Tuesday, October 22, 2013

Siapa yang layak dituduh menunjuk-nunjuk dan riak?


Saya terbaca catatan seorang cendekiawan tentang sifat menunjuk-nunjuk dan sikap merendah diri. Apabila terbaca catatan tersebut, saya terasa bahawa catatan tersebut kena tepat pada diri saya. Sama ada benar untuk saya atau tidak, tidaklah diketahui.

Sebabnya saya memang suka menyatakan sesuatu pendapat yang saya rasakan berguna dan bermanfaat untuk dikongsi dengan orang ramai. Memang, ada kalanya terlalu banyak dan mungkin keterlaluan, hingga mungkin menimbulkan salah faham atau rasa kurang senang dalam diri orang lain. Tidak tahulah apa sebab sebenarnya dan atas dasar apakah timbul persepsi sedemikian. Akhirnya label 'suka menunjuk-nunjuk' akan dicap secara mudah ke atas saya. Walhal bukan itu sebenarnya niat saya, kerana saya 'terpaksa' melakukannya (demi kepentingan umum). Apapun saya patut mengucapkan terima kasih kepada beliau kerana tanpa catatan itu, mungkin tidak timbul idea untuk menulis di blog yang makin usang ni.

Umum harus sedar bahawa apa yang ketara tidak semestinya menggambarkan realiti. Label 'suka menunjuk-nunjuk' tidak boleh dilabelkan secara mudah terhadap seseorang. Sebaliknya, seseorang itu hanya boleh dikatakan suka menunjuk-nunjuk JIKA DAN HANYA JIKA memenuhi definisi berikut: 
Menunjuk-menunjuk atau riak bermaksud - suatu perlakuan atau perbuatan seseorang mempamerkan sesuatu spt. kebolehan, kelebihan atau hak milik dirinya kepada orang lain, yang secara jelas dilakukan dengan niat sengaja untuk (i) mendapatkan suatu kelebihan lain atau penghormatan untuk dirinya, atau (ii) membolehkannya mengatasi ciri yang sama yang ada pada orang lain. (sinonim - membangga / meninggi diri, berlagak sombong)
Definisi menunjuk-nunjuk di atas mungkin masih rapuh, tetapi bagi saya cukup untuk menjelaskan apakah sebenarnya 'keperluan' bagi seseorang yang hendak dituduh sebagai menunjuk-nunjuk (mungkin saya patut jadi peguam).

Umumnya istilah menunjuk-nunjuk ini timbul kerana terdapat orang yang mempamerkan sesuatu kelebihan - kemahiran, kepakaran, pengetahuan, hak milik dan sebagainya. Seseorang tidak akan tampil atau berani menonjolkan diri, melainkan jika dia tahu dia ada suatu kelebihan (termasuklah saya). Tetapi perbuatan itu sahaja belum boleh dikatakan menunjuk-nunjuk melainkan sengaja atau dengan niat yang tertentu. Sesetengah perbuatan boleh dikategorikan sebagai menonjolkan kelebihan tetapi berlaku secara tidak sengaja atau tanpa disedari. Jadi adilkah jika orang yang berkeadaan sedemikian dituduh dengan gelaran yang negatif? Sudah tentu tidak. Maka elemen niat ataupun sengaja harus ada bagi orang yang hendak dilabel menunjuk-nunjuk.

Perbuatan yang menonjolkan kelebihan dengan sengaja itu pula mestilah memberi kelebihan, pujian, penghormatan dan sebagainya (iaitu sebagai ganjaran kepada perbuatan menunjukkan kelebihan itu) kepada orang yang melakukannya.

Ada orang sengaja melakukan sesuatu, tetapi dengan niat yang baik. Misalnya tabiat saya suka menampilkan sesuatu yang saya miliki yang saya rasa bermanfaat untuk orang lain, dan saya tidak kisah sekiranya ia tidak memberi pulangan atau ganjaran kepada saya (ini untuk menjelaskan niat, bukan menunjuk-nunjuk betapa baiknya saya). Apatah lagi yang melibatkan ilmu pengetahuan. Bagi saya, ilmu bermanfaat untuk masyarakat dan tidak harus disembunyikan / didiamkan saja. Jika tidak, masyarakat yang rugi. Wajarkah seseorang yang mempunyai kelebihan dan sengaja menggunakan kelebihannya itu untuk kepentingan awam dituduh sebagai menunjuk-nunjuk? Kepentingan awam harus diutamakan kerana jika orang itu tidak menunjukkan kelebihan tersebut, maka orang awam yang akan kerugian. Salahkah Spiderman (bukan saya) menggunakan keupayaan adiwiranya untuk menyelamatkan orang?

Perbuatan menunjuk-nunjuk itu lazimnya dilakukan untuk kepentingan peribadi. Misalnya dilakukan dengan niat untuk membolehkan seseorang mengatasi orang lain, iaitu atas faktor mengatasi persaingan. Ada yang dilakukan untuk mendapat habuan (jika tanpa habuan, hal itu tidak mahu dilakukan). Ada juga yang mengharapkan balasan lain seperti populariti, pujian, kenaikan pangkat dan sebagainya.


Definisi di atas penting kerana dapat mengelakkan salah faham dan persepsi buruk terhadap sesuatu perbuatan yang kelihatan seperti menunjuk-nunjuk tetapi sebenarnya bukan. Bahkan ada sesetengahnya mungkin terpaksa dilakukan, atau demi kepentingan awam, atau berlaku secara tidak sengaja. Maka di sini jelas sekali elemen penting yang perlu diteliti ialah - apakah niat sebenar suatu perlakuan itu dilakukan.

Bagi anda yang terbaca penulisan ini, harap tidaklah sewenang-wenangnya menuduh orang lain 'suka menunjuk-nunjuk' hanya kerana kita mempunyai persepsi negatif atau kurang senang terhadap perlakuan itu. Teliti dahulu sama ada menepati definisi yang diberikan di atas. Sebenarnya belum tentu juga, kerana niat itu di dalam hati. Adalah lebih baik jika kita berlapang dada dan berfikiran positif terhadap sesuatu tindakan. Elakkan berprasangka negatif terhadap orang lain, melainkan kita ada sebab yang kuat untuk berpandangan demikian (misalnya sudah ada bukti, atau diakui sendiri oleh orang yang melakukannya). Manakala sebagai orang yang dituduh, janganlah pula kita mengalah hanya kerana suatu persepsi negatif. Sesungguhnya Allah S.W.T. tahu niat sebenar kita. Jika kita ikhlas ingin menyumbang kepada kebaikan masyarakat, hendaklah terus dilakukan supaya dapat memanfaatkan kelebihan yang kita miliki. Jika ada kesempatan, berilah penjelasan bagi menjelaskan niat sebenar kita. Tidak perlu kecil hati kerana semuanya semata-mata persepsi.


Sumber komik
[1]: http://img.tfd.com/wn/1A/BF93C-boast.jpg

[2]: http://www.CartoonStock.com

2 comments:

  1. Apabila kita mengambil kisah pasal pandangan orang lain terhadap kita juga ditakuti jatuh dalam kategori riak. Ibarat macam yang bercakap "aku bukannya nak riak tapi aku buat semua tu utk berkongsi ilmu dengan orang ramai". Seolah2 hendak menerangkan kpd semua org yg dia sangat baik dan tidak berniat menunjuk2. Bukankah itu sudah secara x sengaja menjadi riak? Apabila kita mengharapkn orang lain berfikir yg kita ni sbnrnye mmg org baik? Cara yg paling mudah utk menghindarkan riak adalah kita buat saja apa yg kita rasa betul dgn niat kerana allah dan pedulikan saja apa tanggapan org ramai. Kerana kita buat semua tu kerana Allah kan? bukan kerana nk org puji kita baik kan? wallahualam

    ReplyDelete
    Replies
    1. Terima kasih atas pandangan sedara. Ada betulnya. Terutama ttg 'pedulikan tanggapan orang. yg penting niat'. Cuma ada masanya perlu juga cerita kebaikan-kebaikan yg kita buat atas niat berkongsi dan menggalakkan perbuatan tersebut. Melainkan kalau takde faedah utk diketahui ornag, tu bolehlah simpan.

      Tulisan di atas bukan bertujuan utk memperkatakan siapa saya, tetapi menjelaskan tujuan di sebalik perbuatan-perbuatan saya, dgn harapan orang yg mengalaminya tahu tujuan perbuatan tersebut, dan boleh nilai sama ada betul atau tidak (selari atau tidak) hasil perbuatan dengan dakwaan saya.

      Yg lebih penting tulisan ini saya tulis kerana saya melihat 'menuduh orang lain riak' diambil secara simplistik dan jadi budaya. Hal ini tak sepatutnya berlaku. Saya tak tahu isi hati orang lain, jadi saya jadikan diri sendiri sbg subjek. Kebetulan idea ini timbul selepas berlaku insiden yg disebutkan.

      Berkaitan hal ini juga, saya dapati memang ada manusia (bukan saya) yg memang suka menonjolkan sesuatu ttg dirinya utk mendapat perhatian. Tak semestinya hendak dipuji tapi didorong rasa suka berkongsi dan menjadikannya sebagai topik utk menarik minat orang lain kepadanya sebagai satu cara bersosial. Maknanya dia tak kisah nak tonjolkan apa saja, asalkan dia boleh tarik 'kawan'. Bahkan saya fikir ada golongan manusia yg memang fitrahnya macam ni. Jadi saya fikir tulisan ini releven utk membela golongan tersebut.

      Delete