Thursday, December 13, 2012

Mengkaji ilmu duniawi daripada Al-Quran

Seorang Muslim (orang yang menganut Islam) diwajibkan untuk mengenali dan menghayati makna ayat-ayat Al-Quran, serta mengambil petunjuk daripada mukjizat yang diturunkan kepada junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W. Ini kerana Al-Quran bukan saja diturunkan sebagai panduan (wahyu) daripada Allah S.W.T. kepada baginda, tetapi ia juga merupakan kepada petunjuk / panduan kepada seluruh umat Nabi Muhammad S.A.W. 

Maka sebagai sebuah kitab ilmu dan petunjuk daripada yang Maha Agung, Al-Quran semestinya mengandungi pelbagai ilmu, hikmah dan pengajaran yang bernilai kepada kehidupan manusia. Ilmu di dalamnya bukanlah semata-mata untuk alam akhirat, bahkan ilmu Al-Quran mencakupi kepentingan duniawi dan ukhrawi (akhirat) kerana hidup manusia memerlukan bimbingan dalam kedua-dua aspek.

Pengkajian Al-Quran bukanlah sesuatu yang baharu. Selain penulis, ramai lagi pengkaji termasuk yang bukan Islam, yang begitu ghairah membongkar rahsia Al-Quran. Namun perlu diperingatkan bahawa, dalam kita mengambil petunjuk daripada Al-Quran, beberapa prinsip harus ditekuni dan diamalkan bagi mengelakkan kita 'tersalah' dalam mempelajari ilmu daripada Al-Quran, yang dapat diringkaskan seperti berikut:
  • Kita tidak boleh mentafsir sesuatu ayat dalam Al-Quran sewenang-wenangnya, apatah lagi jika hanya berdasarkan terjemahan ayatnya. Terjemahan ayat tidak sama dengan tafsiran ayat. Para pentafsir Al-Quran memerlukan ilmu agama yang mendalam, yang turut mencakupi ilmu hadis, bahasa Arab, sejarah Islam dsb. Oleh itu sebagai orang yang baru mendalami Al-Quran (termasuk penulis), jika berdasarkan terjemahan, kita cuma boleh mengamalkan apa yang jelas dinyatakan oleh ayat-ayat Al-Quran, atau berpandukan kitab tafsir Al-Quran (ayat Al-Quran yang disertakan dengan tafsiran oleh ahli tafsir), atau bersandarkan penjelasan guru yang mursyid (yang faham dan boleh mentafsir dengan baik).
  • Mengelakkan fahaman Bucaillisme (Maurice Bucaille ialah doktor perubatan Perancis yang menulis tentang sains dan ayat-ayat Al-Quran, dan mendakwa kenyataan yang wujud dalam Al-Quran adalah benar secara saintifik sedangkan Bible pula sebaliknya [wiki]). Al-Quran adalah kitab suci agung yang diwahyukan oleh Allah S.W.T. kepada Nabi Muhammad S.A.W. Semua Muslim wajib mengimani bahawa ayat Al-Quran adalah benar dan mengandungi petunjuk daripada Allah. Al-Quran adalah ilmu hakikat (benar secara mutlak, meskipun belum mampu dibuktikan secara saintifik), sedangkan teori sains semasa boleh dibuktikan silap dan sentiasa diperbaiki. Sains adalah ilmu semasa yang relatif kepada pengetahuan semasa manusia. Justeru walaupun teori-teori sains menunjukkan 'bukti' kebenaran Al-Quran, secara tersiratnya fahaman Bucaillisme ini merendahkan taraf Al-Quran. Jadi dengan mengiyakan fahaman Maurice Bucaille, kita sebenarnya mengiyakan bahawa satu hari nanti ayat Al-Quran mungkin perlu diperbaiki jika dibuktikan 'silap'! (na'uzubillah). Malangnya fahaman Bucaillisme semakin banyak dianut oleh umat Islam kerana 'keindahannya' yang kononnya 'membuktikan' kebenaran Al-Quran. Hajat penulis ialah memperbaiki keadaan ini dengan membawakan pendekatan yang lebih wajar iaitu mencedok sebanyak mungkin maklumat daripada Al-Quran yang boleh diamalkan atau ditekuni untuk kehidupan duniawi (iaitu diterapkan sebagai falsafah keilmuan, termasuk sains atau kajian alam semesta) tanpa menghadkan ilmu daripada Al-Quran itu.
Tulisan ini BUKAN bertujuan membincangkan ilmu agama yang mendalam yang terkandung dalam Al-Quran, apatah lagi mentafsirkan ayat-ayat daripada Al-Quran. Penulis bukanlah seorang ulama yang mahir dalam hal-hal keagamaan. Tetapi sebagai seorang Muslim, penulis cenderung untuk membincangkan perkara-perkara dan khazanah penting yang dinyatakan SECARA JELAS dalam Al-Quran yang BOLEH DIAMBIL SEBAGAI PETUNJUK kepada memantapkan 'ilmu duniawi' (atau secara khususnya dipanggil 'sains' oleh kalangan masyarakat).

Secara khusus, penulisan ini bertujuan membincangkan satu perkara yang telah lama ditekuni oleh penulis. Sepanjang penulis mengenali (iaitu berdikit-dikit membaca, menghafal dan cuba memahami maksud ayat) Al-Quran, penulis tertarik kepada satu perkara yang banyak disebut dalam Al-Quran iaitu berkenaan dengan 'mencerap dan memerhati kejadian alam semesta'. Walaupun telah lama tertarik dengan maklumat ini, penulis masih gagal mencari cara bagaimanakah untuk mengatakan bahawa maklumat ini penting, kerana hal ini merupakan kenyataan umum dan mungkin tidak menarik minat golongan yang lebih dipengaruhi pemikiran saintifik Barat. Bahkan penulis juga sering gagal mengaitkan bagaimana fakta 'umum' ini boleh membantu dalam memperkembangkan bidang ilmu (sains) di kalangan umat Islam. (Antara contoh 'gesaan' mencerap alam: Surah Al-Baqarah - 2:26 (apakah contoh perumpamaan yang lebih kecil dari nyamuk?), 2:118 (apakah tanda-tanda yang dijelaskan oleh Allah S.W.T.?), 2:164 (pelbagai tanda kekuasaan Allah), di samping contoh-contoh lain).

Falsafah sains Barat (pendeknya dikenali sebagai 'sains'. Hakikatnya ia adalah sains yang dipengaruhi nilai dan pandangan masyarakat Barat, spt fahaman materialisitik, kapitalis, sekular dll.) amnya menekankan pendekatan saintifik. Walaupun pelbagai falsafah mendasari sains Barat, pendekatan saintifik yang sedia ada amnya dipengaruhi oleh falsafah realisme saintifik, yang menekankan bahawa suatu ilmu (fakta) mestilah berdasarkan benda yang nyata, iaitu dibuktikan berdasarkan eksperimen. Dengan kata lain, jika suatu teori gagal dibuktikan secara empirikal atau hasil eksperimen yang boleh diukur, ia bukanlah fakta yang saintifik. 

Namun tanpa penulis sedari (sehinggalah terhasilnya penulisan ini), hakikatnya terdapat satu hal lain yang jelas didokong oleh pendekatan saintifik Barat iaitu ilmu saintifik (falsafah realisme saintifik) diperolehi melalui pencerapan alam! Richard Feynmann, seorang ahli fizik terkenal Amerika berketurunan Yahudi, yang juga pemenang anugerah Nobel, berpendirian bahawa sesuatu 'kebenaran' dalam sains hanya boleh diterima jika ianya dibuktikan melalui eksperimen. Dalam satu kuliahnya, beliau mengatakan bahawa eksperimen itu mesti bermula dengan pencerapan alam, kemudian diuji dengan eksperimen dan barulah menerbitkan suatu ilmu atau fakta. Kemudian beberapa ahli sains terkenal Barat juga berpendirian bahawa sesuatu penyelidikan atau aktiviti kajian saintifik itu pada dasarnya dimulakan dengan mencerap alam sekeliling. Bahkan cara ini telah mendorong ramai ahli sains Barat yang terkenal untuk muncul dengan idea-idea dan konsep penyelidikan yang bernas yang diwarisi oleh penyelidik sains masakini!

Nah, jika dilihat daripada saranan Al-Quran (perintah Allah S.W.T.) yang menyuruh umat manusia memerhati alam sekitar sebagai amalan menggalakkan kita berfikir, bukankah konsep yang sama diterapkan sebagai asas dalam penyelidikan saintifik? Bahkan ada kalangan ahli sains yang lebih artistik yang percaya bahawa idea penyelidikan sains juga mendapat manfaat daripada peristiwa dalam mimpi atau ilham secara tak sengaja. Tetapi ironisnya, pendokong falsafah sains Barat, bahkan termasuk yang beragama Islam, tetap berpendirian sesuatu fakta saintifik hanyalah berdasarkan bukti nyata dan empirikal, sementara sumber lain tidak saintifik dan bukan ilmu/fakta! 

Pada dasarnya, konsep ilmu saintifik yang kononnya begitu hebat (hingga 'mewajarkan' manusia berfahaman sekular dan ateis menolak agama) sebenarnya mengamalkan satu konsep yang telah terkandung dan disarankan dalam Al-Quran. Maka di sini dapat dilihat satu kepentingan Al-Quran iaitu sebagai sumber rujukan yang boleh diaplikasi kepada ilmu semasa. Namun penulis berpendirian bahawa, nilai dalam konsep 'mencerap alam' yang dinyatakan dalam Al-Quran tidak sama dengan konsep 'mencerap alam' yang dianuti oleh penyelidik berfahaman sains Barat. Ini kerana matlamat mencerap pengkaji dan penyelidik sains Barat ialah untuk mendapatkan ilmu, idea, bahan dll bagi melakukan eksperimen dan jika dapat, menghasilkan ilmu baharu yang boleh dimanfaatkan untuk kehidupan manusia. Sedangkan Allah S.W.T. menyuruh manusia mencerap dan memerhatikan alam bukan hanya untuk kegunaan duniawi. Bahkan ia sebagai salah satu kaedah untuk kita mengenal Tuhan, dan melihat tanda kebesaran serta keagungan Allah S.W.T. Justeru nilai 'mencerap alam' itu melangkaui nilai dalam budaya saintifik Barat (iaitu yang hanya bermatlamatkan apa yang mereka dapat lihat semata-mata, tanpa berlandaskan ilmu wahyu).

Sebagai rumusan kepada penulisan ini (penulis berpendapat tidak ada kesimpulan kepada memahami 'konsep mencerap alam' ini kerana ianya akan berterusan, insya'Allah), ilmu sains semasa sebenarnya boleh turut dikembangkan dengan mencedok dan menghayati ilmu yang disampaikan dalam Al-Quran ul-Karim. Salah satunya ialah dengan memahami konsep 'mencerap alam' yang diajarkan dalam Al-Quran yang menyuruh manusia mencerap dan berfikir (termasuklah memikirkan ilmu akhirat, dan kebenaran ayat-ayat Al-Quran itu). Konsep ini nyata lebih syumul (universal) berbanding konsep 'mencerap' yang menjadi teras falsafah sains Barat. Maka ini memberikan kita alasan bahawa Al-Quran itu lebih releven dengan ilmu semasa. Hari ini kita dapat lihat ilmu 'mencerap alam' oleh sains Barat telah berjaya mengubah lanskap dan kehidupan manusia. Justeru bayangkanlah jika kita dapat merungkai falsafah 'mencerap alam' daripada Al-Quran yang lebih syumul, tidak mustahil hasil penyelidikan dan keilmuan pada hari ini akan jauh lebih baik pada masa akan datang.

(Sekadar muqadimah. Wallahua'lam. Sebarang komen, pendapat mahupun kritikan terhadap penulisan ini sangat dialukan.)





4 comments:

  1. Satu tulisan yang baik, sila lihat http://kajian-quran.blogspot.com/ untuk mendalami kajian al-quran. insyaallah.

    ReplyDelete
  2. Maksud Tuan kajian yg dilakukan oleh ilmuan seperti Dr Danial Zainal Abidin mirip Beaucellisme?

    ReplyDelete
    Replies
    1. Berdasarkan buku 'Quran Saintifik' nampaknya macam tulah. Tapi saya tak kategorikan semua tulisan atau fahaman Dr Danial sebagai Bucaillisme kerana saya tak ikuti hasil kerja dan tulisan beliau sepenuhnya.

      Delete