Pages

Wednesday, November 28, 2018

Kenali gaya pembelajaran anda

Pernah tak anda terfikir, apakah gaya pembelajaran yang anda suka? 

Amnya setiap orang ada gaya pembelajaran yang tersendiri. Misalnya ada orang suka belajar dengan menghadiri kelas dan mendengar kuliah atau penyampaian dari guru, ada juga lebih suka membaca sendiri, ada yang suka belajar melalui laman web secara dalam talian, dsb. Dari segi bentuk bahan pembelajaran pula ada yang suka mendengar, ada yang suka melihat gambar (visual), dan ada pula yang lebih suka melihat perkataan. Pendek kata, gaya pembelajaran boleh jadi berbeza dan pelbagai mengikut individu. Tujuan mengenal pasti gaya pembelajaran ialah untuk membolehkan kita belajar secara efektif (lebih mudah atau cepat faham, melaksanakan sesi pembelajaran yang lebih lama tanpa bosan dsb.).

Bagaimana anda menilai gaya pembelajaran anda?

Mungkin anda ada cara yang tersendiri untuk menilai gaya pembelajaran yang disukai. Namun ada beberapa kaedah formal yang dibentuk untuk membolehkan seseorang memahami gaya pembelajarannya. Antara model yang dibentuk untuk mengenal gaya pembelajaran ini termasuklah model ILS (index of learning style) oleh Felder dan Silvermann. Secara teorinya model gaya pembelajaran ini masih boleh dipertikaikan kesahihannya, dan jangan percaya 100%. Namun sedikit-sebanyak boleh digunakan sebagai gambaran gaya pembelajaran yang kita sukai.

Model ILS Felder dan Silvermann

Model oleh Felder dan Silvermann ini mengenal pasti gaya pembelajaran berdasarkan 8 ciri yang dipadankan menjadi 4 pasangan - 
  • visual vs verbal, 
  • aktif vs reflektif, 
  • sensing vs intuitif, 
  • global vs berjujukan. 

Penerangan bagi setiap ciri boleh dirujuk dari dokumen ini. [muat turun rujukan tentang ILS. hakcipta pemunya asal]

Model ILS diaplikasi dengan mengira indeks bagi 4 pasangan ciri (1 ciri dipilih daripada setiap pasangan), dan daripada indeks ini akan menggambarkan gaya pembelajaran seseorang. Indeks ini berjulat 1-11, dan nilai indeks yang lebih dari 5 dianggap menggambarkan ciri yang sesuai untuk seseorang itu (misalnya jika indeks visual dapat 7, seseorang itu dianggap 'suka' cara visual, dan jika 11 sangat 'suka'). 

Cara indeks dikira ialah dengan menjawap 44 soalan khusus berkaitan ILS (ILS questionnaire), dan akan menghasilkan 4 nilai indeks (dan padanan ciri).

Di mana boleh dapatkan soalan ILS untuk dicuba?

Set soalan standard untuk mengenal pasti ILS ini boleh diperolehi secara dalam talian di laman web ini -> https://www.webtools.ncsu.edu/learningstyles/. (Set soalan ILS mempunyai hakcipta yang dimiliki oleh Felder dan Silvermann)

Walau bagaimanapun anda boleh muat turun aplikasi yang hampir sama yang saya bangunkan, di sini [ Muat turun aplikasi ILS Questionnaire ]. Hakcipta soalan-soalan masih hakmilik pemilik asal.

Pastikan scan dahulu fail yang dimuat turun dengan anti-virus, sebagai langkah keselamatan. Kemudian ikuti langkah-langkah berikut:
  1. Ekstrak (unzip) folder 
  2. Buka dokumen index.html menggunakan pelayar (browser) internet seperti Chrome, Mozilla Firefox dll, tanpa perlukan internet. 
Contoh pelaksanaan aplikasi ini seperti yang ditunjukkan di bawah:


Paparan aplikasi ILS questionnaire

Aplikasi ini dibina berdasarkan soalan-soalan yang sama daripada laman web asal ILS dan anda boleh gunakan secara percuma. Juga boleh dijawab dalam dwi bahasa - English atau Bahasa Melayu!

Selain untuk kegunaan sendiri, para guru dan pendidik juga boleh galakkan murid-murid dan pelajar anda menggunakan aplikasi ini (mungkin perlu dibantu). Hasilnya nanti boleh digunakan untuk memperbaiki cara penyampaian kepada mereka dalam kelas dan kuliah.

Lepas ni bolehlah kenali gaya pembelajaran anda. Selamat mencuba.

Monday, November 26, 2018

Pengalaman yang menakutkan...


Setiap orang ada pengalaman menakutkan. Saya juga tak terlepas melalui pengalaman ini.

Baru-baru ini saya berjaga malam untuk menyiapkan satu projek menggunakan Javascript. Sedang saya leka menulis atur cara ini, saya ternampak suatu benda yang sangat pelik. Saya pun cuba teliti betul-betul. Yalah, mana tahu saya tersalah tengok. Berulang kali saya periksa, rasanya macam mustahil terjadi perkara sedemikian. Selalunya tak akan muncul. Tapi yang ni betul-betul lain.


sumber foto: internet

Seram giler


Perhatikan kod aturcara Javascript di bawah:

function 
index2QuestionId( index ) {
    return 'q' + ( index + 1 );   
}

Operator + dalam Javascript boleh digunakan untuk operasi aritmetik (cth. 1+1=2) dan operasi pencantuman (concatenation) rentetan cth. "q" + 1 = "q1". Penentuan operasi akan dibuat secara automatik oleh penterjemah Javascript.

Fungsi Javascript di atas sepatutnya membina rentetan (string) berbentuk 'q1' (index=0), 'q29' (index=28) dsb. Parameter index sepatutnya menerima nilai integer untuk indeks suatu tatasusunan (array, yang bermula dari 0). Apa yang pelik? Nampak biasa saja kan? 

Tapi bukan bagi Javascript. Jika fungsi di atas dipanggil,


index2QuestionId(0);     // oops! return 'q01'??
index2QuestionId(28);    // oops! return 'q281'??

Kod tu saya rasa betul! Kenapa hasilnya salah? Ni yang jadi seram ni.

Setelah berhempas pulas debug dengan menggunakan Chrome developer tool (kemudianlah saya cerita pasal tool ni) akhirnya saya dapat kesan punca masalah dari fungsi ini dan kenapa ia berlaku.

Penjelasan


Penentuan operasi akan dibuat secara automatik oleh penterjemah Javascript. Ini bahayanya. Tujuannya memudahkan pengatur cara tetapi berisiko. Dalam contoh fungsi di atas, apa yang dibuat ialah (andaikan index=0),

=> 'q' + ( index + 1 )
=> 'q' + ( '0' + 1 )
=> 'q' + ( '01' )
=> 'q01'

Dalam kes ini index diterjemah sebagai string! (sepatutnya integer, 0 + 1 = 1) oleh penterjemah (bijak la sangat...)

Ini yang saya kata menakutkan, sebab tindakan penterjemah sebegini memang tak dijangka, dan susah nak dikesan.

Rasionalnya dalam kesilapan di atas, penterjemah tak ada cara menentukan parameter yang diberi ialah berjenis integer sebab bahasa Javascript tidak menggunakan penanda jenis data atau pemboleh ubah (bahasa Java atau C ada int, float, char dsb.). Jadi penterjemah cuba buat tekaan (dan tersilap).

Untuk memperbaiki masalah ini (memastikan penterjemah buat tekaan yang betul), boleh dilakukan dengan 2 cara seperti berikut:

CARA 1 - asingkan operasi untuk jenis data yang berbeza.

function 
index2QuestionId( index ) {
     var x = index + 1;      // aritmetik
     return 'q' + x;         // cantum
}

CARA 2 - jelaskan pada penterjemah operasi yang diperlukan (cth. parseInt() hasilkan integer, jadi dapat jelaskan pada penterjemah pembolehubah yang nak diguna ialah jenis integer)

function 
index2QuestionId( index ) {
     return 'q' + ( parseInt(index) + 1);
}

Kedua-dua cara ini akan hasilkan output yang betul seperti berikut

index2QuestionId(0);     // return 'q1'
index2QuestionId(28);    // return 'q29'

Bila dapat kesan punca kesilapan, dan tahu penyelesaiannya, barulah lega sikit.

Semoga perkongsian pengalaman menakutkan ini dapat memberi manfaat.
Jadi tuan-tuan, bila mengaturcara dengan Javascript berhati-hatilah.

Jangan biarkan diri anda diselubungi misteri...