yang mudah lepas, dan ada yg sangat cerewet nak lepas begitu saja. Biasalah,sistem ciptaan manusia. Tapi sebagai penyelidik yang beretika kita buat sebaik dan sejujur mungkin, dan selebihnya kita doalah supaya Allah bagi kita rezeki)

Sunday, February 09, 2020

'Tolong bagi saya A'




(sumber foto: internet) 
Realiti masyarakat hari ini, 'dapat A' itu dianggap seolah-olah sebagai suatu matlamat pendidikan. Ada ketikanya saya melihat pelajar hari ini seolah-olah terlalu 'mendewakan' A. Begitu juga dengan mak bapaknya. Daripada UPSR, PT3, SPM, dan entah apa lagi, semua sibuk membilang A. Bahkan pelajar TASKI pun ada mak bapak yang susah hati kalau anak tak dapat A. Walaupun sudah ada kesedaran, namun budaya ini masih berterusan. 

Di universiti pun tak kurang taksubnya. Pelajar bersungguh-sungguh merayu supaya diberi A. Kalau tidak dapat A seolah-olah tak belajar apa-apa. Bahkan, saya yakin dan pasti, sekarang ini ada yang dah menganggap masa depannya gelap kalau tak dapat A. (saya tak mahu kaitkan dengan kes pelajar bunuh diri, sebab boleh jadi itu disebabkan faktor lain) 

Baguskah ada mentaliti macam ni, mengagungkan A? Sebagai pendidik, saya melihat ini satu perkembangan yang tidak baik. Bahkan dah jadi beban pula. Kadang-kadang hasil kerja pelajar yang mahukan A ini tidak capai tahap sepatutnya tapi masih minta A. 

Saya tak nafikan, bersungguh-sungguh ingin mendapat gred A ada aspek positifnya. Gred A ialah yang terbaik. Maka secara tak langsung, orang yang bersungguh mahukan A menandakan orang itu mahukan kecemerlangan. 

Saya bukan maksudkan yang kita tak boleh ada kesungguhan nak dapat gred A. Boleh. Bagus. Saya pun mahu. Bahkan dengan ada matlamat ini boleh dorong seseorang jadi rajin. Dan saya sama sekali tak suruh dapat F. Tapi janganlah taksub, sampai gred A itu dijadikan matlamat mutlak ataupun penanda aras mutlak kecemerlangan.

Secara falsafahnya, saya melihat mentaliti 'mendewakan A' ini hanya akan membentuk masyarakat yang materialistik. Kalau dulu materialistik hanya terhad pada wang atau harta. Tapi sekarang A pun dianggap suatu status kemuliaan (kebijaksanaan)! Kesannya ialah, golongan yang tidak dapat A pula akan dianggap lemah, tidak bijak dsb. Ini yang kita tak nak. 

Jika anda ada mentaliti "A = kejayaan, kejayaan = A", anda silap. Kita belajar atau dapatkan ilmu ialah supaya kita dapat menilai serta membezakan benda yang baik dengan yang buruk. Kalau dalam Islam, ilmu membimbing akal untuk mengawal nafsu. 

Dalam sesuatu konteks ilmu, jika seseorang itu masih gagal membezakan baik dengan buruk, maka itu tandanya dia belum dapat mengaplikasi ilmunya. Itupun jika dia faham apa yang dipelajarinya (hakikatnya kemampuan menilai itulah yang menunjukkan dia faham atau tidak). Tidak ada guna dapat gred A, tapi masih tak mampu menilai antara baik dengan buruk.

Gred A itu hanya gambaran tahap kemampuan. Bahkan kita sebenarnya tak perlu kecewa jika tak dapat gred A pun, kalau pada masa yang sama kita sudah ada keupayaan menilai itu. Berbanggalah.

Satu perkara lagi yang harus difahami, hasil pembelajaran tak terhad pada konteks ilmu itu saja. Misalnya kita belajar sains komputer, tak bermakna kita wajib mahir sains komputer. Ilmu yang Allah SWT jadikan itu sangat luas. Apa yang kita dapat fahami sepanjang kita belajar sains komputer itu juga suatu ilmu. Apatah lagi kalau dapat aplikasikan.

Sebagai contoh, kemahiran insaniah dan sikap seperti rajin dan belajar bersungguh-sungguh juga suatu hasil pembelajaran. Ada masanya juga, waktu kita belajar tentang sains komputer terselit fakta dan ilmu berkenaan matematik, bahasa, logik dsb. Ini juga suatu hasil pembelajaran. Cuma berbanding sains komputer, ilmu dan kemahiran 'sampingan' itu tidak melalui proses penilaian (tidak ada grednya). Maka, kalau kita dapat yang 'sampingan' itu, berbanggalah.

Saya berharap anda di luar sana, janganlah terlalu 'mendewakan A'. Bagus jika ingin mencapai kecemerlangan dan tunjukkannya dengan jumlah A yang kita dapat. Tetapi jangan sampai taksub sangat. Dapat A itu rezeki. Ada masa dapat, ada masa tak dapat. Berbanggalah dengan apa yang kita capai setelah berusaha, dan bersyukurlah.

Lepas ini kalau ada yang merayu pada saya supaya dia diberi A, saya beri F+.

(Isu ini mungkin dah basi. Tapi sebab ia masih berlaku maka saya mahu beri pandangan saya. Saya juga tak setuju kalau kita jadikan tugas mendidik untuk menghukum - baca di sini )

* kredit foto: VectorStock.com

Saturday, June 03, 2017

Universiti - tempat mendidik atau menghukum?



Hukuman tembak ke atas pesalah jenayah. Jangan jadikan universiti sebagai tempat menghukum pelajar
(Sumber foto : internet)


Apabila seseorang individu mendaftar masuk ke universiti, pastinya mempunyai matlamat dan niat yang tertentu. Matlamat atau niat ini boleh jadi pelbagai. 

Amnya apabila seseorang mendaftar ke universiti yang merupakan sebuah institusi pendidikan, sekurang-kurangnya seseorang itu perlu ada matlamat untuk menimba ilmu berkaitan bidang yang diminati atau ingin diceburi. Misalnya kalau seseorang mendaftar ke dalam bidang pengajian sains komputer, antara kemahiran yang ingin (perlu) dipelajari ialah kemahiran pengaturcaraan komputer. Maka apabila tamat pengajiannya selepas 3-4 tahun, pelajar tersebut sepatutnya sudah mahir atau tahu tentang cara mengaturcara komputer. Justeru apabila seseorang belajar di universiti maka dia sepatutnya ada niat dan matlamat ingin jadi orang yang mahir atau pandai dalam bidang yang diceburinya.

Apakah cara menentukan sama ada seseorang itu sudah mahir atau pandai? Untuk menilai hal ini, maka perlu dilakukan proses penilaian. Apakah matlamat proses penilaian? Penilaian bermatlamat untuk menilai sama ada pelajar tersebut sudah mencapai tahap yang sepatutnya ataupun belum. Sekiranya pelajar BERJAYA melepasi tahap minimum, pelajar ini dianggap SUDAH mahir dalam topik yang dipelajarinya. Jika GAGAL melepasi tahap minimum pelajar ini dianggap BELUM mencapai tahap mahir, justeru dia perlu mengulang semula proses pembelajaran dan ujian sehinggalah dia berjaya mencapai atau melepasi tahap minimum yang ditetapkan. Jika pelajar masih gagal dan tidak sanggup meneruskan (mengulang) pengajiannya, maka dia boleh berhenti dan mencuba di tempat lain.

Sebagai sebuah institusi pendidikan, universiti perlu melaksanakan proses pembelajaran dan penilaian untuk memastikan setiap individu yang belajar di universiti ini mahir dalam bidang yang dipelajari. Universiti seharusnya memberi ruang dan peluang kepada pelajar untuk menjadi seorang individu yang mahir dan pandai apabila bergraduat kelak. Maka dengan cara ini tercapailah matlamat individu tersebut datang dan belajar di universiti iaitu untuk menjadi mahir dan pandai. Universiti seharusnya menjadi tempat untuk belajar sesuatu, dan tidak sepatutnya menjadi institusi untuk menghukum orang. Jika tidak, ibaratnya universiti sama seperti institusi pemulihan dan penjara. 

Bagaimana yang dikatakan universiti itu boleh menjadi tempat menghukum? 

Pertamanya dalam konteks pembelajaran. Manusia ada pelbagai sifat dan tahap kemahiran. Ada sesetengah orang yang cepat mempelajari sesuatu. Ada sesetengahnya pula lambat atau perlu melalui proses ulangan (mungkin banyak kali) sebelum faham sesuatu. Tidak dinafikan, pasti akan ada individu yang menghadapi masalah untuk mempelajari sesuatu dan mungkin tidak mampu langsung memahami apa yang dipelajari. Justeru sebagai sebuah institusi pembelajaran, proses pembelajaran di universiti perlu mengambilkira perbezaan kemampuan penguasaan pelajar. Suasana pembelajaran yang fleksibel perlu diberikan supaya pelajar boleh memilih proses pembelajaran yang sesuai dengan tahap penguasaan masing-masing.

Malangnya dalam konteks ini, ada sesetengah universiti yang memaksa pelajar melalui satu bentuk proses pembelajaran saja. Proses pembelajaran yang rigid dan tidak fleksibel ini memaksa pelajar menerima apa saja yang diberikan. Kemudian pengajar pula tidak menawarkan bantuan perbincangan dan sebagainya. Ini bukan saja satu bentuk kongkongan kepada kebebasan pelajar untuk memilih bahkan tidak menjamin pelajar akan dapat memahami apa yang dipelajari. Ini sekaligus meningkatkan risiko stress dan tekanan kepada emosi pelajar, dan seterusnya meningkatkan lagi halangan kepada pelajar untuk belajar. Jadi kalau pelajar rasa susah, tidak seronok dan menderita untuk belajar, bukankah ini sudah jadi satu bentuk hukuman?

Keduanya ialah dalam konteks penilaian. Ujian penilaian dan peperiksaan digunakan sebagai satu cara menilai tahap penguasaan pelajar pada satu-satu masa. Misalnya di hujung semester, pelajar akan dinilai dengan peperiksaan akhir untuk menentukan pelajar sudah mahir dalam ilmu yang diajar dalam suatu kursus bagi semester tersebut. Ujian penilaian ini menggunakan kaedah penilaian tertentu, amnya menggunakan soalan yang digubal oleh pengajar dan perlu dijawab oleh pelajar dalam tempoh masa yang ditetapkan. 

Di sini dapat dilihat terdapat pelbagai faktor kekangan dan had bagi ujian penilaian. Antaranya faktor bentuk soalan, iaitu bentuk soalan itu belum tentu benar-benar mencapai piawaian. Ada soalan-soalan yang digunakan sukar difahami oleh pelajar, mengandungi kesilapan yang terlepas pandang sewaktu semakan, tidak mencapai tahap sepatutnya, dsb. Ada pengajar yang tidak mempunyai pengalaman dan belum mampu untuk membentuk soalan penilaian yang tepat.

Masa menjawab soalan pula perlu sesuai dengan proses menjawab. Ada soalan yang perlu dibaca dengan teliti untuk difahami. Kemudian memerlukan masa untuk menulis jawabannya. Kalau pelajar boleh cepat faham soalan, maka banyaklah masa untuk menulis jawaban. Tetapi kalau masa yang panjang diperlukan untuk memahami soalan, maka sudah kurang masa yang ada untuk menulis jawaban. Proses menjawab soalan, jika berdasarkan model oleh Ayesha Ahmed dan Politt (1999) perlu melalui 6 peringkat - (0) pengetahuan mata pelajaran, (1) kefahaman soalan, (2) mencari pengetahuan mata pelajaran, (3) memadankan perwakilan soalan dengan pengetahuan mata pelajaran, (4) menjana jawapan, dan yang terakhir (5) menulis jawapan. Jika berdasarkan model ini, ada 6 peringkat yang perlu diselesaikan untuk menulis jawaban bagi setiap soalan dalam ujian penilaian! [*1]

Bahkan lebih mendukacitakan lagi sistem penilaian kita pula menggunakan gred - A, B, C, D, F (kenapa tiada E?). Jika A, pelajar dikategorikan cemerlang, B = pencapaian baik, C = memuaskan, D = lulus. F pula gagal. Beza antara D dan F mungkin jelas. Lulus atau gagal. Namun persoalan yang perlu ditanyakan, apakah perbezaan kemahiran antara pelajar yang mencapai A dengan B? Bagaimana pula beza C dengan D? Adakah perbezaan ini relevan? Adakah soalan-soalan penilaian kita itu benar-benar dapat mengkelaskan pelajar ke dalam kategori cemerlang, pencapaian baik, memuaskan dan sekadar lulus? Tetapi budaya masyarakat kita akan melihat A itu ialah satu-satunya pencapaian yang LULUS. Jika tak dapat A, tetap dianggap gagal. Bukankah ini satu hukuman? Dan lebih malang jika hukuman itu tidak setimpal dengan kesilapan yang dibuat (cth. tidak sempat menulis jawaban kerana masa singkat).

Jika diambil kira bahawa proses penilaian itu sendiri dipengaruhi oleh pelbagai faktor luaran selain penguasaan pelajar terhadap topik, maka adalah tidak wajar sekiranya penilaian penguasaan pelajar hanya dibuat berdasarkan keputusan proses penilaian semata-mata. Namun itulah yang sedang berlaku dalam universiti pada hari ini.

Justeru kita perlu pastikan bahawa proses pembelajaran dan penilaian itu tidak menjadikan universiti sebagai tempat menghukum dengan mengelakkan menjatuhkan hukuman yang tidak adil kepada pelajar. Sebaliknya 2 proses tersebut seharusnya dijadikan saluran untuk membentuk pelajar supaya sentiasa bersemangat untuk menimba ilmu dan memanfaatkan potensi yang diri sebaik mungkin agar pelajar dapat membentuk pengetahuan dan kemahiran yang diperlukan atau diingininya.

Dalam perbincangan di atas, saya hanya fokus di universiti kerana saya juga terlibat (dan tak mustahil turut menyumbang kepada masalahnya, muhasabah...). Namun saya yakin hal ini boleh berlaku di institusi pendidikan lain termasuk di peringkat prasekolah dan sekolah. Misalnya Foo Lay Kuan, et al. (2015) turut menyenaraikan masalah berkaitan menjawab peperiksaan yang dihadapi di peringkat sekolah menengah. Justeru eloklah kalau dapat direnungkan bersama agar kita tak tersalah menghukum.


----
Nota kaki:

[*1] Model ini juga digunakan untuk menilai tahap kesukaran murid menjawab soalan ujian literasi sains sekolah menengah. Rujuk Foo Lay Kuan, et al. (2015).

Rujukan:

Ayesha Ahmed & Politt A. (1999) Curriculum demands and question difficulty. Paper presented at the International Association for Educational Assessment, Bled, Slovania.

Foo Lay Kuan, S. Balasubramaniam, Chin Phoi Ching, Yeoh Poh Choo, Parvinder Singh Amar Singh (2015) Kesukaran murid menjawab soalan ujian literasi sains sekolah menengah. IPG Kampus P. Pinang, Penang.

Tuesday, April 01, 2014

Salahkah bersikap perkauman? (Bhgn akhir)

Penulisan seterusnya masih lagi berkisar tentang salah faham terhadap 'sikap perkauman'. Namun kali ini saya ingin menulis tentang faktor-faktor salah faham dan persepsi negatif terhadap sikap perkauman. Ini adalah bahagian ketiga dan yang terakhir. Penulisan sebelumnya boleh dirujuk di sini dan di sini.

Amnya saya melihat punca kepada salah tanggap atau salah faham terhadap sikap perkauman ialah kerana masyarakat sudah beranggapan bahawa sikap perkauman itu memberi implikasi kepada kebencian, dan dengan mengelak sikap perkauman dianggap memberi implikasi akan menghindarkan kebencian yang sekaligus mewujudkan persamaan, kesatuan, kebersamaan dan perpaduan. Apabila tanggapan ini diterima sebagai norma, maka anggota masyarakat yang baru (baru kenal sikap perkauman) akan mengamalkan norma ini. Maka jadilah ia suatu tanggapan yang seolah universal (sikap perkauman menimbulkan kebencian terhadap kaum lain) dan seolah-olah benar. 

Sedangkan jika kita analisa kemungkinan dan pilihan yang ada, sebenarnya hal ini tidak benar sepertimana tanggapan yang menjadi norma itu (sila rujuk perbincangan ringkas saya berkenaan logik dalam sikap perkauman). Sepertimana yang saya tuliskan, ada empat pilihan/ kemungkinan yang boleh berlaku. Perkauman itu tidak semestinya mengimplikasi kepada kebencian (mahupun tanpa perkauman mengimplikasi tiada kebencian). Tiada ada kesahihan dan bukti bahawa perkauman (mesti) mengimplikasi kebencian. Begitu juga tidak benar bahawa tanpa perkauman mengimplikasi tiada kebencian. Jelas sekali kedua-duanya merupakan pemboleh ubah tidak bersandar (tidak terikat antara satu sama lain). 

Disebabkan ia bukanlah suatu ikatan, maka kita bebas memilih untuk menjadikan perkauman dan tiada kebencian itu benar secara serentak. Kita boleh saja memilih untuk bersikap perkauman tetapi tidak membenci kaum lain. Mengapa perlu ada kebencian? Seseorang yang mahu membela bangsanya boleh saja belajar daripada bangsa lain. Kita perlu kembali kepada sumber rujukan kita iaitu Al-Quran, bilamana Allah SWT berfirman (dalam Surah Al-Hujurat ayaht 13) yang bermaksud, "Wahai manusia! Sungguh, Kami telah menciptakan kamu dari seorang lelaki dan seorang perempuan, kemudian Kami jadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku agar kamu saling mengenal". Sekiranya logik 'perkauman mengimplikasi kebencian' itu benar, bukankah bertentangan dengan maksud ayaht tersebut? Jadi yang mana kita lebih percaya? Firman Allah atau persepsi manusia/ budaya?

Nabi Muhammad SAW bangga sebagai seorang yang berketurunan Bani Quraisy. Adakah ini bermakna Nabi Muhammad membenci bangsa lain? Hakikatnya hari ini Islam dianut oleh pelbagai bangsa dan golongan. Kalau baginda benci, sudah tentu Islam tidak akan merentas bangsa dan kaum, melainkan hanya disebar dalam kalangan Bani Quraisy saja. Justeru tidak timbul soal kebencian kerana Nabi Muhammad SAW diutus bukan untuk kaumnya saja, tetapi memang untuk menyampaikan Islam kepada semua bangsa atau kaum, seluruh alam termasuk kaum jin! 

Saya yakin persepsi negatif ini (perkauman mewujudkan kebencian) wujud kerana budaya, dan budaya itu berpunca daripada kesilapan individu. Ada sesetengah individu memang terserlah mengamalkan sikap 'ambil mudah' iaitu apabila dia membela kaum atau bangsanya, dia akan beranggapan bangsa lain itu pesaing dan perlu dimusuhi. Saya yakin fahaman ini berpunca daripada fahaman golongan tertentu yang menganggap bangsa dan keturunan mereka adalah bangsa yang paling hebat (sekaligus merendahkan bangsa yang lain). Ini menyebabkan timbulnya permusuhan dan kebencian, kerana bangsa yang dipandang rendah itu pasti akan membalas dengan mempunyai persepsi yang sama (bangsanya hebat, bangsa lain tidak). Akibatnya setiap individu yang menganggap bangsanya hebat akan menyemai permusuhan terhadap bangsa lain. Akhirnya wujudlah persepsi dan prasangka yang negatif di antara bangsa-bangsa. Inilah kesilapan yang sepatutnya diperbetulkan.

Hakikatnya dalam konteks individu, setiap manusia saling memerlukan antara satu sama lain kerana masing-masing punya kelebihan dan kelemahan yang tersendiri. Begitu juga di antara bangsa dan kaum yang berbeza. Ada bangsa yang berkelebihan dalam satu aspek, namun lemah dalam aspek yang lain. Pada masa sama, ada bangsa yang berkelebihan dalam aspek itu, tetapi lemah pula dalam aspek lain. 

Jadi mengapa tidak cuba saling melengkapi antara satu sama lain? Kelebihan dan kekurangan inilah yang menjadikan manusia di alam ini sebagai satu set 'jigsaw puzzle'. Kalau hilang satu, akan lompanglah dunia. Ciri perkauman boleh dijadikan sempadan mempelajari kelebihan dan kekurangan diri di mana bangsa-bangsa tertentu akan dikenali dengan kelebihan dan kelemahan masing-masing (sebagai panduan untuk berkerjasama). Sekiranya dapat dihayati, ini akan menjadi asas yang kuat untuk perpaduan, sekaligus dapat mengelakkan permusuhan. Maka secara langsung, pilihan ini menidakkan 'perkauman mengimplikasi kebencian' kerana dalam situasi ini, 'perkauman mengimplikasi perpaduan'!

Akhir kata, soal 'perkauman' ini terletak kepada kita sendiri kerana kita ada ruang membuat pilihan. Jika kita mengambil keputusan bersikap perkauman dan membenci bangsa lain, maka negatiflah kesannya. Sebaliknya jika kita memilih untuk melihat perkauman sebagai satu cara menyemai perpaduan, maka kesan positiflah yang akan kita dapat. Tepuk dada, tanya selera.

.

Friday, October 25, 2013

Mengapa cendekiawan Melayu harus berfikir menggunakan Bahasa Melayu?

Selalunya apabila kita memperkatakan tentang bahasa, ianya akan digambarkan sebagai medium pertuturan, atau wahana penulisan/ penerbitan. Namun jarang sekali diperkatakan kepentingan bahasa terhadap pemikiran sebagai faktor kepada usaha memartabatkan bahasa. 

Sebenarnya bahasa juga terlibat dalam proses pemikiran, kerana apabila kita ingin memahami sesuatu perkara, kita sebenarnya membentuk model minda (mental) dalam otak kita terhadap perkara tersebut dan disimpan sebagai memori/ ingatan. (Semak fakta ini, jangan percaya bulat-bulat kerana saya bukanlah ahli psikologi.)

Secara amnya, sesuatu yang ingin kita lahirkan (secara lisan, perbuatan) berasal daripada cara kita membentuk model minda itu. Jika kita berfikir dalam bahasa Inggeris, maka kita lebih cenderung untuk bertutur atau menulis dalam bahasa tersebut, berbanding kita hendak bertutur atau menulis dalam bahasa lain. Sebabnya ialah proses pemikiran itu dapat dilakukan dengan pantas dalam bahasa yang sama, sedangkan kalau bahasa lain, minda kita perlu menterjemah dahulu model minda yang kita simpan kepada bahasa wacana yang ingin kita tampilkan.

Masalah yang dihadapi cendekiawan sekarang ialah, apabila membaca teks-teks keilmuan dalam bahasa asing yang sememangnya berlambak-lambak di persekitaran, ramai cendekiawan tidak berusaha membentuk model minda dalam bahasa Melayu. Sebaliknya terus membina model minda dalam bahasa asing tersebut. Jadi apabila diminta (diarahkan) untuk memartabatkan semula Bahasa Melayu dalam pengajaran dan pembelajaran di Institusi Pengajian Tinggi (IPT), para cendekiawan tersebut jadi kekok. Tidak hairanlah kerana model mindanya memang sudah dibentuk dalam bahasa asing.

Oleh sebab itu, bagi merancakkan usaha memartabatkan Bahasa Melayu di IPT, seharusnya cendekiawan Melayu sudah mula berfikir dalam Bahasa Melayu. Apabila kita berfikir dalam Bahasa Melayu, yang lebih mudah diluahkan semasa proses bercakap atau menulis tentulah Bahasa Melayu juga. Jadi tidaklah sukar untuk kita melakukan usaha memartabatkannya. 





Wednesday, January 09, 2013

Anda orang yang cermat atau cemerkap?

Istilah cermat boleh diertikan sebagai sikap seseorang yang teliti atau berhati-hati dalam melakukan sesuatu perkara. Manakala istilah cemerkap ialah antonim (lawan erti) kepada cermat, merujuk kepada sikap seseorang yang tidak cermat, bersikap sambil lewa, acuh tak acuh dan sebagainya. Dalam penulisan ini, penulis menumpukan terhadap persoalan - 'mengapa ada masanya kita boleh memfokus, cermat terhadap sesuatu perkara yang orang lain gagal menanggapnya, dan mengapa orang lain boleh melakukan hal yang sama pada perkara lain sedangkan kita gagal menanggapi hal itu?'. 

Contohnya dalam situasi begini. Kita mungkin seorang yang boleh memahami dan melakukan kerja mencuci pakaian dengan begitu cermat dan teliti, sekaligus seorang yang pakar. Apabila kita mencuci, kita dapat mengagak bila waktu yang sesuai untuk mencuci, bagaimana menguruskan tugas mencuci, bila masanya kita hendak jemur dan ambil, dan sebagainya. Pada masa yang sama, rakan atau pasangan kita (suami atau isteri) tidak mampu melakukan hal tersebut seperti kita. Bahkan mereka anggap mencuci pakaian itu tidak penting dan melakukannya sambil lewa. Tetapi dalam hal lain, rakan atau pasangan kita itu lebih teliti dan mahir berbanding kita. Mereka mungkin tidak peka atau teliti dalam hal mencuci pakaian, tetapi begitu teliti apabila mencuci rumah. Mereka begitu arif, hinggakan ada masanya kita yang begitu teliti mencuci pakaian pun melakukan banyak kesalahan apabila mencuci rumah!

Mengapa hal sebegini boleh terjadi? Sedangkan tanggapan umum berpendapat, orang yang sudah teliti dalam sesuatu perkara sepatutnya mudah untuk menjadi teliti dalam perkara lain. Manakala orang yang sering ambil mudah, atau buat kerja sambil lewa tentunya akan mempamerkan sikap yang sama dalam hal yang lain. Di sini ternyata wujud suatu paradoks (percanggahan) di mana tanggapan itu bercanggah dengan hakikat yang berlaku. (Maka salah satu mesti palsu!)

Punca utama berlakunya 'percanggahan' ini ialah 'kesilapan' kita dalam membuat kesimpulan. Kesilapan itu ialah apabila kita membentuk suatu tanggapan umum (penilaian rambang) terhadap seseorang hanya dengan melihat peribadinya dalam suatu konteks tertentu saja, atau menilai berdasarkan perlakuan individu lain. Apabila kita membuat penilaian yang salah, maka ia bercanggah dengan hakikat atau situasi sebenar yang berlaku. Maka tanggapan umum yang tersebut adalah palsu kerana tidak menggambarkan hakikat sebenar yang berlaku.

Seharusnya dalam menilai peribadi seseorang, sebaik-baiknya kita menilai dalam konteks yang menyeluruh (misalnya lihat perbuatan seseorang dalam pelbagai situasi yang berbeza). Jadi untuk mengelakkan 'percanggahan' ini, ialah dengan mengelakkan kesilapan membuat penilaian rambang terhadap seseorang sebelum kita mengenali latar belakangnya, atau hanya bersandarkan pemerhatian terhadap tindakan atau sikap orang lain yang hampir sama. Apatah lagi jika penilaian itu bersifat negatif, ia seharusnya dielakkan!

Namun berbalik kepada persoalan utama, apakah punca berlakunya situasi tersebut (teliti dalam satu perkara, lewa dalam perkara lain)? Faktor utama kepada situasi 'perbezaan pendekatan' ini ialah disebabkan sifat atau fitrah manusia iaitu,

Manusia itu dijadikan dengan kelebihan dan kekurangan yang berbeza-beza

Allah S.W.T. mencipta manusia dengan memberikan kita keupayaan yang berbeza. Justeru dari perbezaan ini timbulnya kelebihan dan kekurangan. Tetapi ini bukanlah suatu kelemahan dalam penciptaan manusia, kerana Allah S.W.T. mempunyai hikmah dan perancangan yang tersendiri. Kelebihan dan kekurangan manusia sebenarnya merupakan suatu 'strategi bijak' kerana hal inilah yang membolehkan manusia hidup dalam keadaan saling melengkapi antara satu sama lain (Nota: Ini adalah penilaian peribadi penulis dalam meneladani dan menghayati alam semesta ciptaan Allah S.W.T. Hakikatnya, hikmah penciptaan manusia itu hanya Allah S.W.T. sahaja yang mengetahuinya! Rujuk surah Al-Baqarah, ayaht 30).

Sebagai manusia, kita dijadikan dengan kelebihan dan kekurangan, dan hal ini turut mempengaruhi pendekatan dan cara kita menangani kehidupan. Apabila seseorang melakukan atau memahami sesuatu perkara, ia bergantung kepada minat dan keupayaannya terhadap sesuatu perkara itu. Sedangkan minat dan keupayaan itu dipengaruhi oleh kelebihan dan kekurangan seseorang dalam pelbagai aspek berkaitan dirinya, merangkumi
  • keupayaan berfikir atau merasional sesuatu perkara, 
  • kekuatan fizikalnya, 
  • keseronokan dan keghairahan yang dialaminya dalam melakukan sesuatu perkara, 
  • kebolehan dan bakat semulajadi,
  • kemampuan dari segi masa atau sumber,
  • dll.
Jadi faktor-faktor ini akan mempengaruhi tindakan dan perbuatan seseorang. Oleh yang demikian, maka kita akan melihat berlakunya situasi seseorang yang cermat dalam suatu perkara tetapi cemerkap dalam hal yang lain. Begitupun, tidak semestinya apabila seseorang cermat dalam satu hal, akan cemerkap dalam hal lain; atau sebaliknya. Ada masanya seseorang yang cermat akan cermat dalam banyak hal, dan ada pula yang cemerkap dalam suatu hal akan cemerkap juga dalam hal yang lain. Namun berdasarkan 'teori umum' (setiap manusia ada kelebihan dan kekurangan) kita boleh mengandaikan bahawa orang yang cermat dalam satu hal pasti akan cemerkap dalam hal lain. Cuma kita tidak tahu apakah setiap hal tersebut sehinggalah kita melihat orang itu melakukannya. (Tauladan untuk kita, jangan kita cepat sombong dan angkuh, kerana jika kita handal dalam suatu hal, mungkin dalam hal lain kita jadi orang yang lemah.)

Natijah daripada hal ini ialah, kita sebenarnya sukar untuk menilai seseorang (termasuk diri kita sendiri) bagi memastikan yang orang itu adalah cermat atau cemerkap, melainkan kita menilai kelebihan dan kekurangannya dari pelbagai aspek dan situasi. Ini kerana seseorang yang cermat dalam suatu perkara besar kemungkinan tidak cermat dan teliti dalam hal yang kurang diminatinya. Begitu juga dalam suatu keadaan yang kita minati dan pakar melakukannya, mungkin tidak mampu disaingi oleh orang lain yang kurang minat dalam hal yang kita minati itu.

Sebagai kesimpulan, perkara terpenting yang kita perlu ingat ialah setiap manusia ada kelebihan dan kekurangan. Apabila kita hendak menilai seseorang (termasuk diri kita) hendaklah mengambil kira hasil tindakan dalam pelbagai konteks, dan bukan hanya tertumpu pada suatu konteks tertentu saja. Orang cermat dalam suatu hal, boleh jadi akan cemerkap dalam hal yang lain, dan setiap individu itu tidak semestinya melakukan perkara yang sama. Jangan cepat memutuskan diri sendiri atau orang lain ialah seorang yang cermat mahupun cemerkap kerana keputusan kita itu mungkin tidak tepat. Tetapi boleh dibuat penilaian sebagai panduan dalam memperbaiki kelemahan diri, atau berhati-hati terhadap seseorang. Jika kita ada kelebihan bersyukurlah dengan memuji Allah S.W.T., dan manfaatkanlah sebaiknya kelebihan itu. Jika kita ada kekurangan, bersyukur juga kerana mungkin tanpa kekurangan itu kita akan lupa diri, alpa, angkuh mahupun bersikap takbur. Apabila menilai seseorang, nilailah secara adil, dengan hikmah dan kebijaksanaan.


(Penulisan berkaitan: Menghargai diri)


.

Friday, December 21, 2012

Mahasiswa ada kelebihan yang perlu dimanfaatkan!

Setiap manusia lahir ke dunia dengan kelebihan dan kekurangan. Ada yang sama, dan ada pula yang berbeza. Kepelbagaian ini membolehkan manusia hidup bersama dan saling melengkapi antara satu sama lain. Di sini dapat kita lihat hikmah Allah Subhanahu Wa Taala yang menjadikan kepelbagaian dalam kehidupan.

Orang yang berilmu berbeza daripada orang yang tidak berilmu (jahil). Ini kerana ilmu boleh membezakan perkara yang baik dan yang buruk. Dengan ilmu kita dapat memperbaiki kehidupan. Lebih penting lagi, dengan ilmu kita dapat mengenal Allah S.W.T. yang menjadikan kita, sekaligus menjadikan kita hamba yang soleh dan taat.

Mahasiswa (pelajar universiti atau institusi pengajian tinggi) secara teorinya ialah manusia yang berilmu. Sebagai manusia, mahasiswa ada kelebihan dan kekurangan masing-masing. Tetapi dengan belajar di universiti dan ditambah dengan pendidikan di sekolah, mahasiswa sudah tentu mempunyai ilmu yang memberinya kelebihan berbanding orang yang tidak berilmu. (Jika mahasiswa ada kelebihan, elakkan daripada membangga diri, sombong dan angkuh. Bagi mahasiswa yang menyedari kelemahannya, jangan pula rasa rendah diri. Perbaiki kelemahan tersebut untuk mencapai prestasi lebih baik. Setidaknya kelemahan sudah menjadi dorongan untuk memperbaiki diri, sekaligus ia adalah 'kelebihan' juga!)

Mahasiswa ada kelebihan iaitu ilmunya. Ilmu yang dimiliki hendaklah dimanfaatkan. Sesuatu ilmu itu kurang manfaatnya jika hanya digunakan untuk diri sendiri sahaja. Oleh itu mahasiswa yang berilmu kena ada kesedaran untuk mengembangkan ilmunya, dan mengajarkan kepada orang lain (misalnya menjadi tutor, pengajar, pembimbing dll sama ada kepada ahli keluarga, rakan mahupun masyarakat). Bagi orang yang berilmu, mengembangkan ilmu menjadi suatu tanggungjawab kerana dengan pengembangan dan penyebaran ilmu, masyarakat akan lebih mudah untuk membangun dan berkembang maju. 

Ilmu sewajarnya mengangkat martabat mahasiswa. Namun agak mengecewakan apabila ada kalangan mahasiswa yang terikut-ikut dengan budaya dan fahaman yang cenderung bertindak di luar batasan hingga melanggar tatasusila dan adab (cth: memecahkan harta-benda awam, atas dasar menyuarakan perasaan dan membela 'hak asasi'). Tindakan sebegini bukan setakat mengongkong mahasiswa daripada menyumbang bakti, bahkan merendahkan martabat diri yang sepatutnya dimuliakan oleh ketinggian ilmu mereka. Mereka bukan lagi agen pembaharuan/perubahan, sebaliknya menjadi agen kemusnahan pula! (ironinya mereka mendakwa kemusnahan tidak penting asalkan dapat melakukan pembaharuan!). Hal ini sepatutnya direnung oleh golongan mahasiswa agar tidak terpengaruh oleh segolongan pihak yang berkepentingan tertentu yang tidak memberi manfaat kepada mahasiswa itu sendiri.

[1] Mahasiswa tidak wajar bertindak di luar batasan peri kemanusiaan atas alasan menyuarakan pendapat. (Gambar hiasan)


Kesimpulannya, mahasiswa perlu memanfaatkan kelebihan dirinya untuk kebaikan diri dan masyarakat. Salah satu kelebihan yang jelas ada pada mahasiswa ialah ilmu. Maka salah satu tugas anda sebagai mahasiswa berilmu ialah menggunakan ilmu yang anda miliki. Lebih baik jika dapat memanfaatkan kelebihan tersebut untuk masyarakat. Jika berjaya, anda sudah memanfaatkan kelebihan/potensi diri untuk menjadi insan yang berguna.

[2] Mahasiswa ialah ejen perubahan yang berilmu. Maka tindakan mestilah dengan hikmah dan kematangan, berpendirian dan tidak dipengaruhi pihak luar yang berkepentingan. (Gambar hiasan)


Sumber imej
[1] http://i.imgur.com/MENC0.jpg
[2] http://beritaharian.org/wp-content/uploads/2011/12/ed44f0bab9impun3.jpg.jpg

.

Thursday, December 13, 2012

Mengkaji ilmu duniawi daripada Al-Quran

Seorang Muslim (orang yang menganut Islam) diwajibkan untuk mengenali dan menghayati makna ayat-ayat Al-Quran, serta mengambil petunjuk daripada mukjizat yang diturunkan kepada junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W. Ini kerana Al-Quran bukan saja diturunkan sebagai panduan (wahyu) daripada Allah S.W.T. kepada baginda, tetapi ia juga merupakan kepada petunjuk / panduan kepada seluruh umat Nabi Muhammad S.A.W. 

Maka sebagai sebuah kitab ilmu dan petunjuk daripada yang Maha Agung, Al-Quran semestinya mengandungi pelbagai ilmu, hikmah dan pengajaran yang bernilai kepada kehidupan manusia. Ilmu di dalamnya bukanlah semata-mata untuk alam akhirat, bahkan ilmu Al-Quran mencakupi kepentingan duniawi dan ukhrawi (akhirat) kerana hidup manusia memerlukan bimbingan dalam kedua-dua aspek.

Pengkajian Al-Quran bukanlah sesuatu yang baharu. Selain penulis, ramai lagi pengkaji termasuk yang bukan Islam, yang begitu ghairah membongkar rahsia Al-Quran. Namun perlu diperingatkan bahawa, dalam kita mengambil petunjuk daripada Al-Quran, beberapa prinsip harus ditekuni dan diamalkan bagi mengelakkan kita 'tersalah' dalam mempelajari ilmu daripada Al-Quran, yang dapat diringkaskan seperti berikut:
  • Kita tidak boleh mentafsir sesuatu ayat dalam Al-Quran sewenang-wenangnya, apatah lagi jika hanya berdasarkan terjemahan ayatnya. Terjemahan ayat tidak sama dengan tafsiran ayat. Para pentafsir Al-Quran memerlukan ilmu agama yang mendalam, yang turut mencakupi ilmu hadis, bahasa Arab, sejarah Islam dsb. Oleh itu sebagai orang yang baru mendalami Al-Quran (termasuk penulis), jika berdasarkan terjemahan, kita cuma boleh mengamalkan apa yang jelas dinyatakan oleh ayat-ayat Al-Quran, atau berpandukan kitab tafsir Al-Quran (ayat Al-Quran yang disertakan dengan tafsiran oleh ahli tafsir), atau bersandarkan penjelasan guru yang mursyid (yang faham dan boleh mentafsir dengan baik).
  • Mengelakkan fahaman Bucaillisme (Maurice Bucaille ialah doktor perubatan Perancis yang menulis tentang sains dan ayat-ayat Al-Quran, dan mendakwa kenyataan yang wujud dalam Al-Quran adalah benar secara saintifik sedangkan Bible pula sebaliknya [wiki]). Al-Quran adalah kitab suci agung yang diwahyukan oleh Allah S.W.T. kepada Nabi Muhammad S.A.W. Semua Muslim wajib mengimani bahawa ayat Al-Quran adalah benar dan mengandungi petunjuk daripada Allah. Al-Quran adalah ilmu hakikat (benar secara mutlak, meskipun belum mampu dibuktikan secara saintifik), sedangkan teori sains semasa boleh dibuktikan silap dan sentiasa diperbaiki. Sains adalah ilmu semasa yang relatif kepada pengetahuan semasa manusia. Justeru walaupun teori-teori sains menunjukkan 'bukti' kebenaran Al-Quran, secara tersiratnya fahaman Bucaillisme ini merendahkan taraf Al-Quran. Jadi dengan mengiyakan fahaman Maurice Bucaille, kita sebenarnya mengiyakan bahawa satu hari nanti ayat Al-Quran mungkin perlu diperbaiki jika dibuktikan 'silap'! (na'uzubillah). Malangnya fahaman Bucaillisme semakin banyak dianut oleh umat Islam kerana 'keindahannya' yang kononnya 'membuktikan' kebenaran Al-Quran. Hajat penulis ialah memperbaiki keadaan ini dengan membawakan pendekatan yang lebih wajar iaitu mencedok sebanyak mungkin maklumat daripada Al-Quran yang boleh diamalkan atau ditekuni untuk kehidupan duniawi (iaitu diterapkan sebagai falsafah keilmuan, termasuk sains atau kajian alam semesta) tanpa menghadkan ilmu daripada Al-Quran itu.
Tulisan ini BUKAN bertujuan membincangkan ilmu agama yang mendalam yang terkandung dalam Al-Quran, apatah lagi mentafsirkan ayat-ayat daripada Al-Quran. Penulis bukanlah seorang ulama yang mahir dalam hal-hal keagamaan. Tetapi sebagai seorang Muslim, penulis cenderung untuk membincangkan perkara-perkara dan khazanah penting yang dinyatakan SECARA JELAS dalam Al-Quran yang BOLEH DIAMBIL SEBAGAI PETUNJUK kepada memantapkan 'ilmu duniawi' (atau secara khususnya dipanggil 'sains' oleh kalangan masyarakat).

Secara khusus, penulisan ini bertujuan membincangkan satu perkara yang telah lama ditekuni oleh penulis. Sepanjang penulis mengenali (iaitu berdikit-dikit membaca, menghafal dan cuba memahami maksud ayat) Al-Quran, penulis tertarik kepada satu perkara yang banyak disebut dalam Al-Quran iaitu berkenaan dengan 'mencerap dan memerhati kejadian alam semesta'. Walaupun telah lama tertarik dengan maklumat ini, penulis masih gagal mencari cara bagaimanakah untuk mengatakan bahawa maklumat ini penting, kerana hal ini merupakan kenyataan umum dan mungkin tidak menarik minat golongan yang lebih dipengaruhi pemikiran saintifik Barat. Bahkan penulis juga sering gagal mengaitkan bagaimana fakta 'umum' ini boleh membantu dalam memperkembangkan bidang ilmu (sains) di kalangan umat Islam. (Antara contoh 'gesaan' mencerap alam: Surah Al-Baqarah - 2:26 (apakah contoh perumpamaan yang lebih kecil dari nyamuk?), 2:118 (apakah tanda-tanda yang dijelaskan oleh Allah S.W.T.?), 2:164 (pelbagai tanda kekuasaan Allah), di samping contoh-contoh lain).

Falsafah sains Barat (pendeknya dikenali sebagai 'sains'. Hakikatnya ia adalah sains yang dipengaruhi nilai dan pandangan masyarakat Barat, spt fahaman materialisitik, kapitalis, sekular dll.) amnya menekankan pendekatan saintifik. Walaupun pelbagai falsafah mendasari sains Barat, pendekatan saintifik yang sedia ada amnya dipengaruhi oleh falsafah realisme saintifik, yang menekankan bahawa suatu ilmu (fakta) mestilah berdasarkan benda yang nyata, iaitu dibuktikan berdasarkan eksperimen. Dengan kata lain, jika suatu teori gagal dibuktikan secara empirikal atau hasil eksperimen yang boleh diukur, ia bukanlah fakta yang saintifik. 

Namun tanpa penulis sedari (sehinggalah terhasilnya penulisan ini), hakikatnya terdapat satu hal lain yang jelas didokong oleh pendekatan saintifik Barat iaitu ilmu saintifik (falsafah realisme saintifik) diperolehi melalui pencerapan alam! Richard Feynmann, seorang ahli fizik terkenal Amerika berketurunan Yahudi, yang juga pemenang anugerah Nobel, berpendirian bahawa sesuatu 'kebenaran' dalam sains hanya boleh diterima jika ianya dibuktikan melalui eksperimen. Dalam satu kuliahnya, beliau mengatakan bahawa eksperimen itu mesti bermula dengan pencerapan alam, kemudian diuji dengan eksperimen dan barulah menerbitkan suatu ilmu atau fakta. Kemudian beberapa ahli sains terkenal Barat juga berpendirian bahawa sesuatu penyelidikan atau aktiviti kajian saintifik itu pada dasarnya dimulakan dengan mencerap alam sekeliling. Bahkan cara ini telah mendorong ramai ahli sains Barat yang terkenal untuk muncul dengan idea-idea dan konsep penyelidikan yang bernas yang diwarisi oleh penyelidik sains masakini!

Nah, jika dilihat daripada saranan Al-Quran (perintah Allah S.W.T.) yang menyuruh umat manusia memerhati alam sekitar sebagai amalan menggalakkan kita berfikir, bukankah konsep yang sama diterapkan sebagai asas dalam penyelidikan saintifik? Bahkan ada kalangan ahli sains yang lebih artistik yang percaya bahawa idea penyelidikan sains juga mendapat manfaat daripada peristiwa dalam mimpi atau ilham secara tak sengaja. Tetapi ironisnya, pendokong falsafah sains Barat, bahkan termasuk yang beragama Islam, tetap berpendirian sesuatu fakta saintifik hanyalah berdasarkan bukti nyata dan empirikal, sementara sumber lain tidak saintifik dan bukan ilmu/fakta! 

Pada dasarnya, konsep ilmu saintifik yang kononnya begitu hebat (hingga 'mewajarkan' manusia berfahaman sekular dan ateis menolak agama) sebenarnya mengamalkan satu konsep yang telah terkandung dan disarankan dalam Al-Quran. Maka di sini dapat dilihat satu kepentingan Al-Quran iaitu sebagai sumber rujukan yang boleh diaplikasi kepada ilmu semasa. Namun penulis berpendirian bahawa, nilai dalam konsep 'mencerap alam' yang dinyatakan dalam Al-Quran tidak sama dengan konsep 'mencerap alam' yang dianuti oleh penyelidik berfahaman sains Barat. Ini kerana matlamat mencerap pengkaji dan penyelidik sains Barat ialah untuk mendapatkan ilmu, idea, bahan dll bagi melakukan eksperimen dan jika dapat, menghasilkan ilmu baharu yang boleh dimanfaatkan untuk kehidupan manusia. Sedangkan Allah S.W.T. menyuruh manusia mencerap dan memerhatikan alam bukan hanya untuk kegunaan duniawi. Bahkan ia sebagai salah satu kaedah untuk kita mengenal Tuhan, dan melihat tanda kebesaran serta keagungan Allah S.W.T. Justeru nilai 'mencerap alam' itu melangkaui nilai dalam budaya saintifik Barat (iaitu yang hanya bermatlamatkan apa yang mereka dapat lihat semata-mata, tanpa berlandaskan ilmu wahyu).

Sebagai rumusan kepada penulisan ini (penulis berpendapat tidak ada kesimpulan kepada memahami 'konsep mencerap alam' ini kerana ianya akan berterusan, insya'Allah), ilmu sains semasa sebenarnya boleh turut dikembangkan dengan mencedok dan menghayati ilmu yang disampaikan dalam Al-Quran ul-Karim. Salah satunya ialah dengan memahami konsep 'mencerap alam' yang diajarkan dalam Al-Quran yang menyuruh manusia mencerap dan berfikir (termasuklah memikirkan ilmu akhirat, dan kebenaran ayat-ayat Al-Quran itu). Konsep ini nyata lebih syumul (universal) berbanding konsep 'mencerap' yang menjadi teras falsafah sains Barat. Maka ini memberikan kita alasan bahawa Al-Quran itu lebih releven dengan ilmu semasa. Hari ini kita dapat lihat ilmu 'mencerap alam' oleh sains Barat telah berjaya mengubah lanskap dan kehidupan manusia. Justeru bayangkanlah jika kita dapat merungkai falsafah 'mencerap alam' daripada Al-Quran yang lebih syumul, tidak mustahil hasil penyelidikan dan keilmuan pada hari ini akan jauh lebih baik pada masa akan datang.

(Sekadar muqadimah. Wallahua'lam. Sebarang komen, pendapat mahupun kritikan terhadap penulisan ini sangat dialukan.)





Wednesday, September 26, 2012

Apa maksud 'muat naik' / 'muat turun' ?


Sumber : PRPM DBP - Kamus Dewan Edisi Empat
Muat turun - (Komp) tindakan memindahkan fail dr stesen komputer utama ke stesen komputer peng­guna melalui talian rangkaian;
Muat naik - (Komp) tindakan memindahkan fail dr stesen komputer pengguna ke stesen kom­puter utama melalui talian rangkaian;

Sumber : Wikipedia (http://ms.wikipedia.org/wiki/Muat_turun_dan_muat_naik)
Muat turun (Inggeris: download) dan muat naik (Inggeris: upload) dalam teknologi maklumat ialah istilah yang digunakan untuk menggambarkan proses pengalihan fail antara dua komputer atau sistem serupa lainnya.

Muat turun adalah proses menerima data dari sebuah sistem seperti pelayan web, pelayan FTP atau sistem serupa lainnya.

Muat naik adalah proses mengirim data dari komputer peribadi ke suatu sistem seperti pelayan web, pelayan FTP atau sistem serupa lainnya.

Kenapa saya membuat masukan blog berkenaan muat naik / muat turun? Kebelakangan ini saya mendapati terdapat kesalahan pengunaan istilah-istilah 'muat naik' dan 'muat turun' di kalangan masyarakat yang berbahasa Melayu (bahkan dalam akhbar berbahasa Melayu utama pun turut tersalah guna dua istilah ini!), di mana istilah muat-turun kerap digunakan untuk maksud menyalin atau mengirim data ke komputer pelayan, sedangkan itu maksud muat-naik.

Oleh itu berhati-hatilah dalam menggunakan istilah-istilah ini. Fahamilah maksudnya, dan gunakan dengan tepat supaya kita tidak tersalah menerima dan menyebar maklumat!

'..., yang baik itu budi, yang indah itu bahasa'


Wednesday, March 07, 2012

Budaya mengemukakan pendapat dan keterbukaan terhadapnya

Setiap orang mempunyai cara pemikiran yang berbeza. Masing-masing ada pendekatan dan kemampuan yang tersendiri. Perbezaan dari segi cara berfikir dan kemampuan melakukannya mempengaruhi hasil pemikiran seseorang. Kalau betul caranya, akan membuahkan hasil yang boleh dimanfaatkan. Namun jika tidak kena cara, mungkin hasil pemikiran juga akan jadi salah dan boleh menyimpang daripada kebenaran. Antara hasil pemikiran ialah pendapat dan idea.

Orang lain tidak boleh menghalang kita untuk berfikir. Berfikir adalah hak kita kerana kita dikurniakan otak serta aqal untuk melakukannya. Tetapi mengapa di kalangan kita masih ramai yang ragu-ragu untuk mengemukakan pendapat? Sesetengahnya pula enggan memberi pendapat kerana terasa seperti dihalang atau tidak diendahkan. Tetapi bukankah memberi pendapat itu hak kita, sepertimana hak untuk berfikir? Sama ada didengar atau tidak, itu soal lain.

Oleh kerana kita mampu berfikir, maka kita juga boleh memberikan pendapat. Namun ada prinsip dan aturannya. Kita tidak boleh bercakap apa saja sesuka hati atas alasan mengemukakan pendapat dan idea. Sebaliknya pendapat dan idea yang dikemukakan mestilah berdasarkan alasan dan hujah yang kita yakin benar. Jangan pula kita beri pendapat semata-mata kerana kita mahu orang mendengar / menerima cakap kita, atau semata-mata untuk menerima pujian dan ingin jadi popular. Jika inilah matlamatnya, tidak mustahil kita sanggup mengemukakan pendapat yang palsu atau kita sendiri tidak yakin, semata-mata untuk mencapai matlamat yang tidak sepatutnya itu.

Apabila mengemukakan pendapat dan idea, kita juga harus bersedia menerima penolakan. Bukan semua pendapat kita akan diterima oleh orang lain, walaupun kita yakin pendapat kita itu benar dan orang itu tidak menyedarinya. Kita tidak boleh memaksa seseorang menerima pendapat kita kerana masing-masing ada kemampuan untuk berfikir. Jika kita berhujah habis-habisan tetapi orang lain masih menolak pendapat kita, itu hak mereka.

Apabila kita mengemukakan pendapat, kita perlu ikhlas iaitu untuk menyampaikan ilham yang Allah beri pada kita untuk disampaikan/dikongsi dengan orang lain. Maka yang pentingnya ialah kita menyampaikan sesuatu yang kita rasa benar. Jika pendapat tidak diterima, itu soal lain. Sedangkan ajaran Islam yang sahih lagi benar yang disampaikan oleh Nabi Muhammad S.A.W. pun ada yang sanggup menolak mentah-mentah, maka siapalah kita untuk memaksa orang menerima pendapat kita yang belum tentu benarnya. Anggap semuanya ketentuan Allah S.W.T. Jika kita mahu orang lain menerimanya, selain berhujah perbanyakkanlah doa kerana Allah S.W.T. berkuasa mengubah hati dan pendirian seseorang.

Namun jika orang lain menerima pendapat kita, jangan kita rasa hebat atau bangga diri kerana sebenarnya itu adalah rezeki dari Allah. Kita hendaklah bersyukur dan insaf bahawa setiap kelebihan yang kita miliki itu sebenarnya adalah hak Allah. Jangan pula kita memperlekehkan pendapat orang lain hanya kerana pendapat kita diterima. Tidak mustahil pendapat lain yang ditolak itu sebenarnya lebih baik daripada pendapat kita!

Apabila orang lain hendak memberi pendapat, kita hendaklah bersikap terbuka untuk mempertimbangkannya. Atau sekurang-kurangnya memberi peluang orang itu memperdengarkan pendapat mereka. Kita mungkin lebih berpengalaman, berusia mahupun lebih pandai daripada orang itu. Namun setiap orang ada kelebihan dan kelemahan masing-masing. Mungkin dalam hal-hal tertentu kita tidak terfikir tentang sesuatu dan orang itu pula mampu memikirkannya. Maka jika kita menolak mentah-mentah tanpa mahu mempertimbangkan atau mendengarnya, kitalah yang rugi. Siapa tahu, mungkin dengan hanya mendengar pendapat orang lain akan membantu kita membuat sesuatu keputusan atau mendapat manfaat daripadanya.

Budaya memberi pendapat dan mendengar pendapat di kalangan masyarakat kita amnya masih di tahap yang kurang memuaskan. Kurang memuaskan kerana, rata-rata kita masih malu-malu atau ragu-ragu untuk memberi pendapat. Namun sesetengahnya disebabkan budaya dalam kalangan kita yang fobia apabila mendengar pendapat orang lain. Apatah lagi jika pendapat itu daripada orang bawahan yang 'sepatutnya' mendengar pendapat kita sebagai ketua, dan pendapat itu pula berunsur kritikan! Jadi wujudlah halangan-halangan yang mendorong seseorang itu untuk tidak mahu mengemukakan pendapat atau terpaksa mendiamkan diri.

Budaya mengongkong atau menghalang orang lain memberi pendapat tidak seharusnya diamalkan kerana ia hanya akan mengekang perkembangan dan daya kreativiti sesebuah masyarakat. Namun tidaklah bermakna setiap individu harus dibiarkan bebas memberi apa saja pendapat. Yang penting ialah pihak yang memberi pendapat kena tahu kaedah yang sesuai untuk memberi pendapat, dan pihak yang mendengar kena tahu kaedah yang sesuai memberi laluan kepada sesuatu pendapat untuk dikemukakan. Amnya, apa jua tindakan hendaklah berpaksikan niat yang ikhlas untuk memberi manfaat dan kebaikan, dan semua pihak wajar bersikap terbuka terhadap sesuatu keputusan.

Contoh terbaik kita ialah peribadi Nabi dan Rasulullah, Muhammad S.A.W. Diriwayatkan bahawa sejak kecil baginda tidak pernah berdusta dan hanya bercakap yang benar. Baginda pula sedia mendengar dan tidak mudah menolak pendapat orang lain, walaupun Rasulullah merupakan utusan dan kekasih Allah. Malah atas prinsip keterbukaan juga Rasulullah tidak menolak untuk melantik Zaid bin Harithah yang berumur 15 tahun menjadi panglima perang. Namun Rasulullah juga seorang yang tegas menentang pendapat yang bercanggah dengan Al-Quran dan perintah Allah S.W.T. Ketokohan Rasulullah memang tidak boleh dinafikan kerana baginda merupakan utusan Allah dan contoh ikutan yang terbaik. Namun sikap ini tetap mampu diikuti pula oleh khulafa' ar-rasyidin selepas baginda dan para sahabat.

Kita juga boleh mengambil contoh sikap (Allahyarham) Tun Azizan Zainul Abidin yang dilaporkan suka mendengar pendapat daripada orang bawahannya, tak kira muda atau senior. Sebagai seorang yang pernah bertugas menjadi Setiausaha Sulit kepada 3 orang Perdana Menteri (Tun Razak, Tun Hussein, dan Tun Mahathir), menjadi CEO dan kemudiannya Pengerusi Petronas, Pengerusi Perbadanan Putrajaya dan Putrajaya Holdings, dan jawatan terakhirnya Pengerusi Malaysian Airlines System (MAS); dengan rekod dan pengalaman sedemikian Tun Azizan mudah saja untuk menolak pendapat orang lain. Namun tokoh yang sedemikian hebat seperti Tun Azizan masih lagi mampu menjadi 'pendengar yang setia' kepada orang bawahannya. Beliau pula dikatakan seorang yang sangat tegas dengan pendiriannya dan tidak mudah dipengaruhi. Bahkan semasa bertugas sebagai Setiausaha Sulit Perdana Menteri, Tun Azizan dikatakan satu-satunya orang bawahan Tun Mahathir yang sanggup berkata 'tidak' kepada arahan Tun Mahathir [1].

Mungkin sikap Tun Azizan yang tidak mudah dipengaruhi itu yang mendorongnya untuk mendengar sebarang pendapat. Namun orang sedemikian selalunya lebih mementingkan pendapatnya semata-mata, apatah lagi jika dia memang seorang yang hebat dengan pengalaman. Jadi sikap Tun Azizan boleh dianggap unik kerana jarang-jarang dilakukan oleh tokoh sepertinya. Justeru sikap Tun itu wajar menjadi contoh kepada semua orang khususnya pemimpin, dalam menangani sesuatu pendapat daripada orang lain termasuk orang bawahan. Bahkan sikap Tun yang tidak segan memberi nasihat dan pandangan yang bernas hatta kepada ketua juga, amat wajar dicontohi oleh generasi muda.

Sebagai rumusan, apabila kita memikirkan dan mengemukakan sesuatu pendapat kita hendaklah ikhlas menyampaikannya dengan niat menyampaikan sesuatu yang kita rasa benar dan bermanfaat. Sampaikan dengan cara yang wajar. Jangan menyampaikan pendapat demi mengharapkan sesuatu pulangan (duit, pengaruh, kuasa, pangkat dll). Jikalau pendapat kita ditolak, jangan pula kita marah atau paksa juga orang menerimanya. Sedia menerima penolakan, dan redha. Yang penting ialah kita sudah melaksanakan tanggungjawab menyampaikannya. Biar Allah saja yang membalasnya kerana memberi pendapat itu merupakan suatu sumbangan. Jika kita menerima pendapat orang lain pula, jangan menolaknya mentah-mentah. Sebaliknya dengar dahulu dan jika perlu pertimbangkan, kerana ada masa-masa tertentu kita mungkin terlepas pandang sesuatu perkara yang orang lain terfikir tentangnya.

Memberi pendapat bukan bermakna kita pandai, dan menerima pendapat bukan bermakna kita lemah. Hakikatnya kita semua saling melengkapi antara satu sama lain. Semua orang ada kelebihan dan kekurangan masing-masing. Ironinya, apa yang disampaikan di sini juga merupakan suatu pendapat, dan terpulanglah anda sebagai pembaca untuk menerima mahupun menolaknya.


Rujukan
[1] Azam Aris (2008, terj. 2011) Jiwa Seorang Negarawan - Biografi Tun Azizan Zainal Abidin. Crestime Holdings Sdn Bhd.

.

Monday, January 09, 2012

Baucer buku 1M - Layak ke saya dapat?

Dalam pembentangan Belanjawan 2012 pada tahun lepas, diumumkan bahawa kerajaan akan memberikan beberapa bentuk 'insentif' kepada rakyat. Selain pemberian bonus, kerajaan turut memberikan bantuan kewangan BR1M RM500 kepada rakyat yang berpendapatan RM3000 ke bawah, bantuan persekolahan RM100, dan baucer buku 1M bernilai RM200 untuk pelajar institusi pengajian tinggi dan sekolah menengah (atas). Oleh kerana sekarang saya masih menjalani pengajian PhD dan bergelar pelajar, maka saya layak mendapat baucer tersebut.

Tapi, saya seorang tutor (cuti bergaji). Layakkah saya ambil baucer tersebut? Walau berkemampuan sekalipun, sebenarnya tidak salah kalau 'pelajar bergaji' seperti saya mengambil peluang tersebut. Sebabnya baucer ini bukanlah duit zakat yang dikhaskan untuk golongan tertentu (asnaf) yang layak saja. Sebaliknya baucer ini diberikan kepada semua pelajar IPTA (asalkan pelajar).

Selain melihat keuntungannya kepada saya sendiri (buku percuma!), saya melihat kesan positifnya dalam konteks ekonomi dan perkembangan bidang ilmu di Malaysia. Pada pandangan saya, baucer ini tidak harus dilihat sebagai 'rasuah politik' (maklumlah Pilihanraya Umum 13 dah dekat) ataupun bantuan untuk pelajar miskin mendapatkan buku rujukan semata-mata!

Jika diteliti, ada beberapa kesan positif yang akan/boleh berlaku melalui pemberian baucer buku ini. Kesan tersebut ialah dalam konteks pembangunan ekonomi, khususnya dalam bidang pendidikan dan penerbitan bahan-bahan berilmiah di Malaysia.

Bantuan ini diberikan dalam bentuk baucer buku. Ianya tidak boleh ditukar kepada wang tunai. Maka ianya berkemungkinan besar akan digunakan untuk membeli buku (selain alat tulis). Baucer ini tidak boleh digunakan untuk membeli selain daripada itu.

  • Dengan demikian, maka kebaikan yang pertama ialah potensi kedai-kedai buku untuk mendapat lebih keuntungan akan bertambah! Dengan pemberian ini, pelajar-pelajar akan berpusu-pusu ke kedai buku. Misalnya saya terus membelanjakan RM150 selepas sehari menerima baucer tersebut. RM150! Biasanya saya tidak berbelanja sebesar itu untuk membeli buku (kecuali ada wang lebih). Bukan tidak teringin. Tetapi saya ada keperluan lain yang perlu dipenuhi. Jadi baucer ini hendak tak hendak terpaksa digunakan untuk membeli buku. Maka saya belilah buku-buku yang saya minati tanpa fikir panjang. Jadi, kebaikan baucer ini jelas telah menguntungkan pemilik dan pengusaha kedai buku.

  • Kedua, dengan peningkatan jumlah jualan buku juga membolehkan penerbit buku mendapat keuntungan. Buku-buku terbitan mereka berpeluang laku di pasaran. Ini akan menggalakkan mereka bertahan dengan menerbitkan lebih banyak buku-buku di pasaran tempatan. Tidak kiralah sama ada penerbit dalam mahupun luar negara. Jika ada permintaan, maka akan lebih banyaklah penawaran. Jadi pasaran buku di Malaysia akan lebih meriah! Maka industri penerbitan buku akan berkembang.

  • Ketiga, peningkatan jumlah penjualan buku di Malaysia akan menjadi 'insentif' kepada semua yang terlibat dengan industri penerbitan buku di Malaysia. Penjual, penerbit, pencetak, pembekal dan sebagainya. Peluang keuntungan daripada penggunaan baucer akan menjadi suatu galakan kepada mereka yang terlibat dengan industri berkaitan buku. Maka akan menarik minat lebih ramai pengusaha menceburi bidang ini dan memastikan industri ini terus bertahan atau berkembang.

  • Keempat, jumlah pembaca (atau setidaknya pembeli) buku akan bertambah. Maka wujud potensi terhadap peningkatan jumlah pembaca buku sekaligus golongan rakyat yang celik ilmu di Malaysia. Ini perkembangan yang baik, apatah lagi baucer ini diberi kepada pelajar institusi pengajian tinggi dan bakal penuntut IPT. Pengalaman saya, selain buku-buku saya sendiri, saya turut membeli beberapa buku untuk ahli keluarga yang lain. Maklumlah RM200, banyak tu! Memang banyak buku yang boleh dibeli. Jadi pelajar-pelajar berkeluarga seperti saya, akan berpeluang membelikan buku dan bahan bacaan untuk ahli keluarga juga. Justeru kerajaan dapat mendorong perkembangan bidang literasi dan pendidikan kepada pelbagai lapisan rakyat, bukan setakat pelajar saja.

  • Kelima, kerajaan pun akan turut mendapat pulangan (semula) 'pelaburan' melalui pulangan daripada cukai perniagaan! Peniaga buku, penerbit, pencetak dan sebagainya yang terlibat dalam bidang penerbitan dan penjualan buku akan membayar cukai perniagaan kepada kerajaan. Jadi perbelanjaan kerajaan untuk menawarkan bantuan dalam bentuk baucer, akan ditebus kembali melalui kutipan cukai perniagaan dan cukai pendapatan. Jadi beban bantuan baucer ini sebenarnya tidaklah ditanggung oleh kerajaan 100%!

  • Kerajaan dan negara juga akan menikmati peningkatan jumlah golongan pembaca buku dan rakyat yang celik ilmu. Bilangan rakyat yang celik ilmu juga akan meningkat kerana rakyat berpeluang mendapatkan buku-buku yang boleh mereka baca. Ini akan meningkatkan kadar literasi dan celik huruf di kalangan rakyat Malaysia. Sekaligus meningkatkan kualiti dan taraf hidup masyarakat.

Apapun, terima kasih kepada pihak kerajaan kerana telah melaksanakan suatu keputusan yang sangat besar impaknya kepada rakyat. Pada saya, baucer ini lebih kepada suatu suntikan modal dan 'tenaga' kepada perkembangan ekonomi dan pendidikan, khususnya yang berkaitan dengan industri buku dan perkembangan ilmu. Satu lagi langkah bijak selepas kerajaan memansuhkan PPSMI dan menggalakkan penulisan ilmiah dalam bahasa Melayu di kalangan ahli akademik!

Jadi, kepada sesiapa yang dapat peluang baucer RM200 ini, gunakanlah sepenuhnya peluang yang ada. Siapa tak mahu ambil tu, terpulanglah. Menyesal nanti!



.

Thursday, November 03, 2011

Apa peranan guru?

('Guru' yang saya maksudkan ialah semua golongan pendidik, dan bukan setakat guru sekolah.)

Apakah peranan guru? Ini merupakan satu soalan yang sangat kurang bijak untuk ditanyakan pada orang ramai. Umum pasti mengetahui peranan guru ialah mengajar pelajarnya untuk menjadi orang yang berilmu.

Pada zaman-zaman dahulu - misalnya zaman ulama besar seperti Imam Ghazali dan Imam Syafie r.a., para pelajar sangat memuliakan dan menghormati guru. Begitu juga zaman datuk-nenek kita dahulu, guru-guru sangat dihormati dan dipandang mulia oleh masyarakat. Mengapa golongan guru dimuliakan? Tentunya kerana ilmu yang mereka miliki dan ajarkan kepada masyarakat, melalui pendidikan kepada pelajar-pelajar mereka. Guru-guru bersusah-payah memberitahu, menerangkan, menulis, membimbing, memperbetulkan dan melakukan pelbagai usaha lain bagi memastikan pelajar-pelajar mereka memahami ilmu yang disampaikan.

Disebabkan usaha ini, maka guru-guru dipandang mulia kerana mereka mengubah taraf seseorang individu daripada rendah (tidak berilmu) kepada tinggi (berilmu). Bahkan ada mengumpamakan guru itu 'ibarat lilin yang membakar diri untuk menerangi kegelapan'. Betapa tingginya sanjungan masyarakat pada guru.

Namun jika dilihat pada hari ini, pelajar-pelajar di sekolah mahupun di institusi pengajian tinggi seperti tidak lagi memuliakan golongan guru. Lihat saja apa yang berlaku di sekolah. Pelajar mengherdik, memaki malah sanggup mencederakan guru. Sementara di IPT, golongan yang dianggap cerdik (terpilih untuk masuk ke IPT) pun seakan hilang rasa hormatnya pada pensyarah masing-masing. Sedang guru mengajar di depan, pelajar sibuk bersembang di belakang. Hal ini mungkin nampak remeh, namun jika kita sebagai guru diperlakukan begitu, apa rasanya? Tentulah akan tersinggung. Tanyalah mana-mana guru yang ikhlas mengajar. "Ya, saya kecewa". Jadi mengapa agaknya perkara ini terjadi? Mengapa nilai penghormatan pada guru makin merosot?

Saya lebih berpendapat salah satu puncanya ialah daripada guru itu sendiri. Kalangan guru-guru sekolah ramai yang merungut gaji mereka kecil dan tidak padan dengan kerja. Bahkan pensyarah universiti yang gajinya mencecah belasan ribu pun masih ada lagi yang merungut. Sesetengah golongan pendidik ini pula hanya sibuk mengejar pangkat, hinggakan pelajar terabai. Ada yang malas mengajar, ponteng dan sebagainya.

Kalau beginilah sikapnya, hanya lebih pentingkan gaji dan pangkat, apakah lagi yang hendak dimuliakan pada seorang guru? Dalam hal ini guru-guru itu sendiri yang meletakkan diri mereka di taraf yang rendah, dan wajarlah kalau pelajar-pelajar mereka bersikap kurang ajar. Apa lagi yang hendak dihormati?

Adakah guru-guru sengaja atau terlupa tanggungjawab dan peranan mereka? Atau mungkinkah guru-guru sekarang memang tidak tahu peranan mereka? Saya pun tidak tahu. Apa yang saya tahu, mendidik dan membimbing insan mengenal Allah itu satu ibadah, dan di situlah sebenarnya 'kemuliaan' dan peranan sebenar insan bergelar 'guru'.


(Sekadar peringatkan diri sendiri.)


p/s: Apa makna 'cikgu'? Nampak macam akronim bagi 'encik guru' (macam 'berdikari'= berdiri atas kaki sendiri). Betul ke?

Tuesday, May 31, 2011

Ilham revolusi dan evolusi internet (jawi)

سايڠت (دان ستاهو) ساي اينترنيت اين دولو اسلڽ دباڠونکن سباڬي ساتو اينفراستروکتور کومونيکاسي انتارا اينستيتوت ڤڽليديقن دان ڤوست ڤڠاجيان تيڠڬي. اي دباڠونکن باڬي ممودهکن کومونيکاسي دان ڤرتوکرن معلومت برکنأن ڤڽليديقن سأينتيفيک دان کجوروترأن انتارا اورڬانيساسي٢ برکأيتن.

کمودين ڤد تاهون ١٩٩٠-ان, ريۏولوسي اينترنيت برﻻکو ملالؤي ڤڠنلن ﻻمن ويب سباڬاي ساله ساتو اڤليکاسي اينترنيت. ڤڠنلن اڤليکاسي بربنتوق ﻻمن ويب ممبولهکن ڤلباڬي بنتوق معلومت دڤاڤرکن ملالؤي اينترنيت دان ممودهکن معلومت دﻻياري (دتاتڤ) اوله ڤڠونجوڠڽ. ملالؤي ﻻمن ويب جوڬ ڤلباڬي اڤليکاسي دان تيکنولوڬي برکأيتن اينترنيت داڤت دباڠونکن, ميثلڽ جاۏا اڤليت, سکريڤ (سڤرتي جاۏا سكريڤت, سي.ايس.ايس) دان سباڬيڽ.

حاصل تيکنولوڬي ﻻمن ويب, بيلاڠن, تيکنولوڬي دان ڤرسأيڠن ڤلاير اينترنيت جوڬ سماکين برتمبه. کممڤوان ڤلاير ممڤروسيس دان مموات تورون ﻻمن ويب, کممڤوان مموات تورون دان ممأينکن اوبجيک تربنم (امبيدديد اوبجيك) دان کممڤوان مناڠني ڤلباڬي تيکنولوڬي ﻻمن ويب منجادي کايو اوکور کڤد سمبوتن ترهادڤ ڤلاير اينترنيت سڤرتي اينترنيت ايكسڤلورر, موزيللا, نيتسكڤ كومونيكاتور دان ﻻءين٢ ڤلاير.

سلاءين ايت کونسيڤ ستوران اوام اتس تاليان جوڬ توروت برکمبڠ. ملالؤي کونسيڤ اين, ڤڠڬونا اينترنيت برڤلواڠ برکوڠسي ڤلباڬي بنتوق فأيل دڠن ڤڠونجوڠ اينترنيت, خوصوصڽ فأيل ۏيديو دان موزيک. بڬيتو جوڬ دڠن ميديا٢ ﻻءين سڤرتي اڤليکاسي ڤرمأينن, دوکومن دان سباڬيڽ. دالم ڤد ايت جوڬ, کونسيڤ ستورن اوام تله ممودهکن ﻻڬي کونسيڤ ﻻمن ويب ڤرسنديريان, بربنديڠ سبلوم ايت يڠ ممرلوکن سساءورڠ مڽيوا اکاءون٢ ممبينا تاڤق (دومين) درڤد ڤڽديا ڤرخدمتن اينترنيت (اي.ايس.ڤي) اونتوق منربيتکن ﻻمن ويب. ملالؤي کونسيڤ ستوران اوام, ڤڠڬونا اينترنيت بيبس ممبوک اکاءون سچارا ڤرچوما دان ممبينا ﻻمن ويب سنديري ماهوڤون برکوڠسي ڤلباڬي جنيس ميديا داينترنيت.

حاصل ڤرکمبڠن ڤلاير اينترنيت منجاديکن اڤليکاسي اينترنيت سماکين ڤوڤولر. مک وجود ڤوﻻ کونسيڤ اينجين چاريان سڤرتي ليكوس, ياهوو, ڬوڬل دان سباڬيڽ يڠ برتوجوان ممبري ڤرخدمتن چاريان ﻻمن ويب کڤد ڤڠڬونا ڤلاير اينترنيت. ڽات کونسيڤ دان ڤرخدمتن اينجين چاريان اين بڬيتو ڤنتيڠ. بهکن بوله دکاتکن بهاوا, تنڤا اداڽ اينجين چاريان موڠکن اينترنيت تيدق ممڤو براد دتاهڤ سکارڠ. سبب ايت دڠن مودهڽ اينجين چاريان داڤت مڠأوت کاونتوڠن حاصل ڤڠيعلانن کران همڤير سموا ڤڠڬونا اينترنيت اکن ممبوک ﻻمن ويب اينجين چاريان اڤبلا هندق ملاياري اينترنيت.

اينترنيت جوڬ توروت ممڤوڤولرکن بودايا چات. ولوڤون تله ڤوڤولر سجق کوجودن بي.بي.ايس (بولتين بورد سيستم) ڤد ايرا ٧٠-ان, اڤليکاسي چاتيڠ تيدق باڽق براوبه کچوالي سديکيت٢ ڤنمبهن سڤرت تيکس برورنا-ورني دان اموتيكونس (اموتيون ايكونس مڠڬنتيکن تيکس :-), :-( دان سباڬيڽ). متاخير اين کونسيڤ چاتيڠ تله برايۏولوسي کڤد بنتوق فوروم اتس تاليان, سرتا دڬابوڠ جالين دڠن اڤليکاسي اي-ميل سڤرتي يڠ دﻻکوکن اوليه ياهوو ميل دان ڬي-ميل. بڬيتو جوڬ اڤليکاسي ڤرسنديريان بربنتوق ستاند-الون ماسيه ﻻڬي دڬوناکن ملالؤي ڤڠڬونأن ياهوو ميسينجير, ڬوڬل ميسينجير دان ڬي.اين.يو. ميسينجير.

بلوڬ بوله دکاتکن ترحاصل درڤد ايۏولوسي ﻻمن ويب ڤرسنديريان دان چات. کونسيڤ ڤنربيتن سنديري حاصل٢ کاريا ڤنوليسن دان سباڬيڽ مروڤاکن اينتيڤاتي کڤد کونسيڤ بلوڬ. دالم ڤد ماس سام, ڤمباچ بوله ممبري مکلومبالاس دان بربوال ملالؤي کونسيڤ چات دان فوروم يڠ تله دترڤکن. اين ممبري رواڠ کڤد کونسيڤ ڤنربيتن دان ڤنريمأن ماکلومبالاس سرت-مرت ترهادڤ کاريا يڠ دتربيتکن. بهکن اد ڤنوليس بلوڬ يڠ مڠأوت کاونتوڠن منروسي خدمت ڤڠئيعلانن بلوڬ, سکاليڬوس ملواسکن ڤرانن بلوڬ سباڬي ساله ساتو اڤليکاسي اينترنيت يڠ ڤالڠ مڠونتوڠکن.

نامون تيدق داڤت دنافيکن, انتارا اڤليکاسي ڤالڠ ڤوڤولر حاصل ايۏولوسي اڤليکاسي اينترنيت اياله ڤرخدمتن رڠکاين سوسيال. هاري اين کيت داڤت ليهت جنام ’فيس بوق‘ منيتي دري بيبير کبيبير, بهکن مڠڬنتيکن ڤرانن اي-ميل يڠ ساتو ماس دولو مروڤاکن ساتو٢ڽ اڤليکاسي اونتوق مڽمڤايکن ميسيج, ماهوڤون ’فريندستر‘ يڠ ساتو ماس دهولو منراجو کونسيڤ رڠکاين سوسيال. ڤرانن دان ڤنولارن بودايا رڠکاين سوسيال سماکين برکمبڠ سابن هاري. ڤلبڬي اينفورماسي دسالور دان دکوڠسي دڠن رڠکاين 'ساهابت' دالم بنتوق ميسيج سڬرا, چاتتن, ڬمبر, بهکن ڤرمأينن اتس تاليان جوڬ توروت دڬابوڠ جالين منجادي سبواه رواڠ اڤليکاسي ڤلباڬي فوڠسي. بهکن کيني ’فيس بوق‘ توروت دکأيتکن دڠن ڤنولارن ڤڽاکيت سوسيال, ﻻتيهن ڤڠڬانس, ماهوڤون ڤرکمبڠن سينديکيت داده انتارابڠسا.

باڽق ﻻڬي اڤليکاسي دان تيکنولوڬي يڠ ترحاصل درڤد ريۏولوسي دان ايۏولوسي اينترنيت يڠ تيدق دجلسکن دسيني, ميثلڽ کونسيڤ ويکيڤيديا (اينسيکلوڤيديا اوام), ڤمباڠونن ڤريسيان اوام (ڤوبليق سوفت-وير ديۏيلوڤمينت) دان سباڬيڽ. بهکن ببراڤ کونسيڤ تربارو تله دڤرکنلکن ببراڤ تاهون کبلاکڠن اين, تروتاماڽ اوله ڬوڬل. انتاراڽ لايۏلي (ايکسڤيريمن رواڠ سوسيال ٣دي) دان ويب-ڬي.ئيل. (تيکنولوڬي عالم ماي اونتوق كروم).

نامون ڤرسؤالن يڠ ڤنتيڠ دسيني اياله, اڤکه تيکنولوڬي دان کونسيڤ اينترنيت يڠ باکل مونچول ١٠-٢٠ تاهون اکن داتڠ؟ اداکه اڤليکاسي دان تيکنولوڬي يڠ اد سکارڠ اکن تروس برتاهن اتاو هيلڠ دتلن زمان دان دڬنتي دڠن کونسيڤ دان تيکنولوڬي يڠ ﻻءين ڤولا؟ دان جک اد يڠ بهارو, باڬيمانکه بنتوقڽ؟ اداکه کيت سوده برسديا ممبنتوق کونسيڤ بهارو اينترنيت دان اڤليکاسيڽ؟ اتاو اڤکه کيت ممڤو منڠڬڤ لبه دهولو ڤلواڠ٢ مڠأوت کاونتوڠن دري اينترنيت (سڤرتيمان ڤڠيعلانن اينترنيت, اعلن بلوڬ ,اي-كوميرس, دان لاين٢)؟


("...اکن داتڠ - "تيکنولوڬي دان کونسيڤ اينترنيت يڠ واجر دباڠونکن, دان کناڤ)

Wednesday, May 25, 2011

Ilham revolusi dan evolusi internet

Seingat (dan setahu) saya internet ini dulu asalnya dibangunkan sebagai satu infrastruktur komunikasi antara institut penyelidikan dan pusat pengajian tinggi. Ia dibangunkan bagi memudahkan komunikasi dan pertukaran maklumat berkenaan penyelidikan saintifik dan kejuruteraan antara organisasi-organisasi berkaitan.

Kemudian pada tahun 1990-an, revolusi internet berlaku melalui pengenalan laman web sebagai salah satu aplikasi internet. Pengenalan aplikasi berbentuk laman web membolehkan pelbagai bentuk maklumat dipaparkan melalui internet dan memudahkan maklumat dilayari (ditatap) oleh pengunjungnya. Melalui laman web juga pelbagai aplikasi dan teknologi berkaitan internet dapat dibangunkan, misalnya Java applet, skrip (seperti Javascript, CSS) dan sebagainya.

Hasil teknologi laman web, bilangan, teknologi dan persaingan pelayar internet juga semakin bertambah. Kemampuan pelayar memproses dan memuat turun laman web, kemampuan memuat turun dan memainkan objek terbenam (
embedded objects) dan kemampuan menangani pelbagai teknologi laman web menjadi kayu ukur kepada sambutan terhadap pelayar internet seperti Internet Explorer, Mozilla, Netscape Communicator dan lain-lain pelayar.

Selain itu konsep storan awam atas talian juga turut berkembang. Melalui konsep ini, pengguna internet berpeluang berkongsi pelbagai bentuk fail dengan pengunjung internet, khususnya fail video dan muzik. Begitu juga dengan media-media lain seperti aplikasi permainan, dokumen dan sebagainya. Dalam pada itu juga, konsep storan awam telah memudahkan lagi konsep laman web persendirian, berbanding sebelum itu yang memerlukan seseorang menyewa akaun-akaun membina tapak (
domain) daripada penyedia perkhidmatan internet (ISP) untuk menerbitkan laman web. Melalui konsep storan awam, pengguna internet bebas membuka akaun secara percuma dan membina laman web sendiri mahupun berkongsi pelbagai jenis media di internet.
Hasil perkembangan pelayar internet menjadikan aplikasi internet semakin popular. Maka wujud pula konsep enjin carian seperti Lycos, Yahoo, Google dan sebagainya yang bertujuan memberi perkhidmatan carian laman web kepada pengguna pelayar internet. Nyata konsep dan perkhidmatan enjin carian ini begitu penting. Bahkan boleh dikatakan bahawa, tanpa adanya enjin carian mungkin internet tidak mampu berada di tahap sekarang. Sebab itu dengan mudahnya enjin carian dapat mengaut keuntungan hasil pengiklanan kerana hampir semua pengguna internet akan membuka laman web enjin carian apabila hendak melayari internet.

Internet juga turut mempopularkan budaya chat. Walaupun telah popular sejak kewujudan BBS (Bulletin Board System) pada era 70-an, aplikasi chatting tidak banyak berubah kecuali sedikit-sedikit penambahan seperti teks berwarna-warni dan emoticons (emotion icons menggantikan teks :-), :-( dsb). Mutakhir ini konsep chatting telah berevolusi kepada bentuk forum atas talian, serta digabung jalin dengan aplikasi email seperti yang dilakukan oleh Yahoo Mail dan Gmail. Begitu juga aplikasi persendirian berbentuk standalone masih lagi digunakan melalui penggunaan Yahoo Messenger, Google Messenger dan GNU Messenger.

Blog boleh dikatakan terhasil daripada evolusi laman web persendirian dan chat. Konsep penerbitan sendiri hasil-hasil karya penulisan dan sebagainya merupakan intipati kepada konsep blog. Dalam pada masa sama, pembaca boleh memberi maklumbalas dan berbual melalui konsep chat dan forum yang telah diterapkan. Ini memberi ruang kepada konsep penerbitan dan penerimaan maklumbalas serta-merta terhadap karya yang diterbitkan. Bahkan ada penulis blog yang mengaut keuntungan menerusi khidmat pengiklanan blog, sekaligus meluaskan peranan blog sebagai salah satu aplikasi internet yang paling menguntungkan.

Namun tidak dapat dinafikan, antara aplikasi paling popular hasil evolusi aplikasi internet ialah perkhidmatan rangkaian sosial. Hari ini kita dapat lihat jenama Facebook meniti dari bibir ke bibir, bahkan menggantikan peranan email yang satu masa dulu merupakan satu-satunya aplikasi untuk menyampaikan mesej, mahupun Friendster yang satu masa dahulu meneraju konsep rangkaian sosial. Peranan dan penularan budaya rangkaian sosial semakin berkembang saban hari. Pelbagai informasi disalur dan dikongsi dengan rangkaian 'sahabat' dalam bentuk mesej segera, catatan, gambar, bahkan permainan atas talian juga turut digabung jalin menjadi sebuah ruang aplikasi pelbagai fungsi. Bahkan kini Facebook turut dikaitkan dengan penularan penyakit sosial, latihan pengganas, mahupun perkembangan sindiket dadah antarabangsa.

Banyak lagi aplikasi dan teknologi yang terhasil daripada revolusi dan evolusi internet yang tidak dijelaskan di sini, misalnya konsep wikipedia (ensiklopedia awam), pembangunan perisian awam (public software development) dan sebagainya. Bahkan beberapa konsep terbaru telah diperkenalkan beberapa tahun kebelakangan ini, terutamanya oleh Google. Antaranya Lively (eksperimen ruang sosial 3D) dan WebGL (teknologi alam maya untuk Chrome).

Namun persoalan yang penting di sini ialah, apakah teknologi dan konsep internet yang bakal muncul 10-20 tahun akan datang? Adakah aplikasi dan teknologi yang ada sekarang akan terus bertahan atau hilang ditelan zaman dan diganti dengan konsep dan teknologi yang lain pula? Dan jika ada yang baharu, bagaimanakah bentuknya? Adakah kita sudah bersedia membentuk konsep baharu internet dan aplikasinya? Atau apakah kita mampu menanggap lebih dahulu peluang-peluang mengaut keuntungan dari internet (sepertimana pengiklanan internet, iklan blog, e-commerce, dll)?

(akan datang - "Teknologi dan konsep internet yang wajar dibangunkan, dan kenapa ...")

Monday, May 16, 2011

Semua orang boleh menjadi penyelidik!

Kemajuan teknologi dan keperluan manusia yang semakin kompleks menuntut setiap orang menguasai pelbagai kemahiran dan pengetahuan. Hal ini bagi membolehkan kita mengurus dan memenuhi segala macam keperluan hidup. Umpamanya kemahiran-kemahiran tentang teknologi dan peralatan seperti selok-belok kenderaan, alat pertukangan, peralatan di rumah dan pejabat, alat berkebun dan sebagainya. Semua ini merupakan antara kemahiran-kemahiran asas yang perlu diketahui dan dikuasai. Itu belum dicampur dengan kemahiran bersukan, bantuan kecemasan, aktiviti masa lapang atau kegemaran, dan sebagainya. Justeru kehidupan masa kini sebenarnya tidak dapat lari daripada keperluan menguasai pelbagai kemahiran. Bidang penyelidikan juga ialah salah satu tanggungjawab dalam hidup manusia. Mengapa? Aktiviti penyelidikan sebenarnya bukan terhad untuk saintis atau penyelidik (tugas rasmi). Malah untuk menjadi masyarakat maju, sebahagian besar anggota masyarakat perlu mempunyai minat untuk menyelidik. Tidak semestinya kita perlu bekerja sebagai penyelidik. Antara ciri-ciri penyelidik ialah kreatif, inovatif, suka meneroka dan mereka cipta, serta berfikiran kritikal. Maka dengan memiliki dan mengamalkan ciri-ciri ini, walaupun kita seorang posmen atau suri rumah, kita sebenarnya layak digelar 'penyelidik'. Bahkan wartawan dan 'mami jarum' juga penyelidik kerana sentiasa meneroka dan mencari bahan berita terbaru! Penyelidikan penting kerana melalui aktiviti ini dapat menghasilkan ilmu pengetahuan baharu yang mungkin penting untuk kegunaan masyarakat. Selain itu penyelidikan juga penting dalam penghasilan teknologi yang memenuhi keperluan hidup kita yang semakin kompleks. Melalui penghasilan ilmu dan teknologi juga akan membantu kita meneroka bidang-bidang baharu. Oleh itu adalah amat bagus jika ramai anggota masyarakat minat dan mahir melakukan penyelidikan. Keperluan ini nyata semakin kritikal memandangkan hanya tinggal 9 tahun sebelum kita menjengah tahun 2020. Pada masa itu Malaysia sepatutnya sudah layak bergelar negara maju (jika mengikut matlamat Wawasan 2020). Bidang penyelidikan hari ini sungguh kompleks. Namun untuk melakukannya sebenarnya tidak sukar. Kita semua sebenarnya mampu menjadi 'penyelidik', iaitu dengan mengamalkan ciri yang disebutkan. Ramai kalangan kita yang ada pelbagai kemahiran. Kemahiran-kemahiran yang sukar seperti membaiki enjin kereta, mengusahakan tanah ladang yang luas berekar-ekar, memasak masakan yang lazat itupun ramai yang boleh buat. Bahkan 'merempit', menghasilkan pil 'kuda' pun ramai yang menguasainya. Kenapa tidak digunakan kebolehan itu untuk yang positif dan memberi faedah lebih besar kepada masyarakat?