Pages

Wednesday, July 20, 2022

GNU - Sistem Pengoperasian Bebas Hakmilik

Amnya GNU merupakan pakej perisian yang diuruskan oleh Free Software Foundation (FSF) - https://www.fsf.org/. FSF merupakan sebuah yayasan yang diasaskan oleh Richard Stallman, yang mana merupakan seorang pengatur cara komputer dan aktivis. Stallman dianggap ikon dalam kalangan mereka yang memperjuangkan idealisme perisian bebas (free software) dan berasaskan kod sumber terbuka (open source). 

Nama GNU merupakan akronim kepada 'GNU's not Unix', dan disebut dengan sebutan /gnu/. Mungkin kerana persamaan sebutan, GNU mengetengahkan haiwan gnu sebagai maskot rasminya. Lukisan di bawah ini merupakan lambang maskot GNU yang dihasilkan oleh Etienne Suvasa.


Berbanding sistem pengoperasian lain, GNU dianggap unik kerana GNU bukan semata-mata sistem pengoperasian atau perisian tetapi turut dianggap projek dan manifestasi kepada idealisme 'semua perisian adalah bebas untuk semua orang'.

Pakej GNU (https://directory.fsf.org) merupakan koleksi perisian lengkap dan bebas hak milik. Asalnya koleksi ini bertujuan menyediakan sistem pengoperasian selain menawarkan pelbagai perisian utiliti dan aplikasi yang biasa ditemui dalam kebanyakan sistem (spesifiknya, yang berasaskan Unix). 

Sehingga kini, selain sistem pengoperasian, pakej GNU turut menaungi lebih dari 16,000 projek perisian merangkumi perisian sistem, utiliti dan aplikasi termasuk pemproses perkataan, penyunting grafik, pengkompil dan lain-lain. Pendek kata, dengan memilih pelbagai perisian percuma GNU dan memasangnya ke dalam sebuah komputer, komputer tersebut boleh beroperasi sepenuhnya dan memenuhi kebanyakan keperluan asas pengguna, selain perisian itu bebas untuk dikongsi dan dikemas kini.

Sesiapa saja bebas menggunakan, menyalin, mengedar dan menyunting perisian dalam pakej GNU, selagi pengguna mematuhi syarat dan terma dalam Lesen Awam Umum (General Public Licenseatau GPL, yang digelar sebagai copyleft. Syarat ini memastikan perisian GNU kekal bebas walaupun selepas disunting.

Walau bagaimanapun GNU masih dikenali sebagai pakej sistem pengoperasian. Sistem pengoperasian GNU menggunakan kernel libre Linux, dan turut dikenali sebagai GNU/Linux. Ini kerana GNU belum mempunyai kernel sendiri. Pakej ini boleh dimuat turun dari https://www.gnu.org/gnu/gnu.html. Secara keseluruhan, sistem pengoperasian GNU/Linux nampak sama saja dengan pakej Linux dan sistem berasaskan Unix.

Selain menggunakan kernel Linux, GNU ada menaungi projek pembangunan kernelnya sendiri yang dinamakan Hurd. Hurd ialah kernel yang dibangunkan menggunakan rekabentuk mikrokernel dan sistem pengoperasian Mach. Tetapi disebabkan Hurd masih dianggap dalam peringkat pembangunan, maka GNU menggunakan kernel Linux. Pada masa depan Hurd dijangka akan dapat digunakan dan menggantikan kernel Linux sebagai kernel GNU.


.



No comments:

Post a Comment