Wednesday, March 07, 2012

Budaya mengemukakan pendapat dan keterbukaan terhadapnya

Setiap orang mempunyai cara pemikiran yang berbeza. Masing-masing ada pendekatan dan kemampuan yang tersendiri. Perbezaan dari segi cara berfikir dan kemampuan melakukannya mempengaruhi hasil pemikiran seseorang. Kalau betul caranya, akan membuahkan hasil yang boleh dimanfaatkan. Namun jika tidak kena cara, mungkin hasil pemikiran juga akan jadi salah dan boleh menyimpang daripada kebenaran. Antara hasil pemikiran ialah pendapat dan idea.

Orang lain tidak boleh menghalang kita untuk berfikir. Berfikir adalah hak kita kerana kita dikurniakan otak serta aqal untuk melakukannya. Tetapi mengapa di kalangan kita masih ramai yang ragu-ragu untuk mengemukakan pendapat? Sesetengahnya pula enggan memberi pendapat kerana terasa seperti dihalang atau tidak diendahkan. Tetapi bukankah memberi pendapat itu hak kita, sepertimana hak untuk berfikir? Sama ada didengar atau tidak, itu soal lain.

Oleh kerana kita mampu berfikir, maka kita juga boleh memberikan pendapat. Namun ada prinsip dan aturannya. Kita tidak boleh bercakap apa saja sesuka hati atas alasan mengemukakan pendapat dan idea. Sebaliknya pendapat dan idea yang dikemukakan mestilah berdasarkan alasan dan hujah yang kita yakin benar. Jangan pula kita beri pendapat semata-mata kerana kita mahu orang mendengar / menerima cakap kita, atau semata-mata untuk menerima pujian dan ingin jadi popular. Jika inilah matlamatnya, tidak mustahil kita sanggup mengemukakan pendapat yang palsu atau kita sendiri tidak yakin, semata-mata untuk mencapai matlamat yang tidak sepatutnya itu.

Apabila mengemukakan pendapat dan idea, kita juga harus bersedia menerima penolakan. Bukan semua pendapat kita akan diterima oleh orang lain, walaupun kita yakin pendapat kita itu benar dan orang itu tidak menyedarinya. Kita tidak boleh memaksa seseorang menerima pendapat kita kerana masing-masing ada kemampuan untuk berfikir. Jika kita berhujah habis-habisan tetapi orang lain masih menolak pendapat kita, itu hak mereka.

Apabila kita mengemukakan pendapat, kita perlu ikhlas iaitu untuk menyampaikan ilham yang Allah beri pada kita untuk disampaikan/dikongsi dengan orang lain. Maka yang pentingnya ialah kita menyampaikan sesuatu yang kita rasa benar. Jika pendapat tidak diterima, itu soal lain. Sedangkan ajaran Islam yang sahih lagi benar yang disampaikan oleh Nabi Muhammad S.A.W. pun ada yang sanggup menolak mentah-mentah, maka siapalah kita untuk memaksa orang menerima pendapat kita yang belum tentu benarnya. Anggap semuanya ketentuan Allah S.W.T. Jika kita mahu orang lain menerimanya, selain berhujah perbanyakkanlah doa kerana Allah S.W.T. berkuasa mengubah hati dan pendirian seseorang.

Namun jika orang lain menerima pendapat kita, jangan kita rasa hebat atau bangga diri kerana sebenarnya itu adalah rezeki dari Allah. Kita hendaklah bersyukur dan insaf bahawa setiap kelebihan yang kita miliki itu sebenarnya adalah hak Allah. Jangan pula kita memperlekehkan pendapat orang lain hanya kerana pendapat kita diterima. Tidak mustahil pendapat lain yang ditolak itu sebenarnya lebih baik daripada pendapat kita!

Apabila orang lain hendak memberi pendapat, kita hendaklah bersikap terbuka untuk mempertimbangkannya. Atau sekurang-kurangnya memberi peluang orang itu memperdengarkan pendapat mereka. Kita mungkin lebih berpengalaman, berusia mahupun lebih pandai daripada orang itu. Namun setiap orang ada kelebihan dan kelemahan masing-masing. Mungkin dalam hal-hal tertentu kita tidak terfikir tentang sesuatu dan orang itu pula mampu memikirkannya. Maka jika kita menolak mentah-mentah tanpa mahu mempertimbangkan atau mendengarnya, kitalah yang rugi. Siapa tahu, mungkin dengan hanya mendengar pendapat orang lain akan membantu kita membuat sesuatu keputusan atau mendapat manfaat daripadanya.

Budaya memberi pendapat dan mendengar pendapat di kalangan masyarakat kita amnya masih di tahap yang kurang memuaskan. Kurang memuaskan kerana, rata-rata kita masih malu-malu atau ragu-ragu untuk memberi pendapat. Namun sesetengahnya disebabkan budaya dalam kalangan kita yang fobia apabila mendengar pendapat orang lain. Apatah lagi jika pendapat itu daripada orang bawahan yang 'sepatutnya' mendengar pendapat kita sebagai ketua, dan pendapat itu pula berunsur kritikan! Jadi wujudlah halangan-halangan yang mendorong seseorang itu untuk tidak mahu mengemukakan pendapat atau terpaksa mendiamkan diri.

Budaya mengongkong atau menghalang orang lain memberi pendapat tidak seharusnya diamalkan kerana ia hanya akan mengekang perkembangan dan daya kreativiti sesebuah masyarakat. Namun tidaklah bermakna setiap individu harus dibiarkan bebas memberi apa saja pendapat. Yang penting ialah pihak yang memberi pendapat kena tahu kaedah yang sesuai untuk memberi pendapat, dan pihak yang mendengar kena tahu kaedah yang sesuai memberi laluan kepada sesuatu pendapat untuk dikemukakan. Amnya, apa jua tindakan hendaklah berpaksikan niat yang ikhlas untuk memberi manfaat dan kebaikan, dan semua pihak wajar bersikap terbuka terhadap sesuatu keputusan.

Contoh terbaik kita ialah peribadi Nabi dan Rasulullah, Muhammad S.A.W. Diriwayatkan bahawa sejak kecil baginda tidak pernah berdusta dan hanya bercakap yang benar. Baginda pula sedia mendengar dan tidak mudah menolak pendapat orang lain, walaupun Rasulullah merupakan utusan dan kekasih Allah. Malah atas prinsip keterbukaan juga Rasulullah tidak menolak untuk melantik Zaid bin Harithah yang berumur 15 tahun menjadi panglima perang. Namun Rasulullah juga seorang yang tegas menentang pendapat yang bercanggah dengan Al-Quran dan perintah Allah S.W.T. Ketokohan Rasulullah memang tidak boleh dinafikan kerana baginda merupakan utusan Allah dan contoh ikutan yang terbaik. Namun sikap ini tetap mampu diikuti pula oleh khulafa' ar-rasyidin selepas baginda dan para sahabat.

Kita juga boleh mengambil contoh sikap (Allahyarham) Tun Azizan Zainul Abidin yang dilaporkan suka mendengar pendapat daripada orang bawahannya, tak kira muda atau senior. Sebagai seorang yang pernah bertugas menjadi Setiausaha Sulit kepada 3 orang Perdana Menteri (Tun Razak, Tun Hussein, dan Tun Mahathir), menjadi CEO dan kemudiannya Pengerusi Petronas, Pengerusi Perbadanan Putrajaya dan Putrajaya Holdings, dan jawatan terakhirnya Pengerusi Malaysian Airlines System (MAS); dengan rekod dan pengalaman sedemikian Tun Azizan mudah saja untuk menolak pendapat orang lain. Namun tokoh yang sedemikian hebat seperti Tun Azizan masih lagi mampu menjadi 'pendengar yang setia' kepada orang bawahannya. Beliau pula dikatakan seorang yang sangat tegas dengan pendiriannya dan tidak mudah dipengaruhi. Bahkan semasa bertugas sebagai Setiausaha Sulit Perdana Menteri, Tun Azizan dikatakan satu-satunya orang bawahan Tun Mahathir yang sanggup berkata 'tidak' kepada arahan Tun Mahathir [1].

Mungkin sikap Tun Azizan yang tidak mudah dipengaruhi itu yang mendorongnya untuk mendengar sebarang pendapat. Namun orang sedemikian selalunya lebih mementingkan pendapatnya semata-mata, apatah lagi jika dia memang seorang yang hebat dengan pengalaman. Jadi sikap Tun Azizan boleh dianggap unik kerana jarang-jarang dilakukan oleh tokoh sepertinya. Justeru sikap Tun itu wajar menjadi contoh kepada semua orang khususnya pemimpin, dalam menangani sesuatu pendapat daripada orang lain termasuk orang bawahan. Bahkan sikap Tun yang tidak segan memberi nasihat dan pandangan yang bernas hatta kepada ketua juga, amat wajar dicontohi oleh generasi muda.

Sebagai rumusan, apabila kita memikirkan dan mengemukakan sesuatu pendapat kita hendaklah ikhlas menyampaikannya dengan niat menyampaikan sesuatu yang kita rasa benar dan bermanfaat. Sampaikan dengan cara yang wajar. Jangan menyampaikan pendapat demi mengharapkan sesuatu pulangan (duit, pengaruh, kuasa, pangkat dll). Jikalau pendapat kita ditolak, jangan pula kita marah atau paksa juga orang menerimanya. Sedia menerima penolakan, dan redha. Yang penting ialah kita sudah melaksanakan tanggungjawab menyampaikannya. Biar Allah saja yang membalasnya kerana memberi pendapat itu merupakan suatu sumbangan. Jika kita menerima pendapat orang lain pula, jangan menolaknya mentah-mentah. Sebaliknya dengar dahulu dan jika perlu pertimbangkan, kerana ada masa-masa tertentu kita mungkin terlepas pandang sesuatu perkara yang orang lain terfikir tentangnya.

Memberi pendapat bukan bermakna kita pandai, dan menerima pendapat bukan bermakna kita lemah. Hakikatnya kita semua saling melengkapi antara satu sama lain. Semua orang ada kelebihan dan kekurangan masing-masing. Ironinya, apa yang disampaikan di sini juga merupakan suatu pendapat, dan terpulanglah anda sebagai pembaca untuk menerima mahupun menolaknya.


Rujukan
[1] Azam Aris (2008, terj. 2011) Jiwa Seorang Negarawan - Biografi Tun Azizan Zainal Abidin. Crestime Holdings Sdn Bhd.

.

No comments:

Post a Comment