Pages

Saturday, June 03, 2017

Universiti - tempat mendidik atau menghukum?



Hukuman tembak ke atas pesalah jenayah. Jangan jadikan universiti sebagai tempat menghukum pelajar
(Sumber foto : internet)


Apabila seseorang individu mendaftar masuk ke universiti, pastinya mempunyai matlamat dan niat yang tertentu. Matlamat atau niat ini boleh jadi pelbagai. 

Amnya apabila seseorang mendaftar ke universiti yang merupakan sebuah institusi pendidikan, sekurang-kurangnya seseorang itu perlu ada matlamat untuk menimba ilmu berkaitan bidang yang diminati atau ingin diceburi. Misalnya kalau seseorang mendaftar ke dalam bidang pengajian sains komputer, antara kemahiran yang ingin (perlu) dipelajari ialah kemahiran pengaturcaraan komputer. Maka apabila tamat pengajiannya selepas 3-4 tahun, pelajar tersebut sepatutnya sudah mahir atau tahu tentang cara mengaturcara komputer. Justeru apabila seseorang belajar di universiti maka dia sepatutnya ada niat dan matlamat ingin jadi orang yang mahir atau pandai dalam bidang yang diceburinya.

Apakah cara menentukan sama ada seseorang itu sudah mahir atau pandai? Untuk menilai hal ini, maka perlu dilakukan proses penilaian. Apakah matlamat proses penilaian? Penilaian bermatlamat untuk menilai sama ada pelajar tersebut sudah mencapai tahap yang sepatutnya ataupun belum. Sekiranya pelajar BERJAYA melepasi tahap minimum, pelajar ini dianggap SUDAH mahir dalam topik yang dipelajarinya. Jika GAGAL melepasi tahap minimum pelajar ini dianggap BELUM mencapai tahap mahir, justeru dia perlu mengulang semula proses pembelajaran dan ujian sehinggalah dia berjaya mencapai atau melepasi tahap minimum yang ditetapkan. Jika pelajar masih gagal dan tidak sanggup meneruskan (mengulang) pengajiannya, maka dia boleh berhenti dan mencuba di tempat lain.

Sebagai sebuah institusi pendidikan, universiti perlu melaksanakan proses pembelajaran dan penilaian untuk memastikan setiap individu yang belajar di universiti ini mahir dalam bidang yang dipelajari. Universiti seharusnya memberi ruang dan peluang kepada pelajar untuk menjadi seorang individu yang mahir dan pandai apabila bergraduat kelak. Maka dengan cara ini tercapailah matlamat individu tersebut datang dan belajar di universiti iaitu untuk menjadi mahir dan pandai. Universiti seharusnya menjadi tempat untuk belajar sesuatu, dan tidak sepatutnya menjadi institusi untuk menghukum orang. Jika tidak, ibaratnya universiti sama seperti institusi pemulihan dan penjara. 

Bagaimana yang dikatakan universiti itu boleh menjadi tempat menghukum? 

Pertamanya dalam konteks pembelajaran. Manusia ada pelbagai sifat dan tahap kemahiran. Ada sesetengah orang yang cepat mempelajari sesuatu. Ada sesetengahnya pula lambat atau perlu melalui proses ulangan (mungkin banyak kali) sebelum faham sesuatu. Tidak dinafikan, pasti akan ada individu yang menghadapi masalah untuk mempelajari sesuatu dan mungkin tidak mampu langsung memahami apa yang dipelajari. Justeru sebagai sebuah institusi pembelajaran, proses pembelajaran di universiti perlu mengambilkira perbezaan kemampuan penguasaan pelajar. Suasana pembelajaran yang fleksibel perlu diberikan supaya pelajar boleh memilih proses pembelajaran yang sesuai dengan tahap penguasaan masing-masing.

Malangnya dalam konteks ini, ada sesetengah universiti yang memaksa pelajar melalui satu bentuk proses pembelajaran saja. Proses pembelajaran yang rigid dan tidak fleksibel ini memaksa pelajar menerima apa saja yang diberikan. Kemudian pengajar pula tidak menawarkan bantuan perbincangan dan sebagainya. Ini bukan saja satu bentuk kongkongan kepada kebebasan pelajar untuk memilih bahkan tidak menjamin pelajar akan dapat memahami apa yang dipelajari. Ini sekaligus meningkatkan risiko stress dan tekanan kepada emosi pelajar, dan seterusnya meningkatkan lagi halangan kepada pelajar untuk belajar. Jadi kalau pelajar rasa susah, tidak seronok dan menderita untuk belajar, bukankah ini sudah jadi satu bentuk hukuman?

Keduanya ialah dalam konteks penilaian. Ujian penilaian dan peperiksaan digunakan sebagai satu cara menilai tahap penguasaan pelajar pada satu-satu masa. Misalnya di hujung semester, pelajar akan dinilai dengan peperiksaan akhir untuk menentukan pelajar sudah mahir dalam ilmu yang diajar dalam suatu kursus bagi semester tersebut. Ujian penilaian ini menggunakan kaedah penilaian tertentu, amnya menggunakan soalan yang digubal oleh pengajar dan perlu dijawab oleh pelajar dalam tempoh masa yang ditetapkan. 

Di sini dapat dilihat terdapat pelbagai faktor kekangan dan had bagi ujian penilaian. Antaranya faktor bentuk soalan, iaitu bentuk soalan itu belum tentu benar-benar mencapai piawaian. Ada soalan-soalan yang digunakan sukar difahami oleh pelajar, mengandungi kesilapan yang terlepas pandang sewaktu semakan, tidak mencapai tahap sepatutnya, dsb. Ada pengajar yang tidak mempunyai pengalaman dan belum mampu untuk membentuk soalan penilaian yang tepat.

Masa menjawab soalan pula perlu sesuai dengan proses menjawab. Ada soalan yang perlu dibaca dengan teliti untuk difahami. Kemudian memerlukan masa untuk menulis jawabannya. Kalau pelajar boleh cepat faham soalan, maka banyaklah masa untuk menulis jawaban. Tetapi kalau masa yang panjang diperlukan untuk memahami soalan, maka sudah kurang masa yang ada untuk menulis jawaban. Proses menjawab soalan, jika berdasarkan model oleh Ayesha Ahmed dan Politt (1999) perlu melalui 6 peringkat - (0) pengetahuan mata pelajaran, (1) kefahaman soalan, (2) mencari pengetahuan mata pelajaran, (3) memadankan perwakilan soalan dengan pengetahuan mata pelajaran, (4) menjana jawapan, dan yang terakhir (5) menulis jawapan. Jika berdasarkan model ini, ada 6 peringkat yang perlu diselesaikan untuk menulis jawaban bagi setiap soalan dalam ujian penilaian! [*1]

Bahkan lebih mendukacitakan lagi sistem penilaian kita pula menggunakan gred - A, B, C, D, F (kenapa tiada E?). Jika A, pelajar dikategorikan cemerlang, B = pencapaian baik, C = memuaskan, D = lulus. F pula gagal. Beza antara D dan F mungkin jelas. Lulus atau gagal. Namun persoalan yang perlu ditanyakan, apakah perbezaan kemahiran antara pelajar yang mencapai A dengan B? Bagaimana pula beza C dengan D? Adakah perbezaan ini relevan? Adakah soalan-soalan penilaian kita itu benar-benar dapat mengkelaskan pelajar ke dalam kategori cemerlang, pencapaian baik, memuaskan dan sekadar lulus? Tetapi budaya masyarakat kita akan melihat A itu ialah satu-satunya pencapaian yang LULUS. Jika tak dapat A, tetap dianggap gagal. Bukankah ini satu hukuman? Dan lebih malang jika hukuman itu tidak setimpal dengan kesilapan yang dibuat (cth. tidak sempat menulis jawaban kerana masa singkat).

Jika diambil kira bahawa proses penilaian itu sendiri dipengaruhi oleh pelbagai faktor luaran selain penguasaan pelajar terhadap topik, maka adalah tidak wajar sekiranya penilaian penguasaan pelajar hanya dibuat berdasarkan keputusan proses penilaian semata-mata. Namun itulah yang sedang berlaku dalam universiti pada hari ini.

Justeru kita perlu pastikan bahawa proses pembelajaran dan penilaian itu tidak menjadikan universiti sebagai tempat menghukum dengan mengelakkan menjatuhkan hukuman yang tidak adil kepada pelajar. Sebaliknya 2 proses tersebut seharusnya dijadikan saluran untuk membentuk pelajar supaya sentiasa bersemangat untuk menimba ilmu dan memanfaatkan potensi yang diri sebaik mungkin agar pelajar dapat membentuk pengetahuan dan kemahiran yang diperlukan atau diingininya.

Dalam perbincangan di atas, saya hanya fokus di universiti kerana saya juga terlibat (dan tak mustahil turut menyumbang kepada masalahnya, muhasabah...). Namun saya yakin hal ini boleh berlaku di institusi pendidikan lain termasuk di peringkat prasekolah dan sekolah. Misalnya Foo Lay Kuan, et al. (2015) turut menyenaraikan masalah berkaitan menjawab peperiksaan yang dihadapi di peringkat sekolah menengah. Justeru eloklah kalau dapat direnungkan bersama agar kita tak tersalah menghukum.


----
Nota kaki:

[*1] Model ini juga digunakan untuk menilai tahap kesukaran murid menjawab soalan ujian literasi sains sekolah menengah. Rujuk Foo Lay Kuan, et al. (2015).

Rujukan:

Ayesha Ahmed & Politt A. (1999) Curriculum demands and question difficulty. Paper presented at the International Association for Educational Assessment, Bled, Slovania.

Foo Lay Kuan, S. Balasubramaniam, Chin Phoi Ching, Yeoh Poh Choo, Parvinder Singh Amar Singh (2015) Kesukaran murid menjawab soalan ujian literasi sains sekolah menengah. IPG Kampus P. Pinang, Penang.

Friday, August 05, 2016

Node.js - pelayan web berasaskan bahasa Javascript




Pelayan web (web server) ialah perisian yang digunakan pada komputer pelayan web. Pelayan web amnya berperanan memberi khidmat melayani permintaan berasaskan HTTP (dokumen web, servis dan aplikasi web, dsb.). Misalnya jika kita cuba mengakses sesuatu dokumen atau aplikasi di internet menggunakan pelayar web (browser), pelayar akan mengemukakan permintaan HTTP kepada pelayan web yang berada di lokasi dalam URL (misalnya permintaan URL "http://www.google.com/page" akan ditujukan kepada pelayan web di www.google.com), dan maklumbalas daripada pelayan akan dihantar semula kepada pelayar.

Antara pelayan web yang popular ialah Apache, Tomcat dan IIS. Kini satu lagi pelayan telahpun mendapat perhatian pembangun aplikasi dan servis web iaitu Node.js (atau Node). Node merupakan pelayan web yang melaksanakan aplikasi web berasaskan Javascript. Berbanding dengan pelayan web lain, Node melaksanakan aplikasi web yang ditulis dengan menggunakan bahasa Javascript. Sebelum adanya Node, Javascript hanya digunakan untuk paparan di pelayar web dan interaksi masa-nyata menggunakan AJAX (asynchronous javascript, satu lagi teknologi web berasaskan Javascript). Berbeza dengan AJAX, Node membolehkan aplikasi web dibina sepenuhnya menggunakan Javascript dan berasaskan callback. Teknologi callback ini lebih mengurangkan beban pada pelayan web, khususnya semasa melayan permintaan web yang terlalu banyak.

Sekiranya ingin menggunakan teknologi Node, pembangun disaran menggunakan gabungan beberapa teknologi berasaskan Javascript, antaranya 'stack' MEAN - Mongodb + Express.js + Angular.js + Node.js. Mongodb atau Mongoose.js ialah enjin pengendali pangkalan data berasaskan dokumen yang mengendalikan permintaan berasaskan sintaks Javascript. Express.js pula ialah framework mudah untuk membangunkan pakej aplikasi web berasaskan Node. Manakala Angular.js pula ialah framework untuk membina antaramuka pengguna menggunakan Javascript.

Semua teknologi MEAN adalah percuma dan berasaskan kod terbuka (open source). Semua teknologi tersebut boleh dimuatturun melalui laman web masing-masing:

Mongodb : https://www.mongodb.com/


Thursday, August 04, 2016

FreeBSD - sistem pengoperasian berasaskan UNIX


Kita biasa dengar Windows dalam PC atau MacOS dalam komputer Apple. Sebenarnya ada sistem pengoperasian (OS) lain yang popular dalam kalangan peminat sistem komputer tetapi jarang didengari dalam kalangan pengguna biasa. Antaranya ialah UNIX.

UNIX diperkenalkan pada 1969 dan menjadi popular kerana 1) OS pertama dibangunkan menggunakan bahasa paras tinggi sepenuhnya (iaitu bahasa C), 2) diedarkan bersama kod sumber, 3) disasarkan kepada komputer murah (PDP-11, ketika itu PC belum wujud). Versi terawal UNIX dibangunkan oleh Ken Thomson dan Dennis Ritchie, yang juga saintis yang mencipta bahasa pengaturcaraan C.

Populariti UNIX turut mendorong kemunculan versi-versi OS derivasi daripadanya. Antara OS tersebut ialah MacOS (Darwin, iaitu sistem pengoperasian dalam komputer peribadi Apple Macintosh) LINUX (OS untuk PC yang merupakan implementasi semula UNIX oleh Linus Torvald), dan BSD (Berkeley Software Distribution, versi UNIX yang dibangunkan dan diperbaiki oleh kumpulan penyelidikan sistem komputer atau CSRG di Universiti Berkeley, California).

BSD menjadi popular kerana dibangunkan secara bersama oleh komuniti (berbanding versi UNIX lain yang berasaskan perniagaan). Kini BSD disaingi oleh LINUX yang juga menggunakan konsep sumbangan komuniti dalam pembangunannya. OS ini digunakan bukan saja untuk komputer peribadi, tetapi juga komputer-komputer lain seperti pelayan, superkomputer dan untuk sistem terbenam (embedded).

BSD menerbitkan sekurang-kurangnya 3 aliran iaitu yang terawal NetBSD, kemudian FreeBSD dan OpenBSD. NetBSD ialah cabang yang muncul daripada versi 4.4BSD (juga dinamakan Networking 1 dan Networking 2). FreeBSD ialah cabang versi BSD terawal yang percuma sepenuhnya. Manakala OpenBSD ialah cabang BSD yang menumpukan kepada ciri keselamatan dalam OS.

FreeBSD kini diselenggara oleh FreeBSD Foundation dan boleh dimuat turun secara percuma dari laman web FreeBSD (link).




Sisipan - doa apabila ditimpa musibah

Diriwayatkan bahawa Abu Salamah r.a. telah berkata kepada isterinya, Ummu Salamah r.a.bahawa beliau mendengar Rasulullah SAW bersabda (maksudnya), sebutlah 3 perkara ini ketika ditimpa musibah:

  1. Sebutlah 'innalillahi wa inna ilaihi raajiuun' (segalanya milik Allah SWT dan sesungguhnya kepada Allah ia kembali)
  2. Doa "Ya Allah kurniakanlah pahala kepada diriku atas musibah ini"
  3. Doa "Ya Allah kurniakanlah kepadaku sesuatu yang lebih baik"

(daripda hadits riwayat Ahmad No.15750 - hadis lengkapnya di sini -> link )

Wallahua'lam.

Thursday, April 17, 2014

Isu Kritikan Terbuka dan Peranan Ilmuan dalam masyarakat

Saya mendapat idea untuk menulis hal ini ketika timbul isu apabila seorang ilmuan agama dikritik secara terbuka berhubung kandungan dan kesahihan 'ilmu' yang disampaikannya.

Isu ini bermula apabila seorang selebriti menyampaikan video yang dikongsi oleh seseorang ke laman sosialnya. Dalam video itu, memetik ceramah dan mengkritik seorang ilmuan. Lalu selebriti terbabit mengkritik pula ilmuan terbabit (dan seakan mengiyakan apa yang disampaikan oleh video itu). Seperti yang lazim berlaku, selebriti terbabit dikritik pula oleh orang ramai, khususnya peminat ilmuan itu, dan mempertikaikan tindakannya. Dikatakan video itu dibuat dengan tujuan fitnah, dan sepatutnya selebriti terbabit merujuk secara tertutup kepada ilmuan yang dikritiknya.

Banyak pertikaian yang timbul. Tapi saya lebih tertarik untuk mengulas tentang perkara berikut:
- wajarkah ilmuan terbabit dikritik sedemikian rupa?
- apakah tindakan susulan yang wajar dibuat oleh ilmuan terbabit?

Amnya video tersebut tidak menamakan pembuatnya. Sebaliknya dengan nama samaran, pembuatnya hanya menyatakan 'kesilapan' ilmuan itu, dan menyatakan bukti-bukti (yang kurang kukuh) berkenaan kritikannya dalam video itu. Pada saya, siapa pembuat video itu tidaklah releven sangat, kerana saya melihat apa yang dikritiknya itu jelas menimbulkan persoalan dan saya sendiri antara setuju dengan tidak setuju terhadap kritikan yang dilontarkan. Jadi saya berpendapat, tindakan pembuat video dan selebriti berkenaan menyampaikan video itu sambil melontarkan persoalan dan kritikan sangatlah berasas.

Walaupun ada orang berpendapat pembuat video itu mempamerkan sifat orang yang 'suka menabur fitnah', tapi sekiranya persoalan itu berasas, ia tetap harus dijawab, tanpa mengira siapa yang menimbulkannya. Lainlah persoalan itu benar-benar mengarut dan tak masuk akal. Kalau diselidik pun hanya membuang masa.

Tetapi wajarkah kritikan selebriti itu dibuat secara terbuka (dipos ke laman sosial)? Saya berpendapat tidak ada salahnya, bahkan lebih baik demikian kerana ilmuan yang diperkatakan sering mengadakan ceramah agama terhadap orang ramai. Persoalan 'aib' tidak sepatutnya timbul, kerana perbincangan terbuka akan menjelaskan persoalan-persoalan yang timbul dan dapat diikuti oleh orang ramai. Apatah lagi persoalan yang dibangkitkan dipetik daripada ceramah yang telah disampaikan kepada umum. Maka sebarang kesilapan atau kekeliruan boleh terus dijelaskan.

Sebagai tindakan susulan, ilmuan itu telah mengeluarkan video sebagai jawapan kepada kritikan terhadapnya. Namun saya agak kesal kerana ilmuan itu tidak menjawab kandungan ceramah yang dipersoalkan. Sebaliknya 'jawapannya' mempersoalkan pula tindakan selebriti itu 'mempercayai' video itu tetapi pada masa sama mempersoal pula kredibilitinya (ilmuan itu). Lebih menarik lagi, (untuk menjawab salah satu persoalan yang dibangkitkan oleh video itu), ilmuan terbabit mengatakan bahawa sumber rujukannya ialah ulama lain.

Saya agak kesal dengan 'jawapan' yang diberikan. Sebagai 'ilmuan' seharusnya beliau menjawab persoalan yang dibangkitkan, bukan mencari salah orang lain atau meletakkan kesalahan pada orang lain pula. Mengatakan hal yang salah hanya 'dirujuk daripada orang lain' ibarat meletakkan kesalahan itu pada orang yang menyampaikan, pada masa sama ilmuan itu berlepas tangan daripada kritikan terhadapnya.

Walaupun demikian saya tertarik mengulas jawapan tersebut. Antara 'jawapan' yang menarik yang diberikan utk menjawab isu 'rujukannya' ialah dia 'merujuk daripada orang lain'.

Ilmuan ini dianggap orang yang arif dalam bidang agama. Jadi bagaimana, seorang ilmuan, boleh hanya menyampaikan perkara yang didengarnya tanpa menganalisa dan menyelidik hal tersebut? Inilah antara peranan ilmuan, iaitu dengan menggunakan kepakaran yang dimiliki, ilmuan perlu memperbaiki ilmu-ilmu sedia ada (termasuk ilmu yang diterima dari orang lain). Ilmuan itu perlu menentukan kesahihan, kredibiliti, atau memperbaik kesilapan yang wujud. Masyarakat mengharapkan ilmuan untuk menapis ilmu-ilmu sebelum menyampaikannya kepada masyarakat. Jika tidak, tidak ada gunanya dia dipanggil 'ilmuan' jika hanya menyampaikan semula apa saja ilmu yang diterima atau didengar (tanpa menilai salah atau betul). Kalau begini, orang yang tidak ada ilmu pun boleh melakukannya.

Di sinilah kita dapat melihat kepentingan seorang ilmuan. Selain menambahkan ilmu-ilmu baharu dengan mengkaji dan mengajarkannya, ilmuan perlu menggunakan kepakarannya untuk memperbaiki ilmu sedia ada. Ini kerana kesahihan suatu ilmu adakalanya bersifat temporal, iaitu sementara. Banyak faktor berlakunya sifat temporal pada ilmu. Antaranya kerana kurang bukti/maklumat pada masa ilmu itu disebarkan, penemuan ilmu baharu yang dapat menyokong penilaian semula, atau ilmu itu memang sudah tidak releven kerana perubahan waktu dan persekitaran. Jadi ilmuan berperanan melakukan penapisan, bagi memastikan masyarakat hanya menerima ilmu-ilmu yang sahih, dan boleh dimanfaatkan.

Ketika saya menulis, isu ini masih belum berkesudahan. Namun dalam menangani hal ini, semua pihak seharusnya bersikap terbuka tanpa tuduh-menuduh, memaki hamun dan sebagainya yang akhirnya akan mewujudkan permusuhan. Seharusnya perbincangan dibuat secara ilmiah. Orang yang dikritik perlu menjawab persoalan yang dilontarkan (bukan menyalahkan atau menepis semata-mata) manakala orang yang mengkritik itu seharusnya bertanya dan mengkritik dengan berhemah, bukan dengan niat memperkecil, mengaib atau merendahkan orang yang dikritiknya. Jika ada pihak tersalah, mengaku saja, minta maaf dan perbetulkan kesalahan itu. Jika tidak berlaku kesalahan pun, sekurang-kurangnya dapat menambahkan lagi ilmu melalui penerangan dan perbincangan yang diberikan.