Friday, October 25, 2013

Mengapa cendekiawan Melayu harus berfikir menggunakan Bahasa Melayu?

Selalunya apabila kita memperkatakan tentang bahasa, ianya akan digambarkan sebagai medium pertuturan, atau wahana penulisan/ penerbitan. Namun jarang sekali diperkatakan kepentingan bahasa terhadap pemikiran sebagai faktor kepada usaha memartabatkan bahasa. 

Sebenarnya bahasa juga terlibat dalam proses pemikiran, kerana apabila kita ingin memahami sesuatu perkara, kita sebenarnya membentuk model minda (mental) dalam otak kita terhadap perkara tersebut dan disimpan sebagai memori/ ingatan. (Semak fakta ini, jangan percaya bulat-bulat kerana saya bukanlah ahli psikologi.)

Secara amnya, sesuatu yang ingin kita lahirkan (secara lisan, perbuatan) berasal daripada cara kita membentuk model minda itu. Jika kita berfikir dalam bahasa Inggeris, maka kita lebih cenderung untuk bertutur atau menulis dalam bahasa tersebut, berbanding kita hendak bertutur atau menulis dalam bahasa lain. Sebabnya ialah proses pemikiran itu dapat dilakukan dengan pantas dalam bahasa yang sama, sedangkan kalau bahasa lain, minda kita perlu menterjemah dahulu model minda yang kita simpan kepada bahasa wacana yang ingin kita tampilkan.

Masalah yang dihadapi cendekiawan sekarang ialah, apabila membaca teks-teks keilmuan dalam bahasa asing yang sememangnya berlambak-lambak di persekitaran, ramai cendekiawan tidak berusaha membentuk model minda dalam bahasa Melayu. Sebaliknya terus membina model minda dalam bahasa asing tersebut. Jadi apabila diminta (diarahkan) untuk memartabatkan semula Bahasa Melayu dalam pengajaran dan pembelajaran di Institusi Pengajian Tinggi (IPT), para cendekiawan tersebut jadi kekok. Tidak hairanlah kerana model mindanya memang sudah dibentuk dalam bahasa asing.

Oleh sebab itu, bagi merancakkan usaha memartabatkan Bahasa Melayu di IPT, seharusnya cendekiawan Melayu sudah mula berfikir dalam Bahasa Melayu. Apabila kita berfikir dalam Bahasa Melayu, yang lebih mudah diluahkan semasa proses bercakap atau menulis tentulah Bahasa Melayu juga. Jadi tidaklah sukar untuk kita melakukan usaha memartabatkannya. 





2 comments:

  1. Saya teruja dengan pandangam Dr. terhadap penggunaan bahasa kita dalam berfikir dan mendalami ilmu. Saya sudah lama mendambakan sesuatu ciptaan berciri bahasa Melayu yang mengiringi teknoloji.

    Saya baru menghasilkan aplikasi penkompil yang menterjemah bahasa mirip BASIC (Melayu) kepada HTML. Saya namakan Malaybasic. Tujuan saya adalah untuk mendapatkan komuniti yang aktif bertukar pendapat dalam pengaturcaraan. Kalau boleh semuanya urusan dikomuniti ini diasaskan didalam Bahasa Melayu.

    Saya mengharapkan Dr. dapat meluangkan masa menjenguk aplikasi saya di www.malaybasic.com.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Terima kasih. Saya dah tengok. Usaha yang baik dan menarik. Dokumentasi pun dah banyak. Boleh juga rujuk2 bahasa skrip BAIK (Bahasa Anak Indonesia untuk Komputer) yg dihasilkan dari penyelidikan.

      Delete