Pages

Thursday, February 20, 2014

Bertindak secara rasional dan bukan dengan emosi.

Bukan semua perkara harus dinilai dengan sekali pandang saja. Sebaliknya penilaian kita terhadap sesuatu perkara hendaklah bergantung kepada konteks penilaian yang hendak dibuat. Apa yang saya lihat, ramai dalam kalangan masyarakat yang melihat suatu perkara yang nyata sebagai suatu yang mutlak, dan meletakkan penilaian mereka terhadap perkara tersebut berdasarkan apa yang mereka tanggap atau lihat. Ini merupakan suatu pendekatan yang simplistik atau ambil mudah. 

Pendekatan simplistik sememangnya ada kegunaan dalam kehidupan seharian. Sebagai seorang manusia, penilaian simplistik membolehkan kita menyesuaikan diri dan dapat bertahan dengan cabaran-cabaran tertentu dalam hidup. Hal ini terutamanya yang melibatkan perkara-perkara yang kritikal dan memerlukan tindakan segera. Misalnya apabila kita hampir terjatuh ke dalam longkang, mungkin tindakan refleks adalah yang terbaik. Tetapi pemikiran simplistik juga dapat membantu kita mencari alternatif tetapi tidak memudaratkan kita disebabkan mengambil masa yang lama untuk mencari kaedah menyelamatkan diri daripada terjatuh ke dalam longkang. 

Situasi lain yang memerlukan pemikiran simplistik ialah apabila kita hendak membuat keputusan yang perlu dibuat segera, misalnya apabila kita membuat suatu projek, matlamatnya ialah siap (pada masa yang sama terbaik, jika boleh). Tetapi jika kita tidak cuba membuat keputusan yang simplistik (selalunya yang realistik dan praktikal), sebaliknya berusaha bermati-matian mencari pendekatan yang idealistik, akhirnya projek itu tidak akan siap. Mungkin ada penyelesaian yang ideal terhadap suatu perkara, tapi selalunya pendekatan yang simplistiklah yang lebih berkesan kerana tindakan dapat diambil dalam tempoh yang singkat. Maka penilaian simplistik mempercepatkan pembuatan keputusan.

Namun, bukan semua perkara boleh dibuat secara penilaian simplistik saja. Ada masanya kita perlu mengambil pendekatan yang rasional, iaitu bersebab dan logik, dan penilaian yang mendalam/kompleks. Antaranya ialah menilai sesuatu berdasarkan konteks persekitarannya. Walaupun penilaian juga berkait rapat dengan persepsi, faktor ini kita abaikan supaya lebih mudah dibincang dan difahami. Ada masanya persepsi menjadikan suatu yang tidak benar itu benar. Tetapi dalam perbincangan ini, kita andaikan ada dua atau lebih keadaan yang benar.

Dalam gambar ini, yang benar ialah garis-garis melintang yang lurus, tetapi persepsi mendorong kita untuk melihat garis-garis yang condong dan bengkang-bengkok!

Misalnya, seorang pemimpin parti politik yang dipilih rakyat, dan menjadi pemimpin negara, adalah orang yang sama tetapi boleh dinilai dalam dua konteks yang berbeza. Semasa pilihanraya (dan mungkin juga dalam apa jua hal yang bertujuan untuk kepentingan parti), beliau akan berperanan sebagai pemimpin partinya. 

Tetapi apabila dilantik sebagai Perdana Menteri dan beliau bertugas untuk kepentingan negara, maka beliau tidak harus dinilai sebagai pemimpin parti (walaupun hakikatnya beliau ialah pemimpin parti). Ini kerana konteks beliau sebagai Perdana Menteri yang memainkan peranan untuk negara, maka beliau harus dinilai sebagai orang yang memberi kepentingan kepada rakyat dan negara. Maka walaupun kita tidak bersetuju dengan beliau sebagai pemimpin parti (bahkan ada yang benci kepada beliau kerana bencikan parti politiknya), tetapi dalam konteks semangat patriotik dan cintakan negara, semua rakyat harus menyokong sebarang tindakannya dalam konteks Perdana Menteri yang memberi kebaikan kepada negara. 

Adakah ini imej wanita cantik, atau wanita tua? Konteks mungkin menjadikan kedua-duanya adalah benar. Itu sebabnya konteks penting diambilkira supaya tidak terlepas pandang hal yang benar!

Walaupun penilaian simplistik itu perlu, tetapi ada masanya tidak boleh digunakan sebaliknya perlu kepada penilaian yang lebih mendalam. Malangnya ada sesetengah pihak yang kadangkala terlalu taksub dengan ideologi dan fahaman tertentu, dan mungkin emosinya saja, mengambil pendekatan simplistik tanpa mengira situasi, konteks, mahupun rasionaliti. Pendekatan beremosi (simplistik, tanpa mengira konteks) selalunya akan lebih merugikan diri berbanding memberi keuntungan. Oleh yang demikian, dalam apa jua penilaian dan tindakan kita, mestilah rasional dengan mempertimbangkan konteks penilaian kita. 

Sebagai rumusan penulisan ini, pendekatan simplistik sememangnya perlu dalam keadaan tertentu. Tetapi bukan semua keadaan. Ada masanya kita perlu membuat penilaian secara mendalam tanpa membiarkan emosi mengatasi rasionaliti. Nilailah sesuatu berdasarkan konteks, bukannya secara mudah dan membuta-tuli, kerana keputusan sedemikian mungkin hanya akan merugikan, bahkan memudaratkan diri sendiri.


Kredit: Semua imej dicuplik daripada sumber internet.

.

Saya bangga menjadi rakyat Malaysia!


 Saya bersyukur kepada Allah SWT kerana mengurniakan sebuah negara yang hebat untuk didiami. Semoga kemakmuran yang ada sekarang akan bertambah baik demi masa depan generasi akan datang.

"Saya bangga menjadi rakyat Malaysia!"

Wednesday, January 15, 2014

Melawat Planetarium Negara Sempena Maulidur Rasul?

Semalam ialah 14 Jan 2014 Masehi, bersamaan dengan tarikh 12 Rabi'ul Awal 1435 Hijrah. Seluruh tanahair bercuti sempena Maulidur Rasul. Pada hari istimewa ini, entah bagaimana tergerak hati saya untuk membawa keluarga ke Planetarium Negara. Niat asalnya hanya sekadar mengisi masa yang terluang (cuti). Tapi ketika hendak balik, terasa puas hati dengan pengalaman yang diperolehi. Maka memang tidak sia-sialah peluang bercuti yang diberikan. Pendek kata, Planetarium Negara merupakan antara lokasi yang wajib dikunjungi, khususnya generasi muda dan kanak-kanak, dan bagi mereka yang ingin mempelajari sains dan penyelidikan angkasa lepas.

(Jika tidak tahu lokasi Planetarium Negara, boleh ke sana melalui jalan di hadapan Masjid Negara / Pusat Islam. Planetarium Negara terletak berhampiran Taman Burung dan Taman Rama-Rama Kuala Lumpur. Juga boleh gunakan Google Maps untuk panduan ke sana)

Apa yang ada di Planetarium Negara? 

Amnya Planetarium Negara merupakan kemudahan awam untuk pembelajaran dan pengembangan pendidikan mengenai sains angkasa. Pengunjung boleh masuk secara percuma. Di sini disediakan pameran-pameran bermaklumat berkenaan sains dan penjelajahan di angkasa lepas, yang turut merangkumi beberapa peralatan 'eksperimen' yang boleh dicuba oleh pengunjung. Misalnya, terdapat alat yang menjelaskan kesan sebaran cahaya biru (mengapa langit berwarna biru), model astrolab iaitu alat tradisional untuk mengukur waktu, dan juga model rover atau kereta angkasa yang digunakan untuk menjelajah planet Marikh, yang membolehkan pengunjung mengawal pergerakan kamera untuk menangkap gambar permukaan 'planet'.

Ruang pameran dan maklumat mengenai fenomena-fenomena di angkasa lepas.

Di suatu bahagian lain, disediakan ruang pameran mengenai penjelajahan angkasa. Di sini turut dipamerkan pakaian angkasawan / kosmonaut dan juga model-model teknologi penjelajahan angkasa lepas seperti roket, kapsul dan stesen angkasa. Terdapat juga maklumat berkenaan angkasawan pertama negara, Dr Syeikh Muzaffar, yang diberi peluang dan tugas melaksanakan misi penyelidikan negara di angkasa lepas. Ruang pameran ini memang wajib dikunjungi, khususnya yang meminati penjelajahan angkasa lepas. Berikut ialah koleksi gambar-gambar yang sempat saya rakam.

Pakaian angkasawan Rusia (Kosmonaut)

Satu lagi pakaian angkasawan Rusia (kosmonaut), seperti yang digunakan oleh Dr Syeikh Muzaffar, angkasawan negara.

Sekitar ruang pameran angkasawan dan kosmonaut

Model Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) bersama model 'shuttle' angkasa NASA. (Menerusi pantulan pada cermin, boleh dilihat ruang di belakang kamera saya, iaitu model bahagian/modul di dalam stesen angkasa ISS)

Sekitar ruang pameran berkaitan roket dan 'shuttle' angkasa. Di sini juga dipamerkan model kapsul Soyuz yang dinaiki oleh angkasawan negara sewaktu kembali ke bumi.

Sekitar ruang pameran berkaitan roket dan 'shuttle' angkasa.

Saya bergambar bersama model enjin roket Ariane. Di belakangnya terdapat model roket tersebut. Ariane ialah roket yang digunakan untuk membawa satelit negara iaitu MEASAT ke angkasa.

Saya bergambar kenangan dengan model 'shuttle' angkasa NASA yang sudah pun ditamatkan perkhidmatan. Saya memang dah lama nak bergambar dengan model ni. Akhirnya tercapai juga!

Tak melepaskan peluang menjadi seorang angkasawan! Yahoo...

Selain ruang pameran, Planetarium Negara juga mempunyai sebuah panggung tayangan 3D, yang menayangkan filem dokumentari berkaitan angkasa, yang pada saya sangat menyeronokkan. Selain tayangan menggunakan skrin berbentuk kubah (menghasilkan suasana dan kesan 3D), maklumat yang dipaparkan juga sangat mengujakan. Dengan bayaran RM6 seorang (RM4 untuk kanak-kanak) saya dan keluarga dapat menonton tayangan dokumentari selama 30 minit berkenaan pengembaraan kapal angkasa Voyager 1 dan Voyager 2 menyeberang Bima Sakti sehingga ke Planet Pluto/Neptune. 

Berkenaan sambutan Maulidur Rasul, ada golongan berpendapat hari kelahiran junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W. tidak perlu disambut dan acara sambutan sebagai suatu bida'ah. Namun secara peribadi, saya berpendapat tarikh ini memang wajar diiktiraf sebagai suatu hari istimewa dan dijadikan cuti umum di peringkat negara. Selain menjadi suatu pendidikan kepada seluruh masyarakat terutamanya masyarakat Islam untuk mengenang Nabi Muhammad SAW (dan memuliakan baginda), pengiktirafan dan sambutan istimewa terhadap hari keputeraan baginda menunjukkan kepekaan kerajaan dan pemerintah terhadap kemuliaan Nabi Muhammad SAW. Kalau hari keputeraan Sultan dan YDP Agong boleh disambut, mengapa tidak hari kelahiran manusia yang sangat mulia itu?

Sebagai individu, terpulanglah untuk kita melaksanakan aktiviti dan program masing-masing sebagai suatu tanda 'cinta' dan 'kasih-sayang' terhadap junjungan besar Nabi Muhammad SAW. Janganlah pula hanya sebab kita malas hendak mengusahakan sesuatu, kita mempersenda dan menghalang pula usaha murni saudara Muslim yang lain untuk memperingati Nabi SAW seperti berarak, berhimpun, berselawat di masjid dsb. Setiap orang ada interpretasi dan penghayatan masing-masing. Justeru wajar dihormati sekiranya memberi faedah dan tidak melanggar syariat. Sama-samalah kita mencintai junjungan besar Nabi Muhammad SAW, dengan berselawat untuk baginda, berusaha mengamalkan sunnah dan berdakwah mengajak manusia mentaati Allah. Mudah-mudahan ada ganjaran untuk kita di akhirat kelak, insya'Allah.

Bidang penyelidikan (termasuk sains angkasa) juga boleh menjadi satu cabang ibadah kepada umat Islam kerana amnya penyelidikan dapat meningkatkan taraf hidup melalui ilmu pengetahuan dan teknologi, dan dengan mempelajari alam akan dapat membantu manusia mengenali Allah SWT. Maka dalam pada kita melaksanakan ibadah-ibadah khusus seperti solat, zakat dan sebagainya, bidang penyelidikan juga harus disebar luas.

Friday, October 25, 2013

Mengapa cendekiawan Melayu harus berfikir menggunakan Bahasa Melayu?

Selalunya apabila kita memperkatakan tentang bahasa, ianya akan digambarkan sebagai medium pertuturan, atau wahana penulisan/ penerbitan. Namun jarang sekali diperkatakan kepentingan bahasa terhadap pemikiran sebagai faktor kepada usaha memartabatkan bahasa. 

Sebenarnya bahasa juga terlibat dalam proses pemikiran, kerana apabila kita ingin memahami sesuatu perkara, kita sebenarnya membentuk model minda (mental) dalam otak kita terhadap perkara tersebut dan disimpan sebagai memori/ ingatan. (Semak fakta ini, jangan percaya bulat-bulat kerana saya bukanlah ahli psikologi.)

Secara amnya, sesuatu yang ingin kita lahirkan (secara lisan, perbuatan) berasal daripada cara kita membentuk model minda itu. Jika kita berfikir dalam bahasa Inggeris, maka kita lebih cenderung untuk bertutur atau menulis dalam bahasa tersebut, berbanding kita hendak bertutur atau menulis dalam bahasa lain. Sebabnya ialah proses pemikiran itu dapat dilakukan dengan pantas dalam bahasa yang sama, sedangkan kalau bahasa lain, minda kita perlu menterjemah dahulu model minda yang kita simpan kepada bahasa wacana yang ingin kita tampilkan.

Masalah yang dihadapi cendekiawan sekarang ialah, apabila membaca teks-teks keilmuan dalam bahasa asing yang sememangnya berlambak-lambak di persekitaran, ramai cendekiawan tidak berusaha membentuk model minda dalam bahasa Melayu. Sebaliknya terus membina model minda dalam bahasa asing tersebut. Jadi apabila diminta (diarahkan) untuk memartabatkan semula Bahasa Melayu dalam pengajaran dan pembelajaran di Institusi Pengajian Tinggi (IPT), para cendekiawan tersebut jadi kekok. Tidak hairanlah kerana model mindanya memang sudah dibentuk dalam bahasa asing.

Oleh sebab itu, bagi merancakkan usaha memartabatkan Bahasa Melayu di IPT, seharusnya cendekiawan Melayu sudah mula berfikir dalam Bahasa Melayu. Apabila kita berfikir dalam Bahasa Melayu, yang lebih mudah diluahkan semasa proses bercakap atau menulis tentulah Bahasa Melayu juga. Jadi tidaklah sukar untuk kita melakukan usaha memartabatkannya. 





Tuesday, October 22, 2013

Siapa yang layak dituduh menunjuk-nunjuk dan riak?


Saya terbaca catatan seorang cendekiawan tentang sifat menunjuk-nunjuk dan sikap merendah diri. Apabila terbaca catatan tersebut, saya terasa bahawa catatan tersebut kena tepat pada diri saya. Sama ada benar untuk saya atau tidak, tidaklah diketahui.

Sebabnya saya memang suka menyatakan sesuatu pendapat yang saya rasakan berguna dan bermanfaat untuk dikongsi dengan orang ramai. Memang, ada kalanya terlalu banyak dan mungkin keterlaluan, hingga mungkin menimbulkan salah faham atau rasa kurang senang dalam diri orang lain. Tidak tahulah apa sebab sebenarnya dan atas dasar apakah timbul persepsi sedemikian. Akhirnya label 'suka menunjuk-nunjuk' akan dicap secara mudah ke atas saya. Walhal bukan itu sebenarnya niat saya, kerana saya 'terpaksa' melakukannya (demi kepentingan umum). Apapun saya patut mengucapkan terima kasih kepada beliau kerana tanpa catatan itu, mungkin tidak timbul idea untuk menulis di blog yang makin usang ni.

Umum harus sedar bahawa apa yang ketara tidak semestinya menggambarkan realiti. Label 'suka menunjuk-nunjuk' tidak boleh dilabelkan secara mudah terhadap seseorang. Sebaliknya, seseorang itu hanya boleh dikatakan suka menunjuk-nunjuk JIKA DAN HANYA JIKA memenuhi definisi berikut: 
Menunjuk-menunjuk atau riak bermaksud - suatu perlakuan atau perbuatan seseorang mempamerkan sesuatu spt. kebolehan, kelebihan atau hak milik dirinya kepada orang lain, yang secara jelas dilakukan dengan niat sengaja untuk (i) mendapatkan suatu kelebihan lain atau penghormatan untuk dirinya, atau (ii) membolehkannya mengatasi ciri yang sama yang ada pada orang lain. (sinonim - membangga / meninggi diri, berlagak sombong)
Definisi menunjuk-nunjuk di atas mungkin masih rapuh, tetapi bagi saya cukup untuk menjelaskan apakah sebenarnya 'keperluan' bagi seseorang yang hendak dituduh sebagai menunjuk-nunjuk (mungkin saya patut jadi peguam).

Umumnya istilah menunjuk-nunjuk ini timbul kerana terdapat orang yang mempamerkan sesuatu kelebihan - kemahiran, kepakaran, pengetahuan, hak milik dan sebagainya. Seseorang tidak akan tampil atau berani menonjolkan diri, melainkan jika dia tahu dia ada suatu kelebihan (termasuklah saya). Tetapi perbuatan itu sahaja belum boleh dikatakan menunjuk-nunjuk melainkan sengaja atau dengan niat yang tertentu. Sesetengah perbuatan boleh dikategorikan sebagai menonjolkan kelebihan tetapi berlaku secara tidak sengaja atau tanpa disedari. Jadi adilkah jika orang yang berkeadaan sedemikian dituduh dengan gelaran yang negatif? Sudah tentu tidak. Maka elemen niat ataupun sengaja harus ada bagi orang yang hendak dilabel menunjuk-nunjuk.

Perbuatan yang menonjolkan kelebihan dengan sengaja itu pula mestilah memberi kelebihan, pujian, penghormatan dan sebagainya (iaitu sebagai ganjaran kepada perbuatan menunjukkan kelebihan itu) kepada orang yang melakukannya.

Ada orang sengaja melakukan sesuatu, tetapi dengan niat yang baik. Misalnya tabiat saya suka menampilkan sesuatu yang saya miliki yang saya rasa bermanfaat untuk orang lain, dan saya tidak kisah sekiranya ia tidak memberi pulangan atau ganjaran kepada saya (ini untuk menjelaskan niat, bukan menunjuk-nunjuk betapa baiknya saya). Apatah lagi yang melibatkan ilmu pengetahuan. Bagi saya, ilmu bermanfaat untuk masyarakat dan tidak harus disembunyikan / didiamkan saja. Jika tidak, masyarakat yang rugi. Wajarkah seseorang yang mempunyai kelebihan dan sengaja menggunakan kelebihannya itu untuk kepentingan awam dituduh sebagai menunjuk-nunjuk? Kepentingan awam harus diutamakan kerana jika orang itu tidak menunjukkan kelebihan tersebut, maka orang awam yang akan kerugian. Salahkah Spiderman (bukan saya) menggunakan keupayaan adiwiranya untuk menyelamatkan orang?

Perbuatan menunjuk-nunjuk itu lazimnya dilakukan untuk kepentingan peribadi. Misalnya dilakukan dengan niat untuk membolehkan seseorang mengatasi orang lain, iaitu atas faktor mengatasi persaingan. Ada yang dilakukan untuk mendapat habuan (jika tanpa habuan, hal itu tidak mahu dilakukan). Ada juga yang mengharapkan balasan lain seperti populariti, pujian, kenaikan pangkat dan sebagainya.


Definisi di atas penting kerana dapat mengelakkan salah faham dan persepsi buruk terhadap sesuatu perbuatan yang kelihatan seperti menunjuk-nunjuk tetapi sebenarnya bukan. Bahkan ada sesetengahnya mungkin terpaksa dilakukan, atau demi kepentingan awam, atau berlaku secara tidak sengaja. Maka di sini jelas sekali elemen penting yang perlu diteliti ialah - apakah niat sebenar suatu perlakuan itu dilakukan.

Bagi anda yang terbaca penulisan ini, harap tidaklah sewenang-wenangnya menuduh orang lain 'suka menunjuk-nunjuk' hanya kerana kita mempunyai persepsi negatif atau kurang senang terhadap perlakuan itu. Teliti dahulu sama ada menepati definisi yang diberikan di atas. Sebenarnya belum tentu juga, kerana niat itu di dalam hati. Adalah lebih baik jika kita berlapang dada dan berfikiran positif terhadap sesuatu tindakan. Elakkan berprasangka negatif terhadap orang lain, melainkan kita ada sebab yang kuat untuk berpandangan demikian (misalnya sudah ada bukti, atau diakui sendiri oleh orang yang melakukannya). Manakala sebagai orang yang dituduh, janganlah pula kita mengalah hanya kerana suatu persepsi negatif. Sesungguhnya Allah S.W.T. tahu niat sebenar kita. Jika kita ikhlas ingin menyumbang kepada kebaikan masyarakat, hendaklah terus dilakukan supaya dapat memanfaatkan kelebihan yang kita miliki. Jika ada kesempatan, berilah penjelasan bagi menjelaskan niat sebenar kita. Tidak perlu kecil hati kerana semuanya semata-mata persepsi.


Sumber komik
[1]: http://img.tfd.com/wn/1A/BF93C-boast.jpg

[2]: http://www.CartoonStock.com