Pages

Thursday, April 19, 2012

Hubungkait 5-if

Saya mendapati terdapat hubungkait antara 4-if, di mana hasil tambahnya menghasilkan '-if' yang ke-5:

Imaginatif
+
Kreatif
+
Inisiatif
+
Inventif
=
Impresif



p/s: Idea asal formula ini tercetus setelah terbaca formula ('imagination' + 'creation' -> 'innovation') yang diselitkan di dalam buku 'Imagination First'. Link

Wednesday, April 11, 2012

Menghargai diri

Kadang-kadang apabila kita melihat orang lain, pernah tak terlintas di fikiran kita, "Kan bagus kalau aku macam dia..."? Pada pandangan kita, orang yang kita pandang itu tentunya 'lebih baik' dalam sesuatu aspek. Contohnya kita merasakan orang itu lebih hebat daripada kita, lebih pandai, lebih kaya, lebih rileks dan pelbagai macam 'kelebihan' yang kita rasa ada pada orang itu. Mungkin juga kita memiliki 'kekurangan' tertentu, yang membuatkan kita rasa lebih bertuah menjadi orang lain.

Namun, di sebalik rasa 'cemburu' kita pada seseorang, mungkin ada baiknya kita melihat kelebihan yang ada pada kita dahulu. Ini kerana Allah S.W.T. itu Maha Kaya, Maha Mengetahui dan Maha Berkuasa. Jadi apa saja yang dicipta oleh Allah S.W.T. itu ada hikmah dan kepentingannya yang tersendiri. Termasuklah kita. Jadi mustahil kalau kita ini tidak mempunyai apa-apa pun yang melebihkan kita daripada ciptaan Allah yang lain!

Tapi apa kelebihan diri kita? Mungkin kita akan kata, "Mana kelebihan aku? Semuanya orang lain ada". Soalnya siapa diri kita yang hendak menilai kelebihan dan kekurangan diri? Betulkah semua yang kita nampak pada diri kita itu kekurangan? Atau mungkinkah ia sebenarnya suatu kelebihan? Belum tentu 'kekurangan' kita itu suatu kekurangan. Sebaliknya, ia mungkin suatu kelebihan yang kita tidak sedar. Bahkan ada masanya sesuatu kekurangan itu boleh diubah menjadi kelebihan bagi seseorang yang mempunyai semangat dan sikap kreatif yang tinggi.

Sebagai contoh, kita mungkin seorang golongan OKU kerdil. Orang kerdil memang nampak berbeza daripada insan lain kerana 'tidak cukup tinggi' dan nampak seperti kanak-kanak walaupun usianya sudah 50 tahun. Tapi adakah itu memang suatu kelemahan/kekurangan? Bagi generasi 90-an ke atas, mungkin tidak kenal siapa 'Pakcik Jamal'. Allahyarham pakcik Jamal pernah jadi ikon kanak-kanak sekitar era 80-an dan popular dengan rancangan 'Mini Parlimen' terbitan RTM. Hakikatnya beliau golongan OKU kerdil. Jika beliau mampu menjadi popular, adakah itu suatu kekurangan? Pakcik Jamal memang pandai menambat hati dan melayan kanak-kanak.

Begitu juga Allahyarham Ibrahim 'Pendek', mendiang Ayappan dan Param. Mereka adalah golongan artis yang terkenal di Malaysia semasa penglibatan mereka dalam industri hiburan. Adakah ini suatu kekurangan? Dalam situasi mereka, mereka sebenarnya telah menggunakan 'kekurangan' mereka untuk menjadi popular, sebab mereka mudah menambat hati peminat dengan gaya dan telatah yang 'comel' dan melucukan!

Dalam bidang penyelidikan, kesedaran terhadap kelebihan diri adalah penting. Kenapa? Sebabnya bidang penyelidikan melibatkan persaingan. Rata-rata individu yang terlibat adalah dalam golongan cerdik pandai. Tapi pencapaian masing-masing berbeza. Ada masanya seseorang berjaya menemui penemuan baharu, sedangkan yang lain mungkin masih belum memperolehi kejayaan atau keputusan yang diharapkan. Ada pula yang menghasilkan pelbagai idea dan projek, dan ada pula yang masih belum mampu mengemukakan apa-apa.

Orang yang 'kalah' akan rasa putus asa atau cemburu dengan kejayaan 'pesaing'. Dia mungkin rasa kecewa kerana tidak mampu mencapai prestasi seperti orang lain yang 'lebih berjaya'. Mungkin juga dia rasa rendah diri sebab tidak sebijak orang lain. Tidak mustahil, mungkin yang 'kalah' ini sudah terfikir untuk mensabotaj atau mengkhianati orang lain yang 'berjaya'! Tapi sebenarnya rezeki itu tidak semuanya sama. Allah S.W.T. sudah tetapkan rezeki setiap orang. Kenalah sabar dan terus berusaha. Kenal pasti apa yang kita mampu lakukan atau miliki dan manfaatkan sebaik-baiknya, kerana itulah sebenarnya kelebihan kita.

Jadi muhasabah dan renungkanlah diri sendiri. Bersyukur dengan apa yang kita miliki, dan janganlah asyik merungut tentang kelemahan diri. Sudah sampai masanya kita menghargai 'kelebihan' diri kita. Cuma, janganlah terlebih 'menghargai diri' hingga jadi sombong pula! Manfaatkanlah kelebihan diri kita untuk kebaikan diri dan masyarakat.

Sumber foto: http://roblovegreen.blogspot.com/2011/09/looking-in-mirror-what-do-you-see.html


Wednesday, March 28, 2012

Mensyukuri nikmat Allah dan memanfaatkannya

Dalam kehidupan seharian kita, pelbagai nikmat yang kita terima dan rasai. Hakikatnya semuanya daripada Allah dan milik Allah S.W.T. Kita hanya menumpang, dan merasai sekelumit daripada pemberian Allah yang tak terhingga nilainya.

Justeru, wajarlah kita bersyukur dan mengucapkan tahmid (Alhamdulillah) yang sebanyak-banyaknya dengan pemberian Allah S.W.T. Nikmati pemberian tersebut (dengan menjadi insan yang lebih bertaqwa), memanfaatkannya serta jika perlu menyampaikan pula nikmat tersebut kepada orang lain (misalnya nikmat berbentuk ilmu, duit dsb.).

Jangan riak dan sombong, kerana nikmat itu bukan milik kita...


.

Monday, March 19, 2012

Atas-Bawah lwn Bawah-Atas. Mana lebih baik?

Bayangkan kita berada dalam situasi yang genting. Kemudian kita minta nasihat daripada dua orang. Tapi seorang berfikir secara atas-bawah (atas ke bawah, top-down), yang seorang lagi berfikir secara bawah-atas (bawah ke atas, bottom-up). Nasihat siapa yang hendak kita ikut? Alamatnya peninglah kepala, sebab kedua-duanya merupakan cara pemikiran yang berbeza, namun lebih kurang saja kelebihan dan kelemahannya. Jadi memang sukar hendak menentukan mana yang lebih baik dan patut diikut.

Amnya terdapat dua bentuk pemikiran yang popular yang dikenal pasti diamalkan oleh manusia - iaitu pemikiran atas-bawah dan bawah-atas (juga merujuk kepada kaedah analisis masalah). Pendekatan atas-bawah ialah kita melihat sesuatu perkara itu secara umum dan kemudian memperhalusinya. Apa yang saya perhatikan, pemikiran ini selalunya lebih dimiliki oleh golongan pengurus (atau yang suka mengurus). Selalunya mereka ini berpandangan jauh kerana ingin melihat perkara secara umum semaksimum mungkin. Apabila suatu pandangan umum telah difahami, perkara yang umum ini diperhalusi dan diperincikan.

Manakala bagi pemikiran bawah-atas ialah kita melihat setiap perkara satu demi satu, kemudian cuba membentuk generalisasi dan hubungkait antara setiap perkara tersebut. Apa yang saya perhatikan cara pemikiran ini diamalkan oleh golongan teknikal ataupun mereka yang 'berfikiran mudah' (simplistic). Selalunya golongan ini tidak akan berfikir banyak sebaliknya lebih menumpukan setiap perkara satu demi satu. Bahkan sesetengahnya akan menolak sesuatu perkara yang tidak nampak hubung kait dengan perkara yang difikirkannya ketika itu (walaupun bagi orang yang berpandangan jauh nampak kepentingan perkara yang dianggap 'tidak berkaitan' itu).

Jadi jika dibandingkan antara kedua-dua cara pemikiran ini jelas sekali perbezaannya. Bagi mereka yang sudah biasa berpandangan jauh, sukar untuk melihat sesuatu secara terperinci kerana mereka sudah biasa melihat sesuatu secara umum, dan perlu memahami hubung kait perkara-perkara yang terperinci itu. Manakala bagi golongan yang sentiasa berfikiran mudah, agak sukar untuk menerima sesuatu pandangan yang bersifat jangkaan kerana mereka sukar mengaitkannya dengan perkara-perkara yang mereka dapat fikirkan.

Pendek kata, Atas-Bawah ialah pemikiran abstrak, manakala Bawah-Atas ialah pemikiran yang bersifat objektif (bukan 'matlamat', tetapi bermaksud 'jelas'). Walau bagaimanapun, cara pemikiran manusia sebenarnya tidak terhad kepada dua cara ini saja kerana kita bukanlah tahu semua perkara. Mungkin juga sebenarnya cara pemikiran manusia mempunyai pelbagai bentuk dan cara gaya yang lain, atau lebih kompleks daripada dua cara tersebut. Cuma setakat ini, cara-cara pemikiran itulah yang dapat dikenal pasti.

Amnya kita mengakui wujudnya dua cara yang dinyatakan sebagai antara bentuk pemikiran yang manusia gunakan. Jadi bagaimanakah kita menentukan yang mana satu hendak digunakan apabila berada dalam suatu situasi, atau cara pemikiran mana yang hendak kita pilih ketika menyelesaikan masalah? Jelas kedua-duanya berbeza. Jadi mustahil hendak diikutkan kedua-duanya sekaligus.

Dalam memilih sesuatu cara pemikiran, yang pentingnya ialah kita tidak boleh menetapkan secara mutlak bahawa satu cara mesti digunakan dalam semua situasi (bak kata pepatah "no single size fits all"). Jadi cara yang harus kita ambil ialah menilai sendiri bentuk situasi, perkara atau masalah yang dihadapi dan menilai sendiri cara pemikiran mana yang sesuai untuk digunakan. Ada situasi atau perkara yang lebih sesuai dianalisis menggunakan pendekatan Atas-Bawah, dan ada pula yang lebih sesuai menggunakan Bawah-Atas. Ada masanya orang lain menghadapi sesuatu situasi, menggunakan satu cara. Namun orang yang lain pula menggunakan cara yang lain walaupun dalam situasi yang sama. Jadi apa cara yang kita pilih hendaklah bergantung kepada situasi, perkara atau masalah yang dihadapi.

Ini bukanlah bermakna kita 'duduk atas pagar'. Dalam menentukan sama ada sesuatu perkara itu baik atau buruk secara mutlak adalah suatu hal yang mustahil dilakukan. Sebenarnya tidak ada sesiapa yang boleh menentukan bahawa sesuatu itu benar-benar baik atau buruk. Sebaliknya penentuan sesuatu yang mutlak itu adalah hak Allah (hanya Allah yang boleh menentukan sesuatu secara mutlak). Maka sebagai manusia, adalah lebih wajar jika kita memutuskan sesuatu perkara berdasarkan penilaian dan pertimbangan kita sendiri mengikut situasi yang dihadapi. Yang penting kita kena menjadikan generalisasi, nasihat dan pandangan orang lain sebagai panduan (tetapi bukan secara mutlak) untuk kita membuat penilaian sendiri.

Dalam apa jua hal pun, kita tidak boleh membuat pemilihan secara mutlak hanya berdasarkan aspek tertentu saja (misalnya memilih secara mutlak cara A untuk situasi B hanya kerana B sama dengan C, dan A bagus untuk situasi C). Sebaliknya kita kena mengambil pendekatan untuk mempertimbangkan pelbagai perkara, aspek dan ciri yang berkaitan sebelum membuat keputusan atau pemilihan. Misalnya dalam memilih antara dua cara pemikiran hendaklah bergantung kepada situasi. Begitu juga dalam kita menilai seseorang, kita tidak boleh menilai berdasarkan satu aspek saja tetapi semua aspek perlu dipertimbangkan.

Hidup ini penuh dengan kepelbagaian, dan kepelbagaianlah yang menjadikan alam ini 'meriah'. Tanpa kepelbagaian, mungkin hidup kita akan jadi bosan. Masalah, penderitaan dan sebagainya bukanlah semata-mata sesuatu keburukan. Jangan terkejut jika keburukan bagi orang itu mungkin suatu kebaikan bagi orang yang lain! Kebaikan dan keburukan merupakan antara ciri kepelbagaian dan sunnatullah yang Allah S.W.T. ciptakan di alam ini. Maka seharusnya kita bersyukur dengan apa jua yang kita terima atau hadapi, kerana kita sebagai manusia yang pelbagai adalah sebahagian ciptaan Allah. Kita sebenarnya saling melengkapi antara satu sama lain justeru wajarlah kita menerima kelemahan orang lain sebagai satu ciri kepelbagaian. Jadi tidak kiralah cara pemikiran mana yang kita pilih, asalkan ianya sesuai dan memberi hasil yang baik.

Sebagai rumusan, terdapat dua cara pemikiran yang dikenal pasti iaitu Atas-Bawah (abstrak) dan Bawah-Atas (objektif). Namun tidak ada satu cara yang benar-benar sesuai untuk semua perkara tetapi hendaklah dipilih mengikut kesesuaian keadaan. Kepelbagaian cara hendaklah diterima kerana ia merupakan satu ciri kepelbagaian ciptaan Allah.


.

Friday, March 09, 2012

UFO (Unidentified Fishy Objects) found in malware?


Researchers can't identify programming language used in Duqu, ask for help
The programming language used to write parts of the Duqu malware remains a mystery despite countless hours of analysis

http://www.computerworld.com/s/article/9225024/Researchers_can_39_t_identify_programming_language_used_in_Duqu_ask_for_help


.