Pages

Friday, November 04, 2011

Berceloteh tentang pengaturcaraan komputer

(Sebenarnya saya tidak ada topik atau idea penting yang ingin dibincang atau ditulis. Tapi tangan ini 'gatal' ingin menulis sesuatu.)

Walaupun mengenali komputer sejak Tingkatan 2, kelas pengaturcaraan saya yang pertama ialah ketika di Tingkatan 5. Waktu itu saya diajar tentang pengaturcaraan menggunakan bahasa MS QBasic. Walaupun tidak memahami kepentingannya yang sebenar, saya rasa seronok dapat mencuba sesuatu yang baharu. Tambahan pula dapat membina program-program berbentuk permainan. Ini mendorong saya mendalami bahasa pengaturcaraan tersebut. Biasanya saya memang tidak sabar menunggu waktu kelas, kerana hanya masa itulah saya berpeluang menulis atur cara.

Dek kerana seronok dan tidak ada komputer sendiri, selalunya saya curi-curi menulis ketika cikgu menerangkan latihan yang perlu dibuat. Beberapa kali saya ditegur kerana sibuk menulis atur cara, walhal cikgu baru hendak memberi penerangan dan belum disuruh membuatnya. Selepas ditegur, akurlah sebentar. Namun esoknya buat lagi. Akhirnya cikgu pun sudah malas mahu menegur kerana saya 'tidak makan saman'. (Lagipun atur cara yang saya buat itu memang seperti yang dikehendaki, jadi mungkin sebab itu saya dimaafkan.)

Dek kerana seronok dengan QBasic, saya cuba mempelajari bahasa C pula apabila terjumpa buku mengenainya di perpustakaan sekolah. Sayangnya, walaupun bersemangat, namun akhirnya putus asa kerana tidak ada pengkompil untuk membina atur cara. Yang saya ada dan tahu ketika itu ialah menggunakan penterjemah QBasic. Tapi itupun memadai untuk saya berlatih.

Maka saya berterusan menggunakan QBasic sehinggalah saya dapat belajar tentang pengkompil dan bahasa-bahasa seperti Pascal, Cobol, C, Visual Basic dan beberapa lagi semasa belajar di universiti (UPM). Sejak itu saya banyak menghabiskan masa dengan pengaturcaraan. Tambahan pula universiti menyediakan kemudahan buku dan makmal komputer. Jadi mudahlah saya mengasah bakat dan meningkatkan kemahiran melalui latihan dan pembacaan. Mungkin disebabkan terlalu banyak menghabiskan masa mengaturcara, maka minat saya terdorong ke situ. Hakikatnya sehingga sekarang saya amat meminati bidang pengaturcaraan dan terus mendalami pelbagai aspek yang berkaitan dengannya seperti pembinaan pengkompil, falsafah bahasa dan kaedah pengaturcaraan, dan sebagainya.

Pengaturcaraan sebenarnya tidak sukar untuk difahami dan dikuasai. Asasnya semua bahasa pengaturcaraan itu sama dari segi fungsi dan bentuknya. Oleh sebab itu, apabila kita sudah menguasai asas kemahiran pengaturcaraan kita mudah menguasai pelbagai bahasa pengaturcaraan yang berlainan. Asas menguasai kemahiran pengaturcaraan ialah pengetahuan. Kita perlu tahu apa sebenarnya tujuan 'pengaturcaraan'. Kita kena fahami semua konsep penting berkaitan proses penghasilan atur cara atau perisian. Misalnya konsep penterjemahan dan pengkompilan. Hal ini boleh dikuasai dengan membaca buku atau sumber bacaan lain (internet, manual pengkompil dsb).

Kemudian kita kena pilih bahasa pengaturcaraan. Cara memilih bahasa bergantung kepada minat dan keserasian kita terhadap sesuatu bahasa pengaturcaraan. Ada bahasa yang mudah dikuasai dan ada yang rumit. Pilihan juga bergantung kepada tugas yang perlu dilaksanakan (masalah yang cuba diselesaikan). Walaupun bahasa pengaturcaraan bersifat umum, namun selalunya setiap satu mempunyai kelebihan dan kekurangan. Pengetahuan ini juga boleh diperolehi melalui pembacaan.

Apabila kita sudah ada pengetahuan asas yang cukup, barulah kita membina aturcara. 'Cukup' bukan semestinya banyak ataupun tahu semua perkara. Memadai mengetahui asas pengaturcaraan dan cara asas membina aturcara menggunakan sesuatu bahasa X. Kalau hendak tunggu tahu semuanya, boleh jadi kita tidak akan mengatur cara langsung. Pengetahuan asas boleh ditambah dan diperluaskan melalui pembacaan yang berterusan. Kita kena sentiasa berlatih. Kemahiran pengaturcaraan seperti kemahiran yang lain juga. Ia perlukan pengetahuan, dan untuk mahir kita perlu rajin berlatih. Melalui latihan yang banyak juga dapat memberi kita pengalaman. Pengalaman unik bagi setiap individu dan ia tidak akan diperolehi dengan setakat membaca. Kadangkala pengetahuan yang diperolehi melalui hasil latihan lebih baik berbanding setakat membaca.

Selain banyak membaca dan berlatih membina atur cara, seseorang pengatur cara perlu tahu tujuan dia mengatur cara. Biasanya atur cara dibina untuk melakukan sesuatu tugas. Misalnya membina permainan komputer, serta perisian aplikasi seperti pangkalan (simpanan) data, penyunting dan sebagainya. Mengetahui tujuan akan membantu kita memilih bahasa pengaturcaraan yang sesuai. Selain itu, ia akan membantu kita dalam tugas pengoptimuman, iaitu menghasilkan penyelesaian yang terbaik bagi sesuatu tugas atau masalah. Tujuan bukan setakat yang umum. Sebaliknya setiap elemen pengaturcaraan yang kita gunakan perlu ada alasannya. Misalnya, kita guna bahasa C bagi menghasilkan perisian terbenam kerana ia pantas; Kita gunakan struktur data berbentuk tatasusunan (array) ialah kerana lebih pantas dicapai dan ringkas bentuknya (tetapi perlukan lebih storan) berbanding senarai terpaut; Kita guna algoritma X kerana sebab tertentu dan sebagainya. Jika tidak tahu tujuan dengan jelas, maka mungkin pengaturcaraan kita akan memakan lebih banyak masa berbanding jika ada tujuan.

Penulisan ini bukanlah ilmiah. Sekadar berkongsi sedikit pengalaman dan pengetahuan. Diharapkan penulisan ini dapat menjelaskan serba sedikit tentang bidang pengaturcaraan komputer.



Mengapa buku tidak laris di Malaysia?

Sebenarnya banyak buku yang laris di Malaysia. Ini membuktikan bahawa rakyat Malaysia juga rajin membaca.

Tapi yang tidak laris itu buku berbahasa Melayu! Kenapa, hina sangatkah bahasa Melayu? Dalam kalangan buku berbahasa Melayu yang tidak laris itu, yang paling kurang laris pula ialah buku ilmiah!

Apa masalahnya? Kualiti buku, atau persepsi terhadap bahasa Melayu?

p/s: "Bahasa Berwibawa Sastera Bermutu, Kualiti Dipulihara Martabat Di Mercu" - DBP

Thursday, November 03, 2011

Apa peranan guru?

('Guru' yang saya maksudkan ialah semua golongan pendidik, dan bukan setakat guru sekolah.)

Apakah peranan guru? Ini merupakan satu soalan yang sangat kurang bijak untuk ditanyakan pada orang ramai. Umum pasti mengetahui peranan guru ialah mengajar pelajarnya untuk menjadi orang yang berilmu.

Pada zaman-zaman dahulu - misalnya zaman ulama besar seperti Imam Ghazali dan Imam Syafie r.a., para pelajar sangat memuliakan dan menghormati guru. Begitu juga zaman datuk-nenek kita dahulu, guru-guru sangat dihormati dan dipandang mulia oleh masyarakat. Mengapa golongan guru dimuliakan? Tentunya kerana ilmu yang mereka miliki dan ajarkan kepada masyarakat, melalui pendidikan kepada pelajar-pelajar mereka. Guru-guru bersusah-payah memberitahu, menerangkan, menulis, membimbing, memperbetulkan dan melakukan pelbagai usaha lain bagi memastikan pelajar-pelajar mereka memahami ilmu yang disampaikan.

Disebabkan usaha ini, maka guru-guru dipandang mulia kerana mereka mengubah taraf seseorang individu daripada rendah (tidak berilmu) kepada tinggi (berilmu). Bahkan ada mengumpamakan guru itu 'ibarat lilin yang membakar diri untuk menerangi kegelapan'. Betapa tingginya sanjungan masyarakat pada guru.

Namun jika dilihat pada hari ini, pelajar-pelajar di sekolah mahupun di institusi pengajian tinggi seperti tidak lagi memuliakan golongan guru. Lihat saja apa yang berlaku di sekolah. Pelajar mengherdik, memaki malah sanggup mencederakan guru. Sementara di IPT, golongan yang dianggap cerdik (terpilih untuk masuk ke IPT) pun seakan hilang rasa hormatnya pada pensyarah masing-masing. Sedang guru mengajar di depan, pelajar sibuk bersembang di belakang. Hal ini mungkin nampak remeh, namun jika kita sebagai guru diperlakukan begitu, apa rasanya? Tentulah akan tersinggung. Tanyalah mana-mana guru yang ikhlas mengajar. "Ya, saya kecewa". Jadi mengapa agaknya perkara ini terjadi? Mengapa nilai penghormatan pada guru makin merosot?

Saya lebih berpendapat salah satu puncanya ialah daripada guru itu sendiri. Kalangan guru-guru sekolah ramai yang merungut gaji mereka kecil dan tidak padan dengan kerja. Bahkan pensyarah universiti yang gajinya mencecah belasan ribu pun masih ada lagi yang merungut. Sesetengah golongan pendidik ini pula hanya sibuk mengejar pangkat, hinggakan pelajar terabai. Ada yang malas mengajar, ponteng dan sebagainya.

Kalau beginilah sikapnya, hanya lebih pentingkan gaji dan pangkat, apakah lagi yang hendak dimuliakan pada seorang guru? Dalam hal ini guru-guru itu sendiri yang meletakkan diri mereka di taraf yang rendah, dan wajarlah kalau pelajar-pelajar mereka bersikap kurang ajar. Apa lagi yang hendak dihormati?

Adakah guru-guru sengaja atau terlupa tanggungjawab dan peranan mereka? Atau mungkinkah guru-guru sekarang memang tidak tahu peranan mereka? Saya pun tidak tahu. Apa yang saya tahu, mendidik dan membimbing insan mengenal Allah itu satu ibadah, dan di situlah sebenarnya 'kemuliaan' dan peranan sebenar insan bergelar 'guru'.


(Sekadar peringatkan diri sendiri.)


p/s: Apa makna 'cikgu'? Nampak macam akronim bagi 'encik guru' (macam 'berdikari'= berdiri atas kaki sendiri). Betul ke?

Wednesday, November 02, 2011

Mengutamakan Bahasa Melayu untuk Penulisan Ilmiah

Baru-baru telah diadakan Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu ke VIII di Dewan Bahasa dan Pustaka selama 3 hari bermula 28-30 Okt 2011. Kongres ini telah dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Y.A.B. Tan Sri Dato' Muhyiddin Mohd Yassin pada 29 Okt 2011. Topik dan isu utama yang dibincangkan ialah usaha mendaulatkan dan memperkasakan bahasa Melayu sebagai bahasa utama masyarakat Malaysia. Manakala antara isu hangat yang dibangkitkan ialah usaha memansuhkan PPSMI dan mendaulatkan semula bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan pendidikan, selaras dengan kandungan dalam Perlembagaan Malaysia yang meletakkan bahasa Melayu sebagai bahasa Kebangsaan Malaysia.

Bahasa Melayu pernah menjadi lingua franca di Kepulauan Melayu / Nusantara / Pascabima suatu masa dahulu. Rasanya semua orang yang belajar sejarah Tanah Melayu maklum akan hal ini. Namun berapa ramaikah masyarakat hari ini yang mengakui bahawa bahasa Melayu masih penting dan relevan sebagai bahasa ilmu pada masa kini?

Saya yakin kita semua akan lebih meletakkan penghormatan kepada bahasa Inggeris sebagai bahasa ilmu. Jika tidak secara secara nyata pun, kita akan mengakuinya tanpa sedar ('I' lebih sedap digunakan berbanding 'saya', dan 'informasi/information' lebih sedap berbanding 'maklumat'). Dalam kalangan masyarakat hari ini, sudah ramai yang tidak mahu mengakui bahasa Melayu sebagai bahasa yang wajar dihormati dan dikagumi. Ini berlaku kerana bahasa Melayu dianggap rendah nilai dan kepentingannya jika dibandingkan dengan bahasa Inggeris yang digunakan di merata-rata, dalam pelbagai aspek dan bidang kehidupan dalam masyarakat hari ini.

Berasaskan keyakinan ini, adalah penting untuk menyedarkan kita semua (termasuk saya sendiri) untuk mendaulatkan semula bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu. Melalui usaha ini, bukan sahaja akan memelihara bahasa warisan nenek moyang bangsa Melayu, tetapi juga menaikkan semula penghormatan masyarakat terhadap bahasa yang suatu masa dahulu merupakan bahasa utama penyampai dan pembelajaran ilmu di kalangan masyarakat di rantau ini.

Peranan bahasa Melayu bukan sahaja sekadar untuk perbualan sehari-hari. Tetapi bahasa Melayu mempunyai kehebatan dan keunikan yang tersendiri. Prof Syed Naquib Al-Attas menyatakan bahawa bahasa Melayu itu lebih 'sempurna' dalam menyampaikan maksud dan makna ilmu-ilmu berkaitan Islam. Bahasa Melayu tidak kurang tarafnya berbanding bahasa Inggeris dalam aspek penyampaian ilmu. Malahan, di kalangan bangsa Melayu, bahasa Melayu itu lebih memudahkan anak Melayu menjadi lebih pandai dan berilmu. Ini dapat dibuktikan melalui isu dan bencana yang ditimbulkan oleh program PPSMI, di mana anak-anak Melayu didapati lebih merosot pencapaiannya apabila mempelajari ilmu Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris. Walhal jika menggunakan bahasa Melayu, pencapaian anak Melayu jauh lebih bagus.

Bahkan selama inipun, melalui pendidikan menggunakan bahasa Melayu telah melahirkan cendekiawan-cendekiawan dan golongan profesional yang berkaliber daripada kalangan bangsa Melayu. Ini secara tidak langsung menunjukkan bahawa bahasa Melayu merupakan pelantar kepada anak bangsa dan masyarakat untuk mencapai kegemilangan, dan bukan sebaliknya.

Sesetengah cendekiawan berpendapat, untuk menaikkan semula martabat bahasa Melayu, ia mesti digunakan sebagai bahasa ilmu. Maka atas prinsip ini;
  • Penulisan-penulisan karya ilmiah yang menggunakan bahasa Melayu hendaklah diperbanyakkan.
  • Semua penulisan untuk menjelaskan sesuatu bidang ilmiah (konsep, definisi, penerangan dan sebagainya) hendaklah menggunakan bahasa Melayu.
  • Perbincangan ilmiah mestilah mengutamakan istilah dan bahasa Melayu, dan
  • Sesi pengajaran-pembelajaran dan pendidikan mestilah mengutamakan bahasa Melayu sepenuhnya.
Semua saranan ini perlulah disambut dan diperkasakan oleh semua penulis, pengkarya, ilmuan, sarjana atau sesiapa saja yang bergiat dalam bidang keilmuan, agar bahasa Melayu dapat dikembalikan kewibawaannya. Ini termasuklah penulis makalah, blog atau wacana-wacana lain di internet yang hari ini banyak dirujuk oleh penguna-pengguna ruang maya.

Diharap penulisan ini akan mendapat perhatian dan sambutan yang sewajarnya daripada masyarakat, khususnya yang terbabit dengan penulisan ilmiah. Mudah-mudahan usaha untuk menjulang semula bahasa Melayu sebagai bahasa utama masyarakat akan lebih berkesan dan dapat dilaksanakan dengan jayanya.