Semasa bercuti dan balik raya di kampung, saya sempat singgah membeli makanan di sebuah restoran makanan segera. Oleh kerana ramai orang, maka terpaksa beratur panjang. Sambil itu, mata saya meliar ke sekeliling melihat gelagat orang ramai yang berasak hendak membeli makanan kegemaran.
Entah macam mana, saya tergerak hati hendak menegur seorang 'abang' yang beratur di belakang saya. Beliau memperkenalkan diri sebagai seorang pekedai yang mengusahakan kedai runcit. Lama-kelamaan banyak pula yang dibualkan. Satu ketika, 'abang' ini mula bercerita tentang pengalamannya mengusahakan perniagaannya.
Katanya dulu beliau tinggal di bandar. Kemudian kerana sukar 'cari makan' beliau pun balik ke kampung dan mengusahakan kedai runcit. Dengan modal RM1000 daripada Amanah Ikhtiar Malaysia, beliau membeli barang-barang runcit untuk dijual di kedainya. Setelah hampir 6 tahun berniaga, tanpa mendapatkan sebarang pinjaman lain, kini perniagaannya sudah dapat memberi pulangan minimum RM2000 sebulan.
Antara perkara penting yang membuatkan saya tertarik dengan cerita 'abang' ini ialah, beliau memulakan perniagaan secara kecil-kecilan. Biarpun orang lain sibuk mengata tentang pendapatannya yang kecil, beliau tak ambil pusing dan teruskan juga. Katanya biar sikit-sikit tidak mengapa.
Kerak nasi amnya tidak boleh dimakan, maka tidak berguna. Sumber |
Satu lagi yang menarik minat saya ialah beliau mengamalkan jualan 'by demand' dalam salah satu jualan produknya. Sepertimana strategi JIT (Just-in-time, dalam pengurusan bekalan/stok) yang diamalkan oleh syarikat-syarikat besar Jepun seperti Toyota, pekedai runcit ini membekalkan barang hanya apabila ada pesanan. Ini lebih menjimatkan berbanding pergi ke serata tempat untuk mencari pelanggan sepertimana yang dibuat oleh pesaingnya, sedangkan kos perbelanjaan itu belum tentu memberikan pulangan. Jadi dengan strategi panggil-hantar dapat membantunya menjimatkan kos operasi dan menguntungkan kerana perbelanjaan tersebut sudah pasti terjamin pulangannya.
Ringkasnya, daripada pengalaman ini, antara moral dan pengajaran yang saya dapat (macam drama pulak):
- Ukur baju di badan sendiri. Berbelanjalah ikut kemampuan. Usah peduli sangat kata orang lain terutama yang negatif.
- Sikit-sikit lama-lama jadi bukit. Sabar dan tekun ada ganjarannya (insya'Allah).
- Ada banyak kaedah dalam perniagaan. Biarlah sesuai dengan keadaan dan kemampuan kita menanganinya.
- Perniagaan yang kecil, walaupun untungnya sedikit/lambat, risiko dan beban yang ditanggung juga kecil.
Walaupun begitu, saya masih berpendapat, ada masanya prinsip 'berbelanja besar' juga berkesan dalam melaksanakan sesuatu perniagaan, kerana pastinya berpotensi menjana pulangan yang besar, sepertimana prinsip dalam perindustrian. Namun prinsip 'belanja besar' sudah tentu berisiko tinggi dan berpotensi untuk rugi. Maka sebaiknya dilakukan dalam persekitaran yang berpotensi untuk mendapat pelanggan atau pulangan. Dan lagi, perniagaan besar juga mungkin menghasilkan kesan sampingan yang besar (bak kata peruncit itu, 'besar kerak'), biarpun masih menguntungkan. Maka timbang-tara perlu bagi menilai sama ada berbaloi atau tidak untuk menanggu risiko dan kesan sampingan dengan berbelanja besar.
Bagi saya, walaupun agak singkat, pengalaman tersebut memang bermakna. Memang tak sangka. Lihatlah, daripada seorang pekedai runcit pun macam-macam yang saya dah belajar. Hal ini sedikit-sebanyak menimbulkan suatu keinsafan pada diri - macam-macam yang kita dapat belajar dengan memerhati alam sekeliling. Banyak ayaht Al-Quran yang menyuruh kita memerhatikan sekeliling. Jadi perhatikanlah, dan pelajari!
--
p/s: Hari ini 9 Syawal 1434 Hijrah. Harap-harap masih belum terlambat untuk ucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri, sebab rasanya ramai yang masih dalam 'mood' berhari raya :)
No comments:
Post a Comment